Wednesday, May 13, 2009

Menungan Malam

Hanya Kerana Nak Cepat Kaya

 

            Sekitar jam 9.20 malam tadi (12 Mei), seorang rakan menelefon saya.  Katanya, dia ingin berjumpa saya.  Tiada perkara yang serius, hanya ingin berbual-bual sahaja.  Saya bersetuju.  Mulanya saya mengajak beliau dan isterinya datang sahaja ke rumah saya.  Lebih kurang 10 minit kemudian, mereka berdua pun tiba.  Setelah masuk ke rumah dan berbual seketika, rakan saya itu terus mengajak saya pula ke kopitiam yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah saya.  Saya dan isteri bersetuju sahaja.  Rakan saya ini seorang kakitangan kerajaan dan berjawatan tinggi.  Saya suka bersahabat dengannya kerana beliau seorang yang low profile.  Walau bagaimanapun, dalam hati tetap curiga.  Tentu ada perkara serius yang hendak dibincangkan dengan saya.

 

            Di kopitiam, setelah masing-masing memesan makanan dan minuman, bual bicara pun bermula.  Rupa-rupanya rakan saya itu ingin membincangkan perkara berkaitan dengan NGO yang mana saya selaku Naib Yang Dipertuanya.  Perkara yang diperbincangkan agak besar juga tetapi suasana perbincangan biasa sahaja.  Setelah kata putus diperolehi, barulah kami beralih ke topik yang lain pula.  Waktu ini barulah isteri saya dan isteri rakan saya berkesempatan untuk ikut serta dalam perbualan.

 

            Kami berbual mengenai skim cepat kaya yang sudah sebati dalam masyarakat.  Namanya pelbagai.  Walau apa pun nama yang diberi, ia tetap merupakan skim cepat kaya.

 

            Rakan saya memberitahu, mungkin salah satu penyebab bapanya jatuh sakit hingga sekarang ialah kerana terlibat dengan pelaburan skim cepat kaya.  Katanya lagi, penglibatan bapanya itu di luar pengetahuannya.  Setelah segalanya berlaku dan berlalu, barulah ia dimaklumkan kepada rakan saya itu.  Apa nak buat, nasi dah jadi bubur.  Katanya lagi, bapanya ada menjual sebidang tanah dengan harga sekitar RM 30 ribu.  Apabila pihak berkenaan mengetahui mengenai penjualan tersebut, bapanya terus didekati dan diperkenalkan dengan skim cepat kaya.  Pelbagai cara dan kaedah digunakan untuk memujuk bapanya supaya menggunakan wang yang baru beliau perolehi hasil jualan tanah itu untuk dilaburkan dalam skim tersebut.  Akhirnya, bapanya termakan pujuk juga.  Walau bagaimanapun, pelaburan bapanya hancur begitu sahaja.  Mungkin kerana tekanan perasaan, maka bapanya telah jatuh sakit.  Maklumlah bagi orang kampung waktu itu wang RM 30 ribu bukan sedikit nilai dan maknanya.

 

            Menurut sumber dan cerita, dalam kalangan guru juga ramai yang terlibat dengan pelaburan skim cepat kaya.  Satu kisah di sebuah sekolah, seorang guru telah meminjam wang dari rakan-rakan sejawatnya demi untuk mencukupkan jumlah pelaburan yang diperlukan.  Jumlahnya bukansedikit, kononnya mencecah hampir RM 40 ribu.  Para pelabur dijanjikan dengan pulangan yang cepat dan tetap setiap bulan.  Walau bagaimanapun, pelaburan itu juga telah menemui kehancuran.  Lebih malang lagi, guru berkenaan terpaksa menanggung hutang dengan rakan-rakan sejawatnya.  Pada masa yang sama, rakan-rakannya tetap menuntut pulangan sebagaimana yang telah dijanjikan.  Bukan sahaja pelaburan hancur, malah hubungan silatul rahim juga turut tergugat gara-gara skim cepat kaya.

 

            Di sekolah yang lain pula, seorang guru telah diberhentikan gara-gara terlibat dengan pelaburan skim cepat kaya.  Konon ceritanya, guru itu diberhentikan kerana lama tidak hadir di sekolah.  Guru berkenaan sangat asyik dengan mencari orang lain sebagai orang bawahannya.  Khabarnya, guru berkenaan tidaklah sesenang mana dan orang bawahannya pula tidaklah seuntung mana.

 

            Di sebuah sekolah yang lain pula, seorang guru kerjanya hanya mencari orang sebagai pelabur.  Nama skim yang dipromosikan sering bertukar.  Mula-mula skim A.  Setelah beberapa ketika, skim berkenaan pun diharamkan oleh Bank Negara.  Maka guru berkenaan pun perkenalkan pula skim B.  Hal yang sama juga terjadi.  Maka guru berkenaan pun perkenalkan pula skim C.  Itu pun masih ada yang melabur.  Pelaburnya pula ramai dalam kalangan guru.  Yang peliknya, mengapa golongan guru juga boleh terlibat dengan skim cepat kaya?  Bukankah sudah banyak kisah kehancuran yang melibatkan skim cepat kaya.  Mengapa ia masih tidak cukup memberi pengajaran dan teladan?

 

            Memang ada mereka yang kaya-raya hasil skim cepat kaya, tetapi jika diteliti, mereka yang kaya ini terdiri daripada golongan yang berada pada hierarki atas sahaja.  Mereka yang masih di bawah seringkali rugi dan seakan ditipu.

 

            Kalau hendak diceritakan mengenai kisah ini memang terlalu banyak.  Namun begitu, yang pentingnya ialah sejauh mana kita berupaya mengambil iktibar daripada kehancuran dan malang yang telah menimpa mereka yang terlibat dengan skim yang tidak berfaedah ini.  Oleh kerana kita masih gagal mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku, maka tidak hairanlah jika sebilangan kita masih dihukum dengan kerugian yang hampir sama pada hari ini.  Oleh kerana kita masih gagal belajar dari sejarah, maka sejarah tidak akan jemu untuk mengajar kita.

 

            Berniaga tidak salah, bahkan digalakkan dalam Islam.  Bahkan hadith sahih menjelaskan yang antara lain mafhumnya, 9 daripada 10 rezeki datangnya daripada perniagaan.  Walau bagaimanapun, perniagaan/pelaburan yang hendak dilaksanakan hendaklah yang halal, benar, jelas dan tidak bersifat atas angin.  Jangan sekali-kali mencari keuntungan di atas kerugian orang lain.

 

            Lebih kurang jam 10.45 malam, kami pun beredar pulang meninggalkan kopitiam dengan seribu satu kisah yang harus diteladani.

 

No comments: