Memproleh Info Melalui Siaran Radio
Pada hari ini, dengan berlakunya ledakan teknologi maklumat, maka pelbagai maklumat, sama ada yang sahih mahupun yang belum sahih, hatta yang berbau fitnah sekali pun, semuanya boleh diperoleh dengan mudah. Semuanya berada di hujung jari sahaja. Golongan cacat penglihatan juga tidak terkecuali daripada menerima tempias daripada ledakan teknologi maklumat ini. Dengan adanya perisian pembaca skrin seperti JAWS, golongan berkenaan juga mampu untuk mengakses apa jua maklumat melalui internet. Mereka juga berkeupayaan untuk berkongsi pula maklumat dengan orang lain. Jika dibandingkan dengan mereka yang berpenglihatan, mungkin nikmat seperti ini kepada golongan cacat penglihatan hanyalah sekadar tempiasan semata-mata, namun demikian ia sudah cukup untuk membuatkan kita semua bersyukur dengan nikmat yang diterima.
Bila saya imbas kembali situasi yang pernah wujud pada dekad 70-an dan 80-an lalu, keadaannya sangat berbeza. Pada ketika itu, penggunaan komputer tidak meluas. Internet masih belum ada. Perisian pembaca skrin untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan masih belum kedengaran lagi. Bahkan memang tidak pernah terjangkau dalam pemikiran ketika itu bahawa suatu hari nanti, golongan cacat penglihatan boleh menggunakan komputer dan boleh melayari internet. Bahkan memang tidak pernah terfikir suatu hari nanti mereka yang tidak berpenglihatan juga mampu untuk mengendalikan blog dan facebook sendiri. Sesetengah golongan cacat penglihatan ketika itu sekadar mampu untuk menaip dengan menggunakan mesin taip biasa walaupun tanpa perisian suara.
Bagi golongan cacat penglihatan ketika itu, antara kaedah yang ada untuk mengakses kepada pelbagai maklumat ialah menerusi siaran radio. Adakalanya maklumat boleh juga diperoleh melalui akhbar. Sesetengah guru dalam pendidikan khas ketika itu memang rajin membacakan akhbar kepada murid-muridnya ketika waktu senggang. Namun demikian, cara yang paling mudah dan popular ialah menerusi siaran radio. Lagi pun, ia tidak melibatkan pertolongan orang lain.
Bila sebut sahaja siaran radio, saya lebih merujuk kepada siaran radio luar negara. Siaran radio dalam negeri sendiri pun saya dengar juga, tapi maaf cakaplah, dari aspek penggunaan teknologi terkini atau pun informasi yang dikemas kini, rasanya siaran radio di negara kita masih belum boleh bersaing walaupun dengan siaran radio dari seberang tambak. Jadi, ketika itu, bila saya dan rakan-rakan yang seangkatan beli radio, kami akan pastikan radio tersebut mempunyai dua jenis gelombang, iaitu gelombang sederhana (MW) dan juga gelombang pendek (SW). Gelombang sederhana adalah untuk siaran-siaran radio tempatan. Kalau di JB, siaran radio dari seberang tambak juga boleh diikuti menerusi gelombang sederhana. Manakala gelombang pendek pula gunanya untuk mendengar siaran-siaran radio daripada luar negara, seperti dari Eropah, Amerika atau Australia. Siaran radio menerusi gelombang FM pula masih belum meluas lagi ketika itu. Demikianlah fenomena waktu itu.
Seperkara yang menarik ketika itu mengenai siaran radio daripada luar negara ialah kebanyakan siaran radio berkenaan turut mempunyai siaran dalam bahasa Melayu, sama ada bahasa Melayu Indonesia ataupun bahasa Melayu Malaysia. Di antara kedua-dua jenis bahasa Melayu ini, bahasa Melayu Indonesia paling luas digunakan dan ia boleh diikuti di kebanyakan siaran radio dari luar negara. Ada juga sesetengah radio luar negara yang mempunyai kedua-dua jenis bahasa Melayu, bahasa Melayu Indonesia dan Malaysia dalam siarannya. Antara siaran radio luar negara yang dimaksudkan termasuklah radio Perbadanan Penyiaran British (BBC), Perbadanan Penyiaran Jepun (NHK), Radio Moscow, Radio Antarabangsa China, Radio Thailand, All India Radio dan Radio Republik Arab Mesir. Oleh kerana siaran-siaran radio berkenaan dalam bahasa Melayu (sama ada Indonesia atau Malaysia), maka ia amat bermanfaat untuk pendengar seperti saya yang masih belum mahir dalam bahasa Inggeris ketika itu.
Seperti yang saya nyatakan, bahasa Melayu Indonesia telah digunakan dengan meluas dalam bidang penyiaran peringkat antarabangsa. Antara siaran-siaran radio lain yang turut menggunakan bahasa tersebut dalam siaran antarabangsanya termasuklah Suara Jerman, Suara Amerika (VOA), Radio Belanda, Radio Tirana (Albania), FEBC (Filipina), Radio Korea (KBS), Radio Vietnam, dan lain-lain lagi.
Waktu siaran pula, kebiasaannya ia disesuaikan dengan waktu negara yang menjadi sasaran siaran berkenaan. Kebanyakan siaran luar negara untuk bahasa Melayu/Indonesia akan mensasarkan waktu pagi, petang atau awal malam mengikut waktu di negara-negara di Asia Tenggara. Manakala tempoh siaran pula sekitar antara 15 minit hingga 3 jam untuk satu-satu siaran. Siaran RASI (Radio Australia Seksi Indonesia) akan bersiaran mulai jam 6.00 pagi hingga jam 9.00 pagi setiap hari (waktu Malaysia).
Bagi saya, kandungan siaran daripada siaran-siaran luar negara merupakan perkara yang menarik. Ia tidak banyak menyiarkan rancangan berbentuk hiburan. Kandungan siarannya berbentuk berita, ulasan berita, info mengenai kebudayaan negara yang mengendalikan siaran, perkembangan Islam setempat (sebagaimana yang sering disiarkan oleh Radio Moscow) dan pelbagai info lain. Di samping itu, oleh kerana dekad 70-an dan 80-an masih lagi berlaku perang dingin, maka siaran Suara Amerika dan Radio Moscow turut dipenuhi dengan propaganda masing-masing. Sebagai pendengar, mulanya saya “pening” juga dibuatnya bila mengikuti siaran kedua-dua radio tersebut. Walau bagaimanapun, setelah mengikutinya sekian waktu, maka fahamlah saya erti perang dingin, propaganda, kapitalis, komunis dan sebagainya, walaupun ketika itu saya baru masuk usia awal belasan tahun. Saya masih ingat lagi, pada dekad 80-an, Radio Moscow telah memulakan siaran dalam bahasa Melayu ala Malaysia. Yang menariknya, setiap kali siaran bermula, ia akan dimulakan dengan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Alquran.
Di samping itu, antara rancangan yang amat saya gemari daripada Radio Australia Seksi Indonesia ialah Perspektif dan Pagi Gembira. Rancangan Perspektif disiarkan pada setiap Selasa jam 6.30 petang (waktu Malaysia), manakala rancangan Pagi Gembira disiarkan pada setiap pagi Sabtu bermula jam 7 hingga jam 8 pagi (waktu Malaysia). Kedua-dua rancangan ini dikendalikan oleh penyiar Indonesia yang bernama Nuim Hayat. Rancangan Perspektif mengenengahkan pelbagai peristiwa yang pernah berlaku di dunia serta rentetannya. Saya masih ingat lagi, dalam salah satu rancangannya, beliau telah mengenengahkan peristiwa mengenai perang dunia kedua. Antara faktor kekalahan Jerman dalam perang tersebut ialah apabila Britain dan Amerika Syarikat telah menggunakan perempuan cantik dan pelacoran untuk memerangkap jeneral dan panglima tentera Jerman bagi mendapatkan rahsia ketenteraan. Banyak lagi info yang telah saya peroleh melalui rancangan Perspektif ini.
Selanjutnya, siaran-siaran daripada BBC atau Radio Australia sering menyiarkan siaran untuk pelajaran bahasa Inggeris dengan pelbagai teknik. Ada kaedah belajar bahasa Inggeris menerusi seni kata lagu. Ada juga kaedah belajar khusus kepada grammer. Pelajaran itu pula dikendalikan secara dwibahasa, iaitu bahasa Melayu/Indonesia dan juga bahasa Inggeris.
Satu keunikan siaran-siaran luar negara ialah, ada di antaranya dikendalikan oleh warga tempatan. Siaran Bahasa Indonesia untuk Radio Moscow dan juga siaran Bahasa Melayu/Indonesia daripada China dikendalikan sepenuhnya oleh warga tempatan yang fasih berbahasa Melayu/Indonesia. Antara penyiar Radio Moscow yang masih segar dalam ingatan saya ialah yang bernama Omar Hamzah. Beliau memang fasih berbahasa Melayu, tetapi dari telornya, saya tahu beliau bukan orang Melayu tulin. Ada dua penyiar yang bertugas di Radio Australia Seksi Indonesia merupakan warga tempatan tapi fasih berbahasa Indonesia. Kedua-dua penyiar yang saya maksudkan ialah Joe Commons dan Alan Maurice.
Antara siaran yang paling popular ialah siaran bahasa Melayu daripada Perbadanan Penyiaran British (BBC). Siarannya hanya selama 15 minit sahaja iaitu dari jam 1.30 tengah hari hingga jam 1.45 tengah hari GMT, atau bersamaan jam 9.30 malam hingga jam 9.45 malam waktu Malaysia (mengikut perubahan waktu terakhir pada tahun 1982). Walaupun siarannya pendek, tetapi ia penuh dengan informasi melalui berita dan diikuti dengan rancangan seperti ulasan berita, Surat Dari London dan sebagainya. Antara penyiarnya yang masih saya ingat termasuklah Azkiah Adam (Dr. Azkiah Adam kemudiannya merupakan seorang pensyarah di UKM), Zainal Abidin Badur (suami kepada seorang bekas profesor di UM), Zaharah Osman (masih lagi di London), Jamil Nordin Abdul Rahman, Dina Fuad, Chamil Waria (Datuk), Kahar Jaafar (kalau tak silap warga negara Singapura,) Wan Ahmad Hulaimi dan lain-lain lagi.
Selain itu, ada juga siaran-siaran yang mana kandungannya berasaskan agama Kristian. Siaran-siaran seperti ini telah dipancarkan sama ada dari Indonesia atau pun dari Pulau Guam. Siaran yang dipancarkan daripada Pulau Guam mempunyai keistimewaan tersendiri. Siarannya berlangsung 2 kali sehari, iaitu sebelah petang dan juga sebelah malam. Penyiarnya sangat fasih berbahasa Melayu. Ada seorang penyiar wanitanya yang mempunyai suara yang agak merdu. Dengan mengikuti siarannya, maka saya mendapat pendedahan bagaimana kalimah-kalimah seperti Allah, firman, kitab, surah/ayat, nabi, rasul dan seumpamanya sebenarnya sudah meluas digunakan oleh umat Kristian untuk dakyah mereka dalam bahasa Melayu. Ia bukan timbul sejak hari ini saja, bahkan sudah muncul semenjak beberapa puluh tahun lalu.
Sekali peristiwa, saya telah memperdengarkan siaran radio dari Pulau Guam kepada seorang rakan yang berpenglihatan. Setelah mendengarnya beberapa minit, rakan saya itu terus berkata, “Ini rancangan agama dari RTM”. Rakan saya itu mungkin membuat kenyataan sedemikian bersandarkan kepada sebab, penyiarnya fasih berbahasa Melayu, kandungannya berbunyi agama, rakan saya itu pula tidak pernah terdedah dengan siaran radio luar negara yang berbahasa Melayu.
Selain itu, satu lagi siaran yang saya suka mendengarnya ialah Siaran Revolusi Malaya. Siaran tersebut dikendalikan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Radio ini amat aktif bersiaran khususnya pada dekad 70-an dan 80-an. Kandungan siarannya pula merupakan dakyah dan propaganda PKM. Siaran Revolusi Malaya akan bersiaran di sebelah tengah hari dan malam setiap hari. Masa siarannya pula ialah selama setengah jam untuk satu-satu siaran. Saya tidak pasti dari mana siaran ini beroperasi. Ada yang kata, ia beroperasi dari dalam hutan di Thailand. Saya lebih yakin dengan kenyataan yang mengatakan siaran ini beroperasi dari selatan tanah besar China. Kebanyakan penyiarnya memang fasih berbahasa Melayu, tetapi ada juga sebilangan kecil penyiarnya yang masih kuat telor kecinaannya. Di akhir setiap siaran, kata-kata semangat seperti “selamat berjuang” akan dikumandangkan. Lagu-lagu yang disiarkan juga merupakan lagu-lagu yang berentak patriotik. Saya masih ingat lagi, semasa Musa Ahmad (salah seorang pemimpin tertinggi PKM ketika itu) menyerah diri kepada kerajaan pada dekad 80-an, salah satu siaran radio tersebut dipenuhi dengan kutukan ke atas Musa Ahmad. Siaran Revolusi Malaya telah dihentikan selepas perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan PKM ditandatangani pada hujung dekad 80-an.
Hari ini, dengan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi, maka banyak siaran radio sudah boleh diakses melalui internet. Bahkan ada sebilangan rakan saya juga sudah mempunyai dan mengendalikan radio internet sendiri. Walau bagaimanapun, siaran radio menerusi gelombang pendek masih lagi popular. Sebab itulah peralatan radio masih dijual lagi di kedai-kedai elektronik.
Sebagai Kesimpulan, oleh kerana pada ketika itu tiada kaedah lain, maka dengan mendengar siaran radio luar negara maka banyak info dapat diperoleh. Walaupun kaedahnya semacam lapuk, namun realitinya banyak pendedahan, pengetahuan serta maklumat berguna dapat saya peroleh. hakikatnya bahasa Melayu telah mendapat perhatian di peringkat antarabangsa sejak sekian lama secara berterusan. Kerana itulah puluhan siaran radio luar negara menggunakan bahasa Melayu sebagai antara bahasa pilihan untuk siaran radio masing-masing. Sebab itulah bila Zhang Song, peserta dari negara China, berjaya memenangi tempat pertama dalam Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) di PICC semalam, bagi saya ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Sebenarnya yang mengejutkan saya ialah bilamana pada hari ini masih ramai orang Melayu sendiri yang merasa terkejut dan teruja bila mengetahui ada orang dari negara lain sangat fasih berpidato dalam bahasa Melayu.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
1 comment:
Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan sekalian.
Tahniah dan terima kasih di atas pendedahan fakta sejarah dan pengalaman ini. Ia bukti jelas saudara seorang pembaca dan pendengar prihatin. Teruskan menyumbang lagi fakta sebegini agar era IT ini turut bermanfaat untuk semua.
Ya, memang banyak siaran luar negara yang telah memasyhurkan bahasa Melayu, sekaligus mengiyakan lagi fakta sejarah yang pernah mencatatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Lingua Franca di sekitar kurun ke 13 hingga ke 16. Juga, usaha penjajah barat untuk melunturkan bahasa Melayu dan pegangan Islam penduduk nusantara ini gagal walaupun kita dijajah selama lebih kurang empat abad. Namun demikian, fenomena orang kita kehairanan dengan kemenangan pidatio oleh penduduk luar nusantara, pada hemat saya, puncanya ialah kurang atau tidak pekanya kita sendiri akan kelebihan bahasa sendiri (Melayu). Mengapa? Antara lain, sikap meniru tanpa ilmu. Lihat sahaja, kalau siaran luar negara lebih berunsur ilmiah dan maklumat, mengapa siaran kita dari dahulu hingga sekarang, lebih berunsur hiburan melalaikan? Malah, semakin hebat teknologi penyiaran ini, semakin canggih pula hiburan yang disiarkan, yang adakalanya amat rendah atau tiada langsung kualiti lagunya. Kalau ada pun siaran berunsur maklumat, amat sedikit, apatah lagi, hendak mengekalkan siaran pendidikan seperti dekad-dekad persekolahan kita dahulu.
Justeru, bersamalah kita menujadi pencinta maklumat dan ilmu dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat masa ini untuk kebaikan bersama. Semoga dengan itu, kita akan menjadi komuniti celik maklumat serta beroleh kemuliaan dan rahmat-Nya, insha Allah.
Terima kasih.
Post a Comment