Sudut Bacaan Di Restoran Tawakkal
Saya pernah menulis melalui blog ini berkenaan sudut bacaan di sebuah gerai makan di taman perumahan tempat tinggal saya. Kali ini, saya bertemu lagi dengan sudut bacaan dan kali ini ia di Restoran Tawakkal di Nilai, Negeri Sembilan. Walaupun judul bahan bacaan yang ada di sudut bacaan ini tidaklah seberat mana, namun bagi saya ia sangat baik. Setidak-tidaknya para pengunjung dapat mengisi masa terluang sambil menunggu makanan yang dipesan dengan perkara yang paling bermanfaat.
Di sini juga kita dapat memerhatikan sejauh manakah budaya membaca benar-benar sudah sebati dalam kalangan rakyat negara ini, atau ia masih lagi di tahap baru hendak bermula. Berdasarkan apa yang tertangkap oleh telinga saya, nampaknya budaya ini masih lagi di tahap baru hendak bertatih. Di sana sini dalam restoran ini masih kedengaran para pengunjungnya berbual-bual. Ini bermakna mereka tidak menatap sebarang bahan bacaan, atau mungkin juga judul bahan bacaan yang tersedia tidak menarik perhatian mereka, kemungkinan besar kebanyakan mereka masih belum tertarik lagi untuk membaca!
Luqman dan isteri saya serta seorang anak buah kami menatap juga bahan bacaan yang tersedia. Mereka membaca dalam senyap. Nampaknya saya pun senyap juga, tapi tak membaca!
Seperkara sahaja yang saya kurang berkenan, iaitu TV dipasang kuat-kuat. Suasana sebegini rasanya akan menyebabkan mereka yang sedang membaca cepat hilang tumpuan dengan apa yang dibaca. Kalau hendak buka TV pun, biarlah sederhana kuat.
Saya sekeluarga selamat tiba di Nilai, Negeri Sembilan, sekitar jam 8 malam tadi dari Kuantan. Tujuan saya ke mari adalah sebagai salah seorang pembentang dalam kolokium anjuran Fakulti quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pagi esok.
Salam dari Nilai.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment