Permainan Ping-pong Di Peringkat Sekolah: Sekadar Pandangan
Sekitar jam 3.15 petang pada 1 Mac lalu, saya mendapat panggilan telefon daripada En. Godfrey Ooi, salah seorang kakitangan yang sedang bertugas di Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Saya memang mengenali beliau sudah lama. Kali ini, tujuan beliau menelefon saya ialah untuk mempelawa saya bersama-sama beliau bagi memajukan sukan ping-pong dalam kalangan murid-murid sekolah. Saya kira hasrat dan usaha beliau memang baik dan harus disokong. Lalu, secara ringkas saya memberikan pandangan/rancangan apa yang beliau harus lakukan ke arah menggerakkan semula sukan ping-pong dalam kalangan murid-murid terutamanya di sekolah-sekolah pendidikan khas cacat penglihatan. Di akhir perbualan, beliau bersetuju dengan rancangan yang saya sarankan dan akan berusaha ke arahnya sesegera mungkin.
Sebenarnya saya pernah menulis mengenai permainan ping-pong dalam kalangan golongan cacat penglihatan menerusi blog ini yang bertarikh 16 Disember 2008. Di akhir tulisan itu, saya ada menulis bahawa permainan ping-pong dalam kalangan golongan cacat penglihatan hari ini banyak dimainkan oleh generasi lama. Manakala generasi baru cacat penglihatan seakan mula meminggirkan permainan tersebut. Mengapa fenomena ini boleh terjadi?
Kata pepatah Melayu, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Maknanya, kalau kita hendak melihat permainan ping-pong dimainkan secara berterusan oleh mereka yang cacat penglihatan dari generasi ke generasi, maka ia sepatutnya digiatkan sejak dari peringkat sekolah lagi.
Pada tahun 2006, saya pernah membantu pihak MAB untuk memperkenalkan permainan ping-pong di peringkat sekolah, khususnya di sekolah di mana saya sedang bertugas sekarang. Saya masih ingat lagi, dengan dibantu oleh Saudara Fadzli Abdullah, kami berdua telah memperkenalkan permainan tersebut kepada murid-murid yang terpilih, terutamanya dari aspek peraturan dan cara bermain. Malangnya, usaha tersebut hanya setakat itu sahaja. Oleh kerana tiada sokongan susulan yang berkesan daripada pihak-pihak yang sepatutnya membantu dan menyokong khususnya daripada pihak sekolah sendiri, maka permainan tersebut tidak pergi lebih jauh lagi khususnya di peringkat dalaman sekolah sendiri.
Seorang rakan sejawat saya di sekolah pernah ditugaskan untuk mengendalikan persatuan ping-pong di sekolah tempat kami bertugas sekarang. Usaha tersebut juga nampaknya gagal. Kata rakan sejawat saya itu, penubuhan persatuan berkenaan hanya sekadar untuk melepaskan batuk di tangga sahaja dan sekadar untuk buka fail baru semata-mata. Hari ini pun, persatuan berkenaan tidak lagi wujud di sekolah tempat kami bertugas. Kata rakan sejawat saya lagi, bagaimana ping-pong untuk murid cacat penglihatan dapat diaktifkan semula jika prasarana yang sepatutnya ada tidak disediakan dengan sempurna? Demikian rakan saya mengulas bila saya minta pendapatnya mengapa permainan ping-pong tidak dapat dimainkan di sekolah kami.
Bagi saya, terdapat beberapa sebab mengapa permainan ping-pong untuk golongan cacat penglihatan sukar untuk dimajukan terutamanya di peringkat sekolah. Salah satu daripada sebabnya ialah kebanyakan guru di sekolah-sekolah pendidikan khas cacat penglihatan khususnya yang berkaitan dengan sukan dan permainan tidak mendapat pendedahan meluas mengenai permainan ping-pong untuk golongan cacat penglihatan, khasnya dari aspek peraturan permainan dan juga kaedah bermain yang betul. Saya tidak menafikan ada di antara guru-guru berkenaan yang pernah menonton permainan ping-pong untuk golongan cacat penglihatan, tetapi pendedahan yang mereka pernah dapat hanya setakat sebagai penonton sahaja. Oleh itu, tidak menghairankan jika golongan guru berkenaan kekeringan idea ke arah memajukan permainan tersebut di sekolah mereka. Bila sebut sahaja sukan dan permainan, permainan ping-pong bukan sahaja jarang disebut, bahkan mungkin tak pernah timbul langsung dalam minda mereka.
Ada juga sesetengah guru tertentu beranggapan bahawa permainan ping-pong untuk golongan cacat penglihatan tidak bertaraf global. Alasannya permainan ini tidak dimainkan secara meluas di peringkat antarabangsa. Tidak seperti permainan goal-ball yang mana ia dimainkan dengan pesat hingga ke peringkat antarabangsa. Bahkan ada sebilangan murid dan guru tertentu di sekolah saya juga berpeluang ke negara luar hanya kerana mereka terlibat dengan permainan goal-ball.
Setakat dalam pengetahuan saya, sebenarnya permainan ping-pong untuk golongan cacat penglihatan juga bertaraf global. Permainan ini juga turut dimainkan di beberapa buah negara lain seperti Indonesia, Singapura (suatu ketika dahulu) serta Jepun. Walau bagaimanapun, sama ada permainan tersebut bertaraf global atau tidak, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk terus meminggirkan permainan berkenaan khususnya di peringkat sekolah. Lagi pun, permainan tersebut sesuai dan boleh dimainkan oleh mereka yang cacat penglihatan, jadi tiada sebab ia harus diketepikan dengan begitu sahaja. Lagi pun, apakah niat tersirat sebenar bagi mereka yang hanya ingin membantu memajukan sukan dan permainan yang bertaraf global pada pandangan mereka? Adakah menerusi keterlibatan mereka yang berkenaan dalam permainan yang dikatakan bertaraf globalm, ia akan lebih memudahkan mereka yang berkenaan memperoleh peluang untuk mengelilingi globe?
Satu lagi faktor yang menyebabkan permainan ping-pong untuk murid cacat penglihatan semakin terpinggir ialah kerana tiadanya kemudahan dan prasarana yang sempurna untuk permainan tersebut di sekolah. Tempat yang benar-benar sesuai untuk permainan ping-pong di sekolah tidak ada lagi. Peralatan untuk bermain ping-pong seperti bola ping-pong, meja, jaring serta pemukul ping-pong yang pernah ada suatu ketika dahulu kini entah ke mana. Bila kemudahan dan prasarana sudah pupus, maka permainan tersebut juga akan ikut sama pupus. Saya turut yakin, kebanyakan guru yang berkenaan mungkin tidak lagi memahami bentuk environment yang benar-benar sesuai untuk membolehkan permainan ping-pong dimainkan oleh golongan cacat penglihatan.
Selain itu, di kebanyakan sekolah yang ada program integrasi, keadaannya lebih mendukacitakan. Di sesetengah sekolah, kemudahan dan prasarana untuk permainan tersebut memang tak pernah wujud langsung. Usaha-usaha untuk menggerakkan permainan ping-pong di sekolah-sekolah berkenaan juga seakan tidak pernah dilakukan.
Saya juga pernah mendengar ada yang berkata, permainan ping-pong untuk golongan cacat penglihatan tidak mencabar langsung. Yang peliknya, individu yang berani membuat ulasan semberono sedemikian ialah orang yang berpenglihatan dan setahu saya beliau tidak pernah bermain ping-pong sebagaimana kaedah orang cacat penglihatan bermain ping-pong. Bagi saya, sekiranya sesuatu jenis permainan itu boleh dimainkan oleh mereka yang tidak berpenglihatan, mereka suka dan seronok dengan permainan tersebut, ia sepatutnya tidak mendatangkan masalah. Mengapa pula orang yang berpenglihatan tertentu pula yang memandai-mandai mengatakan ia tidak mencabar, tidak menyeronokkan ...!!! Inilah antara virus yang membarah dalam kalangan mereka yang terlibat secara langsung dalam pendidikan khas!
Bagi saya, jika kita ingin lihat permainan ping-pong dimainkan semula oleh murid-murid cacat penglihatan di peringkat sekolah, maka yang terpenting sekali ialah persepsi terhadap permainan tersebut, khususnya daripada guru-guru yang terlibat secara langsung dengan sukan dan permainan harus diubah 360 darjah. Hari ini kita beranggapan permainan ping-pong tidak bertaraf global. Saya yakin, jika ada kerjasama serta sokongan padu daripada semua pihak, Insha-Allah suatu hari nanti permainan tersebut akan dapat dimartabatkan dan akan bertaraf global semula.
Selain itu, persatuan ping-pong di peringkat sekolah-sekolah pendidikan khas (cacat penglihatan) dan juga di sekolah-sekolah integrasi untuk murid-murid cacat penglihatan haruslah diaktifkan semula. Manakala di sekolah-sekolah yang sebelum ini masih belum ada persatuan berkenaan, harus memulakan usaha untuk menubuhkan persatuan berkenaan. Setelah persatuan berkenaan diwujudkan, maka usaha-usaha hendaklah dilakukan supaya persatuan berkenaan akan terus aktif untuk memajukan permainan ping-pong dalam kalangan murid-murid cacat penglihatan.
Di samping itu, pemahaman dan pendedahan yang secukupnya haruslah diberi khususnya kepada guru-guru yang terlibat dengan sukan dan permainan, terutamanya guru-guru yang berpenglihatan. Pemahaman dan pendedahan yang serupa juga harus diberikan kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam sukan dan permainan untuk pendidikan khas di peringkat bahagian dan jabatan yang berkaitan dalam Kementerian pelajaran. Pendedahan tersebut haruslah merangkumi peraturan permainan, kaedah bermain, peralatan permainan serta suasana yang paling kondusif untuk membolehkan permainan ping-pong dimainkan oleh mereka yang cacat penglihatan. Dalam hal ini, kerjasama dan usaha sama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) atau Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) boleh digerakkan. Bagi saya, berasaskan kepada kepakaran serta prasarana yang ada, kedua-dua pertubuhan ini boleh menyediakan khidmat nasihat serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman demi memajukan permainan ping-pong di peringkat sekolah.
Pada masa ini pun, jenis sukan dan permainan yang boleh diceburi oleh murid-murid cacat penglihatan sememangnya sudah terbatas. Ia dibataskan lagi bilamana ada jenis sukan dan permainan yang pada hakikatnya boleh diceburi oleh mereka yang tidak berpenglihatan telah diketepikan begitu sahaja.
Saya rasa, orang yang telah mencipta permainan goal-ball (bukan orang Malaysia) mungkin tidak pernah terfikir bahawa antara gelanggang goal-ball termahal ada di Malaysia. Manalah tahu suatu hari nanti, bila ping-pong telah berjaya dimartabatkan hingga mencapai taraf dunia, mungkin antara meja ping-pong untuk golongan cacat penglihatan termahal di dunia juga boleh terdapat di negara ini!
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
maju la sukan untuk negara. tak tahu pulak i, u ni pemain handalan dalam acara ping pong. malah menyimpan maklumat berkaitan sukan dan permainan yang pernah disertai oleh orang-orang cacat penglihatan sejak sekian lama. artikel yang cukup bagus, bermaklumat dan sesuai untuk bacaan pegawai-pegawai kat BPKhas tu. walaupun prasarana ada tapi murid-murid buta pun tak gemarkan permainan ni. tak komersil langsung. kalau menang pun nak bertanding sampai peringkat mana lagi. tak macam goal ball, pemain sukan berprestij ini bukan sahaja digilai oleh murid-murid perempuan atau lelaki malah dapat beraksi di peringkat nasional dan antarabangsa. lagi pun murid selalu kata, boring la cikgu main ping pong ni!
Post a Comment