Menghadiri Bengkel Bersama Kumpulan Penyelidik Dari UTM
Sejak dari semalam lagi, saya sekeluarga sudah berada di Cherating Suria Beach Resort. Tujuan saya selaku Naib Yang Dipertua PERTIS di Cherating kali ini bukan untuk bercuti sepertimana sebulan yang lalu. Objektif utama saya di sini kali ini ialah untuk menyertai kumpulan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal(FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. Selain saya, Cikgu Mohamed Ismail selaku Yang Dipertua PERTIS juga turut hadir di mana kami berdua mewakili Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dalam bengkel ini.
Sejak tahun lepas lagi, PERTIS dan UTM telah menjalin kerjasama dalam satu penyelidikan. Matlamat akhir penyelidikan itu nanti ialah untuk menghasilkan suatu panel yang boleh menimbulkan huruf-huruf Braille. Ia boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Buat masa ini, rasanya tidak sesuai untuk saya memperincikan mengenai penyelidikan yang sedang dijalankan. Namun demikian, cukuplah jika saya katakan panel berkenaan akan berfungsi seperti LCD. Jika LCD hanya boleh dilihat dan hanya untuk mereka yang berpenglihatan sahaja, tetapi panel yang sedang diusahakan ini boleh menimbulkan huruf-huruf Braille dan boleh dirasa/diraba oleh mereka yang tidak berpenglihatan. Berdasarkan kepada kemajuan projek ini, saya yakin ia mempunyai potensi yang sungguh besar dan punya manfaat yang sangat baik khususnya kepada kami yang tidak berpenglihatan ini.
Sebenarnya penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti ini di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia merupakan perkara biasa. Sebab itulah pada hari ini, golongan cacat penglihatan di negara ini mampu mengendalikan peralatan ICT secara lebih berdikari. Ini semua adalah hasil daripada R&D tanpa jemu yang telah dan sedang dilaksanakan di negara-negara berkenaan secara berterusan. Hari ini, negara-negara seperti India dan Afrika Selatan juga sudah mengeluarkan produk untuk mereka yang cacat penglihatan. Bahkan Indonesia juga telah pun mengeluarkan tongkat putih untuk kegunaan warganegaranya yang tidak berpenglihatan. Sedangkan golongan cacat penglihatan di negara ini masih lagi terpaksa mengimport sebahagian besar daripada peralatan yang diperlukan.
Di sini, saya bagi seluruh warga PERTIS dan semua orang cacat penglihatan di negara ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UTM, khususnya daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal yang sudi membuat penyelidikan untuk manfaat kami semua. Besarlah harapan saya semoga langkah yang telah dimulakan oleh pihak UTM ini akan dituruti oleh pihak-pihak yang lain. Jika selama ini golongan cacat penglihatan hanya sekadar pengguna dan harus mengimport hampir semua keperluan peralatan untuk kami, mudah-mudahan dengan kemajuan dan kepesatan bidang R&D untuk kami, suatu hari nanti kita boleh mengeksport peralatan untuk golongan cacat penglihatan ke luar negara pula.
Saya sering dalam kehairanan, orang di luar sana sudah mula berlumba-lumba untuk membantu golongan yang tidak berpenglihatan, tetapi mengapa masih ada sebilangan orang yang sudah bertahun-tahun mengajar di sekolah khas untuk murid-murid cacat penglihatan masih tak tahu baca dan tulis Braille? Mengapa?
Salam dari Cherating.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Terima kasih di atas info bermanfaat sebegini. Juga, tahniah di atas kerjasama PERTIS-UTM. Ya, besarlah harapan kami, semoga pemapar Braille Al-Quran yang telah mula dirintis ini akan benar-benar berjaya mencipta sejarah pembangunan ICT di kalangan OKU penglihatan serta mereka yang berkaitan. Paling penting, ia setidak-tidaknya lebih memudahkan pengguna Muslimin sekaliannya untuk membawa Al-Quran Braille mereka ke mana sahaja, justeru, tiada lagi alasan untuk tidak mengaji Al-Quran.
Berdasarkan komentar saudara, memang benar sekali, negara lain telah dan sedang berlumba-lumba memajukan masyarakat OKU mereka, terutamanya OKU penglihatan. Tapi, kita ni, asyik jadi pengguna sahaja, kemudian, pandai pula tu mau meminimakan kos dengan mencari perisian "crack ...", termasuk para "PAKAR IT" buta kita ni. Bayangkan, perisian penterjemah Braille BM itu sendiri, kita suruh orang lain buat, jauh sekali untuk membina perisian enjin pertuturan ... Seikhlas rasa, ingin saya katakan, kita juga sebagai NGO juga sangat patut mengambil inisiatif ke arah kemajuan sendiri sebagaimana jalinan kerjasama PERTIS-UTM ini, tidak semata-mata mahu dapat derma/sumbangan, kemudian melabur pada perkara yang kurang atau tidak bermanfaat. Oleh itu, kekalkanlah kerjasama ini dan buktikan kepada rakan-rakan kita yang lain, PERTIS, walau sekecil kuman, mampu bergerak maju sendiri, insha Allah, berbekalkan usaha dan tawakkal kepada-Nya.
Terima kasih.
Post a Comment