Saturday, March 20, 2010

Bicara Umum

Selamat Ulang Tahun Untuk Datuk Ann Majeed

Hari ini (20 Mac), merupakan hari ulang tahun ke-82 buat Yang Berbahagia Datuk Ann Majeed. Saya kira mungkin ramai yang tidak mengetahui siapa Datuk Ann Majeed. Kemungkinan besar juga, warga pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan pun mungkin ramai yang tidak pernah mendengar nama beliau.



Yang Berbahagia Datuk Ann Majeed telah dilahirkan pada 20 Mac 1926 di Kuala Lumpur. Beliau pernah menuntut di Convent Bukit Nanas (CBN), Kuala Lumpur pada awal dekad 40-an. Suatu ketika tatkala beliau sedang melakukan jualan amal untuk pasukan Girl Guide sekolahnya di pejabat kebajikan masyarakat Kuala Lumpur, beliau terpandang seorang laki-laki cacat penglihatan sedang tekun melakukan kerjanya. Dipendekkan cerita, lelaki tersebut ialah D.R. Bridges, seorang Inggeris yang ketika itu merupakan pegawai di Unit Cacat Penglihatan (Blind Section Of The Welfare Department) dan pada ketika itu D.R. Bridges sedang membuat catatan dalam tulisan Braille dengan menggunakan peralatan yang ada ketika itu. Datuk Ann terus jatuh minat terhadap sistem tulisan (Braille) yang digunakan oleh D.R. Bridges.

Seperkara yang harus kita sama-sama jadikan iktibar mengenai D.R. Bridges ini ialah, beliau pada asalnya merupakan seorang yang berpenglihatan. Namun begitu, penglihatannya hilang (buta) semasa beliau bertugas sebagai tentera British dalam perang dunia kedua di Burma. Setelah tamat perang, kerajaan British telah memberikan latihan yang bersesuaian kepada D.R. Bridges sebagai seorang yang telah hilang pengliyhatannya. Ini termasuklah membaca dan menulis Braille, orientasi dan mobiliti dan sebagainya. Sekitar tahun 1947, D.R. Bridges telah dihantar ke Malaya sebagai pegawai di Unit Masalah Penglihatan di Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaya. Maknanya, pihak British tidak sekali-kali bersikap lepas tangan dan menyisihkan D.R. Bridges setelah beliau menjadi buta. Nasib D.R. Bridges tidak ditendang seperti bola akibat sikap lepas tangan semua pihak. Dalam hal ini, saya rasa D.R. Bridges bernasib baik kerana beliau lahir di Barat!

Berbalik kepada Datuk Ann Majeed, Apabila D.R. Bridges melihat minat yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh Ann Majeed terhadap tulisan Braille, beliau mula mengajar Ann Majeed menulis dan membaca Braille. Sekali lagi, kerana minatnya yang tinggi terhadap tulisan Braille, maka D.R. Bridges merancang untuk menghantar Ann Majeed sebagai guru besar pertama bagi Princess Elizabeth School (PES) yang bakal ditubuhkan pada sekitar tahun 1948. Apabila hal tersebut diketahui oleh ibu Ann Majeed, ibunya sedikit kecewa kerana beliau telah pun merancang supaya Ann Majeed menjadi seorang doktor gigi. Walau bagaimanapun, oleh kerana hasrat, minat dan tekad yang kuat daripada Ann Majeed serta ditambah pula dengan sokongan dan dorongan daripada D.R. Bridges sendiri, akhirnya ibu beliau tidak membantah hasrat Ann Majeed tersebut.

Pada tahun 1948, Ann Majeed telah dihantar ke Johor Baru untuk memulakan sekolah dan pendidikan bagi kanak-kanak cacat penglihatan. Dari sinilah bermulanya sejarah PES sebagai sekolah pertama untuk murid-murid cacat penglihatan di negara ini. Di sini, saya tidak berhasrat untuk menghuraikan secara terperinci mengapa saya mengatakan PES merupakan sekolah pertama untuk murid-murid cacat penglihatan di negara ini. Jika ada kesempatan, saya akan menghuraikannya dalam posting yang lain. Selain Ann Majeed, beliau turut dibantu oleh Cikgu Sharifah Kamaliah, Cikgu Ara dan Cikgu Rahmah. Ann Majeedlah yang telah mengajar pula tulisan Braille kepada ketiga-tiga guru berkenaan. Mereka berempatlah yang telah memperkenalkan sistem tulisan Braille kepada murid-murid cacat penglihatan di PES ketika itu. Mengikut kajian yang telah saya abadikan dalam latihan ilmiah saya kira-kira hampir 2 dekad lalu, Ann Majeed merupakan anak Melayu pertama yang boleh menulis dan membaca tulisan Braille di negara kita.

Ann Majeed juga pernah mengikuti latihan lanjutan mengenai murid-murid cacat penglihatan di England. Ddi akhir latihan, beliau serta seluruh pelatih dikehendaki menduduki satu peperiksaan mengenai Braille. Yang menariknya, kertas soalan dan kertas jawapan adalah dalam bentuk Braille. Seandainya peperiksaan sedemikian dilaksanakan untuk guru-guru yang sedang mengajar di sekolah-sekolah untuk murid-murid cacat penglihatan di tempat kita hari ini, agaknya berapa ramai pula yang boleh lulus dengan cemerlang!

Di akhir dekad 50-an, Ann Majeed telah ditukarkan di Kuala Lumpur. Beliau terus berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Jawatan terakhirnya ialah selaku Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Menurut sumber sejarah, Datuk Ann Majeed merupakan wanita pertama di negara ini yang berjaya sampai ke jawatan Ketua Pengarah.

Antara ahli keluarga Datuk Ann Majeed yang lain termasuklah Datuk Dr. Ruby Majeed, Datuk Hamzah Majeed dan Prof. Datuk Dr. Zuraina Majeed.



Hari ini, walaupun usianya sudah melebihi 8 dekad, Datuk Ann Majeed masih akrab dengan bekas anak-anak muridnya. Jika beliau mendapat tahu ada bekas anak-anak muridnya yang sakit, uzur atau sebagainya, beliau akan menggagahi dirinya untuk menziarahi mereka walau di mana pun mereka sedang berada. Kita memang amat mengenali ketokohan Prof. Datuk Dr. Ismail Md Salleh (Allahyarham), tetapi ramai yang tidak mengetahui bahawa Ann Majeed adalah antara gurunya yang paling awal.



Kepada Yang Berbahagia Datuk Ann Majeed, saya ucapkan selamat ulang tahun ke-82. Saya dan kami semua sentiasa berdoa semoga Allah akan sentiasa merahmati Datuk sekeluarga selama-lamanya. Sesungguhnya keprihatinan, iltizam serta wawasan yang tersemat dalam jiwa Datuk untuk kami tiada duanya pada zaman inni.

4 comments:

luaskanmata said...

Salam:

Nanti aku copy masuk Buletin Prihatin ya. Sekarang ni sedikit loghat.

Wasalam.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Tahniah di atas artikel sejarah padat sebegini. Sesungguhnya keprihatinan saudara dalam hal ini sangat berharga, justeru, kami sentiasa doakan agar saudara terus cemerlang dunia akhirat.

Juga, tahniah kepada Dato' Ann Majeed. Sepanjang usia beliau ini, banyak benar amal jariah yang beliau usahakan untuk kami. Walaupun saya tak mengenalinya, namun, artikel ini sudah cukup membuatkan hati saya terharu. Ia sekaligus mengingatkan saya agar bersyukur ke hadhrat-Nya kerana menjadi anak murid PES yang berani saya katakan, seimbang bentuk pendidikannya. Begitu juga D. R. Bridges; beliau juga seorang yang prihatin terhadap nasib kita, meskipun beliau bukan berbangsa kita. Terima kasih juga kepada beliau; tanpa dorongan Allah terhadap usaha beliau ini, agaknya, hari ni, tak taulah nasib kita ni macam mana, kan?

Ekoran ini, marilah kita bersama bermuhasabah; sejauh manakah kita yang telah dikurniakan kejayaan sedikit sebanyak ini memajukan umat dan anak bangsa sendiri. Maaf, jika tidak keterlaluan, saya katakan, kanser politik golongan bangsawan kita kini turut dihidapi sebahagian kita, khasnya yang kepingin jawatan tapi jahil lagi pantang ditegur. Banyak sudah berita penyelewengan berlaku di dalam organisasi berkepentingan kita yang heboh diperkatakan, ibarat konsert jom heboh, namun, akhirnya golongan penyeleweng ini juga yang terpilih menerajui kepimpinan. Oleh itu, marilah kita bersama mengambil iktibar serta mencontohi usaha, pengorbanan dan ciri kepimpinan pemimpin terdahulu agar umat, bangsa dan negara benar-benar maju selaras tuntutan Ilahi dan sejagat. Insafilah, Allah Maha Segalanya; kalaupun kita masyhur dik kezaliman yang kita canang sebagai "BAIK", sokongan dan harta yang kita banggakan yang diperolehi di dunia ini PASTI tak akan ke mana bila tiba ketentuan-Nya, kerana sesungguhnya, kebatilan pasti akan hancur.

Terima kasih.

IDAH said...

Dato' Ann Majeed

Seorang insan mulia.
Semoga Allah memberkati mak dunia Dan akhirat
Love u

Idah

IDAH said...

Dato' Ann Majeed,

insan mulia ini sangat saya sayangi.

Jasamu Akan dikenang Dan disanjung.


Salam sayang

Idah