Kemelut Politik Perak: Sekadar Satu Pandangan
Hari ini, 11 Mei 2009, sekitar jam 2.50 petang, Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-kuasa Khas Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Dato' Seri IR Muhammad Nizar Jamaluddin adalah menteri besar Perak yang sah. Mahkamah turut menolak permintaan peguam Dato' Seri Dr. Zamri Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan sementara beliau (Zamri) mengemukakan rayuan. Ini bermakna, selama ini Dato' Seri Muhammad Nizar merupakan menteri besar Perak yang sebenar. Saya tidaklah berhasrat untuk mengulas kedudukan Dato' Seri Dr. Zamri Abdul Kadir selama ini.
Walau bagaimanapun, ada persoalan yang lebih besar yang perlu kita sama-sama teliti. Adakah dengan keputusan mahkamah hari ini, ia bermakna kemelut politik di Perak sudah berakhir? Keputusan mahkamah hari ini mungkin akan menggembirakan sebilangan rakyat Perak khasnya, dan rakyat
Sementara itu, Dato' Seri Muhammad Nizar turut menyatakan hasratnya untuk mengadap sultan Perak secepat mungkin bagi memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak. Ini bermakna, jika permohonan beliau mendapat perkenan sultan, satu pilihanraya peringkat negeri Perak pasti akan diadakan.
Adakah pembubaran DUN Perak sebagai kaedah penyelesaian kemelut yang sedang melanda boleh diterima oleh UMNO/BN? Saya merasakan UMNO/BN sendiri tidak yakin untuk menghadapi pilihanraya buat masa ini. Ura-ura UMNO/BN untuk tidak bertanding dalam pilihanraya kecil di DUN Penanti menguatkan lagi hujah ini. Justeru, saya merasakan UMNO/BN akan memohon perkenan sultan Perak untuk mengadakan sesi khas DUN Perak yang bertujuan untuk membawa usul tidak percaya terhadap Dato' Seri Muhammad Nizar selaku menteri besar. Dalam hal ini, UMNO/BN mempunyai kelebihan kerana di samping mempunyai 28 kerusi (sama banyak dengan jumlah kerusi yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat), tetapi buat masa ini UMNO/BN mendapat sokongan 3 kerusi lagi daripada ADUN bebas. Ini bermakna, UMNO/BN masih berpeluang untuk menerajui semula kerajaan Perak dan Dato' Seri Dr. Zamri Abdul Kadir masih berpeluang untuk mendapatkan semula kerusi menteri besar. Sepatutnya cara inilah yang harus digunakan oleh UMNO/BN sejak awal lagi supaya kuasa pemerintahan dapat diambil dengan cara yang lebih sopan dan terhormat, bukannya dengan cara gopoh yang hanya menyerlahkan lagi temelang sebenar UMNO/BN.
Walaupun mungkin UMNO/BN akan mendapat kembali menguasai kerajaan Perak dan kerusi menteri besar menerusi undi tidak percaya, namun ia juga tidak menjamin kemelut politik Perak akan berakhir. Jumlah kerusi yang dipunyai Pakatan Rakyat masih besar dan pada hakikatnya mampu untuk menggugat kerajaan yang diterajui UMNO/BN pada bila-bila masa. Hal ini tidak mustahil kerana UMNO/BN telah melakukannya dan ia bakal jadi ikutan pula kepada pihak lain untuk melakukan perkara yang sama, Cuma mungkin kaedahnya sahaja yang berbeza. Ini bermakna, di peringkat ini kemelut politik yang sedang melanda Perak belum menemui noktahnya. Lagipun, saya percaya kebanyakan pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat di Perak berkeyakinan jika pilihanraya diadakan semula khususnya di kawasan DUN yang kini diwakili oleh wakil-wakil bebas, kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat.
Sebaliknya jika DUN Perak dibubarkan dan pilihanraya diadakan, maka semua pihak pasti akan menghormati dan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat tanpa mengira siapa yang akan menang asalkan pilihanraya itu nanti dijalankan secara adil dan tanpa pengundi ghaib. Oleh itu, setakat ini, saya berpendapat, kaedah terbaik untuk menamatkan kemelut politik yang sedang melanda Perak ialah dengan membubarkan DUN dan mengadakan pilihanraya. Biarlah rakyat yang menjadi hakim dan penentu. Hari ini semua orang boleh bercakap apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan rakyat, tetapi belum pasti lagi apa yang dilakukan itu benar-benar direstui oleh rakyat atau sebaliknya. Jika kita benar-benar ikhlas bekerja untuk rakyat, maka dalam usaha untuk mengakhiri kemelut ini, serahkanlah kepada rakyat untuk membuat keputusan terbaik. Sebagai golongan yang berfikiran matang, apa-apa yang telah diputuskan rakyat hendaklah diterima dengan hati terbuka. Hanya orang yang tidak bertamadun sahaja yang gemar menolak dan menafikan keputusan rakyat.
2 comments:
jalan terbaik adalah pembubaran DUN. itu pasti.
kecelaruan politik perak mengundang seribu keresahan. perlembagaan dan undang-undang yang baik untuk mengelakkan perkara sama berulang (alih kuasa secara tidak sah) perlu dilaksana.
terbaru dengar khabar Raja Nazrin perkenan Nizar mengadap. tunggu keputusan
Assalamu'alaikum, saudara dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Ya, sememangnya jalan terbaik adalah pembubaran dan biarlah rakyat menjadi hakim. Ulasan saudara ni sungguh menarik dan mencakupi semua aspek (tidak "buyers"). Benar, hanya mereka yang bertamadun lagi berilmu sahaja akan menghormati pandangan serta kritikan, meskipun ia pahit untuk ditelan, ibarat "Ditelan pahit, dibuang sayang". Justeru, semua pihak tanpa mengira fahaman dan ideologi wajib menjadikan rakyat sahabat akrab mereka demi kestabilan agama, negara, masyarakat, bangsa serta diri sendiri. Kiranya Nabi SAW, sebagai pemimpin pilihan Allah SWT sendiri mendengar komen dan pandangan para sahaabat ketika bermusyawwarah, maka, siapakah kita, orang bawahan ni, jika kita bersikap sebaliknya?
Post a Comment