Dua Murid Sekolah Yang Penuh Sopan-Santun
Baru-baru ini, saya telah ke Pulau Langkawi. Tujuan ke sana adalah menghadiri mesyuarat di bawah anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh kerana saya bersendirian pergi dan balik, maka saya telah menggunakan perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines.
Sewaktu dalam penerbangan pulang ke KL, saya telah duduk di kerusi yang agak belakang sedikit. Sebagaimana biasa, saya merupakan antara penumpang yang naik awal ke pesawat. Setelah saya diberi tempat duduk oleh kakitangan dalam pesawat, En. Ganish dan En. Firdaus (kedua-duanya merupakan antara kakitangan dalam pesawat) pun terus menunjukkan kepada saya butang yang perlu saya tekan jika ingin mendapatkan pertolongan. Kali ini, En. Ganish turut memaklumkan kepada saya dengan agak terperinci kedudukan pintu kecemasan yang terhampir dengan saya. Demikianlah bagus dan mesranya layanan kakitangan pesawat Malaysia airlines kepada orang seperti saya. Maklumat seperti butang yang perlu ditekan serta pintu kecemasan yang terhampir sangat berguna. Dengan berbekalkan maklumat yang diberi, saya boleh merancang apa yang perlu dilakukan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Setelah saya duduk dengan selesa, para penumpang lain mula menaiki pesawat. Satu demi satu tempat duduk mula berpenghuni. Begitu juga dengan dua kerusi di sebelah kanan saya. Berdasarkan suara yang saya dengar, saya maklum dua tempat duduk di sebelah saya diduduki oleh remaja. Kebetulan pula saya duduk di tepi tingkap. Bila tiba masanya, pesawat mula berlepas. Saya pula, sebagaimana biasa kalau naik kapal terbang akan melelapkan mata yang sememangnya sudah sedia lelap.
Tatkala enjin kapal terbang semakin sayup kedengaran, tiba-tiba saya disapa oleh orang yang duduk di kerusi bersebelahan tempat duduk saya. Dia memberi salam, lalu salamnya saya jawab. Berdasarkan pengalaman saya naik kapal terbang, agak jarang orang yang duduk di sebelah akan menegur saya. Bila ada yang sudi menyapa, tentunya orang ini ada kekuatan tersendiri hingga berani bertegur sapa dengan orang yang dia tidak kenal dan cacat pula.
Mulanya dia bertanya destinasi saya. Kemudian, dia bertanya pula tujuan saya di Langkawi. Setelah itu, dia bertanya pula nama tempat tinggal saya. Kesemua soalannya saya jawab pada kadar yang patut-patut. Setelah itu, dia bertanya pula kerjaya saya. Setelah mengetahui saya seorang guru, beliau mula memanggil saya “cikgu”. Panggillah apa sahaja pun, asalkan sopan dan ikhlas.
Setelah itu, saya pula mengambil giliran untuk bertanya. Kesemua pertanyaan saya juga telah dijawab dengan penuh kesopanan. Katanya, namanya Muhammad Nazrin Syafiq bin Mohd Nasaruddin. Manakala adiknya pula bernama Muhammad Nazim **** (saya tak ingat) bin Mohd Nasaruddin. Nazrin Syafiq baru berusia 17 tahun. Kini beliau menuntut di Sekolah Menengah Teknik Langkawi dan mengambil jurusan Kejuruteraan Awam. Adiknya pula berusia 12 tahun dan belajar di tahun 6 di salah sebuah sekolah rendah di Langkawi. Menurut Nazrin Syafiq, beliau hanya dua beradik sahaja dalam penerbangan berkenaan. Kedua ibu bapanya tidak dapat ikut sama. Kata Nazrin Syafiq lagi, destinasi mereka ialah ke Putrajaya untuk menziarahi saudara dan nenek mereka di sana. Saya bertanya pula, tidak takutkah mereka berdua kerana dalam penerbangan ini, mereka hanya dua beradik sahaja. Kata Nazrin Syafiq, mereka tidak terasa takut pun, lagipun, di KLIA nanti sudah ada saudaranya yang menanti.
Nazrin Syafiq bertanya saya, siapa yang akan mengambil saya di KLIAnanti. Saya memberitahunya, tiada sesiapa yang menunggu saya. Saya akan bergerak sendirian. Dia agak kehairanan. Mungkin dia anggap saya bergurau. Dia mengulangi sekali lagi soalan yang sama, lalu saya katakan, sejak dari datang ke Pulau Langkawi lagi saya sendirian, tetapi di sepanjang perjalanan saya, ada saja orang yang sudi menghulurkan bantuan kepada saya. Sebab itulah saya yakin untuk bergerak sendirian. Yang pentingnya, jangan malu untuk bertanya dan minta pertolongan. Lagi pun, ini entah kali yang berapa saya bergerak sendirian seperti ini. Demikian saya melayani rasa ingin tahu daripada Nazrin Syafiq.
Dari getar suaranya, saya dapat merasakan Nazrin Syafiq mungkin merasa sedikit kagum dengan penerangan saya. Lalu saya meneruskan, dalam hidup ini, kalaupun seseorang itu dikurniakan penglihatan, tetapi kalau dia tidak yakin dengan dirinya sendiri, dia tidak akan ke mana. Dia akan sesat, setidak-tidaknya dia sesat dalam dirinya sendiri. Demikian saya beritahu kepada Nazrin Syafiq. Adiknya diam sahaja.
Nazrin Syafiq turut membantu saya dengan menghulurkan bungkusan kacang daripada kakitangan pesawat kepada saya. Bahkan beliau menawarkan untuk membukakan bungkusan kacang untuk saya, tetapi saya menolaknya dengan baik dan berterima kasih kepadanya.
Oleh kerana ada orang untuk berbual dan topik perbualan pula tidak membosankan, penerbangan yang sudah sedia singkat, terasa semakin singkat. Akhirnya pesawat yang kami naiki selamat mendarat di KLIA. Di sini kami berpisah. Sebelum turun dari pesawat, Nazrin Syafiq bersalaman dan mencium tangan saya. Adiknya sekadar bersalam sahaja. Demikianlah sopannya kedua-dua murid sekolah ini. Sebelum berpisah, Nazrin Syafiq sempat mengambil nobor telefon saya dan juga alamat blog ini. Sebagaimana biasa, saya adalah penumpang terakhir yang meninggalkan pesawat semasa ketibaan.
Walaupun peristiwa pertemuan dan perbualan dengan kedua-dua murid sekolah berkenaan semakin jauh ditinggalkan masa, namun kesegaran pertemuan berkenaan masih kuat saya rasai. Walaupun pertemuan tersebut berlangsung sangat singkat, tetapi saya dapat rasakan kedua-dua beradik berkenaan merupakan remaja yang penuh dengan sopan dan santun. Dari getar suara mereka, saya turut dapat rasakan, mereka tidak keberatan untuk menghulurkan bantuan khususnya kepada orang seperti saya pada bila-bila masa. Kepada En. Mohd Nasaruddin dan isteri, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kerana anda berdua dikurnia putera-putera yang sangat baik dan ikhlas. Berbanyaklah syukur dan puji ke hadhrat Allah di atas kurniaan-Nya yang sangat besar itu. Kepada guru yang pernah mengajar kedua-dua murid sekolah berkenaan, syabas saya ucapkan kerana anak didik anda bakal menjadi insan mulia sebagaimana diharapkan oleh golongan pendidik seperti kita.
Semoga akan ada lagi pertemuan dengan mereka, insha-Allah.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment