Thursday, February 18, 2010

Bicara Isu

Keluhan Kepada Teksi Di Kuala Lumpur

Mereka yang kerap menggunakan teksi, sudah tentu mempunyai bermacam-macam pengalaman yang dilalui. Walaupun hari ini saya punya kenderaan sendiri (isteri yang pandu), namun demikian ada ketikanya saya akan menggunakan juga perkhidmatan teksi. Hal ini boleh berlaku jika isteri saya tiada di rumah, atau saya sengaja ingin menggunakan perkhidmatan teksi. Lagi pun, sebelum berumah tangga pun, saya memang kerap menggunakan perkhidmatan teksi dan juga kenderaan awam yang lain.

Di sini, saya ingin berkongsi pengalaman selaku pengguna teksi yang lebih berbentuk keluhan. Apa yang saya alami bukan dengan pemandu teksi, tetapi dengan syarikat-syarikat pengendali radio teksi.

Kebiasaannya, jika saya inginkan perkhidmatan teksi dari rumah, saya akan menggunakan perkhidmatan pengendali radio teksi. Di sekitar Lembah Kelang, terdapat beberapa buah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan radio teksi. Sebab utama saya memanggil teksi menerusi perkhidmatan radio teksi ialah kerana saya tidak perlu ke jalan besar untuk menahan teksi. Lagipun, tujuan ditubuhkan syarikat perkhidmatan radio teksi adalah untuk memberikan kemudahan dan perkhidmatan seperti inilah.

Kebiasaannya bila saya inginkan perkhidmatan teksi, saya akan menelefon syarikat radio teksi tertentu. Antara butiran yang diminta oleh pengendali (operator) radio teksi ialah alamat rumah saya dan destinasi yang akan saya tuju. Setelah itu, pengendali yang bertugas akan meminta nombor telefon saya pula. Kerap kali juga operator berkenaan akan mengakhiri perbualan dengan berkata: “Nanti saya panggil (telefon) balik”.

Apa yang sering berlaku ialah acap kali juga saya terpaksa menanti lebih daripada setengah jam. Kerap kali juga, setelah agak lama nenunggu, saya pula yang kena hubungi semula syarikat radio teksi berkenaan. Lebih menyakitkan hati ialah setelah dihubungi semula, syarikat radio teksi berkenaan akan memberitahu saya, tiada teksi. Kalau demikian jadinya, apa gunanya nombor telefon saya diambil? Sepatutnya, oleh kerana nombor telefon bakal penumpang sudah diambil, maka pengendali radio teksi harus memaklumkan semula kepada penumpang yang berkaitan, sama ada ada perkhidmatan teksi atau sebaliknya.

Saya ada seorang rakan yang juga sering mengalami pengalaman yang hampir serupa. Kata rakan saya tersebut, pernah beberapa kali, bila dia hubungi syarikat radio teksi dan hal yang sama berlaku, beliau akan hubungi semula syarikat radio teksi yang sama, tapi kali ini beliau memberitahu destinasinya ialah KLIA. Yang anehnya, perkhidmatan teksi untuk ke destinasi seperti KLIA tak pernah putus dan sentiasa ada. Setelah beberapa minit, rakan saya itu akan hubungi semula syarikat radio teksi berkenaan dan memaklumkan pembatalan perkhidmatan teksi untuk destinasi KLIA. Kreatif juga rakan saya yang ini buat eksperimen!

Dalam hal ini, pujian harus saya berikan kepada Syarikat Radio Teksi Selangor Wilayah (SW Taxi). Bila saya hubungi syarikat berkenaan untuk perkhidmatan teksi, pengendalinya akan terus hubungi pemandu teksi untuk destinasi yang saya ingini. Pada masa itu juga saya akan dimaklumkan sama ada perkhidmatan teksi untuk destinasi yang saya ingini itu ada atau sebaliknya. Walaupun mungkin tiada perkhidmatan teksi untuk saya ketika itu, tetapi oleh kerana pengendaliannya dilakukan secara profesional, maka saya berpuas hati dan masih boleh tersenyum.

Saya ketengahkan isu ini kerana saya sendiri kerap melalui pengalaman yang serupa tatkala memerlukan perkhidmatan teksi menerusi syarikat radio teksi. Saya pernah mencuba untuk memperbaiki keadaan dengan mengusulkan kepada operator syarikat yang berkaitan supaya memaklumkan kepada saya sesegera mungkin jika tiada perkhidmatan teksi, tetapi ia tak ubah bagai mencurah air di daun keladi sahaja.

Kesimpulannya, pihak pengurusan tertinggi syarikat pengendali perkhidmatan radio teksi seharusnya peka dengan permasalahan seumpama ini. Para operator yang mengendalikan panggilan penumpang yang memerlukan perkhidmatan teksi yang berdaftar di bawah syarikatnya harus kreatif dalam menyelaraskan antara keperluan penumpang yang memanggil dengan para pemandu teksi yang menyediakan perkhidmatan. Jika perlu, latihan khusus harus diberikan kepada para operator yang bertugas di syarikat-syarikat radio teksi supaya perkhidmatan yang diberikan lebih efisyen.

2 comments:

Anonymous said...

saya suka pemandu teksi yang pendiam, masam, garang dan keras macam tunggul kayu! sekurang-kurangnya mereka tidak hipokrit dan menunjukkan ciri2 sebenar pemandu teksi di Malaysia berbanding pemandu teksi yang berpura-pura berkelakuan baik, mesra dan memaparkan senyuman yang ketara tidak ikhlas, sinis dan dalam keterpaksaan. Bahaya kalau ada pemandu teksi yang terlalu baik dan ramah. pasti ada udang sebalik batu. kadang2 pemandu teksi berbangsa India lebih baik daripada pemandu teksi berbangsa melayu yang memakai kopiah dan berlagak alim - lagi banyak akal! dah banyak kali terkena dengan gelagat dan karenah pelik pemandu2 teksi di Malaysia ni. dah letih sehingga saya sanggup jalan kaki je ke mana saja di KL ni selagi terdaya! Mogok punya pasal... kena daya kan juga!

e39touring said...

Terima Kasih utk info ini. Hari nak guna Teksi since 8 years ago. Call SW Taxi, true enough, operator tu direct cari Taxi utk saya. Malangnya takda teksi berdekatan (saya di Puchong nak ke Titiwangsa). Mungkin saya patut cakap nak pi KLIA :)