Sunday, March 7, 2010

Bicara Politik

Apa Sudah Jadi Dengan PKR?

Rasanya sudah lama saya tidak menulis mengenai politik melalui blog ini. Tulisan terakhir saya mengenai politik ialah ketika berlangsungnya pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang (Negeri Sembilan) pada hujung tahun lalu. Ada juga rakan-rakan yang menasihati saya supaya jangan banyak sangat menulis mengenai politik selagi saya masih merupakan kakitangan awam. Salah seorang bekas pensyarah saya juga dalam satu perbualan telefon pernah mengingatkan saya supaya berhati-hati ketika menulis hal-hal berkaitan politik dalam blog ini. Terima kasih banyak-banyak di atas nasihat tersebut.

Namun demikian, apa yang saya tulis selama ini mengenai politik merupakan pandangan peribadi saya mengenai kebenaran. Selaku warganegara ini, adalah tidak menjadi kesalahan untuk saya berpengetahuan serta memberi pandangan mengenai politik. Namun begitu, selaku kakitangan awam, saya tetap akur dengan tegahan untuk berpolitik secara aktif. Berpengetahuan politik dan berpolitik adalah dua perkara yang berbeza!

Apa yang sedang melanda Parti Keadilan Rakyat hari ini menguja saya untuk menulis juga darihal politik. Puas saya kekang dan cegah, tapi jari-jemari saya tetap meronta apabila bertemu kekunci pada laptop saya. Akhirnya saya tidak mapu lagi menahan rontaan jari-jemari saya yang tak sabar untuk menari pada kekunci komputer mengikut irama dan rentak yang dialunkan oleh minda saya.



Pagi tadi, tatkala saya mendengar bulitin jam 7.30 pagi melalui TV 3, saya terdengar berita mengenai tindakan pihak tertinggi dalam PKR yang memecat Zulkifli Nordin daripada parti tersebut. Selain itu, PKR juga menggesa Zulkifli supaya mengosongkan kerusi parlimen Kulim Bandar Baru yang beliau menangi atas tiket PKR dalam pilihanraya umum tahun 2008 lalu.

Mengulas mengenai pemecatannya, Zulkifli mengatakan ia adalah tindakan daripada firaun-firaun kecil. Setahu saya, firaun adalah manusia yang dikutuk Allah dalam Alquran, tak kiralah kecil atau besar. Jadi, bila Zulkifli telah menggelarkan orang-orang tertentu sebagai “firaun”, ia merupakan sesuatu yang sangat berat.

Selain itu, PKR juga telah menggesa supaya Zulkifli melepaskan kerusi Kulim Bandar Baru yang telah beliau menangi atas tiket PKR. Mengulas hal itu, Zulkifli sebaliknya telah menggesa supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim agar meletakkan jawatannya selaku ketua pembangkang di parlimen, alasannya kerana kini PKR dan Anwar Ibrahim bukan lagi parti yang paling majoriti dalam kalangan parti-parti pembangkan di Dewan Rakyat.

Dalam hal di atas, saya berpendapat bahawa Zulkifli tidak akan meletakkan jawatannya selaku ahli parlimen Kulim Bandar Baru. Zulkifli tidak sebodoh itu! Lagi pun, jika beliau meletakkan jawatan selaku ahli parlimen, maka beliau mungkin tidak akan dapat bertanding dalam pilihanraya yang akan datang walau atas tiket parti mana sekalipun.

Mengenai gesaan supaya Datuk Seri Anwar meletakkan jawatannya selaku ketua pembangkang di Dewan Rakyat, bagi saya itu bukanlah masalah yang besar. Walaupun sekarang PKR hanya mempunyai 27 kerusi sahaja di Dewan Rakyat, tetapi jika beliau masihmendapat sokongan daripada DAP dan PAS, maka beliau boleh meneruskan kedudukannya selaku ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Kecelaruan dalam PKR sebenarnya telah mula berkocak sejak awal tahun lepas lagi. Ia bermula apabila 2 ADUN Perak, Jamaluddin Razi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) meninggalkan PKR dan menjadi ADUN bebas dan memberi sokongan kepada UMNO/BN. Akibatnya, ia bukan sahaja ditanggung oleh PKR, bahkan ia telah meranapkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang belum sempat menyambut usia setahun pemerintahannya di Perak.

Sebelumnya, pada tahun 2008, Datuk Seri Anwar dan PKR telah mewar-warkan di seluruh negara mengenai tarikh 16 September untuk menawan Putrajaya. Apa yang berlaku, tarikh tersebut telah berlalu dengan aman damai tanpa sebarang peristiwa bersejarah. Bahkan hari tanpa peristiwa bersejarah itu telah berlalu genap setahun pada 16 September 2009, juga tanpa sebarang peristiwa bersejarah yang besar. Sebaliknya, Datuk Seri Najib pula yang telah mengisytiharkan mulai 16 september 2009, setiap 16 September merupakan cuti umum seluruh negara bersempena dengan Hari Malaysia. Tertanya juga dalam hati saya, di sini siapa sebenarnya yang bijak bermain catur?

Pada 29 Oktober tahun lalu, Badrul Hisyam Abdullah, ADUN PKR bagi Pelabuhan Kelang telah mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi calon bebas. Badrul Hisyam memberitahu bahawa beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada PKR kerana kecewa dan tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti tersebut. Walaupun tindakan Badrul Hisyam ini tidak menggugat kerajaan PR di Selangor, namun untuk jangka masa panjang tindakannya bakal menjadi duri ddalam daging kepada kerajaan PR di negeri tersebut.

Siri kecelaruan dalam PKR diteruskan lagi bilamana berlakunya perselisihan terbuka antara Azan Ismail (Ahli Parlimen Indera Mahkota) dengan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman. Azan Ismail telah meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi 2 PKR Pahang. Perletakan jawatannya dikatakan kerana beliau merasakan disisih oleh kepimpinan PKR peringkat Pahang. Selain itu, menurut Azan lagi, beliau juga merasakan perjuangan PKR telah jauh lari dari landasan. Namun begitu, beliau masih setia dengan PKR dan masih jauh untuk mengosongkan kerusi parlimennya di Indera Mahkota.

Pada tahun ini, kecelaruan dalam PKR semakin menjadi-jadi. Pengunduran 3 Ahli Parlimen PKR daripada parti tersebut memberikan tamparan hebat kepada kestabilan parti serta kewibawaan Datuk Seri Anwar selaku pemimpin tertinggi parti berkenaan. Ketiga-tiga Ahli Parlimen yang telah mengundurkan diri daripada PKR ialah Tan Tee Beng (Nibung Tebal), Zaharin Hasyim (Bayan Baru) dan Mohsin Fadzli (Bagan Serai). Ketiga-tiganya telah mengisytiharkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil bebas di Dewan Rakyat. Pengunduran Salahuddin Hasyim daripada PKR baru-baru ini turut memberi tamparan hebat kepada parti tersebut.

Pemecatan Zulkifli Nordin pula telah menambahkan lagi rentetan kecelaruan dalam PKR. Ini bermakna, setakat hari ini, daripada 31 kerusi parlimen yang telah dimenangi oleh PKR dalam pilihanraya ke-12 pada tahun 2008, kini parti tersebut mempunyai 27 kerusi lagi, iaitu setelah kehilangan 4 kerusi.

Dalam situasi yang menimpa PKR masa kini, saya masih teringat pada tahun 2008 lalu, Datuk Seri Anwar pernah mengatakan bahawa mereka (PKR) hanya menanti masa sahaja untuk sekurang-kurangnya 30 ahli parlimen dari BN yang kebanyakannya dari Sabah dan Sarawak untuk melompat dan menyertai Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat. Lompatan tersebut penting untuk merealisasikan hasrat dan rancangan Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya. Keadaan ini sebenarnya telah membuatkan sebilangan ahli politik BN merasa cemas. Ada di antara mereka yang mula merasakan pentingnya diwujudkan undang-undang antilompat parti. Namun begitu, ia tidak mudah untuk diluluskan ketika itu. Maklumlah majoriti mutlak sudah tidak lagi menyebelahi BN!

Selaku pemerhati dan peminat politik berstatus ikan bilis, saya menyangkakan apabila Datuk Nasaruddin Hasyim (ADUN Bota, Perak) menyeberang ke Pakatan Rakyat hujung Januari tahun lalu merupakan permulaan kepada penyeberangan beramai-ramai kumpulan pelompat daripada BN ke PR. Namun demikian sangkaan saya jauh meleset sama sekali. Rupa-rupanya penyeberangan Datuk Nasaruddin tak ubah umpama umpan beracun yang akhirnya mengakibatkan Pakatan Rakyat gugur tersungkur di Ipoh. Apa yang berlaku mengingatkan saya kepada kisah yang terdapat dalam Tuhfat Al-Nafis, antara lain mengisahkan perang antara Daeng lima bersaudara dengan Raja Kecil berlaku di Linggi, tetapi akhirnya Riau pula yang alah (Riau ketika itu di bawah kekuasaan Raja Kecil).

Siri kecelaruan dalam PKR yang saya bentangkan di atas tidak merangkumi sebilangan ahli PKR yang telah meninggalkan parti tersebut sama ada di peringkat cawangan mahupun di peringkat negeri. Buat masa ini, pengunduran ahli-ahli peringkat bawahan seperti ini tidak memberi kesan kepada keutuhan kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai PR. Namun demikian, golongan ini bakal menjadi sekam dalam api terutamanya ketika dalam pilihanraya umum yang akan datang, setidak-tidaknya sebagai pengundi.

Daripada rentetan kecelaruan yang sedang melanda PKR hari ini, maka timbullah beberapa tandatanya dan persoalan. Jika diteliti orang-orang PKR yang telah keluar parti dan mengisytiharkan diri mereka selaku calon bebas, kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Persoalannya di sini, adakah selama ini Datuk Seri Anwar dikelilingi oleh kalangan mereka yang tidak benar-benar setia kepada parti?



Selain itu, Datuk Seri Anwar juga dikatakan sering memberi keistimewaan kepada bekas-bekas elit UMNO yang ada dalam PKR. Mungkin tindakan ini dirasakan kurang bijak kerana akhirnya apabila golongan berkenaan gagal memperolehi apa yang mereka rasa patut mereka perolehi, maka mereka akan bertindak dengan mengkhianati parti. Lihatlah sendiri apa yang sedang berlaku sekarang!

Di samping itu, bila berlakunya kecelaruan sebagaimana yang sedang melanda PKR, maka kredibiliti Datuk Seri Anwar selaku pemimpin juga semakin diragui. Kecelaruan yang berlaku secara siri demi siri ini menyerlahkan kegagalan Datuk Seri Anwar untuk menyelesaikan masalah yang sedang melanda partinya. Kebanyakan pemimpin yang meninggalkan parti pula memberikan alasan mereka kecewa dengan pucuk kepimpinan parti. Sekali imbas, alasan ini merupakan skrip biasa bagi ahli-ahli politik yang keluar parti. Walau bagaimanapun, bila skrip ini diulang berkali-kali oleh kalangan orang yang berlainan yang meninggalkan PKR, sudah tentulah orang ramai akan mula mempercayai mungkin ada kebenaran pada skrip alasan berkenaan.

Nampaknya kecelaruan serta krisis yang melanda PKR seakan masih lagi tiada penghujungnya. Oleh itu, sekiranya krisis yang sedang melanda PKR semakin kusut, negeri-negeri yang dikuasi Pakatan Rakyat harus memikirkan pelan B untuk mengekalkan keutuhan kerajaan yang telah ditubuhkan sejak tahun 2008 lalu, sekurang-kurangnya biarlah kerajaan yang ada dapat dipertahankan sehingga pilihanraya umum yang akan datang. Pada pengamatan saya, jika ribut politik sekali lagi melanda PKR, maka kerajaan negeri PR yang paling berpotensi untuk ranap ialah kerajaan Selangor. Ini adalah kerana satu-satunya kerajaan peringkat negeri yang masih ramai ADUN dalam kalangan ahli PKR ialah Selangor.

Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar merupakan bintang, walau setebal mana pun lumpur yang disalutkan kepadanya, namun cahaya kebenaran daripadanya pasti akan bergemerlapan juga akhirnya.

Saya mengutarakan pandangan politik dari kaca mata orang yang berkecuali.

1 comment:

Mesin Fotostate said...

Apa sudah jadi dengan Asj ( amanah saham johor ) yang selama ini rakyat johor menjadi miflis kerananya...
Cukup lah dengan janji kosong...