Saturday, February 27, 2010

Bicara Peristiwa

Kunjungan Cikgu Salmah Ke Rumah Saya

Semalam (26 Februari), sekitar jam 5.50 petang, saya mendapat satu panggilan telefon. Berdasarkan nama yang terpapar pada skrin yang dimaklumkan menerusi perisian TALKS, saya tahu bahawa pemanggilnya ialah Cikgu Salmah. Kisah mengenai Cikgu Salmah pernah saya paparkan dalam blog ini pada hujung November lalu.

Menerusi perbualan telefon tersebut, saya dimaklumkan bahawa Cikgu Salmah kini ada di KL untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Taman Permata hari ini. Bila Cikgu Salmah memberitahu yang beliau tiada sebarang atur cara pada sebelah malamnya (malam tadi), saya pun terus mengundang beliau ke rumah saya. Cikgu Salmah tidak membantah. Sebagai tanda hormat saya kepada beliau, saya memberitahu Cikgu Salmah, saya sendiri yang akan menjemput beliau dari rumah adiknya ke rumah saya selepas solat maghrib. Sekali lagi, Cikgu Salmah tidak membantah.

Setelah itu, saya serta isteri mula membuat perancangan sebaik mungkin untuk menerima kunjungan Cikgu Salmah, salah seorang guru yang telah berjasa besar dalam mencelikkan kehidupan saya hari ini. Oleh kerana kesuntukan waktu, kami terpaksa membuat perancangan serapi mungkin supaya kunjungan kali pertama Cikgu Salmah ke rumah saya akan lebih bermakna bagi semua pihak. Setelah itu, saya pun menghubungi seorang dua rakan yang juga merupakan bekas anak murid Cikgu Salmah dan menjemput mereka ke rumah saya pada masa yang ditetapkan. Alhamdulillah, bila dengar sahaja Cikgu Salmah akan ke rumah saya, semua rakan yang saya undang bersetuju belaka. Demikianlah kasih kami kepada seorang guru yang telah membuatkan dunia kami bercahaya kini.



Sekitar jam 8.15 malam, Cikgu Jais dan Saudara Muhammad bin Mohd Ali (lebih mesra dengan panggilan Mad Ali) pun tiba di rumah saya. Sekitar jam 8.30 malam pula, saya dan isteri keluar ke Taman Permata untuk menjemput Cikgu Salmah. Sekitar jam 9.00 malam, Cikgu Salmah tiba di rumah saya. Bila beliau masuk sahaja, Cikgu Salmah agak terkejut kerana 2 orang lagi bekas murid beliau (Cikgu Jais dan Mad Ali) sudah sedia menanti kedatangan beliau. 5 minit kemudian, Cikgu Rizal Tan dan keluarganya pula tiba. Kak Rohani, isteri Cikgu Rizal juga merupakan antara murid kesayangan dan akrab dengan Cikgu Salmah. Daripada nada suaranya, saya dapat merasakan Cikgu Salmah mungkin terharu dengan pertemuan yang di luar jangkaan ini.



Bila sudah bertemu, maka saling berkhabaranlah antara kami. Oleh kerana saya agak kerap bertemu Cikgu Salmah sejak kebelakangan ini, maka dalam pertemuan kali ini saya memberi peluang kepada rakan-rakan yang lain untuk bertanya khabar dengan Cikgu Salmah. Kalau tak silap saya, kali akhir Cikgu Jais dan Mad Ali bertemu Cikgu Salmah ialah kira-kira 29 tahun lalu. Manakala Cikgu rizal dan Kak Rohani telah lebih 30 tahun tidak bertemu Cikgu Salmah.



Selain daripada bertanya khabar dengan yang hadir, Cikgu Salmah turut bertanyakan bekas-bekas anak muridnya yang lain. Kesemuanya kami khabarkan mengikut pada kadar yang sepatutnya. Selain itu, kami turut mengimbas kisah dan kenangan lama. Sudah tentunya ia diselang-seli dengan gelak tawa antara kami. Sesungguhnya mengalami dan mengimbas semula kenangan lama adalah dua situasi yang penuh nostalgik.



Kata Cikgu Salmah, wajah Cikgu Rizal (nama asalnya Tan Boong Seng) tidak banyak berubah. Manakala wajah Cikgu Jais dan Saudara Mad Ali pula banyak berubah. Selain itu, Cikgu Salmah juga nyata gembira bila melihat kami juga sudah berkeluarga dan punya anak-anak. Jauh dalam hati, saya juga turut bersyukur kerana setidak-tidaknya Cikgu Salmah sempat juga melihat kami, yang pernah membesar di bawah didikan beliau suatu ketika dahulu, kini sudah menjadi manusia seperti mana yang beliau hasratkan.



Bila tiba waktunya, maka makanan pun dihidangkan. Makanan alah kadar sahaja. Sebelum mula menjamah makanan, saya meminta agar Cikgu Salmah membacakan doa. Walaupun kami sudah berusia seperti ini, kami masih ingin menumpang berkat doa seorang guru. Bahkan kami tidak menjamah makanan sehinggalah Cikgu Salmah terlebih dahulu menyuap makanannya. Demikianlah kami menghormati guru kami.

Di samping itu, Cikgu Salmah juga masih tidak putus-putus memberikan nasihat kepada kami. Antara lain katanya, bila bekerja, kita hendaklah melakukan kerja dengan penuh tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas. Barulah hidup kita di kemudian hari akan bertambah berkat. Rasanya saya dapat mendalami maksud tersirat daripada nasihat Cikgu Salmah itu. Cikgu Salmah bukan seorang guru yang berlatarbelakangkan pendidikan khas. Namun demikian, bila beliau ditempatkan di sekolah Princess Elizabeth (PES), beliau dengan segera telah belajar membaca dan menulis sistem tulisan Braille. Oleh kerana beliau seorang ustazah, Cikgu Salmah turut mendalami sistem tulisan Alquran dan Jawi Braille. Sewaktu saya belajar di PES, Cikgu Salmah memang sudah mahir dengan sistem tulisan Braille, termasuklah sistem tulisan Alquran dan Jawi Braille. Malah, Cikgu Salmah turut menyalin ke dalam bentuk tulisan Braille surah Yasin, pelbagai doa dan juga kitab Berzanji yang lengkap. Oleh itu, pada hari ini, saya dapat merasakan ada limpahan keberkatan dalam kehidupan Cikgu Salmah kini, insha-Allah.



Setiap pertemuan pasti akan disusuli dengan perpisahan. Begitulah juga dengan pertemuan kali ini. Sekitar jam 10.45 malam, Cikgu Salmah meminta diri untuk kembali semula ke rumah adiknya. Pelawaan saya supaya beliau tidur saja di rumah saya kali ini beliau tolak dengan baik dan sopan. Sebelum berpisah, saya sempat menghadiahkan cenderamata kecil buat tatapan Cikgu Salmah. Saya dan isteri yang menghantar Cikgu Salmah semula ke rumah adiknya di Taman Permata.

Sesungguhnya penghormatan yang kami berikan kepada Cikgu Salmah sekadar tanda bahawa kami masih dan akan terus mengingati beliau. Jasa dan bakti yang telah beliau curahkan kepada kami tak mungkin terbalas walau dengan apa cara sekali pun. Sesungguhnya perpisahan kali ini juga tidak menjanjikan satu pertemuan kembali pada masa akan datang. Setiap langkah Cikgu Salmah ketika meninggalkan rumah saya, kami iringkan dengan doa semoga kehidupan beliau sekeluarga akan sentiasa mendapat limpahan rahmat, nikmat serta keampunan daripada Allah hendaknya dari dunia sampai akhirat.

No comments: