Friday, July 31, 2009

Ucapan Selamat

Selamat Hari Pahlawan

Hari ini merupakan Hari Pahlawan yang disambut di peringkat nasional.
Selaku rakyat yang mengecapi keamanan, rasanya tidak terlewab bagi
saya untuk mengucapkan selamat hari pahlawan kepada semua perajurit
dan bekas perajurit dalam apa bidang sekalipun. Tanpa pengorbanan
anda, maka sudah tentulah negara ini akan berada dalam kucar-kacir.
Sesungguhnya tiada apa yang dapat menilai pengorbanan kalian yang
telah berjasa dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara berada
di tahap terbaik.

Selamat hari pahlawan.

Bicara Politik

Takziah Kepada Keluarga Ustaz Hamdan Abdul Rahman

 

            Tengah hari tadi, saya menerima berita bahawa YB Ustaz Hamdan Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 6.30 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN).  Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.  Beliau mula menjadi ADUN Permatang Pasir dalam Pilihanraya Ke-10 atas tiket PAS pada tahun 1999.  Dalam pilihanraya umum ke-12 tahun lalu, beliau telah memenangi DUN Permatang Pasir untuk penggal ketiga berturut-turut.  Untuk mengikuti lebih lanjut mengenai biodata beliau, sila klik di sini.

 

            Saya mula mengenali beliau dari jauh sewaktu mengikuti satu program ceramah politik yang diadakan di bangunan Komtar, Pulau Pinang sekitar 10 tahun lalu.  Tatkala itu, Ustaz Hamdan juga turut menyampaikan ceramahnya.

 

            Dengan kembalinya YB ke rahmatullah hari ini, maka satu pilihanraya kecil tidak dapat dielakkan.  Menurut sumber, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihanraya tersebut (jika ada pertandingan) selewat-lewatnya pada 10 Ogos nanti.  Lagi pun, notis kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir belum diterima lagi daripada Speaker DUN  Pulau Pinang.

 

            Jika berlaku juga pilihanraya kecil, ini bermakna ia merupakan pilihanraya kecil ke-8 yang diadakan selepas pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 lalu.  Untuk rekod, selepas melalui 7 pilihanraya kecil, Pakatan Rakyat telah memenangi 6 kali dan kesemuanya di Semenanjung.  Manakala Barisan Nasional (BN) hanya memenangi sekali sahaja iaitu di DUN Batang-Ai, Sarawak.

 

            Pada perkiraan awal saya, adalah dijangkakan bahawa BN akan turut menyertai pilihanraya kecil ini.  Ini bersandarkan bahawa kekosongan ini berlaku bukan kerana apa yang disebut sebagai "untuk menyelesaikan masalah dalaman" mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.  Lagi pun, kekalahan tipis BN di Manek Urai sudah tentu mengobarkan lagi semangat BN untuk meraih kerusi pertamanya di Semenanjung melalui pilihanraya kecil yang bakal diadakan selepas pilihanraya umum tahun lalu.  Pada perkiraan saya juga, PAS akan sekali lagi diberi tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi bagi DUN Permatang Pasir.

 

            Dengan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Hamdan Abdul Rahman.  Semoga roh beliau akan dihimpunkan bersama-sama dengan golongan yang solihin.  Alfatihah ….

 

 

Bicara Jumaat

Perihal Tidur

HIKMAH ALLAH DALAM PENCIPTAAN TIDUR DAN MENJADIKAN TIDUR SEBAGAI
KEREHATAN BAGI ORANG-ORANG YANG HIDUP

Allah Subhanahu wa Taala berfirman di dalam surah An-Naba', ayat 9,
sebagai berikut:

"Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat. (An-Naba':9)
Tidur adalah makhluk Allah yang menakjubkan dan ianya merupakan
saudara sekandung kematian. Tidur dapat menenagkan semua gerakan,
merehatkan aqal, menyegarkan badan. Tidur merupakan bayang-bayang
yang ringan bagi orang yang gembira, pwenyegaran bagi orang yang
sedang bersedih. Dalam tidur terdapat pembebasan diri dari segala
kepenatan kehidupan dan dalam tidur terdapat kerehatan diri dari
segala kesukaran hidup. Apabila kesedihan telah menjadi banyak dan
kesusahan semakin menumpuk maka dengan tidur yang nyenyak semuanya itu
akan terasa ringan.
Tidur adalah stesen bagi jasmani dan seluruh anggota badannya untuk
berehat. Dengan tidur, maka kesulitan dan kerunsingan dapat
dihilangkan dan kemudian jasmani dapat bangun dalam keadaan yang kuat
dan cergas. Apabila hati telah ditimpa oleh bermacam-macam kesibukan
dan fikiran terbeban oleh pelbagai perkara rumit, maka menimbulkan
kekalutan dan tekanan, seperti stress sehingga untuk mengubatinya
engkau harus tidur. Apabila engkau sedang mengalami stress, maka
tidurlah.
Kita tidur supaya kita boleh ingat kepada kematian dan sesuatu yang
terjadi setelah kematian, iaitu alam kubur dan apa-apa yang berada di
dalamnya. Kita tidur untuk melupakan dendam, dengki, kepedihan, dan
kepenatan. Kita tidur agar kita dapat bersiap sedia menghadapi hari
baru dan umur baru dengan penuh kesegaran.

"Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa
yang kamu kerjakan pada siang hari…. (Al-Anaam:60)
Dalam sebuah syair ada mengatakan:

Kami bertahajjud pada waktu malam
Pada saat orang-orang sedang tidur
Aku tidak akan tidur dari mengingatiMu
Wahai Tuhan yang elok untuk diingat.
(Sumber: Keagungan Allah, oleh Dr. Aidh Bin Abdullah Al-Qarni, halaman 289-291)

Oleh itu, kita tidur tetapi jangan berlebihan. Apa-apa jua yang
dilakukan secara berlebihan, sudah tentulah kesannya tidak baik. Bila
tiba waktunya, kita perlu segera bangun dari tidur untuk menunaikan
sesuatu yang wajub, sebagaimana yang sering dikumandangkan melalui
azan subuh "Sembahyang itu lebih baik daripada tidur".

Sesungguhnya tidur yang dilakukan secara sempurna merupakan ibadah.
Sebab itulah juga, iblis lebih takut orang alim yang sedang tidur
daripada orang jahil yang sedang solat.

Monday, July 27, 2009

Menungan Malam

Pandangan Dari Seorang Sahabat Lama

Petang semalam, 26 Julai 2009 (Ahad), saya sempat menghadiri satu
forum dalam program tarbiah bulanan anjuran biro Pendidikan Dan
Dakwah, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia
(PERTIS). Kehadiran saya adalah selaku Naib Yang Di-Pertua PERTIS.
Ahli panel dalam forum tersebut ialah Ustaz Wan Mohd Nasir bin Wan
Abdul Wahab dari Masjid Jamik Batu 6, Gombak, dan juga Ustaz Ann Wan
Seng Abdullah, Setiausaha Persatuan Cina Muslim Malaysia, yang juga
merupakan sahabat lama saya. Kami pernah belajar sekelas tatkala
sama-sama menuntut di Universiti Malaya hampir 2 dekad yang lalu.

Saya tertarik dengan kupasan dan ulasan oleh Ustaz Ann Wan Seng
mengenai beberapa tanggapan negatif segilintir orang Melayu terhadap
orang Cina. Kata Ustaz Ann Wan Seng, sehingga kini pun, beliau masih
terdengar tanggapan negatif itu masih melekat di bibir segelintir
orang Melayu. Antaranya istilah "cina buta". Istilah tersebut
membawa maksud, seseorang wanita yang telah diceraikan dengan talak
tiga, tidak boleh berkahwin lagi dengan bekas suaminya sehinggalah
wanita tadi berkahwin dengan orang lain dan berlaku persetubuhan
kemudian berlaku perceraian pula dengan suaminya, barulah wanita tadi
boleh berkahwin dengan lelaki yang telah mentalaknya dengan talak
tiga. Perkahwinan dan persetubuhan dengan suami terakhir tadi itulah
diistilah dengan "cina buta". Kata Ustaz Ann Wan Seng, istilah "cina
buta" tidak ada dalam ilmu munakahad, tetapi mengapa istilah tersebut
wujud dalam "kamus" orang Melayu? Mengapa tidak sebut sahaja "Melayu
buta?"

Kata Ustaz Ann Wan Seng lagi, istilah kedua yang beliau rasa tak
seronok mendengarnya tetapi masih kedengaran sehingga kini ialah
istilah "Cina mampus". Apa salahnya kalau disebut sahaja "Cina mati?"
Katanya lagi, kalau kambing atau lembu yang mati, orang Melayu jarang
menyebutnya "kambing mampus" atau "lembu mampus". Acapkali kedengaran
istilah yang digunakan ialah "kambing mati" atau "lembu mati".
Bilamana istilah "Cina mampus" digunakan, ia bermakna bagi orang
Melayu, taraf orang Cina yang telah mati lebih rendah daripada taraf
kambing atau lembu yang telah mati.

Ustaz Ann Wan Seng meneruskan, istilah ketiga yang beliau merasa
tidak seronok mendengarnya ialah "Cina babi". Katanya, dalam zaman
ini, ramai juga orang Cina yang bukan sahaja tidak makan babi, tetapi
semua benda yang berdarah mereka tidak makan. Dengan erti kata lain,
mereka adalah vegetarian. Beliau mengatakan, sudah tiba masanya orang
Melayu mengubah persepsi negatif ini terutamanya ke atas orang Cina
supaya usaha dakwah dapat dijayakan dengan lebih berkesan lagi.

Saya memang bersetuju dengan pandangan dan kupasan yang telah
dilontarkan oleh Ustaz Ann Wan Seng. Dalam hal ini, Ustaz Ann Wang
Seng mungkin hendak menyatakan, orang Melayu kadangkala Lebih Melayu
daripada Islam.

Melayu adalah milik satu bangsa, Islam adalah milik mereka yang
beriman tanpa mengira bangsa.

Saturday, July 25, 2009

Menungan Senja

Jangan Sampai Layu Dimamah Masa

Setelah Paduka Raja jadi orang besar, maka segala anak Melayu pun
berbelahlah (berpecah belah), setengah pada Paduka Raja dan setengah
pada Seri Nara Diraja, kerana keduanya sama orang besar berasal. Maka
Seri Nara Diraja tiada muafakat dengan Paduka Raja, sentiasa
bersinggit juga. Berapa kali lelayan Paduka Raja kedapatan dengan
Paduka Raja dalam kampung Seri Nara Diraja.

Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu, maka terlalu
dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja
itu. Maka fikir baginda, "Jikalau demikian binasalah negeri ini,
kerana orang besar tiada muafakat sama orang besar." Maka baginda
berbicara hendak dimuafakatkan antara kedua orang besar itu; maka
Sultan Muzaffar Syah menyuruh memanggil Seri Nara Diraja. Maka Seri
Nara Diraja pun datanglah mengadap. Maka titah Sultan Muzaffar Syah,
"Maukah Seri Nara Diraja beristeri?" Maka sembah Seri Nara Diraja,
"Jikalau dengan nugerahi Duli Yang Dipertuan, baiklah tuanku."

Maka titah baginda, "Maukah Seri Nara Diraja akan Tun Bulan, anak
Orang Kaya Hitam?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Mohon tuanku."
Maka baginda bertitah pula, "Maukah akan Tun Ratna Sandari, saudara
sepupu kepada Paduka Raja?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Mohon
tuanku." Maka titah Sultan Muzaffar Syah, "Maukah akan Tun Gemala,
saudara Bendahara Seri Wak Raja?" Maka sembah Seri Nara Diraja,
"Mohon patik tuanku." Maka berapa orang anak orang besar-besar
ditawarkan oleh Sultan Muzaffar Syah, tiada juga berkenan pada Seri
Nara Diraja. Maka titah baginda, " Maukah Seri Nara Diraja akan Tun
Kudu?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Daulat tuanku."

Bermula akan Tun Kudu itu anak Bendahara Seri Wak Raja, saudara
Paduka Raja, telah diperisteri oleh Sultan Muzaffar Syah, terlalu baik
rupanya; tetapi matanya juling sedikit. Setelah didengar oleh Sultan
Muzaffar Syah Seri Nara Diraja mau akan Tun Kudu itu, sesaat itu juga
ditalak oleh baginda, dihantarkan ke rumah Paduka Raja, diberi
belanja, disuruh berhadir akan dikahwinkan dengan Sseri Nara Diraja.
…. Setelah sudah lepas idah maka Seri Nara Diraja pun duduklah
(dinikahkan) dengan Tun Kudu; maka menjadi fakatlah Seri Nara Diraja
dengan Paduka Raja; jadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi
…."
(Dipetik daripada, Sulalatus Salatin (Abdul Samad Ahmad) halaman 92-93).

Banyak pengajaran yang boleh kita sama-sama teladani daripada secebis
kisah di atas. Walaupun kisah tersebut telah berlaku ratusan tahun
yang lalu, namun ia masih relevan dengan apa yang sedang menimpa dan
dialami oleh bangsa Melayu hari ini. Sultan Muzaffar Syah adalah
seorang raja yang adil, bijaksana dan benar-benar berjiwa rakyat.
Ternyata baginda telah mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri
melebihi daripada kepentingan diri baginda sendiri. Baginda akan
lakukan apa sahaja asalkan negeri aman dan rakyat bersatu padu.

Hari ini, Orang Melayu kembali berpecah semula. Punca utama kepada
perpecahan yang sedang berlaku ialah kerana orang besar-besarnya tidak
mahu bermuafakat antara sesama mereka, sama seperti apa yang pernah
berlaku ratusan tahun lalu. Jikalau hal ini berterusan, maka sudah
pasti bangsa Melayu akan lemah, dan akhirnya untuk ke sekian kalinya
nanti, kita akan menjadi hamba di bumi sendiri. Semua kita amat
memahami akan kesan dan natijahnya, tetapi kita agaknya masih terlalu
ego dan sombong untuk meneladaninya.

Setelah menyaksikan apa yang sedang dialami oleh bangsa Melayu hari
ini dan setelah merenung kembali apa yang pernah berlaku kepada bangsa
yang sama ratusan tahun yang lalu, saya merasakan cebisan kisah di
atas mungkin ada sesuatu yang boleh dipedomankan daripadanya. Saya
tertanya-tanya kepada diri sendiri, siapakah Seri Nara Diraja dan
siapa pula Paduka Raja dalam kalangan orang besar-besar Melayu hari
ini? Raja mana pula yang benar-benar sanggup untuk menganugerahkan,
kalau tidak pun permaisurinya, puteri baginda pun jadilah, kepada sang
Seri Nara Diraja?

Setelah berfikir, saya merasakan hari ini Paduka Raja dan sang Seri
Nara Diraja bukan lagi seorang, mungkin dua orang, atau lebih.
Lagipun, sesetengah sang Seri Nara Diraja hari ini wajahnya sahaja
manusia, tetapi mereka bernafsu buaya. Jika demikian, jangankan
seorang, 10 orang perempuan pun belum pasti akan mencukupi.

Ratusan tahun lalu, orang Melaka bersatu berasaskan pengorbanan.
Orang besar-besarnya sanggup berkorban apa sahaja asalkan negeri kuat
dan selamat. Hari ini, pelbagai konsep, tema dan idea ke arah
perpaduan telah diketengahkan, tetapi ia masih gagal menyatukan bangsa
Melayu.

Bangsa Melayu: Jangan sampai layu dimamah masa.

Friday, July 24, 2009

Bicara Jumaat

Antara Peristiwa Di Hari Akhirat

Abu Hurairahr.a. berkata bahawa Nabi saw pernah bersabda,
"Kelak di hari Kiamat, manusia akan digiring dalam tiga kelomnpok:
satu kelompok berjalan kaki, satu kelompok berkenderaan dan kelompok
ketiga berjalan melalui wajah-wajah mereka. " Ditanya kepada
Rasulullah saw: Ya Rasulullah, bagaimana mereka dapat berjalan dengan
wajah-wajah mereka? Kata beliau saw.: " Sesungguhnya yang Maha
Menjadikan mereka, dapat berjalan dengan kaki itu, dapat juga
menjadikan mereka berjalan dengan wajahnya. Ketahuilah sesungguhnya
mereka itu dapat berjalan cepat dengan wajahnya dari tempat yang
tginggi serta penbuh berduri"

Lanjutan hadis ini ialah:
"Adapun mereka yang berjalan adalah orang-orang mukmin berdosa,
adapun orang-orang yang berkenderaan adalah orang-orang yang taqwa
dari orang-orang yang lebih awal yang tidak mempunyai rasa takut dan
susah; dan adapun orang-orang yang berjalan dengan wajah mereka
adalah orang-orang yang kafir.

Ini mengandungi erti, bahawa mereka itu menjadi tiga kelompok ,
kelompok pertama, adalah orang-orang muslimin yang digambarkan
berkenderaan sedangkan dua kelompok lainya adalah orang-orang kafir.
Satu dari yang dua itu adalah gambaran orang-orang yang takabbur,
sombong serta durhaka, yang tidak mahu mendengar nasihat, maka
merekalah yang digiring sambil berjalan dengan wajah mereka sedangkan
para pengikutnya berjalan biasa.

(Sumber: Durratun Nasihin)

Ketahuilah kita semua, Tarikh sebenar bila akan berlaku hari kiamat
tetap merupakan antara 5 rahsia besar yang tak mungkin diketahui oleh
para makhluk-Nya, tetapi apa yang bakal berlaku pada hari kiamat bukan
merupakan rahsia lagi. Alquran dan hadith banyak menceritakan apa
yang bakal berlaku pada hari tersebut. Sama ada kita mahu atau tidak,
kita pasti akan menempuhinya.

Sudahkah kita mempunyai cukup bekalan untuk menghadapi hari yang
penuh rahsia itu? Kita acapkali gementar dan gusar bila memikirkan
hari berkenaan, tetapi kita jarang sekali membuat sebarang persediaan
untuk menghadapi hari yang pasti akan tiba itu.

Saya bukanlah insan yang paling mengetahui, sekadar mengingatkan pada
diri sendiri.

Tuesday, July 21, 2009

Bicara Blog Baru

Selamat Memasuki Alam Blogger

Kalau dua hari lepas, saya mengalu-alukan kehadiran blogger baru dari
kalangan orang cacat penglihatan, pada kali ini, saya juga ingin
melakukan hal yang sama. Siang tadi, seorang lagi sahabat saya, Cikgu
Zamri menghubungi saya dan memaklumkan yang dia juga sudah mempunyai
blog sendiri.

Sudah tentu saya rasa gembira bilamana beliau juga sudah mempunyai
blog sendiri. Beliau seorang yang sentiasa mempunyai idea dan
pendapat khususnya yang mencakupi golongan cacat penglihatan dalam
pelbagai aspek kehidupan. Saya tidak nafikan adakalanya idea dan
pandangan beliau tidak sealiran dengan pandangan dan pendapat
sesetengah pihak. Itu perkara biasa. Bagi saya, yang pentingnya
sejauh mana pula kita berupaya menyaring nilai-nilai positif dalam
setiap buah fikiran yang dilontarkan.

Kemunculan blogger baru yang kian bercambah dalam kalangan golongan
cacat penglihatan mempunyai signifikan yang tersendiri. Melalui blog,
kita berupaya menyuarakan apa jua pandangan dan pendapat kita khasnya
yang mencakupi perkara-perkara yang berkait langsung dengan golongan
cacat penglihatan. Maklumlah, hari ini, seperkara yang tidak dapat
disembunyikan lagi, sesetengah institusi pendidikan khas sudah pun
diketuai oleh mereka yang tidak berlatarbelakangkan dan juga tidak
berpengalaman dengan mereka yang cacat penglihatan. Justeru,
adakalanya wawasan dan hala tuju kepimpinan mereka tidak serasi dengan
apa yang sepatut dilakukan ke arah memantapkan institusi yang
berkaitan demi manfaat golongan cacat penglihatan sendiri. Apa yang
lebih malang lagi, bilamana ada di antara mereka yang sebenarnya tidak
mempunyai pengetahuan pun mengenai hal ehwal golongan cacat
penglihatan, tetapi mereka inilah yang kadangkala dipanggil menghadiri
mesyuarat-mesyuarat tertentu bagi menangani permasalahan, menentukan
hala tuju, merangka sesuatu perkara yang berkait dengan golongan cacat
penglihatan, atau setidak-tidaknya bercakap bagi pihak dan untuk
kepentingan golongan yang cacat penglihatan. Mereka dipanggil ke
mesyuarat-mesyuarat berkenaan hanya semata-mata kerana mereka sudah
terlibat dalam pendidikan khas. Walhal pengetahuan dan pengalaman
mereka mengenai hal ehwal golongan cacat penglihatan masih boleh
disukat dengan ibu jari.

Ada di antara mereka yang berlagak sudah khatam dengan ilmu yang
berkaitan dengan golongan cacat penglihatan, sedangkan usia mereka
dengan golongan cacat penglihatan tak sampai pun setahun jagung.
Justeru, tidak hairanlah bilamana orang yang tak mahir dengan tulisan
Braille pun kini sudah boleh dapat anugerah cemerlang. Sepatutnya,
kalau hendak juga anugerah cemerlang tetapi tak berminat mempelajari
Braille, maka institusi pendidikan khas cacat penglihatan bukan tempat
yang sesuai untuk insan seperti mereka apatah lagi jika institusi
berkenaan hanya dijadikan batu loncatan untuk memperoleh kecemerlangan
peribadi.

Bagi masyarakat awam, hal seumpama ini sangat jauh dari jangkauan
pengetahuan mereka. Bagi mereka, sesiapa sahaja yang terlibat dengan
pendidikan khas diandaikan memangnya arif mengenai bidang yang
diceburi. Sesungguhnya pandangan suci masyarakat umum ini masih belum
ternoda oleh realiti nan hakiki.

Kepada Cikgu Zamri, tahniah saya ucapkan kerana telah menambah jumlah
blogger dalam kalangan cacat penglihatan. Marilah kita bersama-sama
mendokong dan mengusung obor kebenaran demi manfaat "orang kita" juga.
Setakat sebentar tadi, saya dapati blog Cikgu Zamri masih belum
berisi. Kepada mereka yang sudi, singgahilah ke
www.dotbraille.blogspot.com

Biarlah kita dibenci orang kerana kebenaran, jangan kita dipuji orang
kerana kepalsuan.

Monday, July 20, 2009

Ucapan Takziah

Takziah Untuk Keluarga Ashari Abdullah


Pagi tadi, sekitar jam 9.30, seorang rakan memberitahu saya bahawa
Shaari telah meninggal dunia pada awal pagi. Saya agak tergamam
kerana tertanya-tanya Shaari yang mana satu. Kebetulan saya mengenali
beberapa insan yang bernama Shaari. Melihat saya terdiam, rakan saya
itu meneruskan, Shaari yang pernah bekerja dengan Persatuan
Orang-orang Buta Malaysia (MAB) suatu ketika dahulu. Barulah saya
pasti Ashari yang mana satu.

Sebenarnya, saya telah mengenali Ashari Abdullah (Allahyarham)
sekitar 20 tahun. Perkenalan saya dengan Allahyarham bermula ketika
saya sedang menyiapkan latihan ilmiah untuk Ijazah peringkat Sarjana
Muda. Kajian saya adalah mengenai Sekolah Princess Elizabeth di
peringkat awal. Ashari atau nama asalnya Lim Keyong Wah, merupakan
antara 4 orang kumpulan murid cacat penglihatan pertama yang memasuki
Sekolah Princess Elizabeth (PES) di Johor Baru pada tahun 1948. Tiga
orang murid yang lain ialah Cikgu Ismail bin Abdullah (Allahyarham)
yang telah meninggal dunia pada tahun 1986, En. Samani Taib dan Cik
Saodah Syarif. Jika saya tak silap, Ashari meninggal dunia ketika
berusia sekitar 75 tahun.

Ashari Abdullah telah ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat di
Batu 3 Jalan Skudai pada awal bulan Oktober 1948. Selepas tamat
perang dunia kedua, beliau telah dijaga oleh kakak iparnya kerana
abangnya telah mati sewaktu perang. Oleh kerana kedaifan hidup yang
begitu mencengkam waktu itu, Kakak iparnya kemudian telah menyuruh
sebuah teksi menghantar dan meninggalkan Ashari di perkarangan
hospital besar Johor Baru. Beliau kemudiannya telah dijaga oleh
sekumpulan kakitangan hospital yang mana melalui pemeriksaan doktor
kemudiannya telah mengesahkan bahawa Ashari cacat penglihatan.
Melalui seorang doktor, Ashari telah diserahkan pula kepada Cik Enid
Fernandez, seorang sukarelawan British yang seterusnya telah
menempatkan Ashari di rumah kebajikan seperti di atas. Demikianlah
antara sejarah awal Allahyarham Ashari Abdullah.

Sewaktu beliau saya jadikan sebahagian daripada "sumber dan bahan"
kajian untuk menyempurnakan latihan ilmiah saya, beliau begitu seronok
sekali bercerita mengenai Sekolah Princess Elizabeth di zaman awal
penubuhannya. Banyak cerita dan pengalaman beliau yang dicurahkan
yang dapat saya jadikan teladan hingga ke hari ini. Selain itu, saya
dapati beliau juga mempunyai pengetahuan yang luas mengenai hal ehwal
antarabangsa. Pengetahuan berkenaan beliau peroleh melalui
kegemarannya yang suka mendengar radio ketika masa lapang. Antara
siaran radio kegemaran beliau ialah Perbadanan Penyiaran British
(BBC). Selain itu, menurut rakan-rakan seangkatannya, Shaari
merupakan seorang yang sangat komited dengan kerjanya. Bahkan ada
"orang lama" di MAB mengatakan, sukar untuk mencari seorang kakitangan
yang begitu komited seperti Shaari.

Antara buah tangan yang pernah diberikan kepada saya sekitar 20 tahun
lalu oleh Allahyarham dan masih tersimpan rapi hingga kini ialah
catatan peribadi mengenai diri beliau serta kehidupannya dari sejak
kecil. Banyak fakta mengenai Sekolah Princess Elizabeth pada zaman
awal penubuhannya yang termuat dalam catatan berkenaan dan sukar untuk
dicari di tempat lain. Catatan ringkas tersebut diberikan kepada saya
sebagai salah satu usaha beliau untuk membantu saya dalam menyiapkan
latihan ilmiah saya.

Kali terakhir saya bertemu dengan Allahyarham ialah dalam satu majlis
jamuan yang mempertemukan bekas-bekas murid lama Sekolah Princess
Elizabeth yang telah diadakan di rumah Yang Berbahagia Dato' Ann
Majeed pada 15 Mac 2008 yang lalu. Ketika itu, beliau tetap ceria,
banyak bercerita dan kadangkala suka mengusik rakan-rakan
seangkatannya.

Kini Allahyarham telah dijemput Ilahi. Marilah sama-sama kita berdoa
semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama dengan golongan yang
solihin. Di sini, saya dan keluarga ingin mengucapkan takziah kepada
keluarga Allahyarham. Bersabarlah menghadapi saat yang duka ini.
Alfatihah ….

Sunday, July 19, 2009

Bicara Blog Baru

"anakkampungdelek"


Sebentar tadi, seorang sahabat lama, En. Norazman memaklumkan kepada
saya menerusi skype,dia sudah pun ada blog sendiri. Saya memang suka
bilamana beliau telah pun mempunyai blog sendiri. Ini sekaligus telah
menambah bilangan blogger dalam kalangan mereka yang cacat
penglihatan. Seingat saya, setakat ini, sudah terdapat sekitar 10
blogger dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan.

Setelah dimaklumkan sahaja mengenai kewujudan blog tersebut, saya pun
terus ke blog berkenaan dan membaca sekali lalu tulisan beliau.
Memang beliau ada potensi untuk menulis. Haluan siasahnya juga
terserlah.

Seingat saya juga, saya sudah pun mengenali sahabat yang seorang ini
sekitar suku abad yang lalu. Oleh itu, secara ikhlas saya suka
berpesan kepada kita semua, lakukanlah sesuatu itu secara istaqamah,
berterusan dan jangan sekali-kali mudah jemu. Jemu dan bosan
adakalanya perkara biasa, tapi jangan biarkan ia berpanjangan.

Tahniah diucapkan kepada Saudara Norazman kerana berjaya mewujudkan
blog sendiri. Kepada yang berminat, sila kunjungi
www.anakkampungdelek.blogspot.com

Wednesday, July 8, 2009

Bicara Dari Sahabat

Lontaran Fikiran

Petang semalam, tatkala meneliti email yang saya terima,
sekonyong-konyong saya tertarik dengan satu email yang telah dihantar
oleh seorang sahabat. Ketika ini, beliau bertugas di Majlis
Peperiksaan Malaysia (MPM). Beliau pernah bertugas sebagai guru
pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan beberapa tahun lalu.
Saya memang menghormati beliau. Beliau bukan sahaja seorang pegawai
yang penuh dedikasi, bahkan pengetahuannya yang luas mengenai Braille
memang mengkagumkan saya. Setahu saya, beliau sentiasa mengikuti
perkembangan mengenai pendidikan khas khususnya yang berkaitan dengan
perkembangan tulisan Braille di peringkat antarabangsa. Sesungguhnya,
hari ini sukar untuk kita mencari seorang yang berpenglihatan tetapi
mahir dengan sistem tulisan Braille dan amat memahami keperluan,
permasalahan serta cabaran yang merintangi golongan cacat penglihatan.
Berikut adalah isi email beliau kepada saya:

"…
Assalamualaikum.

Ada beberapa isu sebenarnya untuk saya ketengahkan. Apa pun niat
terbesar saya tidak lebih mengalu-alukan alamat e-mail ini yang
mungkin sangat berguna di antara kita. Selain memenuhi niat itu, saya
ke tengahkan satu isu tentang berapa ramai orang buta yang boleh
dianggap bijak pandai, dihormati pendapat dan pandangannya, sekalipun
tidak standing Prof Ismail Salleh. Saya fikir, jika tiada atau masih
tiada, maknanya pencapaian kita hari ini adalah biasa-biasa sahaja.
Hasilnya, hidup dan kejayaan juga biasa-biasa sahaja. Kenapa kita
perlu lebih dari biasa? Kerana orang buta dan guru-gurunya telah
berusaha lebih dari biasa. Orang buta perlu berusaha dengan segenap
tenaga, malah kadangkala perlu menagih sesuatu untuk mendapatkan ilmu
dan pencapaian tertentu. Jika usaha yang dibuat itu terhenti setakat
pencapaian biasa-biasa sahaja ertinya tiadalah istimewanya usaha yang
luar biasa itu. Tahukah kita kenapa kita perlukan ramai orang buta
yang bijak pandai? Kerana ia adalah ukuran usaha yang betul. Kerana ia
adalah petanda bahawa masa hadapan kita semakin cerah. Ia menjadi
lorong yang terbuka untuk kita ke arah yang betul. Bolehkah tuan
berikan ulasan……
…"

Untuk pengetahuan kita bersama, dari aspek pencapaian akademik,
setakat ini terdapat 8 orang buta yang sudah memiliki ijazah doktor
falsafah (phD) di negara kita. Selain itu, 3 calon lagi sedang
menyiapkan tesis untuk ijazah berkenaan. Jumlah pemegang ijazah
peringkat sarjana dalam kalangan cacat penglihatan pula mungkin
berbelas atau mungkin lebih. Ini bermakna, puluhan orang buta sudah
pun sekurang-kurangnya memiliki ijazah peringkat sarjana muda dalam
pelbagai bidang. Malangnya, setakat ini tiada pihak yang mempunyai
atau menyimpan statistik yang benar-benar sahih mengenai hal ini.

Dari sudut pekerjaan pula, beberapa orang cacat penglihatan sedang
bertugas sebagai pensyarah di beberapa buah institusi pengajian tinggi
awam ataupun swasta. Bilangan orang buta yang sedang bertugas sebagai
guru pula sudah mencecah sekitar seratus orang. Bilangan orang buta
yang sedang bertugas dalam sektor awam yang lain juga ada pertambahan.
Namun begitu, masih banyak lagi peluang dan ruang kosong yang masih
belum diisi jika quota 1% boleh dijadikan ukuran.

Dari sudut ketokohan, saya tidak menafikan setakat ini masih belum
ada lagi mana-mana individu cacat penglihatan yang boleh menyaingi
ketokohan, pencapaian dan populariti YB Senator Prof. Dato' Dr. Ismail
Salleh. Namun begitu, bersandarkan alasan "perjuangan perlu
diteruskan", orang yang boleh menggantikan ketokohan Prof. Ismail
sememangnya perlu dicari dan digilap.

Bagi saya, setiap manusia yang lahir mempunyai bakat yang telah
dianugerahkan. Tidak kira sama ada manusia itu sempurna atau cacat.
Oleh itu, tugas kita selaku golongan yang lebih dewasa ialah kenali
bakat dan potensi setiap manusia itu dan kembangkannya. Dalam konteks
orang buta, mereka juga mempunyai bakat tersendiri yang telah
dianugerahkan. Persoalannya ialah, sudahkah bakat yang mereka miliki
itu digilap dalam erti kata yang sebenar? Sebagai contoh, ramai yang
tahu bahawa orang buta memang berbakat dalam bidang muzik. Ada yang
bersuara merdu bila menyanyi. Ada pula yang berbakat dalam memainkan
alat-alat muzik. Namun begitu, sehingga kini mengapa bilangan orang
buta yang mampu menjadi penyanyi dan pemuzik profesional masih boleh
dibilang dengan jari? Hal ini disebabkan kerana bakat yang mereka
miliki tidak digilap dengan sempurna dan tidak diletakkan di atas
landasan yang betul. Di peringkat sekolah, kurikulum mata pelajaran
muzik untuk murid cacat penglihatan masih belum terlaksana. Kesannya,
peluang untuk golongan buta yang berbakat dalam bidang muzik untuk
terus maju akan sentiasa terbantut.

Selain itu, peluang untuk golongan cacat penglihatan untuk meningkat
maju adakalanya tersekat dek kerana karenah birokrasi. Sejak tahun
1990 lagi, kerajaan telah memperuntukkan quota 1% pekerjaan untuk
golongan cacat yang berkelayakan dalam sektor awam. Malangnya,
sehingga kini pun 10% daripada quota tersebut masih gagal dipenuhi.
Sedangkan di luar sana, masih ada golongan cacat penglihatan yang
mempunyai ijazah tetapi masih gagal memperolehi perkejaan yang setaraf
dengan kelulusan yang mereka miliki. Bagi saya, antara puncanya ialah
para pegawai yang berkaitan sendiri tidak faham bagaimana dan apa
keperluan yang harus dipenuhi jika ingin mengambil golongan cacat
penglihatan sebagai kakitangan. Keadaan semakin kritikal bilamana
golongan pegawai berkenaan tidak bertindak secara proaktif untuk
mengakses kepada segala maklumat yang perlu untuk memperoleh informasi
yang diperlukan bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara di
atas. Bila bercakap mengenai pencapaian orang buta, ramai yang boleh
bercakap mengenainya, tetapi bila diminta supaya diberi peluang, ramai
yang enggan dan tidak bersedia untuk melakukannya atas pelbagai
alasan.

Di peringkat NGO pula, saya rasa mereka sentiasa melakukan yang
terbaik untuk membela nasib golongan cacat penglihatan dengan pelbagai
cara dan di pelbagai forum. Malangnya, seringkali suara NGO ini hanya
untuk didengari sahaja dan bukan untuk dipertimbangkan. Bahkan, bila
individu atau NGO yang berkaitan agak kerap bersuara, mereka dipandang
serong pula dengan persepsi "menagih simpati" dan bukannya "menuntut
hak".

Sebenarnya banyak lagi yang boleh saya perkatakan mengenai hal di
atas. Namun begitu, cukuplah sekadar ini dahulu untuk kali ini. Saya
juga beminat untuk mendengar pandangan orang lain juga mengenai hal
ini.

Kepada rakan-rakan sekalian, anggaplah fenomena di atas sebagai
cabaran dan permasalahan yang perlu kita sama-sama tangani. Ia
mungkin tidak dapat diselesaikan esok atau lusa, tetapi dengan
perjuangan yang berterusan, saya penuh yakin, insha Allah, suatu hari
nanti sinar dari permata asli akan terserlah juga.

Kepada En. Shaari Saad dari MPM, saya ucapkan berbanyak-banyak terima
kasih kerana lontaran fikiran yang bernas lagi bermakna. Tanpa
sokongan dan dokongan daripada orang seperti anda, kami semua tidak
akan ke mana.

Sesungguhnya kami jalani kehidupan ini dengan panduan iman, bukan
semata-mata dengan penglihatan.