Tuesday, August 29, 2017

Pertimbangan Politik Tidak Akan Menyelesaikan Masalah




Hari ini, rakyat Malaysia sedang ditimbunkan sekurang-kurangnya dengan 3 isu besar iaitu isu 1MDB, isu kerugian forex dan yang terkini isu tragedi Memali. Isu 1MDB merupakan isu terkini yang sedang hangat diperkatakan di mana-mana. Manakala isu kerugian forex dan tragedi Memali merupakan isu lama yang dibongkar semula.

Mengenai isu 1MDB, mana-mana pihak tidak boleh menafikan bahawa isu ini sedang hangat diperkatakan bukan sahaja dalam negara, bahkan ia turut mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa. Selain itu, isu 1MDB turut mendapat liputan meriah di pelbagai jenis media sosial. Mungkin penghuni asli di Sepilok atau makhluk ganas yang menghuni di setiap ceruk sungai-sungai di Sarawak turut sama sudah mendengarnya?

Dengan itu, usaha untuk menutup mulut mana-mana orang daripada bercakap tentang isu 1MDB adalah sia-sia sahaja. Kalau tidak boleh bercakap mengenainya di premis kerajaan, mereka akan berborak tentang isu berkenaan di gerai makan atau di kedai kopi pula. Kalau pun mereka masih tidak berani untuk bercakap mengenainya secara terbuka, sudah tentu mereka sudah membacanya menerusi pelbagai media atau turut sama mendengar pelbagai ulasan dan pandangan daripada rakan-rakan di gerai makan atau di kedai kopi. Justeru, mereka turut sama membuat analisis sendiri secara senyap bila isu yang sama diperkatakan pula oleh pihak yang bercakap bagi pihak yang berkuasa. Akhirnya apa yang terlontar ialah keluhan yang maha berat!

Isu Memali dan forex telah berlaku lebih daripada 20 tahun yang lalu. Mereka yang waras tentu akan tertanya sendirian, mengapa sekarang kedua-dua isu berkenaan baru dibongkar semula? Mengapa kedua-dua isu berkenaan tidak diselesaikan sejurus ia berlaku? Apakah sebenarnya justifikasi pembongkaran dan penyelesaian kedua-dua isu berkenaan sekarang?

Apa yang mungkin terserlah di sini ialah penyelesaian kedua-dua isu berkenaan lebih bermotifkan politik dan bukannya bermatlamat untuk kepentingan negara. Jika penyelesaian kedua-dua isu berkenaan lebih bermatlamat untuk kepentingan negara, saya rasa sudah lama ia diselesaikan. Orang ramai tidak perlu menunggu sehingga lebih daripada 2 atau 3 dekad baru cadangan untuk menyiasat isu-isu berkenaan dibongkar dan diketengahkan semula.

Bagi saya, sekiranya apa jua isu yang berbangkit diselesaikan atas kepentingan politik, maka sampai bila pun ia tidak akan selesai. Hari ini kita rasa ia boleh ditutup kerana kekuasaan politik, maka amat tidak mustahil isu yang sama akan dibongkar semula pada masa akan datang bila berlaku perubahan politik di negara kita. Begitulah selanjutnya yang akan berlaku.

Hari ini, apabila pihak-pihak tertentu cuba untuk menutup isu berkaitan 1MDB, amat tidak mustahil isu berkenaan akan dibongkar semula pada masa akan datang sama seperti isu tragedi Memali dan kerugian forex yang dibongkar semula pada masa kini setelah ia ditutup untuk beberapa dekad.

Jika kita ingin melihat apa sahaja isu yang berbangkit dapat diselesaikan secara total, maka sebarang kepentingan politik harus diketepikan sama sekali. Sebaliknya penyelesaian yang dibuat haruslah berpaksikan kepada neraca keadilan yang sebenar yang berlandaskan undang-undang negara.

Orang politik harus ingat iaitu mereka tidak akan selamanya berada di tampuk kekuasaan. Bila tiba masanya mereka akan turun daripada tampuk kekuasaan sama ada secara paksa atau secara rela.

Lihat sahaja apa yang sedang dialami oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau di tampuk kekuasaan dengan situasi sekarang bilamana beliau tidak lagi di tampuk kekuasaan. Sewaktu beliau di puncak kerjaya politiknya, pelbagai bentuk pujian diberikan kepada beliau oleh pelbagai pihak melalui pelbagai media. Dalam banyak majlis, acap kali kita akan mendengar jeritan dan pekikan orang ramai dengan slogan “Hidup Mahathir! Hidup Mahathir! Hidup Mahathir!”. Sekarang pula, bila suasana politik sudah berubah, apa sudah terjadi kepada beliau? Mana perginya jeritan dan pekikan semalam?

Gara-gara tindakan kita yang tidak bijak dan tidak waras hari ini, maka amat tidak mustahil anak cucu kita di kemudian hari kelak akan merasa malu bernenek-moyangkan kita. Kita tidak ada dua atau tiga tanah air, melainkan inilah satu-satunya.


No comments: