Saturday, October 21, 2017

Muzium Orang Asli Gombak






Beberapa hari yang lalu, saya berkesempatan untuk mengunjungi Muzium Orang Asli yang terletak di Gombak. Lokasi muzium ini agak jauh sedikit daripada Bandaraya Kuala Lumpur. Suasananya agak sunyi kerana letaknya agak jauh daripada kebisingan ibu kota.

Klik di sini untuk bacaan ringkas mengenai Muzium Orang Asli Gombak

Muzium ini tidaklah besar sangat. Bangunan dua tingkat ini menempatkan sebilangan koleksi, gambar serta beberapa catatan mengenai masyarakat orang asli di negara kita.



Bagi golongan cacat penglihatan pula, tidak ada artifak atau bahan pamiran yang boleh disentuh atau dipegang. Hampir semua barangan yang dipamirkan berada dalam kaca yang berkunci rapi.

(Jasmi kakitangan muzium)


Namun demikian, masih terdapat maklumat yang dimuatkan dalam sebilangan catatan yang dipamirkan. Oleh itu, jika ada “mata yang boleh dipinjam”, kita masih boleh dapat info menerusi pelbagai catatan yang ada. Jika rakan berpenglihatan yang ada bersama kita lebih kreatif sedikit, maka kita boleh mendapat gambaran umum mengenai gambar-gambar yang dipamirkan menerusi ulas pandang yang betul dan berkesan. Demikianlah.

Bersama-sama ini di kongsikan sebilangan foto tentang muzium orang asli berkenaan untuk tatapan, pengetahuan serta maklumat kita bersama.




Sunday, October 8, 2017

Selamat Menduduki PT3




Mulai 9 Oktober (Isnin), murid tingkatan 3 seluruh negara akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Mengikut jadual peperiksaan, PT3 akan berlangsung sehingga Khamis ini. Tahun ini merupakan kali keempat PT3 dilaksanakan. Sebelumnya murid-murid tingkatan 3 menduduki Penilaian Menengah Rendah )PMR).

Kepada semua murid tingkatan 3 seluruh negara, diucapkan selamat menduduki PT3 2017.


Kampung Klang Gate





Kampung Klang Gate terletak di pinggir ibu kota Kuala Lumpur. Walaupun namanya “kampung”, tetapi suasana sekitarnya lebih merupakan kawasan pinggir bandar yang tidak terlepas daripada arus pembangunan dan pemodenan Kuala Lumpur. Sekali pandang, persekitaran kampung ini kelihatan biasa sahaja. Tiada yang menyerlah pada mata yang memandang.

(Masjid Kampung Klang Gate sebelum diruntuhkan)


Namun demikian, ada 3 perkara yang menjadikan Kampung Klang Gate tetap diingati oleh sebilangan orang cacat penglihatan terutamanya yang berusia seperti saya. Perkara pertama ialah Masjid Kampung Klang Gate. Di sinilah tempat murid-murid SMPK Setapak terutama pada dekad 70-an dan 80-an menunaikan solat Jumaat. Satu lagi tempat solat Jumaat yang menjadi tumpuan ketika itu ialah Surau Jumaat Taman Bunga Raya. Ketika itu, murid-murid SMPK Setapak dan juga murid-murid yang sekadar menjadi penghuni asramanya seperti saya lebih gemar untuk solat Jumaat di Masjid Kampung Klang Gate. Ia mudah untuk dikunjungi. Persekitaran masjid pula tidak berliku dan mudah untuk peergerakan jemaah seperti saya.



Untuk pengetahuan semua terutamanya rakan-rakan yang masih ingat dengan Masjid Klang Gate, masjid lama sudah pun diruntuhkan. Tujuannya ialah untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid baru yang lebih besar. Khabarnya masjid berkenaan juga akan dilengkapi dengan sekolah agama. Tempoh pembinaan pula tidak pasti, tetapi menurut salah seorang pekerja pembinaan yang saya temui, ia mungkin akan mengambil masa sekitar 2 tahun.



Untuk itu, satu masjid sementara telah pun disediakan. Lokasinya tidak jauh daripada kawasan masjid lama, iaitu tidak jauh daripada tempat memproses ayam.



Perkara kedua ialah Kampung Klang Gate pernah menjadi tempat tinggal beberapa orang cacat penglihatan bermula pada pertengahan dekad 80-an. Mereka yang mula-mula menyewa rumah di Kampung Klang Gate ialah Amat Onggak, Kamal Majid, Senu Sulaiman (Allahyarham) dan Herbert Koh. Rumah sewaan pertama mereka terletak tidak jauh daripada Masjid Kampung Klang Gate sendiri. Bermula dengan 4 orang ini, beberapa orang yang lain mula datang ke sini sama ada untuk tinggal menetap ataupun datang sekali-sekala untuk bertemu rakan. Antara yang pernah menetap di sini termasuklah Beseri Ahmad (Allahyarham), Fuad Tang (Allahyarham), Samsudin Wahab (Allahyarham), Kadir Sidek, Muhammad Ismail (Kelantan) dan beberapa orang lagi. Saya sendiri sering ke sini terutamanya untuk bertemu rakan-rakan. Acap kali juga saya akan bermalam untuk beberapa hari lamanya. Sewaktu saya sedang menuntut di Universiti Malaya (UM), rumah sewaan rakan-rakan di Kampung Klang Gate merupakan antara tempat yang paling kerap saya kunjungi. Maka itulah kampung ini mempunyai kenangan peribadi tersendiri buat saya.

Saya masih ingat, acap kali juga rumah sewa yang hanya mempunyai 2 bilik sahaja akan dihuni sehingga hampir 20 orang. Kebanyakan mereka adalah penghuni bukan tetap seperti saya. Walaupun sempit, tetapi kami gembira dan ia merupakan detik yang menyeronokkan. Pelbagai telatah dapat disaksikan. Pernah juga satu pagi, tuan rumah datang dan marah-marah dengan kuat hingga boleh didengar oleh jiran-jiran sekeliling. Saya tidak begitu pasti sebab dia marah. Mungkin kerana penghuni yang terlalu ramai atau kerana lambat bayar sewa rumah.

Petempatan golongan cacat penglihatan mula berakhir apabila tuan rumah sewa memberitahu rumah yang kami duduk akan diruntuhkan. Kalau saya tidak silap, ia berlaku pada tahun 1992. Maka masing-masing mula mencari haluan sendiri. Amat Onggak dan beberapa rakan berjaya mencari sebuah rumah sewa di Batu 6, Gombak. Maka bermulalah petempatan di gombak pula. Ada juga yang terus berhijrah ke Brickfields. Petempatan golongan cacat penglihatan di sini pun berakhir selepas 6 tahun lamanya.

Perkara ketiga ialah kedai makan Ujang. Sesiapa yang pernah tinggal atau berkunjung ke Kampung Klang Gate tentu masih ingat dengan Ujang dan kedai makannya. Di kedai makan inilah tempat kami semua menjamu selera pagi dan petang. Maklumlah semua bujang belaka jadi kebarangkalian untuk masak memang amat tipis.

(Saya dan Ujang)


Baru-baru ini, setelah hampir 25 tahun, saya telah pergi semula ke Kampung Klang Gate dan bersarapan di kedai Ujang. Kali ini saya bersarapan bersama isteri dan anak kami. Ujang masih berniaga kedai makan seperti dahulu. Dia masih ingat rupa saya tetapi nama saya dia sudah lupa. Namun demikian, dua nama yang masih diingati Ujang ialah Kadir dan Akir. Saya tidak pasti mengapa dua nama berkenaan masih dalam ingatan beliau. Bila saya tanya tentang Kak Shimah (isterinya), Ujang menjawab “Dia 7 tahun dah tak ada”.

Kampung Klang Gate merupakan sebahagian daripada memori saya ketika di zaman remaja dan ketika masih bujang. Bila diingat dan dikenang, waktu tersebut sebenarnya telah mengajar kami erti persahabatan yang hakiki.


Monday, October 2, 2017

Bangsa Kurdis Ingin Merdeka




Tatkala membelek-belek akhbar di ruang internet, saya tertarik dengan berita daripada The Guardian, “More than 92% of voters in Iraqi Kurdistan back independence”. Sejak dari awal lagi, referendom ini sama sekali tidak diiktiraf oleh kerajaan Iraq. Bahkan keputusan referendom berkenaan dijangka akan mengundang konflik di bahagian wilayah Kurdis yang dikuasai Iraq.

Klik di sini untuk sumber berita

Untuk pengetahuan bersama, wilayah Kurdistan dikuasai oleh beberapa negara. Ia termasuklah Iraq, Turki dan Iran. Ini menyukarkan bangsa Kurdis untuk membebaskan tanah air mereka kerana harus berjuang menentang sekurang-kurangnya 3 buah negara. Manakala perjuangan bangsa Kurds untuk membebaskan tanah air mereka pula sudah berterusan agak lama. Wilayah Kurdis ini pula kaya dengan hasil minyak. Maka itulah hampir mustahil untuk negara-negara berkenaan memberi kemerdekaan kepada bahagian wilayah Kurds yang mereka kuasai. Antara tokoh pejuang Islam silam yang amat terkenal dari bangsa Kurds ialah Salahuddin Al-Aiyubi.

Apa yang sedang berlaku di Kurdistan juga mempunyai iktibar yang tersendiri untuk tanah air kita tetapi dari sudut yang agak berbeza. Struktur negara kita yang berasaskan sistem persekutuan terbahagi pula kepada beberapa buah negeri. Ada antara negeri-negeri berkenaan pula memang kaya dengan hasil minyak. Mudah-mudahan semua negeri yang sedang membentuk Persekutuan Malaysia hari ini akan terus kekal setia bersama Persekutuan Malaysia. Janganlah hanya kerana ada minyak, ada pihak yang ada menyimpan cita-cita untuk membuat referendom sepertimana di wilayah Kurds Iraq.

Sesungguhnya kehilangan kedaulatan bangsa dan negara kita ke atas Singapura dan Pulau Batu Puteh amat terkesan di hati saya.


Kes Anggota TLDM Meninggal Dunia Dan Cedera Jangan Dipandang Remeh




Hari ini kita dikejutkan lagi dengan berita dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera dan dipercayai didera. Pada Jumaat lepas, negara dikejutkan dengan berita kematian 2 orang anggota TLDM ketika dalam bilik tahanan.

Klik di sini untuk sumber berita

Sebagai orang awam, memang saya tidak tahu menahu prosedur yang ditetapkan dalam angkatan tentera, khususnya TLDM. Namun demikian, apabila 2 insiden yang melibatkan kematian dan kecederaan terjadi dalam masa yang singkat, tentulah ada sesuatu yang tidak kena yang telah berlaku.

Kematian dan kecederaan yang berlaku sudah tentulah menimbulkan situasi resah dan gelisah dalam kalangan ahli keluarga. Mereka menyerahkan anggota keluarga mereka untuk memasuki tentera untuk negara dan bukan untuk didera secara percuma. Jika mereka mati atau cedera ketika mempertahan kedaulatan negara, sudah tentulah seluruh ahli keluarga reda dengan apa yang telah berlaku.

Untuk masa yang terdekat, pihak yang berkaitan harus mengkaji semula segala prosedur yang berkaitan bagi mengelakkan insiden yang serupa berlaku lagi. Pastikan agar pisang tidak berbuah dua kali.

Buat masa ini, masih awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai sebab kematian dan kecederaan para anggota TLDM berkenaan. Memang semua pihak harus menyerahkan kepada pihak yang berwajib untuk menjalankan siasatan secara terperinci. Pada masa yang sama, semua pihak amat berharap agar keadilan yang hakiki akan dapat ditegakkan.

Seluruh rakyat dan negara akan merasa sedih dan kerugian jika ada anggota tentera kita mati sebelum berjuang.


Sunday, October 1, 2017

Sambutan Maal Hijrah PERTIS Pahang




Semalam (30 September), majlis sambutan Maal Hijrah peringkat PERTIS Pahang telah berlangsung. Ia telah berlangsung di perkarangan pejabat PERTIS Pahang, Kampung Mambang Brulang, Mentakab, Pahang. Saya telah diundang oleh PERTIS Pahang ke majlis tersebut selaku perasmi. Mulanya saya agak keberatan untuk hadir, maklumlah saya bukan berjawatan lagi dalam PERTIS. Namun demikian, selepas melihat kesungguhan mereka mengundang, akhirnya saya memberi persetujuan untuk menunaikan hajat kawan-kawan di PERTIS Pahang.



Menurut saksi mata, sekitar 40 orang telah menghadiri majlis berkenaan. Istimewanya majlis berkenaan turut diserikan dengan hidangan bubur asyura yang dikacau sendiri oleh para ahli PERTIS Pahang secara bergotong-royong.

(Ustaz Mohd Nor Awang Ngah)


Selain daripada barisan kepimpinan PERTIS Pahang, tetamu lain yang turut hadir ialah Ustaz Mohd Nor Awang Ngah selaku wakil daripada PERTIS Pusat. Ustaz Mohd Nor juga merupakan tenaga pengajar untuk kelas Alquran Braille yang sedang berlangsung di PERTIS Pahang.

Selain daripada siri ucapan aluan dan perasmian, majlis sambutan berkenaan juga turut diserikan dengan ceramah oleh dua orang penceramah iaitu Ustaz Zuhri Jamil daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang serta Ustaz Azfarizan daripada Jabatan Agama Islam Pahang. Kedua-dua penceramah berkenaan menyampaikan ceramah mengenai hijrah serta kaitannya dengan kehidupan hari ini.

(Saya merasmikan majlis)



Dalam ucapan perasmian, saya telah menekankan beberapa keistimewaan yang ada pada ahli PERTIS Pahang. Saya menegaskan iaitu komitmen para ahli PERTIS Pahang selama ini cukup baik terhadap apa juga aktiviti yang dilaksanakan oleh PERTIS Pahang. Ini terbukti dengan jumlah kehadiran yang tidak pernah mengecewakan dalam setiap aktiviti yang dianjurkan. Walaupun para ahli PERTIS Pahang tinggal berjauhan daripada pejabat PERTIS di Mentakab, namun ia bukan halangan untuk mereka hadir. Saya juga turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pelbagai agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan di Pahang kerana telah menghulurkan sokongan serta bantuan kepada PERTIS Pahang tanpa jemu. Mudah-mudahan sokongan serta bantuan yang diberi akan berterusan.

Majlis telah diakhiri dengan jamuan tengah hari. Jamuan ini walaupun secara sederhana tapi ia tetap meriah. Pada waktu inilah saya berkesempatan bertanya khabar dengan kawan-kawan yang agak lama tidak saya temui. Kami sama-sama gembira kerana dapat bertemu lagi. Walaupun saya bukan lagi YDP PERTIS, tetapi sambutan mereka masih seperti dahulu juga.




Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada para ahli serta kawan-kawan di PERTIS Pahang. Budi baik kalian hanya Allah sahaja yang akan membalasnya.