Sunday, October 8, 2017

Kampung Klang Gate





Kampung Klang Gate terletak di pinggir ibu kota Kuala Lumpur. Walaupun namanya “kampung”, tetapi suasana sekitarnya lebih merupakan kawasan pinggir bandar yang tidak terlepas daripada arus pembangunan dan pemodenan Kuala Lumpur. Sekali pandang, persekitaran kampung ini kelihatan biasa sahaja. Tiada yang menyerlah pada mata yang memandang.

(Masjid Kampung Klang Gate sebelum diruntuhkan)


Namun demikian, ada 3 perkara yang menjadikan Kampung Klang Gate tetap diingati oleh sebilangan orang cacat penglihatan terutamanya yang berusia seperti saya. Perkara pertama ialah Masjid Kampung Klang Gate. Di sinilah tempat murid-murid SMPK Setapak terutama pada dekad 70-an dan 80-an menunaikan solat Jumaat. Satu lagi tempat solat Jumaat yang menjadi tumpuan ketika itu ialah Surau Jumaat Taman Bunga Raya. Ketika itu, murid-murid SMPK Setapak dan juga murid-murid yang sekadar menjadi penghuni asramanya seperti saya lebih gemar untuk solat Jumaat di Masjid Kampung Klang Gate. Ia mudah untuk dikunjungi. Persekitaran masjid pula tidak berliku dan mudah untuk peergerakan jemaah seperti saya.



Untuk pengetahuan semua terutamanya rakan-rakan yang masih ingat dengan Masjid Klang Gate, masjid lama sudah pun diruntuhkan. Tujuannya ialah untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid baru yang lebih besar. Khabarnya masjid berkenaan juga akan dilengkapi dengan sekolah agama. Tempoh pembinaan pula tidak pasti, tetapi menurut salah seorang pekerja pembinaan yang saya temui, ia mungkin akan mengambil masa sekitar 2 tahun.



Untuk itu, satu masjid sementara telah pun disediakan. Lokasinya tidak jauh daripada kawasan masjid lama, iaitu tidak jauh daripada tempat memproses ayam.



Perkara kedua ialah Kampung Klang Gate pernah menjadi tempat tinggal beberapa orang cacat penglihatan bermula pada pertengahan dekad 80-an. Mereka yang mula-mula menyewa rumah di Kampung Klang Gate ialah Amat Onggak, Kamal Majid, Senu Sulaiman (Allahyarham) dan Herbert Koh. Rumah sewaan pertama mereka terletak tidak jauh daripada Masjid Kampung Klang Gate sendiri. Bermula dengan 4 orang ini, beberapa orang yang lain mula datang ke sini sama ada untuk tinggal menetap ataupun datang sekali-sekala untuk bertemu rakan. Antara yang pernah menetap di sini termasuklah Beseri Ahmad (Allahyarham), Fuad Tang (Allahyarham), Samsudin Wahab (Allahyarham), Kadir Sidek, Muhammad Ismail (Kelantan) dan beberapa orang lagi. Saya sendiri sering ke sini terutamanya untuk bertemu rakan-rakan. Acap kali juga saya akan bermalam untuk beberapa hari lamanya. Sewaktu saya sedang menuntut di Universiti Malaya (UM), rumah sewaan rakan-rakan di Kampung Klang Gate merupakan antara tempat yang paling kerap saya kunjungi. Maka itulah kampung ini mempunyai kenangan peribadi tersendiri buat saya.

Saya masih ingat, acap kali juga rumah sewa yang hanya mempunyai 2 bilik sahaja akan dihuni sehingga hampir 20 orang. Kebanyakan mereka adalah penghuni bukan tetap seperti saya. Walaupun sempit, tetapi kami gembira dan ia merupakan detik yang menyeronokkan. Pelbagai telatah dapat disaksikan. Pernah juga satu pagi, tuan rumah datang dan marah-marah dengan kuat hingga boleh didengar oleh jiran-jiran sekeliling. Saya tidak begitu pasti sebab dia marah. Mungkin kerana penghuni yang terlalu ramai atau kerana lambat bayar sewa rumah.

Petempatan golongan cacat penglihatan mula berakhir apabila tuan rumah sewa memberitahu rumah yang kami duduk akan diruntuhkan. Kalau saya tidak silap, ia berlaku pada tahun 1992. Maka masing-masing mula mencari haluan sendiri. Amat Onggak dan beberapa rakan berjaya mencari sebuah rumah sewa di Batu 6, Gombak. Maka bermulalah petempatan di gombak pula. Ada juga yang terus berhijrah ke Brickfields. Petempatan golongan cacat penglihatan di sini pun berakhir selepas 6 tahun lamanya.

Perkara ketiga ialah kedai makan Ujang. Sesiapa yang pernah tinggal atau berkunjung ke Kampung Klang Gate tentu masih ingat dengan Ujang dan kedai makannya. Di kedai makan inilah tempat kami semua menjamu selera pagi dan petang. Maklumlah semua bujang belaka jadi kebarangkalian untuk masak memang amat tipis.

(Saya dan Ujang)


Baru-baru ini, setelah hampir 25 tahun, saya telah pergi semula ke Kampung Klang Gate dan bersarapan di kedai Ujang. Kali ini saya bersarapan bersama isteri dan anak kami. Ujang masih berniaga kedai makan seperti dahulu. Dia masih ingat rupa saya tetapi nama saya dia sudah lupa. Namun demikian, dua nama yang masih diingati Ujang ialah Kadir dan Akir. Saya tidak pasti mengapa dua nama berkenaan masih dalam ingatan beliau. Bila saya tanya tentang Kak Shimah (isterinya), Ujang menjawab “Dia 7 tahun dah tak ada”.

Kampung Klang Gate merupakan sebahagian daripada memori saya ketika di zaman remaja dan ketika masih bujang. Bila diingat dan dikenang, waktu tersebut sebenarnya telah mengajar kami erti persahabatan yang hakiki.


No comments: