Sesi Forgive And Forget
Pagi semalam, sekitar jam 10.30, saya menerima SMS daripada Datin Nurhayati. Antara lain kandungannya memaklumkan bahawa pada jam 12 tengah hari nanti akan ada pertemuan antara pengetua sekolah, beberapa orang guru serta saya. Katanya lagi, Datuk Zamani (suaminya) akan menjadi orang tengah dalam pertemuan tersebut . Beliau seterusnya memohon saya agar hadir dalam pertemuan tersebut. Saya sudah menjangkakan apakah isu yang akan berbangkit dalam pertemuan itu nanti.
Sebenarnya, jauh dalam hati, saya tidaklah begitu berminat untuk menghadiri pertemuan tersebut jika isu yang sama bakal dibincangkan. Lagi pun, bagi saya, bila surat tunjuk sebab sudah dikeluarkan, maka saya mentafsirkannya sebagai “isytihar perang”. Kalau nak selesai mesti sebelum gendang perang dipalu. Bila gendang perang sudah dipalu, tugas kita ialah menari ikut irama paluan gendang tersebut. Lagipun, surat jawapan kepada tunjuk sebab berkenaan telah pun saya ajukan kepada sekolah pagi Rabu (14 April) yang lalu. Saya juga ada pendirian, keyakinan serta strategi tersendiri dalam menghadapi “perang” yang seolahnya akan berlarutan entah berapa lama.
Kemudian, sebelum saya memutuskan dengan muktamad sama ada akan menghadiri sesi pertemuan nanti atau sebaliknya, saya baca sekali lagi kandungan SMS daripada Datin Nurhayati. Tatkala saya asyik meneliti semula kandungan SMS beliau, terlintas pula dalam ingatan saya potongan ayat Alquran yang antara lain mafhumnya: “... Dan jika kamu berbantah terhadap sesuatu, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya ...”. Termenung panjang juga saya dibuatnya. Akhirnya, saya memuktamadkan bahawa saya akan hadir dalam sesi pertemuan itu nanti.
Tepat jam 12.15 tengah hari, saya masuk ke bilik gerakan. Saya adalah orang terakhir yang masuk. Pada penelitian pendengaran saya, terdapat sekitar 9 atau 10 orang dalam sesi pertemuan ini (kemudiannya saya dimaklumkan ada 10 orang) termasuklah Datuk Zamani. Sebelah kiri saya ialah Datuk Zamani, manakala sebelah kanan saya dengan jarak mungkin 2 kerusi ialah pengetua sekolah.
Seperti yang telah dirancang oleh mereka yang berkaitan, sesi pertemuan ini telah dikendalikan oleh Datuk Zamani. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa sesi ini adalah untuk mencari penyelesaian dan perdamaian yang berpanjangan antara pihak-pihak yang berselisih. Beberapa orang yang hadir juga turut berpeluang meluahkan rasa hati masing-masing. Saya juga berpeluang meluahkan apa yang terbuku. Sesi pertemuan yang mulanya agak hangat akhirnya menjadi sejuk dan kendur bila saya bersetuju dengan permintaan beberapa orang guru yang hadir. Antara keputusan dan persetujuan yang dicapai ialah:
1. Saya bersetuju untuk menarik kembali 3 tulisan saya daripada blog ini iaitu, Luahan Rasa (28 Mac), Menungan Malam (26 Mac) dan Bicara Isu (13 Mac).
2. Pengetua dan sekolah bersetuju untuk menarik kembali surat tunjuk sebab bertarikh 7 April 2010 yang telah diajukan kepada saya.
3. Saya pula bersetuju untuk menarik balik surat jawapan kepada surat tunjuk sebab berkenaan yang bertarikh 13 April 2010.
4. Beberapa orang guru yang hadir berjanji akan belajar Braille bersungguh-sungguh hingga pandai.
Sesi pertemuan berkenaan telah berakhir pada jam 1.40 tengah hari. Kami yang hadir saling bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain. Eratnya genggaman salam dan eratnya pelukan mungkin membawa makna bulatnya tekad masig-masing untuk Forgive And Forget. Bercucuran air mata masing-masing. Agaknya bersyukur dan gembira kerana keadaan telah dapat diredakan. Kemudian kami sama-sama ke Koperasi sekolah untuk sama-sama menikmati makan tengah hari.
Sebagai tanda keikhlasan saya untuk memenuhi apa yang telah diputuskan dalam sesi pertemuan semalam, maka saya telah pun mengeluarkan daripada blog ini 3 tulisan saya sebagaimana yang tersebut di atas. Teramat besarlah harapan saya semoga luka yang sudah mula akan sembuh ini tidak akan berdarah kembali, kerana jika ia berdarah kembali di tempat yang sama, maka luka berkenaan sukar untuk sembuh semula hingga ke akhir hayat.
Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada yang Berbahagia Datuk Zamani Sulaiman serta Datin Nurhayati di atas peranan kalian dalam menjernihkan apa yang keruh. Apa yang anda berdua lakukan selaras dengan firman Allah yang antara lain mafhumnya: “Dan bertolong-tolonganlah kamu ke arah kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan kepada perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan”.
Terima kasih Datuk, terima kasih Datin, terima kasih semua.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
3 comments:
Alhamdulillah…segala-galanya sudah berakhir,
Maha Suci Allah yang sentiasa mengingati hamba2Nya meskipun hamba2Nya selalui melupai-Nya,
Maha Suci Allah yg sentiasa mengasihi hamba2Nya meskipun hamba2Nya selalui membuat maksiat,
Sembah salam serta selawat kpd Junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yg merupakan pelopor kepada seluruh perjuangan Islam,
Sembah salam serta selawat kepada sahabat2 Rasulullah yg sanggup menjual dunia hanyalah utk membeli akhirat.
Assalamualaikum Pak Ya,
Saya adalah merupakan rakan sekerja Pak Ya. Sebelum ini saya hanya membaca tulisan dan komen dari pembaca. Tetapi tergerak di hati ini utk sy coretkan sedikit luahan hati saya. Pertamanya saya tidak memihak kepada mana2 pihak. Ada perkara yg saya bersetuju dgn Pak Ya dan ada yg tidak begitu juga dengan pihak pentadbir. Walauapapun tidak dinafikan lagi kami guru wajib mempelajari Braille. Saya sedar bahawa saya mungkin masih baru di sekolah ini namun tulisan sekadar meluahkan perasaan. Saya menyeru kepada semua rakan guru marilah memaafkan antara satu sama lain. Adakah kita inginkan suasana kerja yg penuh dengan rasa kebencian antara satu sama lain. Kita kembalikanlah perasaan kasih sayang di antara kita kerana dengan kasih sayang saja lah dapat menyatukan kita. Lihatlah kasih sayang Rasulullah kepada umat2nya walaupun umat2nya selalu menderhaka. Rasulullah tetap mendoakn kebahagiaan mereka. Inilah contoh terbaik kasih sayang yang hebat. Rakan2 guru sudah lupakh kita tujuan kita di sini. Kita di sini adalah utk mendidik para pelajar supaya mencintai Allah, Rasul dan manusia. Apakah kita telah menunjukkan contoh yg baik jikalau diri kita penuh dgn rasa kebenciaan. Saya yakin bahawa ramai guru yang tidak inginkan suasana kerja yang penuh dengan kebenciaan. Saya menyeru diri saya dan rakan guru marilah kita kembali kepada Allah. Jikalau ada sebarang permasalahan kita adukan segala2nya kpd Allah, kita yakin bahawa Dialah yg dapat membantu kita, inilah keuntungan org mukmin, semakin banyak masalah, semakin mustajab doanya. Marilah kita bina semula keluarga kita yang bahagia dan penuh dengan kasih sayang supaya kita dapat sama2 bekerja dengan penuh semangat dan iltizam. Di harap tulisan ini tidak menyinggung perasaan mana2 pihak dan Pak Ya. Teringat saya kepada firman Allah dari ayat mana sy sudah lupa tapi mafhumnya “Hendaklah sebahagian daripada kamu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan merekalah orang2 yang beruntung…..”
Guru nun jauh dari Klang….
Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan sekalian.
Allahu akbar! Alhamdulillah!Tahniah! Semoga segalanya kembali jernih sejernih-jernihnya selama-lamanya. Justeru, yang untung, semua pihak, terutamanya anak-anak/adik-adik pelajar tersayang. Mudah-mudahan, SMPK Setapak akan mampu menjana langkah pembangunan strategik membentuk insan pelajar yang mampu menjadi pelapis kepada kepimpinan sedia ada agar masa depan kita OKU penglihatan in akan lebih cemerlang dan terbilang, insha Allah.
Akhirnya, sampaikan juga salam ta'zim saya kepada Pengetua, Datin, Dato' dan rakan-rakan setugas lain. Bersamalah kita mencari damai nan kekal abadi. Selamat berjaya kepada semua.
Terima kasih.
Salam semua,
Sungguh pun ketiga-tiga catatan tersebut dipadam dari blog ini, saya menyimpan ketig-tiga posting berkaitan. Saya akan terbitkan bila-bila masa saja yang sesuai dan saya bertanggungjawab sepenuhnya tanpa dikaitkan kepada sesiapa. Ianya adalah maklumat peribadi saya.
Ingat, jangan sekali-kali permudahkan kami golongan OKU. Nilai kami dengan apa yang tuhan jadikan.
Salam jihad!
Post a Comment