Monday, March 8, 2010

Berita Pagi

Ismail Hassan Kembali Ke Rahmatullah

Pagi tadi, sekitar jam 7.30, Cikgu Mohd Rizal memberitahu saya bahawa Saudara Ismail Hassan telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 5 pagi tadi di Seremban. Berita itu kemudiannya dituruti oleh berita yang sama melalui beberapa SMS yang saya terima.

Menurut seorang rakan, Saudara Ismail merupakan pengidap penyakit darah tinggi. Keadaannya bertambah serius apabila beliau berhadapan dengan masalah yang besar.

Saudara Ismail merupakan senior saya ketika bersekolah rendah. Rakan yang mempunyai penglihatan terhad (rabun) ini merupakan seorang murid yang aktif ketika di sekolah rendah. Beliau juga merupakan ketua rumah sukan semasa kami sama-sama di sekolah rendah.

Saudara Ismail telah melanjutkan pelajaran menengahnya di Sekolah Tinggi Muar. Manakala saya pula kemudiannya telah ke KL. Sejak itulah kami agak jarang bertemu. Hanya apabila masing-masing sudah memasuki alam selepas persekolahan baru kami bertemu semula di KL, kebanyakannya di Brickfields. Saya pun tak dapat mengingati bilakah kali terakhir saya bertemu beliau, kerana pertemuan berkenaan sudah berlalu agak lama.

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh almarhum Saudara Ismail Hassan. Alfatihah ....

No comments: