Friday, May 15, 2009

Bicara Politik

Bibit-bibit Rasuah Dalam PAS: Sekadar Ulasan

 

            Saya tidaklah begitu terkejut bila membaca dalam satu laman blog bahawa konon khabarnya PAS juga sudah mula ditempiasi dengan bibit-bibit rasuah.  Selain daripada memetik kenyataan daripada Ketua Dewan Ulama PAS,  penulis Blog berkenaan turut menyisip 2 lagi peristiwa yang boleh dikaitkan dengan bibit-bibit rasuah dalam PAS.  Saya bersetuju dengan penulis blog berkenaan iaitu oleh kerana kenyataan sedemikian telah diperkatakan oleh ketua Dewan Ulamak, maka ia merupakan sesuatu yang harus dipandang serius.  Untuk tatapan lanjut, sila klik di sini dan lihat posting bertarikh 14 Mei 2009.

 

            Saya mempunyai keyakinan walaupun tidak setinggi mana bahawa bibit-bibit rasuah dan politik wang sudah mula menempiasi PAS.  Pokok tidak akan bergoyang kalau tidak ditiup angin.  Kalau tidak ada apa-apa, tempua tidak akan berani bersarang rendah.  Tanpa bukti nyata, sang blogger tidak akan berani menulis dalam blognya.  Lagi pun, sebelum ini pun, saya pernah mendengar bibit sedemikian tidak berapa lama dahulu tapi ia hanya khabar dari kejauhan yang sekadar bertiup sepoi-sepoi membisikkan berita.

 

            Selama ini antara modal berbisa yang digunakan oleh PAS untuk melanyak UMNO ialah mengenai rasuah dan politik wang.  Dalam UMNO, rasuah dan politik wang bukan rahsia lagi.  Hari ini, para pemimpin UMNO sedang "berhempas-pulas" untuk menghapuskan gejala rasuah dan politik wang yang sedang melanda parti tersebut.  Bahkan, gara-gara rasuah dan politik wang jugalah antara penyebab utama mengapa UMNO hari ini kian lemah dan semakin tidak disukai khasnya oleh orang Melayu sendiri.

 

            UMNO adalah sebuah parti politik yang besar.  Keahliannya kini sudah mencecah sekitar 3 juta orang.  UMNO sudah lama berada di tampuk kekuasaan politik dan pemerintahan negara.  UMNO telah melalui perjalanan kisah yang berliku.  Kitab sejarahnya pula penuh dengan pelbagai warna dan warni.  UMNO turut telah melahirkan sebilangan bangsawan UMNO yang tidak pernah merasai pengalaman pahit getir perjuangan para pengasasnya.  Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan bilamana gejala rasuah dan politik wang telah melanda dan membarah dalam parti tersebut.  Pada tahap ini, setidak-tidaknya, para pemimpin UMNO telah sedar dan amat mengetahui virus R yang sedang melanda partinya.  Justeru, setidak-tidaknya mereka (para pemimpin UMNO) sedang "berusaha" untuk mengubati dan membanteras virus R tersebut.  Jika usaha mereka ini serius dan ikhlas serta tidak memilih bulu, maka jangat terkejut suatu hari nanti UMNO akan bersih semula daripada gejala rasuah dan politik wang …. Mungkin!  Kalau ini menjadi realiti, jangan terperanjat jika suatu hari nanti UMNO akan kembali gah semula seperti dahulu …. Mungkin!

 

            Dari aspek pengalaman politik dan pemerintahan negara, PAS tidaklah sehebat UMNO.  Satu-satunya negeri yang lama dikuasi oleh PAS ialah Kelantan.  Manakala di Terengganu pula, PAS pernah bangun, jatuh, bangun dan jatuh di situ.  Hanya selepas Pilihanraya Umum ke-12 tahun lalu, barulah nampak PAS mula menyerlah.  Tiga buah negeri bermenteribesarkan orang PAS.  PAS juga telah mula mendapat tempat di negeri-negeri yang dahulunya dianggap sebagai the heartland of UMNO.  Walau bagaimanapun, hakikatnya ialah dari aspek pengalaman dan pencapaian, PAS masih belum mampu untuk menyaingi kehebatan UMNO.

 

            Adalah amat malang sekali, jika ketika ini, tatkala pengalaman dan pencapaian PAS masih belum sempat disukat, ia sudah mula dikaitkan dengan gejala rasuah dan politik wang.  Perebutan jawatan walaupun atas nama pertandingan dan demokrasi sudah mula rancak.  Ahli-ahli PAS pula sudah mula dimazhabkan kepada golongan ulamak dan golongan profesional.  Dalam soal jawatan dan pertandingan, ia berlaku seolah-olah mereka yang terbabit semacam tidak beristikharah dan meminta petunjuk dari Allah sama ada mereka sebenarnya layak bertanding atau tidak.  Saya bersetuju, iaitu orang yang mampu untuk memberi rasuah ialah terdiri daripada mereka yang mempunyai sumber kewangan yang besar dan juga ada kuasa sama ada dalam parti mahupun dalam pentadbiran negeri.  Ingatlah, tiga perkara yang sering membuatkan ahli/parti politik kecundang ialah harta, kuasa dan wanita.  Jika benar rasuah dan politik wang sudah mula membibit dan berputik dalam PAS, maka saya yakin usia PAS di tampuk kekuasaan tidak akan selama mana.  Silap percaturan, bukan sahaja usia di tampuk kekuasaan tidak panjang, mungkin Kelantan pula yang terlepas dari gemgaman gara-gara gejala rasuah dan politik wang.  Sekiranya pemimpin/ahli PAS gagal belajar dari sejarah paarti lain, kalian pasti akan dihukum dengan mengalaminya sebagaimana yang sedang dialami oleh parti lain itu.  Jangan sampai dikatakan orang nanti, mengata dulang paku serpih, mengata UMNO PAS yang lebih.

 

Kepada para pemimpin PAS, besarlah harapan saya semoga jika benar gejala rasuah dan politik wang sudah mula membibit, cegahlah ia dari awal.  Jangan tunggu sampai nasi sudah menjadi bubur atau sudah hujan baru nak cari payung.  Ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

 

            Firman Allah yang antara lain mafhumnya: "Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman" (ayat 55, Surah Az-Zariat (surah ke-51), juzuk 27).

 

No comments: