Saturday, February 27, 2010

Bicara Peristiwa

Kunjungan Cikgu Salmah Ke Rumah Saya

Semalam (26 Februari), sekitar jam 5.50 petang, saya mendapat satu panggilan telefon. Berdasarkan nama yang terpapar pada skrin yang dimaklumkan menerusi perisian TALKS, saya tahu bahawa pemanggilnya ialah Cikgu Salmah. Kisah mengenai Cikgu Salmah pernah saya paparkan dalam blog ini pada hujung November lalu.

Menerusi perbualan telefon tersebut, saya dimaklumkan bahawa Cikgu Salmah kini ada di KL untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Taman Permata hari ini. Bila Cikgu Salmah memberitahu yang beliau tiada sebarang atur cara pada sebelah malamnya (malam tadi), saya pun terus mengundang beliau ke rumah saya. Cikgu Salmah tidak membantah. Sebagai tanda hormat saya kepada beliau, saya memberitahu Cikgu Salmah, saya sendiri yang akan menjemput beliau dari rumah adiknya ke rumah saya selepas solat maghrib. Sekali lagi, Cikgu Salmah tidak membantah.

Setelah itu, saya serta isteri mula membuat perancangan sebaik mungkin untuk menerima kunjungan Cikgu Salmah, salah seorang guru yang telah berjasa besar dalam mencelikkan kehidupan saya hari ini. Oleh kerana kesuntukan waktu, kami terpaksa membuat perancangan serapi mungkin supaya kunjungan kali pertama Cikgu Salmah ke rumah saya akan lebih bermakna bagi semua pihak. Setelah itu, saya pun menghubungi seorang dua rakan yang juga merupakan bekas anak murid Cikgu Salmah dan menjemput mereka ke rumah saya pada masa yang ditetapkan. Alhamdulillah, bila dengar sahaja Cikgu Salmah akan ke rumah saya, semua rakan yang saya undang bersetuju belaka. Demikianlah kasih kami kepada seorang guru yang telah membuatkan dunia kami bercahaya kini.



Sekitar jam 8.15 malam, Cikgu Jais dan Saudara Muhammad bin Mohd Ali (lebih mesra dengan panggilan Mad Ali) pun tiba di rumah saya. Sekitar jam 8.30 malam pula, saya dan isteri keluar ke Taman Permata untuk menjemput Cikgu Salmah. Sekitar jam 9.00 malam, Cikgu Salmah tiba di rumah saya. Bila beliau masuk sahaja, Cikgu Salmah agak terkejut kerana 2 orang lagi bekas murid beliau (Cikgu Jais dan Mad Ali) sudah sedia menanti kedatangan beliau. 5 minit kemudian, Cikgu Rizal Tan dan keluarganya pula tiba. Kak Rohani, isteri Cikgu Rizal juga merupakan antara murid kesayangan dan akrab dengan Cikgu Salmah. Daripada nada suaranya, saya dapat merasakan Cikgu Salmah mungkin terharu dengan pertemuan yang di luar jangkaan ini.



Bila sudah bertemu, maka saling berkhabaranlah antara kami. Oleh kerana saya agak kerap bertemu Cikgu Salmah sejak kebelakangan ini, maka dalam pertemuan kali ini saya memberi peluang kepada rakan-rakan yang lain untuk bertanya khabar dengan Cikgu Salmah. Kalau tak silap saya, kali akhir Cikgu Jais dan Mad Ali bertemu Cikgu Salmah ialah kira-kira 29 tahun lalu. Manakala Cikgu rizal dan Kak Rohani telah lebih 30 tahun tidak bertemu Cikgu Salmah.



Selain daripada bertanya khabar dengan yang hadir, Cikgu Salmah turut bertanyakan bekas-bekas anak muridnya yang lain. Kesemuanya kami khabarkan mengikut pada kadar yang sepatutnya. Selain itu, kami turut mengimbas kisah dan kenangan lama. Sudah tentunya ia diselang-seli dengan gelak tawa antara kami. Sesungguhnya mengalami dan mengimbas semula kenangan lama adalah dua situasi yang penuh nostalgik.



Kata Cikgu Salmah, wajah Cikgu Rizal (nama asalnya Tan Boong Seng) tidak banyak berubah. Manakala wajah Cikgu Jais dan Saudara Mad Ali pula banyak berubah. Selain itu, Cikgu Salmah juga nyata gembira bila melihat kami juga sudah berkeluarga dan punya anak-anak. Jauh dalam hati, saya juga turut bersyukur kerana setidak-tidaknya Cikgu Salmah sempat juga melihat kami, yang pernah membesar di bawah didikan beliau suatu ketika dahulu, kini sudah menjadi manusia seperti mana yang beliau hasratkan.



Bila tiba waktunya, maka makanan pun dihidangkan. Makanan alah kadar sahaja. Sebelum mula menjamah makanan, saya meminta agar Cikgu Salmah membacakan doa. Walaupun kami sudah berusia seperti ini, kami masih ingin menumpang berkat doa seorang guru. Bahkan kami tidak menjamah makanan sehinggalah Cikgu Salmah terlebih dahulu menyuap makanannya. Demikianlah kami menghormati guru kami.

Di samping itu, Cikgu Salmah juga masih tidak putus-putus memberikan nasihat kepada kami. Antara lain katanya, bila bekerja, kita hendaklah melakukan kerja dengan penuh tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas. Barulah hidup kita di kemudian hari akan bertambah berkat. Rasanya saya dapat mendalami maksud tersirat daripada nasihat Cikgu Salmah itu. Cikgu Salmah bukan seorang guru yang berlatarbelakangkan pendidikan khas. Namun demikian, bila beliau ditempatkan di sekolah Princess Elizabeth (PES), beliau dengan segera telah belajar membaca dan menulis sistem tulisan Braille. Oleh kerana beliau seorang ustazah, Cikgu Salmah turut mendalami sistem tulisan Alquran dan Jawi Braille. Sewaktu saya belajar di PES, Cikgu Salmah memang sudah mahir dengan sistem tulisan Braille, termasuklah sistem tulisan Alquran dan Jawi Braille. Malah, Cikgu Salmah turut menyalin ke dalam bentuk tulisan Braille surah Yasin, pelbagai doa dan juga kitab Berzanji yang lengkap. Oleh itu, pada hari ini, saya dapat merasakan ada limpahan keberkatan dalam kehidupan Cikgu Salmah kini, insha-Allah.



Setiap pertemuan pasti akan disusuli dengan perpisahan. Begitulah juga dengan pertemuan kali ini. Sekitar jam 10.45 malam, Cikgu Salmah meminta diri untuk kembali semula ke rumah adiknya. Pelawaan saya supaya beliau tidur saja di rumah saya kali ini beliau tolak dengan baik dan sopan. Sebelum berpisah, saya sempat menghadiahkan cenderamata kecil buat tatapan Cikgu Salmah. Saya dan isteri yang menghantar Cikgu Salmah semula ke rumah adiknya di Taman Permata.

Sesungguhnya penghormatan yang kami berikan kepada Cikgu Salmah sekadar tanda bahawa kami masih dan akan terus mengingati beliau. Jasa dan bakti yang telah beliau curahkan kepada kami tak mungkin terbalas walau dengan apa cara sekali pun. Sesungguhnya perpisahan kali ini juga tidak menjanjikan satu pertemuan kembali pada masa akan datang. Setiap langkah Cikgu Salmah ketika meninggalkan rumah saya, kami iringkan dengan doa semoga kehidupan beliau sekeluarga akan sentiasa mendapat limpahan rahmat, nikmat serta keampunan daripada Allah hendaknya dari dunia sampai akhirat.

Thursday, February 25, 2010

Menungan Malam

Mengunjungi Gerai Rakan

Sebentar tadi, saya sempat mengunjungi sebuah gerai yang dikendalikan oleh seorang rakan. Kebetulan pula, malam ini merupakan hari pertama beliau membuka gerainya. Beliau mengusahakan jualan burgar. Lokasi gerainya tidak jauh daripada stesen LRT Wangsa Maju. Sebelum itu, saya ingin meminta maaf kerana foto gerai serta foto rakan saya itu tidak dapat saya sertakan dalam tulisan kali ini kerana terlupa membawa kamera semasa mengunjungi gerainya.

Isteri rakan saya ini merupakan rakan sejawat saya di sekolah. Beliau sekeluarga beberapa kali pernah ke rumah saya. Saya sekeluarga juga pernah sekali ke rumahnya. Demikianlah hubungan kami.

Di gerainya, saya makan 2 biji special burgar, manakala isteri saya dan Luqman makan sebiji burgar seorang. Rasanya memang menyelerakan.

Bila sebut sahaja berniaga, memang barang tentu banyak cabaran dan dugaan yang harus ditempuh. Bagi saya, paling penting ialah biarlah perniagaan yang diusahakan itu beroleh keberkatan daripada Allah. Berkat bukan bermakna untung besar atau untung cepat. Orang berniaga juga tidak boleh kedekut dan tak boleh juga boros. Jangan sekali-kali mengurangkan timbangan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh umat Nabi Allah Syuaib. Jika itu yang dilakukan, ia cepat mengundang murka Allah.

Lagi satu bila berniaga, jangan hari pertama dan kedua saja makanannya sedap dan menyelerakan. Bila masuk hari ke tiga dan seterusnya, ramuan mula dikurangkan dan resepi mula jadi tak sempurna. Jika itu yang dilakukan, nescaya bilangan pelanggan lebih ramai yang lalu daripada yang singgah.

Lagi satu tabiat orang berniaga, sama ada cemburu dengan kelarisan gerai sebelah, atau gerai sebelah cemburu dengan kelarisan perniagaan kita. Sifat sedemikian hanya mengakibatkan timbulnya persaingan kurang sihat. Kadang-kadang boleh meralat hingga kepada tuduhan kononnya si fulan ada tanam benda hingga perniagaannya kurang laris. Ini semua tak lebih daripada virus dalam perniagaan.

Seperkara lagi yang saya kurang berkenan ialah bila ada yang menggantung ayat-ayat Quran tertentu, kononnya bertujuan untuk melariskan perniagaan. Bahkan ada juga restoran dan gerai makan yang menggantung gambar pintu Kaabah untuk tujuan yang sama.

Antara ayat Quran yang popular yang sering digantung sama ada di gerai atau warung ialah petikan ayat kedua dan ketiga dalam Surah At-Talaq atau yang masyhur dengan nama “ayat seribu dinar”. Antara lain kedua-dua ayat tersebut bermaksud: “ .... Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah (sumber) yang tidak disangka-sangkanya, dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya (keperluannya), sesungguhnya Allah melaksanakan urusannya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”

Jika diteliti tafsir ayat di atas, para mufasirin menyimpulkan, sifat takwa dan tawakal merupakan kunci kepada kejayaan seseorang hamba Allah tanpa mengira bidang yang diceburinya. Antara balasan kepada orang yang mempunyai kedua-dua sifat di atas ialah dia akan beroleh rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya. Orang yang bertakwa dan bertawakal kepada Allah, sangat yakin dengan kudrat dan iradat Allah. Sebab itu, mereka sangat menyerah kepada Allah dan hanya kepada Allah mereka menyandarkan apa jua harapan, permintaan, rayuan atau yang seumpamanya. Demikianlah kiranya jika seseorang itu mempunyai sifat takwa dan tawakal.

Jadi, saya rasa, lebih baiklah jika ayat-ayat berkenaan digantung dalam hati sahaja. Apalah gunanya jika ayat-ayat Quran berkenaan ditulis besar-besar dan digantung tinggi-tinggi, tapi peniaga yang berkenaan bersifat jahat ketika berniaga, termasuklah mengurangkan timbangan, mengurangkan ramuan, mencacatkan resepi, tidak mesra dengan pelanggan, cemburu dengan perniagaan orang lain dan sebagainya. Jika demikianlah sifatyang ada, maka ayat-ayat Quran tersebut tak lebih sebagai perhiasan luaran sahaja. Orang Cina tak ada yang menggantung ayat seribu dinar, tapi perniagaan mereka tetap maju juga!

Sewaktu saya di kampus, saya ada seorang rakan bangsa Cina. Katanya, dia lebih suka makan pau bikinan orang Cina daripada yang dibikin oleh orang Melayu. Alasannya, pau bikinan orang Cina penuh inti, manakala pau yang dibikin orang Melayu pula lebih tebal tepungnya daripada inti. Saya tidak melihat kenyataan rakan saya itu berbau perkauman. Hakikatnya, memang acap kali bila saya makan pau buatan orang kita, tepungnya sahaja yang tebal, tapi intinya sedikit.

Kepada Saudara Asrol, selamat berniaga dan selamat berjaya saya ucapkan. Jika anda seorang peniaga yang bertakwa, anda pasti tidak akan kecewa. Bila anda berniaga dan bertawakal, perniagaan anda pasti akan kekal. Kepada isteri Asrol, sokongan dan dokongan anda untuk suami memang ditagih.

Saya bukan peniaga, saya sekadar berkongsi rasa.

Wednesday, February 24, 2010

Bicara Isu

Dilema Menggunakan Pengangkutan Awam

Pagi ini, salah seorang rakan sejawat saya lewat tiba ke sekolah. Semalam pula, seorang lagi rakan sejawat saya tiba lewat ke sekolah. Kedua-duanya cacat penglihatan. Bezanya, yang seorang buta dan yang seorang lagi rabun. Kedua-dua mereka tidak berkenderaan sendiri. Bukan mereka tak punya wang untuk memiliki kenderaan sendiri, tapi rasanya lebih baiklah kalau mereka gunakan wang tersebut untuk hal-hal lain. Kalau kedua-dua rakan sejawat saya itu beli kenderaan sendiri pun, buat masa ini masih belum ada ahli keluarganya yang sesuai untuk memandu kenderaan berkenaan. Oleh itu, bila mereka bergerak ke mana-mana, termasuk ke tempat kerja, mereka amat bergantung kepada kenderaan awam.

Boleh dikatakan, dalam sebulan, kedua-dua rakan sejawat saya itu akan tiba lewat ke sekolah beberapa kali, tapi rasanya taklah sampai 10 kali lewat. Kebiasaannya, walaupun mereka tiba lewat ke sekolah, tapi taklah sampai terlalu lewat. Mungkin lewat 5 minit ataupun 20 minit. Namun demikian, kalau berdasarkan rekod kedatangan pada punch card, lewat tetap lewat juga.

Sekali-sekala, bila rakan-rakan saya ini sedikit lewat tiba ke sekolah, ada juga pihak-pihak tertentu di sekolah yang akan berbunyi. Ada yang berbunyi di belakang. Ada yang berbunyi secara sindiran. Salah seorang rakan saya itu pernah dipanggil pengetua kerana tiba lewat.



Bila bersembang, pernah juga saya tanya kepada kedua-dua rakan saya itu, mengapa mereka lewat tiba ke sekolah. Salah seorang memberitahu saya, setiap hari beliau akan bangun sekitar 4.30 pagi. Setiap hari bekerja pula, beliau akan keluar rumah sekitar jam 6.45 pagi dan mula terpacak di jalan besar berhampiran rumahnya untuk menunggu teksi. Beliau tidak menggunakan bas atau LRT untuk ke tempat kerja kerana ia lebih melambatkan dan tidak sesuai kerana lokasi rumahnya yang jauh dari mana-mana stesen LRT.

Kata rakan saya ini, beliau pernah cuba menggunakan kereta persendirian untuk ke tempat kerja, tapi ia tidak bertahan lama. Macam-macam masalah yang harus beliau tempuhi. Ada kalanya, walaupun menggunakan khidmat kenderaan persendirian, beliau tiba lewat juga gara-gara kelewatan pihak lain. Selain itu, katanya lagi, charge yang harus beliau bayar juga lebih kurang sama juga dengan charge yang dikenakan oleh teksi.

Beliau pernah juga cuba menggunakan khidmat pemandu teksi secara tetap, sekurang-kurangnya untuk memudahkan beliau ke tempat kerja pada setiap pagi. Namun demikian, usaha beliau itu sia-sia sahaja. Boleh dikatakan, tiada pemandu teksi yang sanggup menghantar beliau ke tempat kerja secara tetap pada setiap pagi.



Rakan sejawat saya yang ini pula merupakan seorang yang berpenglihatan terhad (rabun). Beliau juga menggunakan perkhidmatan awam untuk ke sekolah, terutamanya bas dan LRT. Kadang kala, kalau sudah terdesak, beliau akan menggunakan perkhidmatan teksi. Ada kalanya, beliau juga akan tiba lewat ke sekolah. Katanya lagi, kebiasaannya beliau akan keluar dari rumah sekitar jam 6.15 ataupun 6.30 pagi. Namun demikian, bila bergelut dengan keadaan pengangkutan awam yang tidak menentu, beliau akan tiba lewat ke sekolah juga. Penglihatan terhad yang ada pada beliau hanya sekadar untuk memudahkan sedikit beliau berkejar untuk nnaik bas setakat mampu, atau menahan teksi tanpa bertanya orang lain, itu pun kalau beliau perasan ada teksi.

Satu pagi, rakan saya ini pernah dipanggil pengetua untuk mendapatkan penjelasan kenapa beliau lewat tiba ke sekolah. Beliau telah memberikan sebab-sebab yang benar-benar berlaku dan bukannya rekaan atau alasan. Tak pastilah pula sama ada sebab-musabab yang beliau utarakan itu diterima atau tidak oleh pengetua. Lagi pun, setakat yang saya tahu, pengetua yang ini bukan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan khas. Kemampuan membaca dan menulis Braille memang masih jauh panggang dari api walaupun sudah lebih daripada 5 tahun jadi pengetua di sekolah murid buta. Bergaul dengan orang buta pun sekadar dalam pagar sekolah sahaja. Jadi sukar orang yang semacam ini untuk benar-benar memahami dan mendalami permasalahan dan dilema yang sedang dilalui oleh kedua-dua rakan saya ini.

Bagi saya, adalah kurang adil jika kedatangan lewat rakan-rakan saya ini sahaja yang dipantau dan ditegur. Sedangkan rakan-rakan sejawat lain yang berpenglihatan dan berkenderaan sendiri pun ada yang datang lewat. Setiap orang yang datang lewat ada alasan dan sebab mereka tersendiri. Kedua-dua rakan saya ini merasakan, bila mereka tiba lewat ke sekolah, seolah-olahnya kesalahan yang mereka lakukan lebih besar daripada rakan-rakan sejawat lain yang berpenglihatan dan berkenderaan sendiri yang datang lewat. Lagi pun, kedua-dua rakan saya ini bukannya setiap pagi akan tiba lewat. Jika sistem perkhidmatan kenderaan awam sudah benar-benar efisyen dan kedua-dua rakan saya ini masih juga lewat, maka bagi saya barulah adil jika kesalahan tiba lewat ke sekolah dipikul sepenuhnya oleh kedua-dua rakan saya ini.

Saya juga pernah menggunakan perkhidmatan awam untuk ke sekolah suatu masa dahulu. Oleh itu, saya amat memahami jerih dan payah bagi orang seperti kami ketika menggunakan perkhidmatan kenderaan awam. Bukan macam hamba Allah yang seorang itu!

Saya sekadar memanjangkan keluhan rakan-rakan sejawat sahaja.

Sunday, February 21, 2010

Bicara Umum

Selamat Pengantin Baru Kepada Othman Deraman

Pada 19 dan 20 Februari, seorang sahabat lama saya, Saudara Othman Bin Deraman melangsungkan perkahwinannya. Pada 19 Februari, beliau telah mengadakan majlis walimatul urus di rumah sebelah perempuan di Kuala Krai. Manakala pada 20 Februari pula, majlis yang serupa dilangsungkan pula di rumah sebelah lelaki di Pasir Puteh, Kelantan.



(Dalam foto di atas, yang tengah itulah Saudara Othman bin Deraman)

Saya mula mengenali Saudara Othman Deraman sejak tahun 1975 lagi, iaitu sewaktu kami sama-sama menuntut di Sekolah Princess Elizabeth (PES) di Johor Baru. Sewaktu kami di sekolah menengah di Kuala Lumpur, walaupun kami belajar di sekolah yang berlainan, tetapi kami masih tinggal di asrama yang sama.

Dalam kalangan rakan-rakan seangkatannya, Saudara Othman Deraman juga popular dengan panggilan Ustaz. Sehingga ke hari ini pun, saya serta rakan-rakan lain yang seangkatan beliau masih lagi memanggilnya Ustaz. Panggilan berkenaan muncul bilamana kami sering memadankan beliau dengan seorang guru perempuan yang mengajar di sekolahnya. Kebetulan guru berkenaan ialah seorang ustazah. Oleh kerana yang perempuan ustazah, maka yang lelakinya (Othman) tentulah dipanggil Ustaz. Itulah antara rencah dan rencam sewaktu kami di peringkat sekolah menengah. Saya pun tak pasti, adakah ustazah berkenaan perasan atau tidak yang beliau dipadankan dengan Saudara Othman Deraman. Kini ustazah berkenaan merupakan seorang pengetua di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Setelah tamat tingkatan 5, masing-masing mula mencari haluan hidup masing-masing. Agaknya, mungkin berkat panggilan Ustaz kepada Saudara Othman Deraman, beliau mula berjinak-jinak dengan Alquran. Saudara Othman telah meneruskan pelajarannya dalam bidang hafazan Alquran di beberapa tempat. Akhirnya, Saudara Othman bin Deraman berjaya menjadi seorang hafiz Alquran. Kalau dahulu panggilan Ustaz kepada Saudara Othman Deraman sekadar gurauan semata-mata, Kini beliau benar-benar sesuai untuk dipanggil Ustaz.

Pada hujung minggu lepas, semasa saya bercuti di Cherating, saya sempat berbual dengan Saudara Othman melalui skype. Saudara Othman ada menyatakan perasaan sedikit gementarnya tatkala hari untuk akad nikah kian hampir. Saya memberitahu beliau, itu perkara biasa. Saudara Othman juga mengatakan, beliau tak sangka pula yang akirnya pada awal tahun ini beliau bertemu jodoh juga.

Kepada Ustaz (Othman), saya ucapkan selamat pengantin baru, semoga diberkati Allah dan berbahagia hendaknya dari dunia sampai akhirat. Soal cepat atau lewat bertemu jodoh sepatutnya tidak timbul, yang pentingnya, akhirnya anda bertemu juga dengan jodoh anda.

Di sini, saya juga menyusun kesemua jari yang ada di tangan memohon berbanyak-banyak maaf kerana tidak dapat hadir di majlis walimatul urus anda. Walaupun anda begitu mengharap akan kehadiran saya sekeluarga di hari bahagia anda, namun oleh kerana sebab yang tidak termampu saya mengelaknya, maka saya tidak dapat hadir.

Sekali lagi, saya sekeluarga mengucapkan selamat pengantin baru kepada ustaz dan pasangannya, semoga berkekalan jodoh anda hingga ke akhir hayat.

Thursday, February 18, 2010

Bicara Isu

Keluhan Kepada Teksi Di Kuala Lumpur

Mereka yang kerap menggunakan teksi, sudah tentu mempunyai bermacam-macam pengalaman yang dilalui. Walaupun hari ini saya punya kenderaan sendiri (isteri yang pandu), namun demikian ada ketikanya saya akan menggunakan juga perkhidmatan teksi. Hal ini boleh berlaku jika isteri saya tiada di rumah, atau saya sengaja ingin menggunakan perkhidmatan teksi. Lagi pun, sebelum berumah tangga pun, saya memang kerap menggunakan perkhidmatan teksi dan juga kenderaan awam yang lain.

Di sini, saya ingin berkongsi pengalaman selaku pengguna teksi yang lebih berbentuk keluhan. Apa yang saya alami bukan dengan pemandu teksi, tetapi dengan syarikat-syarikat pengendali radio teksi.

Kebiasaannya, jika saya inginkan perkhidmatan teksi dari rumah, saya akan menggunakan perkhidmatan pengendali radio teksi. Di sekitar Lembah Kelang, terdapat beberapa buah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan radio teksi. Sebab utama saya memanggil teksi menerusi perkhidmatan radio teksi ialah kerana saya tidak perlu ke jalan besar untuk menahan teksi. Lagipun, tujuan ditubuhkan syarikat perkhidmatan radio teksi adalah untuk memberikan kemudahan dan perkhidmatan seperti inilah.

Kebiasaannya bila saya inginkan perkhidmatan teksi, saya akan menelefon syarikat radio teksi tertentu. Antara butiran yang diminta oleh pengendali (operator) radio teksi ialah alamat rumah saya dan destinasi yang akan saya tuju. Setelah itu, pengendali yang bertugas akan meminta nombor telefon saya pula. Kerap kali juga operator berkenaan akan mengakhiri perbualan dengan berkata: “Nanti saya panggil (telefon) balik”.

Apa yang sering berlaku ialah acap kali juga saya terpaksa menanti lebih daripada setengah jam. Kerap kali juga, setelah agak lama nenunggu, saya pula yang kena hubungi semula syarikat radio teksi berkenaan. Lebih menyakitkan hati ialah setelah dihubungi semula, syarikat radio teksi berkenaan akan memberitahu saya, tiada teksi. Kalau demikian jadinya, apa gunanya nombor telefon saya diambil? Sepatutnya, oleh kerana nombor telefon bakal penumpang sudah diambil, maka pengendali radio teksi harus memaklumkan semula kepada penumpang yang berkaitan, sama ada ada perkhidmatan teksi atau sebaliknya.

Saya ada seorang rakan yang juga sering mengalami pengalaman yang hampir serupa. Kata rakan saya tersebut, pernah beberapa kali, bila dia hubungi syarikat radio teksi dan hal yang sama berlaku, beliau akan hubungi semula syarikat radio teksi yang sama, tapi kali ini beliau memberitahu destinasinya ialah KLIA. Yang anehnya, perkhidmatan teksi untuk ke destinasi seperti KLIA tak pernah putus dan sentiasa ada. Setelah beberapa minit, rakan saya itu akan hubungi semula syarikat radio teksi berkenaan dan memaklumkan pembatalan perkhidmatan teksi untuk destinasi KLIA. Kreatif juga rakan saya yang ini buat eksperimen!

Dalam hal ini, pujian harus saya berikan kepada Syarikat Radio Teksi Selangor Wilayah (SW Taxi). Bila saya hubungi syarikat berkenaan untuk perkhidmatan teksi, pengendalinya akan terus hubungi pemandu teksi untuk destinasi yang saya ingini. Pada masa itu juga saya akan dimaklumkan sama ada perkhidmatan teksi untuk destinasi yang saya ingini itu ada atau sebaliknya. Walaupun mungkin tiada perkhidmatan teksi untuk saya ketika itu, tetapi oleh kerana pengendaliannya dilakukan secara profesional, maka saya berpuas hati dan masih boleh tersenyum.

Saya ketengahkan isu ini kerana saya sendiri kerap melalui pengalaman yang serupa tatkala memerlukan perkhidmatan teksi menerusi syarikat radio teksi. Saya pernah mencuba untuk memperbaiki keadaan dengan mengusulkan kepada operator syarikat yang berkaitan supaya memaklumkan kepada saya sesegera mungkin jika tiada perkhidmatan teksi, tetapi ia tak ubah bagai mencurah air di daun keladi sahaja.

Kesimpulannya, pihak pengurusan tertinggi syarikat pengendali perkhidmatan radio teksi seharusnya peka dengan permasalahan seumpama ini. Para operator yang mengendalikan panggilan penumpang yang memerlukan perkhidmatan teksi yang berdaftar di bawah syarikatnya harus kreatif dalam menyelaraskan antara keperluan penumpang yang memanggil dengan para pemandu teksi yang menyediakan perkhidmatan. Jika perlu, latihan khusus harus diberikan kepada para operator yang bertugas di syarikat-syarikat radio teksi supaya perkhidmatan yang diberikan lebih efisyen.

Tuesday, February 16, 2010

Bicara Peristiwa

Menziarahi Keluarga Allahyarham Saini




Sekitar jam 9.30 pagi, saya sekeluarga bertolak dari Kuantan menuju ke rumah Allahyarham Saini binti Senawi yang terletak di Kampung Paya Taram, Temerloh. Berita mengenai kematian beliau ada saya muatkan dalam posting terdahulu. Sekitar jam 10.55 pagi, saya, isteri serta Luqman tiba di rumah Allahyarham. Semasa saya tiba, kedengaran orang sudah ramai di persekitaran rumahnya. Sewaktu saya tiba, jenazah sedang dimandikan.



Setibanya kami, saya terus bertemu dengan beberapa orang ahli PERTIS yang kebetulan telah sampai lebih awal. Antara mereka termasuklah En. Bidin (Pengerusi PERTIS Pahang), En. Muhammad Kassim, En. Zurani, En. Idris serta beberapa orang lagi.



Namun demikian, seperkara yang saya kurang berkenan ialah rakan-rakan saya yang ini asyklah berborak dan bergelak. Mereka sepatutnya maklum bahawa mereka sedang menziarahi rakan yang kematian isteri yang juga merupakan rakan mereka. Takkanlah tak reti-reti nak baca apa yang patut! Nak ditegur, semuanya sudah berusia.



Setelah itu, saya masuk ke dalam rumah dan bertemu dengan Sudin Mohd Yusuf, suami Allahyarham. Dari suaranya, saya dapat merasakan kesugulan yang amat sangat yang sedang melanda batin Sudin. Menurut Sudin, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.57 malam tadi. Katanya lagi, Allahyarham menghidap penyakit kencing manis. Pernah dimasukkan ke hospital tapi sekejap sahaja kerana Allahyarham sendiri yang minta untuk keluar dan duduk di rumah sahaja. Kata Sudin lagi, 2 bulan terakhir merupakan tempoh di mana Allahyarham agak menderita kerana penyakitnya. Saya merasa syukur ke hadhrat Allah bilamana Sudin memberitahu, semasa hayatnya, Allahyarham sering memanfaatkan Alquran Braille yang beliau peroleh daripada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).



Sudin dan Allahyarham mempunyai 2 orang anak, kedua-duanya perempuan. Yang tua berusia 25 tahun, manakala yang bungsu berusia 21 tahun. Yang bungsu sedang mengikuti latihan perguruan di IPG Kuala Lipis.



Turut menziarahi keluarga Allahyarham ialah Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau. Beliau peramah dan mesra. Beliau turut menyapa saya. Kami saling berkhabaran dan berterima kasih antara satu sama lain kerana kehadiran masing-masing menziarahi keluarga Allahyarham.



Macam tu lah YB. Sakit pening anak buah kena rajin jenguk dan tengok. Barulah anak buah sayang!





Setelah jenazah selesai dimandi dan dikafan, maka solat jenazah pun dilaksanakan. Setelah itu, jenazah Saini pun mula dibawa dengan kenderaan jenazah ke kawasan perkuburan yang terletak sekitar 1 KM dari rumahnya. Marilah bersama-sama kita berdoa semoga Allahyarham ditempatkan bersama-sama para solihin. Sekitar jam 12.45 tengah hari, saya sekeluarga pun meninggalkan perkarangan rumah Allahyarham untuk kembali semula ke Kuantan.





Kepada Allahyarham Saini binti Senawi, selamat pergi untuk selama-lamanya. Kami semua pasti akan menyusul anda suatu hari nanti. Hari yang dijanjikan Allah untuk anda sudah tiba. Hari yang dijanjikan Allah untuk kami pula masih lagi menjadi rahsia.

Salam dari Kuantan.

Berita Tengah Malam

Pn. Saini Kembali Ke Rahmatullah

Hari ini, telah berlakulah hukum Allah ke atas hamba-Nya. Sekitar jam 12.20 sebentar tadi, saya menerima SMS daripada Saudara Zahari Hashim (Along) yang memaklumkan bahawa Pn. Saini telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 11 malam sebentar tadi. Saya pun terus forwardkan SMS tersebut kepada beberapa orang AJK Pusat PERTIS. Setelah itu, saya menghubungi pula En. Bidin Ali yang juga merupakan Pengerusi PERTIS Pahang. Beliau mengesahkan berita tersebut. Menurut Bidin lagi, jenazah Pn. Saini akan dikebumikan esok.

Sebenarnya siang tadi En. Abu Hassan yang juga merupakan Setiausaha Agung PERTIS Pusat telah pun menghubungi saya dan memaklumkan bahawa Pn. Saini dalam keadaan uzur yang amat sangat. Saya bercadang untuk menziarahi beliau esok atau lusa. Namun begitu, Allah telah terlebih dahulu menjemput beliau.

Pn. Saini binti Senawi ialah isteri kepada En. Sudin Mohd Yusuf, rakan saya, yang juga bekas Pengerusi PERTIS Pahang. Beliau seorang ahli PERTIS yang aktif dan sering menghadiri majlis anjuran PERTIS Pahang. Saya mengenali Pn. Saini juga kerana sama-sama menghadiri majlis-majlis anjuran PERTIS Pahang.

Kepada En. Sudin dan keluarga, bersabarlah menghadapi saat yang paling dukacita ini. Sesungguhnya saat yang telah dijanjikan Allah untuk Pn. Saini telah tiba. Hanya saat serupa yang telah dijanjikan Allah untuk kita pula yang masih rahsia.
Alfatihah ...

Monday, February 15, 2010

Bicara Peristiwa

Kemalangan Kecil

Semalam (14 Februari), sekitar jam 1.00 tengah hari saya serta seluruh keluarga yang sedang bercuti di Cherating Bay Resort pun Checked out. Kami terus saja menghala ke bandar Chukai untuk mengisi minyak. Setelah itu, kami singgah pula di satu medan selera di sekitar Geliga.



Setelah makan tengah hari, kami pun singgah pula di Pantai Mak Nik (kalau tak silap saya). Di sini banyak terdapat gerai menjual pelbagai jenis keropok, sata serta pelbagai jenis hasil laut lain hingga saujana telinga mendengarnya. Setelah masing-masing selesai dengan belian masing-masing, kami pun mula bergerak menuju ke Kuantan.



Belum pun jauh kami memulakan perjalanan (sekitar 5 minit), tatkala konvoi kenderaan kami melalui tidak jauh dari SMK Gendang Geliga, tiba-tiba kereta yang dipandu oleh Rosli (salah seorang anggota rombongan) dirempuh oleh sebuah motosikal di sebelah kanan ke hadapan sedikit daripada pintu pemandu. Apa lagi, seluruh anggota rombongan yang seramai sekitar 35 orang itu pun mengerumuni tempat berlakunya kemalangan, termasuklah saya. Menurut Rosli, rempuhan tersebut berlaku ketika beliau hendak membelok dan isyarat untuk membelok telah pun diberi. Motosikal yang merempuh pula merupakan sebuah daripada beberapa buah motosikal yang sedang berkonvoi. Kesemuanya ditunggang oleh golongan remaja. Syukur alhamdulillah kerana Rosli dan seisi keretanya tidak apa-apa, tetapi bahagian kenderaannya yang dirempuh kemek. Saya turut memeriksa tempat yang kemek tersebut .... sekadar menyentuh/merabanya sahaja.

Menurut Rosli lagi, ketika rempuhan, motosikal berkenaan sedang ditunggang dengan laju, mungkin penunggangnya ingin mengejar rakannya yang sudah agak jauh di hadapan. Apa yang lebih mendukacitakan ialah, penunggang yang merepuh kereta Rosli tidak bertopi keledar pula. Saya dan kami semua tak pasti pula sama ada dia mempunyai lesen yang sah atau tidak.



Manakala penunggang motosikal yang merempuh tadi cedera. Hidungnya berdarah. Demikian saya dimaklumkan. Kata adik perempuan saya, mungkin tangannya patah. Lagipun dia jatuh di atas bahagian hadapan kereta lebih dahulu sebelum tergolek-golek ke atas jalan raya.

Melihatkan keadaan penunggang motosikal berkenaan cedera, adik perempuan saya terus meminta rakan-rakannya yang lain supaya membawa mangsa ke klinik atau hospital yang berhampiran. “Saya bimbang nanti dekat sini pula dia jalan,” kata adik perempuan saya kepada rakan-rakannya yang lain. Mereka akur sahaja.



Sementara itu, kenderaan mangsa ditinggalkan sahaja di tempat kemalangan. Lagipun keadaan motosikalnya agak teruk. Rimnya bengkok. Mungkin kena tunda sahaja lepas ini. Maka berkeping-kepinglah gambar yang dapat diambil. Salah seorang rakan mangsa menghampiri kami dan merayu supaya kami tidak membuat laporan polis. Kami semua diam. Kemudian saya mencelah, “Kami tak akan buat laporan polis, kami Cuma nak buat police report saja.” Lalu saya pun menoleh kepada adik lelaki saya, dengan nada tegas saya katakan, “Buat police report, muktamad.” Yang lainnya akur saja.

Kemudian, saya, isteri serta 2 lagi anggota rombongan pun ke balai polis yang berhampiran. Rupa-rupanya ia bukannya balai polis, Cuma pondok polis sahaja. Menurut anggota polis yang sedang bertugas, laporan kemalangan harus dibuat di Cawangan Trafik di Chukai. Mungkin kerana kemalangan tidak besar, jadi anggota polis tidak perlu datang ke tempat berlakunya kemalangan. Kami pun berkonvoi pula ke Cawangan Trafik di bandar Chukai. Motosikal mangsa tinggal di tempat kemalangan.



Sekitar jam 4.00 petang, kami pun tiba di Cawangan Trafik bandar Chukai. Rosli dan adik lelaki saya yang masuk untuk membuat police report. Yang lain di luar sahaja. Sementara menanti, saya, isteri, emak serta beberapa anggota rombongan ke Masjid Kampung Chukai untuk solat zohor – asar secara jamak dan kasar.

Sekitar jam 5.15 petang baru adik lelaki saya dan Rosli keluar dari balai. Bila ditanya mengapa ambil masa begitu lama, kata adik lelaki saya, mereka menanti sarjan tiba. Tak pasti pula saya tok sarjan ke mana sebelumnya. Walau bagaimanapun, saya berpendapat, oleh kerana kebiasaannya musim cuti sebegini kerap berlaku kemalangan, maka seorang sarjan mungkin tidak mencukupi untuk menangani kes-kes kemalangan yang kebiasaannya akan meningkat pada musim begini. Oleh itu, eloklah ditempatkan beberapa orang sarjan di satu-satu cawangan trafik supaya dapat menanganai kes-kes kemalangan seperti ini dengan lebih tepat, cepat, cekap dan betul. Tak gitu?

Sekitar jam 5.30 petang baru kami dapat memulakan semula perjalanan kami menghala ke Kuantan. Kali ini, kereta saya pula yang jadi kepala konvoi. Baru saja memulakan perjalanan, adik lelaki saya menghubungi saya dan meminta supaya kelajuan hanya setakat 60 KM sahaja kerana katanya, kereta Rosli tidak boleh dipandu laju, Alignmentnya lari sangat. Oleh kerana kelajuan yang terbatas, maka kami mengikut lorong sebelah kiri sajalah.

Kemalangan yang terjadi agak kecil sahaja. Ia tidak melibatkan kecederaan yang benar-benar sirius atau kehilangan jiwa. Namun begitu, Rosli mungkin terpaksa mengeluarkan belanja yang agak besar untuk membaiki keretanya. Yang peliknya, mengapakah penunggang motosikal di negara kita tak pernah serik dengan pelbagai kemalangan yang sering menimpa golongan seperti mereka saban waktu? Mereka sering menunggang motosikal macamlah jalan raya kepunyaan keluarga mereka saja. Kecuaian mereka sering menyusahkan orang lain. Gara-gara kemalangan kecil itu, rancangan kami untuk berehat di sekitar pantai di Kuantan petang itu hancur berkecai. Maka merengeklah anak-anak buah saya yang masih belum mencapai usia aqil baligh itu!

Kata orang, banyak berjalan, luas pengalaman, tambah pengetahuan. Kecacatan penglihatan bukan penghalang untuk kita melakukan semuanya itu!

Salam dari Kuantan.

Sunday, February 14, 2010

Bicara Peristiwa

Hujung Minggu Di Cherating

Pagi semalam, saya sekeluarga bertolak dari Kl sekitar jam 7.30. Haluan ke pantai timur agak sesak di tol Gombak dan juga di sekitar bentung. Bila masuk sahaja di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) perjalanan agak selesa. Namun begitu, di R & R Temerloh, orang ramai, penuh dan sesak. Jadi, kami telah membatalkan rancangan asal untuk bersarapan di situ. Isteri saya hanya sempat membeli sedikit makanan ringan cukup untuk mengalas perut sahaja. Sekitar jam 10.30 kami tiba di Kuantan. Kami singgah dahulu di rumah abang ipar yang sulung untuk menyambung sarapan yang tertangguh.

Sekitar jam 11.30, keluarga saya yang datang dari Melaka menelefon dan memberitahu mereka baru melepasi persimpangan Muazam – Kuantan. Ini bermakna, mereka sudah hampir dengan Kuantan. Kami pun terus menetapkan tempat untuk bertemu.

Kami bertemu di Masjid KIPSAS. Saya kurang pasti bilangan sebenar ahli keluarga dari Melaka, tetapi mereka datang dengan 5 buah kenderaan pelbagai saiz. Setelah bertemu, kami pun terus menuju ke Cherating. Sekitar jam 12.45, kami tiba di Cherating Bay Resort. Di sinilah kami serta seisi keluarga dari Melaka akan berhujung minggu.

Sebenarnya, percutian pendek hujung minggu kali ini dirancang sepenuhnya oleh adik lelaki saya yang bertugas di Muar. Dia dan keluarganya pernah bercuti di sini beberapa kali. Boleh dikatakan, 90% perbelanjaan percutian di sini kali ini dia yang tanggung.



Setibanya kami di sini, kami dijamu dengan makan tengah hari. Setelah itu barulah pembahagian bilik dibuat.



Setelah Checked in, kami berehat sebentar. Sebelah petangnya, saya dan isteri sekadar bersiar-siar di sekitar resort. Kami juga ke luar dan berkereta hingga ke Cukai, Kemaman. Jarak antara Cherating dan Cukai hanya sekitar 14 KM sahaja. Sebenarnya, walaupun saya sangat biasa dengan Kuantan, tetapi ini kali pertama saya bercuti di Cherating. Kebiasaannya kami hanya lalu sahaja ketika ke Terengganu.



Anak-anak buah yang kecil pula sibuk dengan mandi di kolam. Saya serta yang sudah berumur sekadar memerhati sahaja. Seronok benar mereka di kolam seakan tak mahu naik lagi rasanya. Luqman pula takut-takut berani.



Saya dan isteri sempat singgah dan merasai keenakan keropok leko di Geliga. Mungkin kerana adunannya lebih asli jika dibandingkan dengan KL, maka rasanya memang enak. Bertambah-tambah saya makan. Keenakan dan keselesaan tempat sekitar gerai diserikan lagi dengan tiupan angin pantai yang sedikit kuat. Memang seronok.

Sebelah malamnya pula, kami menikmati makan malam yang disediakan oleh resort. Semuanya telah ditempah. Setelah itu, saya dan isteri serta Luqman sekadar bersiar-siar di sekitar Cherating, menikmati fenomena waktu malam di sini. Ada juga tempat yang dinamakan sebagai Little Bali. Tak tahulah apa yang ada di dalamnya.

Salam dari Cherating.

Friday, February 12, 2010

Bicara Umum

Terima Kasih Kepada Kakitangan Hotel Quality



Saya baru sahaja selesai menghadiri satu mesyuarat di Hotel Quality, Kuala Lumpur. Mesyuarat kali ini telah berlangsung dari 7 Februari hingga 12 Februari 2010. Di sepanjang mesyuarat, semua ahli mesyuarat memang dikehendaki supaya menginap di hotel.



Pada hujung Disember lalu, saya juga telah menghadiri satu lagi mesyuarat di hotel yang sama. Waktu itu, saya telah menginap di Hotel Quality selama lebih kurang 10 hari dan 9 malam.



Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah, setelah berpeluang menginap di hotel tersebut sebanyak 2 kali dan dalam jangka masa yang agak panjang, saya mendapati kakitangannya bukan sahaja baik, mesra dan peramah, bahkan yang lebihistimewa lagi ialah para kakitangannya mesra OKU, terutamanya golongan cacat penglihatan. Ada beberapa pengalaman saya sendiri yang menunjukkan bahawa kakitangan hotel berkenaan mesra OKU.

Jika saya sampai sahaja di kaunter, kakitangan yang ada di sana akan terus bertanya jenis pertolongan yang saya perlukan. Walaupun pertolongan yang diperlukan mungkin ke tahap menghantar ke bilik penginapan, mereka tetap sudi menolong.

Selain itu, kakitangan di Coffee House juga amat mesra. Kebiasaannya, bila saya tiba sahaja di Coffee House, kakitangannya akan terus menyambut saya, membawa saya ke tempat duduk yang sesuai, kemudian terus bertanya menu yang saya ingini. Jika saya meminta mereka menyebutkan menu yang ada, mereka tidak keberatan. Kebiasaannya saya tidak perlu memanggil semula mana-mana kakitangan untuk menambah makanan atau sebagainya, kerana bila mereka lihat pinggan saya hampir kosong, mereka akan datang dan terus bertanya sama ada saya ingin menu baru atau menambah menu yang baru saya habiskan. Bahkan ada seorang dua kakitangan yang akan terus menghidangkan satu makanan kegemaran saya ketika bersarapan tanpa bertanya dahulu kepada saya. Bila saya bertanya, bagaimana mereka tahu yang ini makanan kegemaran saya? Mereka menjawab, kerana pada bulan Disember dahulu saya sering memesan makanan berkenaan ketika bersarapan.

Oleh itu, oleh kerana sebahagian besar kakitangan di hotel ini mesra OKU, maka saya lebih yakin untuk bergerak bersama-sama rakan-rakan yang secacat atau secara bersendirian di dalam premis hotel walaupun tanpa bantuan daripada rakan-rakan yang berpenglihatan. Di sini, saya tidaklah bermaksud rakan-rakan yang berpenglihatan dalam mesyuarat kali ini kurang membantu. Saya tidak sekali-kali bermaksud demikian.

Kepada Cik Faizah, Cik Nurul, Cik Mimi, Cik Shidah, En. Mike, dan seluruh kakitangan di Hotel Quality, berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan. Saya yakin, sikap anda semua yang mesra OKU bukan semata-mata kerana tugas, tapi anda sememangnya insan yang baik.



Kepada rakan-rakan yang secacat pula, pergantungan kita kepada pertolongan dan bantuan daripada orang lain memang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, jangan cerewet bila dibantu atau tatkala inginkan pertolongan. Kita juga jangan terlalu bergantung dan mengharap hanya kepada seorang dua rakan yang berpenglihatan semata-mata, kerana jika perkara sedemikian berlarutan, nanti pertolongan dan bantuan akan semakin jauh daripada kita.

Tuesday, February 9, 2010

Menungan Malam

Cikgu Rahman Dalam Ingatan

Cikgu Rahman (Cikgu Abdul Rahman bin Omar) merupakan antara manusia yang tak mungkin luput dari ingatan saya selama-lamanya. Saya mula berkenalan dengan beliau tatkala kami sama-sama bertugas di SMK Haji Zainul Abidin, Pulau Pinang kira-kira sedekad yang lalu. Beliau berpindah ke sekolah berkenaan 2 minggu lewat daripada tarikh kemasukan saya ke sekolah berkenaan. Sebelumnya beliau bertugas di Sekolah Al-Masyhur, sebuah sekolah yang terkenal juga di Pulau Pinang.



Sejak pertemuan dan perkenalan antara saya dan Cikgu Rahman, kami terus menjadi akrab. Dari sudut usia, Cikgu Rahman jauh lebih berusia daripada saya. Namun demikian ia bukan halangan untuk kami berdua menjadi begitu rapat. Keakraban kami banyak disebabkan oleh kebaikan dan keprihatinan cikgu Rahman terhadap saya.



Setiap hari Jumaat, Cikgu Rahman akan membawa saya ke masjid untuk solat Jumaat. Di sepanjang saya bertugas di Pulau Pinang, beliau tak pernah keciciran walaupun sekali untuk mempastikan saya akan ke masjid bersama-sama beliau pada setiap hari Jumaat.

Adalah menjadi kebiasaan, Cikgu Rahman akan membawa saya ke rumahnya dahulu sebelum kami sama-sama ke masjid. Bila tiba di rumahnya, saya akan dijamu dengan makanan ringan seperti mi atau kuih-kuih. Selepas pulang dari masjid, beliau akan menjamu pula saya dengan nasi. Begitulah setiap minggu. Selepas makan, Cikgu Rahman akan menghantar saya ke St. Nicholas kerana pada waktu itu saya menyewa salah sebuah bilik tamu di sana sebagai tempat tinggal saya. Begitulah setiap hari Jumaat.



Selain itu, pada setiap pagi, Cikgu Rahman akan membawakan untuk saya sebekas air (kebiasaannya teh panas) dan juga roti. Ia berlangsung pada setiap pagi tanpa putus. Saya pernah beberapa kali meminta agar beliau tidak membawakan sarapan untuk saya terlalu kerap, tetapi beliau menolaknya. Katanya, selagi dia dan saya bertugas di sekolah yang sama, maka selagi itulah beliau akan membawakan sarapan untuk saya. Akhirnya saya tak mampu untuk menolaknya lagi.

Oleh kerana saya kerap ke rumah Cikgu Rahman, maka saya kemudiannya juga turut rapat dengan ahli keluarganya. Saya kenal dan mesra dengan anak-anaknya dan juga dengan Kak Kiah, isterinya.

Bila naik kereta bersama Cikgu Rahman, beliau suka dengar ceramah agama yang bukan berbau politik. Maka tahulah saya, Cikgu Rahman memang kurang minat dengan politik.

Satu perkara mengenai Cikgu Rahman ialah, beliau suka bertanya jika saya menghadapi masalah di Pulau Pinang. Pertanyaan sedemikian kerap dan berulang. Maka jawapan saya juga sentiasa sama, tiada masalah. Ada ketikanya, bila saya ketiadaan teman untuk membeli tiket bas untuk pulang ke KL, Cikgu Rahmanlah yang akan menemani saya. Pernah beberapa kali beliau ingin menolong untuk mencarikan rumah sewa, tapi saya menolaknya kerana saya memang merancang untuk tidak tinggal lama di Pulau Pinang.



Oleh kerana akrabnya antara saya dengan Cikgu Rahman, ada juga beberapa guru di sekolah kami yang menganggap saya adalah anak angkat Cikgu Rahman. Sama ada saya atau Cikgu Rahman, kami tak memberi sebarang komen. Kami dengar sahaja ulasan atau usikan mereka.

Pada awal tahun 2000, saya berjaya berpindah ke KL. Tentunya saya begitu gembira kerana dapat bertukar ke KL. Hanya satu sahaja yang membuatkan hati saya begitu berat untuk meninggalkan Pulau Pinang, iaitu Cikgu Rahman. Setelah saya berpindah ke KL, Cikgu Rahman ada memberitahu saya, pada hari Jumaat anaknya yang bungsu akan bertanya, mengapa saya tidak datang ke rumahnya. Demikianlah akrabnya kami.

Takdir dan ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menolaknya. Pada hujung Julai 2001, Cikgu Rahman kembali ke Rahmatullah. Hidayah, salah seorang anak Cikgu Rahman menghubungi saya ketika itu tatkala jenazahnya masih di rumah. Pilu hati saya mendengar berita sedih itu. Apakan daya, oleh kerana sebab yang tidak termampu saya mengelaknya, saya tidak dapat ke Pulau Pinang untuk menghadiri pengkebumian Cikgu Rahman. Setiap kali saya teringatkan Cikgu Rahman, pasti Alfatihah akan saya bacakan untuknya.

Hari ini, walaupun hampir 9 tahun Cikgu Rahman menghadap Ilahi, namun hubungan antara saya dan keluarganya tetap akrab dan mesra. Anak-anaknya juga ramai yang sudah berumah tangga dan berjaya. Ada juga antara anak-anaknya yang sudah menjawat jawatan seperti pensyarah dan guru.

Semoga Cikgu Rahman sentiasa di dalam rahmat Allah hendaknya.

Thursday, February 4, 2010

Menungan Malam

Tukang Kasut Di Kaki Lima

Petang tadi, saya telah ke Wangsa Maju untuk beberapa urusan. Salah satunya ialah urusan berkaitan kasut isteri saya yang rosak sedikit. Katanya, dah tak selesa untuk dipakai lagi.



Kebetulan ada seorang tukang kasut di satu kaki lima. Jadi, kami pun singgahlah untuk membaiki kasut isteri saya dengan beliau. Sambil membaiki kasut, saya pun duduk berhampiran beliau dan mula membuka bicara. Pada mulanya, pertanyaan saya merupakan soalan-soalan biasa sahaja. Bila pertanyaan saya dijawab dengan agak mesra, itu bermakna responnya baik.

Kata tukang kasut berkenaan, beliau berasal dari Batu Pahat. Katanya lagi, beliau sudah lama berhijrah ke KL. Pada masa ini, beliau menetap di Setapak, tetapi tidak menyatakan lokasinya secara terperinci.



Saya kemudiannya mula bertanya mengenai sekitar pekerjaannya. Kata tukang kasut berkenaan, beliau memang menjadi tukang baiki kasut sepenuh masa. Setiap hari, beliau akan mula beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga jam 7 malam.

Beliau meneruskan bicara, katanya, beliau sudah beroperasi di tempat sekarang sejak tahun 1997 lagi. Bagi saya, tempoh tersebut cukup panjang bagi seorang tukang baiki kasut. Beliau meneruskan lagi dengan berkata, “Orang sekolah tak tinggi macam saya ni, inilah pekerjaan yang sesuai.” Saya berkata pula, “Tak mengapa, asalkan ianya halal dan diredhai Allah.”

Lalu saya bertanya lagi, bagaimana beliau boleh bertahan selama hampir 13 tahun selaku tukang baiki kasut? Katanya, minat dan itu sahaja kemahiran yang ada padanya. Saya berkata lagi, pelanggan mesti mencukupi, sebab itulah boleh bertahan sebegitu lama. Beliau berkata, kalau kita buat kerja betul mestilah semua pelanggan puas hati. Esok atau lusa bila kasut mereka rosak, mereka akan datang semula. Saya sekadar mengangguk tanda setuju.

Kemudian saya bertanya lagi, adakah beliau kerap balik ke Batu Pahat? Katanya, sudah 10 tahun beliau tak pulang sebab tak cukup belanja. Katanya lagi, tahun ini beliau berazam akan pulang juga untuk menjenguk kampungnya. Sudah cukup belanja agaknya, tapi saya berkata dalam hati sahaja.

Lalu saya bertanya lagi, adakah dia mempunyai keluarga (isteri dan anak). Katanya, kerja selaku tukang baiki kasut sekadar cukup makan untuk seorang sahaja, tak cukup untuk menanggung orang lain.



Daripada pemerhatian saya, kerjanya halus dan teliti. Ia menggambarkan kemahiran yang ada pada beliau selaku tukang baiki kasut. Satu sahaja yang mungkin beliau perlu perbaiki, beliau melakukan kerjanya tanpa menggunakan sarung tangan. Bukankah yang dibaiki ialah kasut. Bila sebut sahaja tugas-tugas kasut, maka macam-macam yang dipijaknya, yang basah, yang kering, yang lembut, yang keras, pelbagai jenis sisa dan buangan, semua habis dilanyaknya. Lagi pun, jika menggunakan sarung tangan, ia dapat mengelakkan pelbagai virus atau kuman masuk dan meresap ke dalam badan.

Terfikir juga saya untuk mencadangkan kepada beliau supaya menggunakan sarung tangan, tapi takut berkecil hati pula beliau. Setelah saya berfikir semula, saya rasa lain kali bila saya menjadi pelanggannya saya bercadang untuk menghadiahkannya sarung tangan. Mudah-mudahan dia faham maksudnya.

Walaupun dia hanya cuma seorang tukang baiki kasut, dia juga punya hati yang perlu kita jaga.

Berita Pagi

Menziarahi Cikgu Mad

Alhamdulillah, dalam kesibukan semalam, saya sekeluarga berkesempatan juga menziarahi Cikgu Mad (Cikgu Mohamed bin Ismail). Ketika ini beliau dengan ditemani isterinya tinggal sementara di tempat penginapan di MAB.

Sekitar jam 10.15 malam, saya sekeluarga tiba di MAB untuk menziarahi beliau. Menurut Kak Jun (isterinya), jika tiada aral melintang, hari ini(Khamis) mereka akan kembali ke Terengganu. Lagi pun, katanya, selepas perayaan tahun baru Cina nanti, mereka kena datang semula ke KL untuk meneruskan rawatan.

Mengenai keadaan kesihatannya yang terkini, beliau belumlah sihat lagi. Sebab itulah kena datang semula ke KL untuk meneruskan rawatan. Lagi pun, beliau (Cikgu Mad) masih dalam tempoh cuti lagi. Cikgu Mad sendiri tak berani meramalkan kemungkinan masa depan kesihatannya.

Kami juga sempat berbual mengenai PERTIS. Maklumlah pertemuan antara YDP (Cikgu Mad) dengan NYDP (saya). Saya sekadar mentaklimatkan perkembangan paling terkini mengenai PERTIS. Ini termasuklah kerjasama dengan UTM dan juga kemasukan kakitangan baru. Cikgu Mad memberitahu, kemungkinan besar, saya akan terus kena mempengerusikan mesyuarat PERTIS untuk tempoh yang panjang. Saya diam dan akur sahaja.

Sekitar jam 10.40 malam, kami pun meninggalkan MAB. Kami tinggalkan dengan doa semoga Cikgu Mad cepat sembuh.

Orang sakit sahaja yang terlebih maklum betapa nikmatnya jadi orang sihat.

Monday, February 1, 2010

Menungan Malam

Jadilah Jiran Yang Baik

Saya berjiran dengan seorang jiran. Namanya pun jiran, jadi rumahnya tidaklah berapa jauh jaraknya daripada rumah saya. Saya kenal jiran ini melalui suaranya sahaja. Bertegur sapa memang tak pernah walaupun setelah lebih lima tahun kami berjiran. Beberapa ketika dahulu, isteri saya cuba juga berkomunikasi dengan sang isteri jiran saya ini, tetapi melihatkan impak yang tidak kena, jadi hubungan yang baru nak berputik terus lebur menjadi debu.

Foto rumah jiran saya yang ini memang ada dalam simpanan saya. Tak sampai hati pulak saya paparkan dalam tulisan kali ini, takut-takut nombor rumahnya terpampang sekali. Nanti seisi alam tahu. Yang malu, kami setaman juga. Rasanya sang jiran yang seorang ini tak mungkin rasa malu, kerana saya rasa dia memang tak punya malu.

Sang jiran saya ini ada anak lelaki yang sudah dewasa. Satu hobi anak lelakinya ialah suka pasang muzik sekuat volume. Dia tak peduli, orang nak tidur ke, nak apa ke, yang dia tahu menyanyi sekuat lagu yang dipasangnya. Mungkin tak ada siapa yang sudi nak beritahu yang suaranya tak ubah macam bunyi stim roll sedang baiki jalan raya. Hari ini, bunyi muzik yang bagai kawah gunung berapi pecah tu dah tak kedengaran lagi. Saya pun tak pasti entah ke mana anak lelakinya sudah melingkup.

Satu fenomena sang jiran yang ini ialah gemar bergaduh, terutamanya pada waktu tengah malam. Pernah beberapa kali saya terjaga dari tidur, bila dengar jam (guna talking clock) baru pukul dua pagi. Saya terjaga gara-gara sang jiran suami isteri berkelahi macam waktu siang. Itulah, lain kali kalau nak berkelahi waktu malam, tinjau-tinjaulah jam dahulu.

Walau bagaimanapun, sejak sang jiran yang ini ubah suai rumahnya macam penjara, yang mana bahagian hadapannya tidak lagi bertingkap, hanya ada pintu untuk mereka keluar masuk, maka kurang sedikit bunyi gaduh mereka terkeluar dari rumah. Tapi, kalau bunyi terlalu kuat, terkeluar juga bunyinya sayup-sayup.

Yang istimewanya, bila mereka suami isteri bergaduh, mereka bergaduh dalam bahasa orang putih. Isi pergaduhan dipenuhi dengan caci maki dan carut marut. Apa, dia ingat si buta sebelah ni tak faham bahasa orang putih ke? Nasib baiklah Luqman masih belum fasih berbahasa orang putih lagi.

Acapkali juga, bila sang suami balik rumah, tak kiralah siang atau malam, kalau malam tak kira pukul berapa pun, dia akan panggil anak bininya sekuat suaranya. Kadang-kadang, tengah diulit mimpi pun boleh terjaga dibuatnya. Selagi tak ada respon dari anak atau bininya, selagi itulah tak berhenti dia memekik. Kalau ada lastik, sudah lama mukanya itu saya lastik.

Sekali peristiwa, dua orang tukang rumah sedang membuat kerja di rumah saya. Tiba-tiba sang suami jiran saya pulang dan terus memekik memanggil anak bininya. Terkejut juga tukang rumah yang sedang buat kerja di rumah saya.

Satu lagi tabiatnya, kalau dia pulang dan tak memekik, dia akan bunyikan hon kenderaannya sekuatnya dan panjang-panjang. Tak kiralah siang atau malam. Selagi tak ada respon, selagi itulah hon kenderaannya terus dibunyikan.

Menurut seorang jiran lain yang sudah lama tinggal di sini, begitulah perangai sang jirang yang seorang ini. Bukan orang lain tak mahu tegur, tapi nak memandang mukanya pun menyampah. Nasib baiklah saya tak perlu tengok mukanya.

Sengaja saya paparkan kisah sang jiran saya yang seorang ini supaya kita semua yang masih waras boleh mengambil iktibar daripada tabiatnya. Mana-mana yang baik, kita jadikan teladan, mana-mana yang buruk kita jadikan sempadan.