Sunday, May 31, 2009

Bicara Isu

Sesuaikah Chin Peng Kembali Ke Malaysia?

 

            Satu persoalan yang ditimbulkan sejak akhir-akhir ini ialah sama ada sesuai atau tidak bekas ketua pengganas komunis yang bertunjangkan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk kembali ke Malaysia.  Setelah melalui proses perundangan, usaha Chin Peng untuk kembali ke Malaysia nampaknya telah gagal.  YAB Dato' Seri Perdana Menteri juga telah menegaskan bahawa Chin Peng tidak mungkin dibenarkan untuk kembali semula ke Malaysia.  Pelbagai organisasi yang berkaitan dengan pasukan keselamatan juga senada dengan kedua-dua pihak tadi iaitu tidak rela melihat Chin Peng kembali ke Malaysia.

 

            Namun begitu, masih ada pihak-pihak tertentu di negara ini yang masih menyuarakan agar Chin Peng dibenarkan untuk kembali semula ke Malaysia atas dasar perikemanusiaan.  Menurut pihak berkenaan, Chin Peng sudah berusia lanjut dan tidak mempunyai kemampuan untuk membahayakan keselamatan tanah air.  Lagi pun, era komunisme telah pun berakhir.  PKM telah meletakkan senjata dan PKM sendiri telah pun dibubarkan.  Demikian pandangan pihak-pihak yang berkaitan.

 

            Dalam isu ini, saya amat menyokong penuh pendirian kerajaan sebagaimana yang telah ditegaskan oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak iaitu Chin Peng tidak akan dibenarkan untuk pulang ke Malaysia.  Biarlah Chin Peng menghabiskan sisa-sisa hidupnya di tempat di mana dia berada sekarang.  Sekarang adalah masanya untuk beliau merasai hasil tuaian daripada benih busuk yang beliau sendiri telah tanam berpuluh-puluh tahun lalu.

 

            Sejarah kesangsaraan dan kekejaman Chin Peng dan Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap sebahagian besar rakyat Malaysia tidak mungkin akan terpadam walau sehuruf pun hanya kerana beliau (Chin Peng) telah tua, tidak berdaya atau sebagainya.  Sesungguhnya tidak ada bahasa dan tinta yang mampu untuk menjelaskan betapa sengsaranya rakyat Malaysia akibat kekejaman, kezaliman serta ketidakperimanusiaan yang telah dilakukan oleh Chin peng dan PKM selama bertahun-tahun gara-gara ingin mendirikan kerajaan komunis di Tanah Melayu secara paksaan.  Sebenarnya tidak ada statistik tepat mengenai jumlah penduduk Tanah Melayu yang telah terkorban dan menjadi mangsa akibat kekejaman dan kezaliman PKM dan Chin Peng.

 

            Ada juga orang yang cuba berhujah dengan saya dengan berkata, bukankah Tuhan itu maha menerima taubat, mengapa kita (kerajaan) enggan memberi dia (Chin Peng) peluang terakhir.  Lagipun, bukankah pintu taubat tetap terbuka selagi nyawa tidak sampai di ghargharah atau selagi matahari tidak terbit di sebelah barat.  Saya menjawab, Bagaimana Tuhan akan menerima taubat daripada orang seperti Chin Peng kerana dia dan ideologinya sendiri tidak percaya kepada kewujudan Tuhan.

 

            Saya merasa pelik dan hairan, kerana masih ada lagi dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih bersimpati dengan sipengganas tua itu.  Saya rasa, walaupun kita tidak merasai kekejaman dan kezaliman angkara PKM, tetapi kita harus menaruh simpati yang sedalam-dalamnya kepada mereka yang pernah merasai dan mengalami sendiri kekejaman dan kezaliman PKM dan Chin Peng.  Cari dan selongkarlah dalam lembaran sejarah, tiada sebesar zarrah pun kebaikan yang pernah dilakukan oleh komunisme di negara kita.  Bahkan yang terpapar dan terpamir hanya kekejaman dan kezaliman PKM dan kesangsaraan penduduk Tanah Melayu/Malaysia gara-gara ketidaktamadunan Chin Peng dan PKM.

 

            Dengan itu, sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa pendirian kerajaan tidak membenarkan Chin Peng untuk kembali ke Malaysia seharusnya disokong dan didokong oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.  Kita harus ingat, kekejaman komunis masa lampau juga tidak mengira bangsa, agama atau fahaman politik.  Bagi mereka (PKM), sesiapa yang bukan komunis adalah musuh yang perlu dihapuskan.

 

            Bersimpati dengan Chin Peng, bermakna bersimpati dengan ideologi komunis.  Membawa pulang Chin Peng bermakna kita membawa pulang bala dan petaka ke negara tercinta ini.

 

Salam dari Kuantan.

 

Friday, May 22, 2009

Ucapan Takziah

Takziah Untuk Keluarga Adun Manik Urai

 

            Lebih kurang jam 9.30 pagi, seorang rakan memberitahu bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri Manik Urai, Haji Ismail Yaakub telah kembali ke rahmatullah subuh pagi tadi.  Saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.  Semoga Allahyarham akan ditempatkan dalam kalangan mereka yang solihin …. aamin.

 

            Dengan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham tersebut, maka satu pilihanraya kecil tidak dapat dielakkan lagi.  Ini bermakna, kita dan seluruh rakyat Malaysia akan menyaksikan pilihanraya kecil kali ketujuh bakal diadakan selepas Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 lalu.

 

            Setakat ini, setelah 5 pilihanraya kecil berlalu dan yang keenam mungkin akan berlaku jika ada pertandingan, serta yang ketujuh yang akan berlaku, 4 daripadanya adalah disebabkan kematian dan 3 lagi disebabkan oleh perletakan jawatan penyandangnya.  Pilihanraya kecil disebabkan kematian ialah di Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, Dun (Sarawak) Batang-Ai dan yang terbaru DUN (Kelantan) Manik Urai (jika ada pertandingan).  Manakala pilihanraya kecil yang harus diadakan kerana perletakan jawatan penyandangnya ialah di Parlimen Permatang Pauh, DUN (Kedah) Bukut Selambau dan DUN (Pulau Pinang) Penanti (jika ada pertandingan).

 

 

Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

 

            Bersempena dengan sambutan Hari Guru pada hari ini, 16 Mei, saya dengan penuh takzim dan tulus ikhlas ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru saya sejak dari SK Masjid Baru, Princess Elizabeth School (PES) JB, St. John's Institution KL serta para pensyarah di Universiti Malaya dan ketika saya menyempurnakan KPLI di Maktab Perguruan Raja Melewar (MPRM) Seremban.  Tanpa ilmu yang saya terima dari cikgu/prof, rasanya tidak mungkin saya boleh berada di tempat di mana saya berada sekarang.  Walaupun hari ini saya juga sudah bergelar "cikgu", namun saya tidak mungkin mampu untuk menyaingi apatah lagi mengatasi segala kelebihan, ketinggian, kemuliaan serta martabat cikgu/prof yang pernah mencurah ilmu kepada saya dari dunia sampai akhirat.

 

            Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan selamat hari guru kepada seluruh warga pendidik serta seluruh rakan sejawat walau di mana kalian berada.

 

            Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang telah memberi ucapan selamat hari guru kepada saya sama ada menerusi SMS, email, lisan atau sebagainya.

 

Selamat hari guru semua.

 

Friday, May 15, 2009

Bicara Politik

Bibit-bibit Rasuah Dalam PAS: Sekadar Ulasan

 

            Saya tidaklah begitu terkejut bila membaca dalam satu laman blog bahawa konon khabarnya PAS juga sudah mula ditempiasi dengan bibit-bibit rasuah.  Selain daripada memetik kenyataan daripada Ketua Dewan Ulama PAS,  penulis Blog berkenaan turut menyisip 2 lagi peristiwa yang boleh dikaitkan dengan bibit-bibit rasuah dalam PAS.  Saya bersetuju dengan penulis blog berkenaan iaitu oleh kerana kenyataan sedemikian telah diperkatakan oleh ketua Dewan Ulamak, maka ia merupakan sesuatu yang harus dipandang serius.  Untuk tatapan lanjut, sila klik di sini dan lihat posting bertarikh 14 Mei 2009.

 

            Saya mempunyai keyakinan walaupun tidak setinggi mana bahawa bibit-bibit rasuah dan politik wang sudah mula menempiasi PAS.  Pokok tidak akan bergoyang kalau tidak ditiup angin.  Kalau tidak ada apa-apa, tempua tidak akan berani bersarang rendah.  Tanpa bukti nyata, sang blogger tidak akan berani menulis dalam blognya.  Lagi pun, sebelum ini pun, saya pernah mendengar bibit sedemikian tidak berapa lama dahulu tapi ia hanya khabar dari kejauhan yang sekadar bertiup sepoi-sepoi membisikkan berita.

 

            Selama ini antara modal berbisa yang digunakan oleh PAS untuk melanyak UMNO ialah mengenai rasuah dan politik wang.  Dalam UMNO, rasuah dan politik wang bukan rahsia lagi.  Hari ini, para pemimpin UMNO sedang "berhempas-pulas" untuk menghapuskan gejala rasuah dan politik wang yang sedang melanda parti tersebut.  Bahkan, gara-gara rasuah dan politik wang jugalah antara penyebab utama mengapa UMNO hari ini kian lemah dan semakin tidak disukai khasnya oleh orang Melayu sendiri.

 

            UMNO adalah sebuah parti politik yang besar.  Keahliannya kini sudah mencecah sekitar 3 juta orang.  UMNO sudah lama berada di tampuk kekuasaan politik dan pemerintahan negara.  UMNO telah melalui perjalanan kisah yang berliku.  Kitab sejarahnya pula penuh dengan pelbagai warna dan warni.  UMNO turut telah melahirkan sebilangan bangsawan UMNO yang tidak pernah merasai pengalaman pahit getir perjuangan para pengasasnya.  Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan bilamana gejala rasuah dan politik wang telah melanda dan membarah dalam parti tersebut.  Pada tahap ini, setidak-tidaknya, para pemimpin UMNO telah sedar dan amat mengetahui virus R yang sedang melanda partinya.  Justeru, setidak-tidaknya mereka (para pemimpin UMNO) sedang "berusaha" untuk mengubati dan membanteras virus R tersebut.  Jika usaha mereka ini serius dan ikhlas serta tidak memilih bulu, maka jangat terkejut suatu hari nanti UMNO akan bersih semula daripada gejala rasuah dan politik wang …. Mungkin!  Kalau ini menjadi realiti, jangan terperanjat jika suatu hari nanti UMNO akan kembali gah semula seperti dahulu …. Mungkin!

 

            Dari aspek pengalaman politik dan pemerintahan negara, PAS tidaklah sehebat UMNO.  Satu-satunya negeri yang lama dikuasi oleh PAS ialah Kelantan.  Manakala di Terengganu pula, PAS pernah bangun, jatuh, bangun dan jatuh di situ.  Hanya selepas Pilihanraya Umum ke-12 tahun lalu, barulah nampak PAS mula menyerlah.  Tiga buah negeri bermenteribesarkan orang PAS.  PAS juga telah mula mendapat tempat di negeri-negeri yang dahulunya dianggap sebagai the heartland of UMNO.  Walau bagaimanapun, hakikatnya ialah dari aspek pengalaman dan pencapaian, PAS masih belum mampu untuk menyaingi kehebatan UMNO.

 

            Adalah amat malang sekali, jika ketika ini, tatkala pengalaman dan pencapaian PAS masih belum sempat disukat, ia sudah mula dikaitkan dengan gejala rasuah dan politik wang.  Perebutan jawatan walaupun atas nama pertandingan dan demokrasi sudah mula rancak.  Ahli-ahli PAS pula sudah mula dimazhabkan kepada golongan ulamak dan golongan profesional.  Dalam soal jawatan dan pertandingan, ia berlaku seolah-olah mereka yang terbabit semacam tidak beristikharah dan meminta petunjuk dari Allah sama ada mereka sebenarnya layak bertanding atau tidak.  Saya bersetuju, iaitu orang yang mampu untuk memberi rasuah ialah terdiri daripada mereka yang mempunyai sumber kewangan yang besar dan juga ada kuasa sama ada dalam parti mahupun dalam pentadbiran negeri.  Ingatlah, tiga perkara yang sering membuatkan ahli/parti politik kecundang ialah harta, kuasa dan wanita.  Jika benar rasuah dan politik wang sudah mula membibit dan berputik dalam PAS, maka saya yakin usia PAS di tampuk kekuasaan tidak akan selama mana.  Silap percaturan, bukan sahaja usia di tampuk kekuasaan tidak panjang, mungkin Kelantan pula yang terlepas dari gemgaman gara-gara gejala rasuah dan politik wang.  Sekiranya pemimpin/ahli PAS gagal belajar dari sejarah paarti lain, kalian pasti akan dihukum dengan mengalaminya sebagaimana yang sedang dialami oleh parti lain itu.  Jangan sampai dikatakan orang nanti, mengata dulang paku serpih, mengata UMNO PAS yang lebih.

 

Kepada para pemimpin PAS, besarlah harapan saya semoga jika benar gejala rasuah dan politik wang sudah mula membibit, cegahlah ia dari awal.  Jangan tunggu sampai nasi sudah menjadi bubur atau sudah hujan baru nak cari payung.  Ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

 

            Firman Allah yang antara lain mafhumnya: "Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman" (ayat 55, Surah Az-Zariat (surah ke-51), juzuk 27).

 

Wednesday, May 13, 2009

Menungan Malam

Hanya Kerana Nak Cepat Kaya

 

            Sekitar jam 9.20 malam tadi (12 Mei), seorang rakan menelefon saya.  Katanya, dia ingin berjumpa saya.  Tiada perkara yang serius, hanya ingin berbual-bual sahaja.  Saya bersetuju.  Mulanya saya mengajak beliau dan isterinya datang sahaja ke rumah saya.  Lebih kurang 10 minit kemudian, mereka berdua pun tiba.  Setelah masuk ke rumah dan berbual seketika, rakan saya itu terus mengajak saya pula ke kopitiam yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah saya.  Saya dan isteri bersetuju sahaja.  Rakan saya ini seorang kakitangan kerajaan dan berjawatan tinggi.  Saya suka bersahabat dengannya kerana beliau seorang yang low profile.  Walau bagaimanapun, dalam hati tetap curiga.  Tentu ada perkara serius yang hendak dibincangkan dengan saya.

 

            Di kopitiam, setelah masing-masing memesan makanan dan minuman, bual bicara pun bermula.  Rupa-rupanya rakan saya itu ingin membincangkan perkara berkaitan dengan NGO yang mana saya selaku Naib Yang Dipertuanya.  Perkara yang diperbincangkan agak besar juga tetapi suasana perbincangan biasa sahaja.  Setelah kata putus diperolehi, barulah kami beralih ke topik yang lain pula.  Waktu ini barulah isteri saya dan isteri rakan saya berkesempatan untuk ikut serta dalam perbualan.

 

            Kami berbual mengenai skim cepat kaya yang sudah sebati dalam masyarakat.  Namanya pelbagai.  Walau apa pun nama yang diberi, ia tetap merupakan skim cepat kaya.

 

            Rakan saya memberitahu, mungkin salah satu penyebab bapanya jatuh sakit hingga sekarang ialah kerana terlibat dengan pelaburan skim cepat kaya.  Katanya lagi, penglibatan bapanya itu di luar pengetahuannya.  Setelah segalanya berlaku dan berlalu, barulah ia dimaklumkan kepada rakan saya itu.  Apa nak buat, nasi dah jadi bubur.  Katanya lagi, bapanya ada menjual sebidang tanah dengan harga sekitar RM 30 ribu.  Apabila pihak berkenaan mengetahui mengenai penjualan tersebut, bapanya terus didekati dan diperkenalkan dengan skim cepat kaya.  Pelbagai cara dan kaedah digunakan untuk memujuk bapanya supaya menggunakan wang yang baru beliau perolehi hasil jualan tanah itu untuk dilaburkan dalam skim tersebut.  Akhirnya, bapanya termakan pujuk juga.  Walau bagaimanapun, pelaburan bapanya hancur begitu sahaja.  Mungkin kerana tekanan perasaan, maka bapanya telah jatuh sakit.  Maklumlah bagi orang kampung waktu itu wang RM 30 ribu bukan sedikit nilai dan maknanya.

 

            Menurut sumber dan cerita, dalam kalangan guru juga ramai yang terlibat dengan pelaburan skim cepat kaya.  Satu kisah di sebuah sekolah, seorang guru telah meminjam wang dari rakan-rakan sejawatnya demi untuk mencukupkan jumlah pelaburan yang diperlukan.  Jumlahnya bukansedikit, kononnya mencecah hampir RM 40 ribu.  Para pelabur dijanjikan dengan pulangan yang cepat dan tetap setiap bulan.  Walau bagaimanapun, pelaburan itu juga telah menemui kehancuran.  Lebih malang lagi, guru berkenaan terpaksa menanggung hutang dengan rakan-rakan sejawatnya.  Pada masa yang sama, rakan-rakannya tetap menuntut pulangan sebagaimana yang telah dijanjikan.  Bukan sahaja pelaburan hancur, malah hubungan silatul rahim juga turut tergugat gara-gara skim cepat kaya.

 

            Di sekolah yang lain pula, seorang guru telah diberhentikan gara-gara terlibat dengan pelaburan skim cepat kaya.  Konon ceritanya, guru itu diberhentikan kerana lama tidak hadir di sekolah.  Guru berkenaan sangat asyik dengan mencari orang lain sebagai orang bawahannya.  Khabarnya, guru berkenaan tidaklah sesenang mana dan orang bawahannya pula tidaklah seuntung mana.

 

            Di sebuah sekolah yang lain pula, seorang guru kerjanya hanya mencari orang sebagai pelabur.  Nama skim yang dipromosikan sering bertukar.  Mula-mula skim A.  Setelah beberapa ketika, skim berkenaan pun diharamkan oleh Bank Negara.  Maka guru berkenaan pun perkenalkan pula skim B.  Hal yang sama juga terjadi.  Maka guru berkenaan pun perkenalkan pula skim C.  Itu pun masih ada yang melabur.  Pelaburnya pula ramai dalam kalangan guru.  Yang peliknya, mengapa golongan guru juga boleh terlibat dengan skim cepat kaya?  Bukankah sudah banyak kisah kehancuran yang melibatkan skim cepat kaya.  Mengapa ia masih tidak cukup memberi pengajaran dan teladan?

 

            Memang ada mereka yang kaya-raya hasil skim cepat kaya, tetapi jika diteliti, mereka yang kaya ini terdiri daripada golongan yang berada pada hierarki atas sahaja.  Mereka yang masih di bawah seringkali rugi dan seakan ditipu.

 

            Kalau hendak diceritakan mengenai kisah ini memang terlalu banyak.  Namun begitu, yang pentingnya ialah sejauh mana kita berupaya mengambil iktibar daripada kehancuran dan malang yang telah menimpa mereka yang terlibat dengan skim yang tidak berfaedah ini.  Oleh kerana kita masih gagal mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku, maka tidak hairanlah jika sebilangan kita masih dihukum dengan kerugian yang hampir sama pada hari ini.  Oleh kerana kita masih gagal belajar dari sejarah, maka sejarah tidak akan jemu untuk mengajar kita.

 

            Berniaga tidak salah, bahkan digalakkan dalam Islam.  Bahkan hadith sahih menjelaskan yang antara lain mafhumnya, 9 daripada 10 rezeki datangnya daripada perniagaan.  Walau bagaimanapun, perniagaan/pelaburan yang hendak dilaksanakan hendaklah yang halal, benar, jelas dan tidak bersifat atas angin.  Jangan sekali-kali mencari keuntungan di atas kerugian orang lain.

 

            Lebih kurang jam 10.45 malam, kami pun beredar pulang meninggalkan kopitiam dengan seribu satu kisah yang harus diteladani.

 

Monday, May 11, 2009

Bicara Politik

Kemelut Politik Perak: Sekadar Satu Pandangan

 

            Hari ini, 11 Mei 2009, sekitar jam 2.50 petang, Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-kuasa Khas Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Dato' Seri IR Muhammad Nizar Jamaluddin adalah menteri besar Perak yang sah.  Mahkamah turut menolak permintaan peguam Dato' Seri Dr. Zamri Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan sementara beliau (Zamri) mengemukakan rayuan.  Ini bermakna, selama ini Dato' Seri Muhammad Nizar merupakan menteri besar Perak yang sebenar.  Saya tidaklah berhasrat untuk mengulas kedudukan Dato' Seri Dr. Zamri Abdul Kadir selama ini.

 

            Walau bagaimanapun, ada persoalan yang lebih besar yang perlu kita sama-sama teliti.  Adakah dengan keputusan mahkamah hari ini, ia bermakna kemelut politik di Perak sudah berakhir?  Keputusan mahkamah hari ini mungkin akan menggembirakan sebilangan rakyat Perak khasnya, dan rakyat Malaysia amnya.  Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu jaminan bahawa kerusi menteri besar yang telah "dipulangkan kembali" kepada Dato' Seri Muhammad Nizar telah selamat.  Ini bermakna kedudukan Dato' Seri Muhammad Nizar selaku menteri besar tak ubah umpama telur di hujung tanduk.  Otak Dato' Seri Dr. Zamri Abdul Kadir pasti sedang berputar ligat sekarang untuk merangka langkah dan strategi selanjutnya.  Sementara itu, YAB Dato' Seri Najib Tun Razak, selaku presiden UMNO telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO akan membuat rayuan secepat mungkin di atas keputusan mahkamah hari ini.

 

            Sementara itu, Dato' Seri Muhammad Nizar turut menyatakan hasratnya untuk mengadap sultan Perak secepat mungkin bagi memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak.  Ini bermakna, jika permohonan beliau mendapat perkenan sultan, satu pilihanraya peringkat negeri Perak pasti akan diadakan.

 

            Adakah pembubaran DUN Perak sebagai kaedah penyelesaian kemelut yang sedang melanda boleh diterima oleh UMNO/BN?  Saya merasakan UMNO/BN sendiri tidak yakin untuk menghadapi pilihanraya buat masa ini.  Ura-ura UMNO/BN untuk tidak bertanding dalam pilihanraya kecil di DUN Penanti menguatkan lagi hujah ini.  Justeru, saya merasakan UMNO/BN akan memohon perkenan sultan Perak untuk mengadakan sesi khas DUN Perak yang bertujuan untuk membawa usul tidak percaya terhadap Dato' Seri Muhammad Nizar selaku menteri besar.  Dalam hal ini, UMNO/BN mempunyai kelebihan kerana di samping mempunyai 28 kerusi (sama banyak dengan jumlah kerusi yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat), tetapi buat masa ini UMNO/BN mendapat sokongan 3 kerusi lagi daripada ADUN bebas.  Ini bermakna, UMNO/BN masih berpeluang untuk menerajui semula kerajaan Perak dan Dato' Seri Dr. Zamri Abdul Kadir masih berpeluang untuk mendapatkan semula kerusi menteri besar.  Sepatutnya cara inilah yang harus digunakan oleh UMNO/BN sejak awal lagi supaya kuasa pemerintahan dapat diambil dengan cara yang lebih sopan dan terhormat, bukannya dengan cara gopoh yang hanya menyerlahkan lagi temelang sebenar UMNO/BN.

 

            Walaupun mungkin UMNO/BN akan mendapat kembali menguasai kerajaan Perak dan kerusi menteri besar menerusi undi tidak percaya, namun ia juga tidak menjamin kemelut politik Perak akan berakhir.  Jumlah kerusi yang dipunyai Pakatan Rakyat masih besar dan pada hakikatnya mampu untuk menggugat kerajaan yang diterajui UMNO/BN pada bila-bila masa.  Hal ini tidak mustahil kerana UMNO/BN telah melakukannya dan ia bakal jadi ikutan pula kepada pihak lain untuk melakukan perkara yang sama, Cuma mungkin kaedahnya sahaja yang berbeza.  Ini bermakna, di peringkat ini kemelut politik yang sedang melanda Perak belum menemui noktahnya.  Lagipun, saya percaya kebanyakan pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat di Perak berkeyakinan jika pilihanraya diadakan semula khususnya di kawasan DUN yang kini diwakili oleh wakil-wakil bebas, kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat.

 

            Sebaliknya jika DUN Perak dibubarkan dan pilihanraya diadakan, maka semua pihak pasti akan menghormati dan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat tanpa mengira siapa yang akan menang asalkan pilihanraya itu nanti dijalankan secara adil dan tanpa pengundi ghaib.  Oleh itu, setakat ini, saya berpendapat, kaedah terbaik untuk menamatkan kemelut politik yang sedang melanda Perak ialah dengan membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya.  Biarlah rakyat yang menjadi hakim dan penentu.  Hari ini semua orang boleh bercakap apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan rakyat, tetapi belum pasti lagi apa yang dilakukan itu benar-benar direstui oleh rakyat atau sebaliknya.  Jika kita benar-benar ikhlas bekerja untuk rakyat, maka dalam usaha untuk mengakhiri kemelut ini, serahkanlah kepada rakyat untuk membuat keputusan terbaik.  Sebagai golongan yang berfikiran matang, apa-apa yang telah diputuskan rakyat hendaklah diterima dengan hati terbuka.  Hanya orang yang tidak bertamadun sahaja yang gemar menolak dan menafikan keputusan rakyat.

 

Friday, May 1, 2009

Kisah Dan Teladan

Ini Kecuaian Siapa?

 

            Beberapa hari yang lalu, saya telah menghadiri satu mesyuarat di sebuah hotel yang agak ternama di Kuala Lumpur.  Antara rakan-rakan lain yang turut menghadiri mesyuarat tersebut ialah Cikgu Saifuddin yang mewakili Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dan En. Silatul Rahim yang mewakili Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).  Mesyuarat tersebut telah berlangsung selama dua hari.

 

            Saya telah checked in pada tengah hari hari pertama mesyuarat.  En. Silatul Rahim telah pun checked in lebih awal sedikit.  Begitu juga dengan Cikgu Saifuddin.  Sewaktu saya mendaftar di kaunter hotel, pihak berkenaan meletakkan saya sebilik dengan En. Silatul rahim.  Saya tiada masalah walaupun sesama buta.  Walau bagaimanapun, seorang kakitangan di kaunter memberitahu bilik yang telah diberi kepada En. Silatul Rahim sudah pun dihuni oleh orang lain lebih awal dan En. Silatul Rahim terpaksa dipindahkan ke bilik yang lain.  Oleh kerana saya baru hendak mendaftar, akhirnya saya dan En. Silatul Rahim pun diberi bilik yang lain yang terletak di antara tingkat yang hampir paling atas.  Itu tidak langsung menjadi masalah kepada kami.  Pihak kaunter terus menghubungi En. Silatul Rahim untuk urusan pindah bilik.

 

            Setibanya En. Silatul Rahim di kaunter, beliau memberitahu telah pun masuk ke bilik yang diberi oleh pihak hotel pagi tadi dan beliau memang mendapati sudah ada barang orang lain di bilik tersebut.  Walau bagaimanapun, beliau tetap meninggalkan beg pakaiannya dalam bilik tersebut.  Setelah kami meminta penjelasan daripada pihak kaunter, akhirnya kami diberitahu nama orang yang telah menghuni bilik tersebut lebih awal.  Masha Allah, saya memang kenal dengan nama itu.  Beliau ialah Timbalan Pengarah yang juga merupakan pengerusi mesyuarat.  Hairan, bagaimana pihak kaunter boleh memberi En. Silatul Rahim bilik yang telah pun dihuni oleh orang lain?  Walau bagaimanapun, saya tidak berhasrat untuk campur tangan lebih jauh.  Lagi pun, itu masalah pihak hotel.  Memadailah bila kami sudah dapat bilik yang betul.

 

            Setelah mendapat kunci (yang berbentuk kad), saya dengan ditemani oleh En. Ahmad Bustamam (penolong pengarah dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian pelajaran Malaysia) pun terus ke bilik yang telah diberikan kepada saya dan En. Silatul Rahim untuk dihuni.  Sementara itu, En. Silatul Rahim dengan ditemani oleh En. Aliodin (penolong pengarah dari Bahagian Buku Teks, Kementerian pelajaran Malaysia) ke bilik asal En. Silatul Rahim untuk mengambil beg pakaiannya untuk dipindahkan ke bilik yang baru.

 

            Setelah saya tiba di bilik dan setelah en. Ahmad Bustamam berpuas hati dengan keadaan dalam bilik, En. Ahmad Bustamam pun kembali ke biliknya yang terletak selang sebilik dengan bilik saya.  Tidak berapa lama kemudian, Cikgu Saifuddin pun datang dan sudah tentu saya persilakan beliau masuk.  Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan telefon daripada En. Aliodin untuk mendapat kepastian mengenai nombor bilik yang telah ditetapkan untuk saya dan En. Silatul Rahim.  Setelah saya memaklumkan nombor bilik, En. Aliodin memberitahu nombor bilik yang tercatat pada kunci (kad) yang diberi oleh pihak kaunter berbeza dengan nombor bilik yang telah ditetapkan untuk saya dan en. Silatul Rahim.  Walau bagaimanapun, En. Aliodin dan En. Silatul Rahim telah ke bilik yang tercatat nombornya pada kunci yang mereka dapat dan mendapati dalam bilik tersebut penuh dengan barangan orang lain.  Ini bermakna bilik tersebut sudah pun ada penghuninya.  Nasib baik juga penghuni bilik berkenaan tiada di biliknya ketika itu.  Saya segera menyuruh En. Aliodin membawa En. Silatul Rahim ke bilik yang telah ditetapkan untuk saya dan En. Silatul Rahim dan masalah kunci akan kita selesaikan kemudian.

 

            Setelah menghantar En. Silatul Rahim ke bilik yang betul, kemudian En. Aliodin pun kembalilah ke biliknya.  Maka tinggallah saya, En. Silatul Rahim dan Cikgu Saifuddin dalam bilik kami.  Sewaktu sedang berbual dan berehat, tiba-tiba muncul seorang wanita dan terus bertanya, "buat apa dalam bilik saya ni?"  Kami bertiga terkejut.  Kami memberitahu ini bilik kami dan pihak kaunter yang memberi kunci bilik ini kepada kami.  Lagi pun, kalau tanpa kunci bagaimana mungkin kami boleh masuk ke dalam bilik ini?  Wanita tersebut merupakan salah seorang urus setia mesyuarat.  Kami kenal beliau dan beliau juga kenal kami.  Beliau memberitahu, beliau telah pun masuk ke bilik ini pada awal pagi tadi.  Oleh kerana beliau merupakan antara penganjur mesyuarat, kami meminta jasa baik beliau untuk menguruskan hal itu hingga selesai.  Beliau tenpa membuang masa terus menghubungi kaunter dengan meminta penjelasan.  Marah juga beliau.  Akhirnya pihak kaunter berjanji akan menyelesaikan masalah itu segera.  Rasa kesal yang amat sangat jelas kedengaran dari suara dan rungutannya.  Walau bagaimanapun, wanita tersebut memberitahu beliau tidak marah kepada kami bertiga kerana telah "menceroboh" ke biliknya, tapi kepada pihak hotel.  Nasib baik juga sewaktu beliau datang ke biliknya kami bertiga yang ada.  Kalaulah ketika itu hanya salah seorang daripada kami sahaja yang ada dan dalam keadaan yang tidak sesuai untuk dipandang oleh orang lain, bagaimana?

 

            Akhirnya pihak hotel telah menghantar kunci bilik yang lain kepada kami.  Kami bertiga pun ke bilik berkenaan.  Malangnya kami mendapati sudah ada penghuni lain pula.  Penghuni berkenaan memberitahu mereka hanya tumpang solat sahaja.  Itu tidak menjadi masalah kepada kami, tetapi yang dimusykilkan, bagaimana beberapa orang boleh mempunyai kunci bilik yang sama?  Setelah mereka selesai solat, kami pun masuklah ke bilik tersebut.  Lagi sekali malang kerana bilik airnya tersumbat pula.  Seorang kakitangan yang menghantar kunci tadi berjanji akan menyelesaikan masalah itu dengan segera.  Kami bersetuju sahaja.  Lagipun waktu untuk sesi mesyuarat sebelah petang sudah hampir.  Sewaktu sedang bermesyuarat, seorang urus setia memberi kunci bilik kepada saya dan memberitahu pihak hotel memaklumkan kepadanya masalah bilik air sudah selesai.  Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya menginap di hotel ini, tetapi ini kali pertama saya mengalami masalah sebegini di hotel yang agak ternama seperti hotel ini.  Walau apa pun alasannya, peristiwa dan masalah yang saya telah alami tetap tidak memberikan kepuasan dan keselesaan kepada penghuni seperti saya.

 

            Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa yang saya dan rakan-rakan alami seperti di atas.  Bilik hotel memang tidak selamat.  Jangan simpan barang-barang berharga dalam bilik.  Kalau kaunter tidak mahu menyimpan barang-barang berharga, eloklah dibawa sahaja ke mana kita pergi walaupun ia akgak tidak menyelesakan.  Kalau tinggal seorang diri dalam bilik hotel, lebih selamat kalau diselak pintunya.  Memang tidak mustahil jika beberapa orang boleh memiliki kunci yang sama untuk satu bilik.  Ingat!  Jangan sudah terhantuk, baru nak tengadah.

 

Inilah yang dikatakan orang "banyak berjalan, luas pengalaman".