Saturday, January 28, 2012

Ustaz Ali Mad Dahan Kini Di afrika Selatan

Tengah hari tadi, saya menerima SMS dari Ustaz Ali Mad Dahan. Kandungan SMS-nya memberitahu, beliau sudah pun selamat tiba di Afrika Selatan. Ustaz Ali Mad Dahan akan berada di Afrika Selatan untuk tempoh setahun bagi menyambung pengajiannya dalam bidang Alquran di peringkat yang setara dengan Sarjana, demikian beritahu Ustaz Ali kepada saya sebelumnya. Ustaz Ali akan meneruskan pengajiannya di sebuah institusi pengajian yang dikenali sebagai Madrasa An-Nur.



Ustaz Ali Mad Dahan merupakan seorang yang cacat penglihatan kategori B1 (tidak berpenglihatan) langsung. Beliau berasal dari Pulau Condong, Kelantan. Beliau pernah menerima pendidikan rendah di SKPK Princess Elizabeth di sekitar dekad 70-an lalu. Pendidikan menengahnya pula ialah di SMPK Setapak pada dekad 80-an.



Setelah menamatkan pendidikan menengahnya, beliau bersama-sama dua orang lagi, iaitu Ustaz Musa Ali (alhafiz) dan juga Ustaz Nadzri Salleh (alhafiz) telah mengikuti pengajian Alquran dalam bidang hafazan di Madrasah Kubang Bujuk, Serada, Terengganu. Saya pernah menziarahi ketiga-tiga mereka ketika mereka sedang menuntut di Kubang Bujuk pada awal dekad 90-an lalu dan turut tinggal di madrasah berkenaan selama 3 hari. Semasa menuntut di Kubang Bujuk, Ustaz Ali berjaya menghafaz keseluruhan Alquran Alkarim.



Untuk pengetahuan bersama, Ustaz Musa kini merupakan seorang guru Alquran di salah sebuah madrasah Alquran di Yala, selatan Thailand. Manakala Ustaz Nadzri pula baru sahaja berjinak-jinak dengan kehidupan di ibu kota setelah menyepi selama hampir dua dekad di daerah kelahirannya di Tumpat.

Setelah menamatkan pengajiannya di Kubang Bujuk, Ustaz Ali telah mengajar di beberapa tempat. Akhirnya Ustaz Ali telah melanjutkan pengajiannya di Madrasa An-Nur, Afrika Selatan. Beliau bukan sekadar mampu menghafaz Alquran, bahkan beliau juga turut berkemahiran dalam aspek penulisan Alquran (Alquran Braille). Beliau juga berkebolehan dalam bahasa Arab dan Inggeris. Maklumlah belajar di negara seperti Afrika Selatan, kalau tak boleh berbahasa Inggeris tentulah sukar untuknya mencedok ilmu di sana.



Ustaz Ali Mad Dahan pernah dikaitkan kononnya sebagai salah seorang yang pernah menyemak teks Alquran Braille yang dicetak daripada soft copy curian. Dakwaan oleh pihak yang berkaitan mengenai pembabitan Ustaz Ali berkenaan telah dibuat pada 22 Disember 2010 yang lalu. Walau bagaimanapun, setelah saya merujuk kepada Ustaz Ali sendiri, beliau menafikan dengan sekeras-kerasnya mengenai pembabitan beliau dengan dakwaan sedemikian. Kata Ustaz Ali, memang ada pihak pernah menghadiahkan senaskah Alquran Braille kepadanya beberapa tahun yang lalu, tetapi pihak yang berkenaan tidak pernah meminta beliau untuk menyemaknya dan beliau sendiri tidak pernah menyemak Alquran Braille yang telah diterimanya.

Sebagai salah satu usaha untuk membersihkan namanya daripada terus dikaitkan dengan penyemakan palsu tersebut, maka pada bulan Oktober 2011 yang lalu, Ustaz Ali telah membuat kenyataan penafian tersebut dan telah bersetuju supaya penafiannya itu dirakamkan secara vedio. Antara lain, beliau menafikan pernah terlibat menyemak teks Alquran Braille mana-mana organisasi di Malaysia sebelum tahun 2011. Maka itu, dalam simpanan saya pada masa ini, ada dua kenyataan berlawanan mengenai penyemakan teks Alquran Braille yang melibatkan Ustaz Ali Mad Dahan.

Persoalannya, mengapa ada pihak-pihak tertentu yang beriya benar cuba mengaitkan nama Ustaz Ali dengan penyemakan teks Alquran Braille? Ia disebabkan kemahiran yang ada kepada Ustaz Ali mengenai Alquran itu sendiri khususnya yang melibatkan Alquran Braille. Bahkan dakwaan yang telah dibuat oleh pihak tertentu pada 22 Disember 2010 yang lalu juga turut mengakui kehebatan serta ketinggian ilmu yang ada pada Ustaz Ali dalam bidang Alquran.



Saya sangat bersyukur ke hadhrat Allah apabila pada tahun 2011, Ustaz Ali bersetuju untuk menjadi salah seorang penal penyemak teks Alquran Braille yang telah diusahakan oleh PERTIS dan UTM. Penal berkenaan telah melaksanakan beberapa kali pertemuan untuk menyemak teks Alquran Braille berkenaan. Kebetulan saya merupakan salahseorang daripada anggota penal berkenaan. Berdasarkan pengalaman saya dalam penal penyemak berkenaan yang turut disertai oleh Ustaz Ali, saya mengakui pengetahuan yang ada pada Ustaz Ali dalam bidang Alquran memang tinggi dan saya memang menghormatinya. Kali terakhir penal berkenaan bersidang ialah pada 11-15 November 2011 yang lalu. Di sini, saya tidak berhasrat untuk mendedahkan kandungan laporan setiap kali penal berkenaan bersidang. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah mengenai penglibatan Ustaz Ali selaku salahseorang anggota penal penyemak Alquran Braille PERTIS bermula pada tahun 2011. Penglibatan Ustaz Ali dalam penal penyemak ini bukan sekadar dakwaan palsu semata-mata, tetapi ia adalah fakta realiti sebenar.

Pihak yang telah mencuri soft copy Alquran Braille berkenaan, mereka hanya tahu mencurinya sahaja tetapi mereka tidak pernah meneliti kandungan bahan yang telah dicurinya itu. Sebab itulah mereka tidak merasa takut dan malu dengan perbuatan mencurinya itu. Ingatlah firman Allah yang antara lain mafhumnya: ”Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang” (Ali Imran, ayat 54, juzuk 3). Jadi, buatlah dan rancanglah apa sahaja dengan soft copy curian tersebut, suatu hari yang akan tiba nanti, Allah akan mendedahkan juga apa yang benar. Hari ini anda mungkin petah berhujah mempertahankan kepalsuan, tetapi suatu hari yang akan tiba tak lama lagi, Allah akan mendedahkan pula kebenarann dengan nyata. Jangan lupa pada firman Allah yang lain, antara lain mafhumnya, ”Sesungguhnya Kami (Allah), Kamilah (Allah) yang menurunkan Alquran dan Kamilah (Allah) yang akan memeliharanya)” (Alhijr, ayat 9, juzuk 13).

Kepada Ustaz Ali, saya ucapkan selamat berjaya di rantau orang. Gunakanlah ketinggian ilmu yang ada pada anda untuk mensejahterakan orang lain, jangan sekali-kali gunakan kelebihan yang ada pada anda untuk membuncitkan perut dan poket sendiri.

Thursday, January 26, 2012

Sembang Malam

Mengapa Biarkan Paip Dibuka

Adakalanya terputus bekalan air merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ia berpunca daripada pelbagai sebab.

Selaku pengguna, walau dalam keadaan apa sekali pun, kita harus berjimat ketika menggunakan air. Elakkan daripada pembaziran. Kita juga harus mendidik ahli keluarga kita supaya tidak membazir ketika menggunakan air.

Dalam hal ini, saya teringat satu hadith Nabi yang antara lain mafhumnya: Tatkala Saad bin Abi Waqas sedang mengambil air sembahyang, Rasulullah pun lalu dan bila baginda melihat cara Saad berwudhuk, lalu baginda pun menegur dengan sabdanya, ”Pembaziran apakah ini hai Saad?” Lalu Saad berkata, ”Adakah mengambil wudhuk juga boleh jadi pembaziran ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, ”Ya, walaupun di sungai yang mengalir airnya.”

Berdasarkan mafhum hadith di atas, apa yang saya faham, jika tidak kena caranya, pembaziran air juga boleh terjadi walaupun tatkala kita berwudhuk.

Satu sikap dan tabiat yang sering saya temui hampir di mana sahaja bila terputus bekalan air ialah paip dibiarkan terbuka. Mungkin ada pengguna yang telah membuka air dan bila didapati tiada air paip air yang telah dibuka tadi terus dibiarkan terbuka tanpa menutupnya kembali. Pernah sekali dua, dengan hasrat untuk memenuhi naluri ingin tahu saya, bila ketiadaan air, saya telah memeriksa setiap paip yang ada dalam bilik air awam berkenaan dan saya dapati hampir kesemua paip yang ada terbuka termasuklah paip yang ada dalam tandasnya.

Dalam situasi di atas (paip terbuka), apa yang akan berlaku bila bekalan air pulih kembali? Air akan mengalir menerusi semua paip yang dibuka tadi tanpa digunakan. Jika dalam bilik air awam itu ada 10 paip yang dibiarkan dibuka semuanya, maka akan berlakulah pembaziran yang semakin besar. Itu baru satu bilik air awam. Bagaimana pula jika sikap membazir ini sudah berleluasa dan melibatkan ramai ahli masyarakat?

Jadi, bila kita buka paip dan mendapati tiada air, sila tutup kembali. Jangan melepaskan kekecewaan dengan membiarkan paip yang telah dibuka tadi terus terbuka. Pada masa yang sama, kalau kita melihat ada orang lain yang membuka paip dan tiada air kemudian tidak menutupnya kembali, sila ingatkan orang berkenaan supaya menutup kembali paip tersebut.

Hal yang saya timbulkan ini mungkin dipandang kecil dan remeh sahaja, tetapi jika ia terus dibiarkan, maka suatu ketika nanti, sikap negatif ini akan menjadi tabiat biasa yang tidak dianggap salah lagi.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengubah sikap diri sendiri serta sikap orang-orang yang terhampir dengan kita. Jika kita tidak memulakannya, maka ia tidak akan bermula.

Jimat air, sejahtera kehidupan.

Wednesday, January 25, 2012

Bertamu Di Rumah Mantan KP JAKIM

Datuk Wan Muhammad bin Datuk sheikh Abdul Aziz merupakan salah seorang mantan Ketua Pengarah (KP) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau telah pun bersara pada bulan April tahun lalu. Beliau juga mesra dengan panggilan Datuk Wan. Walaupun setelah bersara, namun hubungan silatul rahim khususnya di antara Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan beliau masih terjalin akrab. Sebab itulah juga beliau telah menjadi tetamu kehormat PERTIS sewaktu majlis berbuka puasa yang telah diadakan pada bulan Ogos 2011, iaitu 4 bulan selepas persaraan beliau.



Tengah hari tadi, saya dengan ditemani isteri telah berkesempatan bertamu dan seterusnya makan tengah hari bersama Datuk Wan dan Datin di kediaman mereka. Sebenarnya, Datuk Wan sudah beberapa kali mengundang saya ke rumahnya. Seingat saya, kali pertama beliau mengundang saya ke rumahnya ialah pada 13 Jun 2009 (Sabtu) iaitu ketika beliau merasmikan mesyuarat agung PERTIS di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi. Pendek kata, setiap kali bertemu, beliau tidak lupa mengundang saya ke rumahnya. Mulanya saya beranggapan undangan beliau sekadar basa-basi dan mujamalah semata-mata. Namun begitu, apabila undangan dinyatakan agak kerap, saya mula tersedar mungkin beliau benar-benar ikhlas dengan undangannya. Akhirnya, pada awal bulan ini, Datuk Wan telah menghantar email kepada saya dengan undangan serta alamat rumahnya sekali. Dari situlah saya berazam untuk memenuhi undangan beliau.

Sekitar jam 1.00 tengah hari, saya dan isteri tiba di rumah Datuk Wan. Kami disambut dengan penuh mesra sekali. Mulanya saya menyangka akan ada tetamu lain selain kami berdua. Namun begitu, sangkaan saya meleset. Hanya kami berdua sahaja tetamunya. Seingat saya, ini kali kedua sangkaan saya meleset sebegini berkenaan bertamu di rumah orang. Kali pertama ialah pada 24 Julai 2011 lalu iaitu ketika bertamu di rumah MSO. Waktu itu, saya turut menaruh sangkaan yang serupa dan kemelesetan yang sama turut terjadi.

Pada pengamatan saya, rumah Datuk Wan agak besar tetapi penuh dengan kesederhanaan. Setakat yang saya tahu, perhiasan yang paling bernilai yang menghiasi rumahnya ialah pelbagai jenis kitab dan buku. Selain kitab-kitab agama, buku yang mencakupi pelbagai disiplin limu yang lain turut menghiasi rumahnya.

Kami berdua turut diperkenalkan dengan ibu mertua Datuk Wan. Usianya sudah mencecah 87 tahun. Saya amat seronok mendengar ibu mertuanya bercerita khasnya mengenai pengalaman hidupnya. Beliau pernah menetap di Makkah selama 22 tahun. Pada masa yang sama, saya juga dapat merasakan betapa akrabnya hubungan antara Datuk Wan dan ibu mertuanya.



Setelah duduk dan berbual seketika, Datuk Wan kemudiannya mempelawa saya dan isteri menjamu selera di ruang makan. Kami dijamu dengan lauk-pauk masakan kampung yang sungguh menyelerakan. Datuk Wan sendiri yang membawa saya ke ruang makan dan beliau sendiri yang menuangkan nasi dan lauk-pauk ke pinggan saya. Di sini, saya dapat merasai betapa tingginya sifat ikram yang ada pada Datuk Wan. Kami berempat sahaja di meja makan.



Selesai makan, kami ke ruang tamu semula. Perbualan kami kali ini lebih tertumpu kepada bagaimana untuk memajukan lagi PERTIS. Datuk Wan turut mengutarakan dua saranan yang mana pada perkiraan saya amat penting untuk diberikan perhatian khususnya oleh AJK Pusat PERTIS yang ada sekarang. Datuk Wan turut memperincikan saranannya supaya mudah untuk dilaksanakan oleh PERTIS kelak. Insha-Allah saya akan membawa saranan beliau untuk diperhalusi lagi dalam mesyuarat AJK Kerja PERTIS minggu hadapan. Beginilah Datuk Wan, bila bercakap dengan saya ada sahaja lontaran ideanya ke arah memperkasakan lagi PERTIS.

Sekitar jam 3 petang, saya serta isteri pun meminta diri. Saya harus segera pulang ke rumah untuk membuat catatan awal terhadap saranan-saranan yang baru sahaja diutarakan oleh Datuk Wan.

Kepada Datuk Wan Muhammad sekeluarga, saya serta isteri mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas undangan serta layanan yang sungguh mesra ketika kami bertamu di kediamannya. Kebaikannya amat tatkala dikecapi dan tak mungkin saya lupakan sehingga ke akhirnya.



Bukanlah tujuan tulisan ini untuk menunjuk-nunjuk ke rumah siapa saya bertamu atau dengan siapa saya berkawan. Apa yang ingin saya kongsikan ialah ketinggian budi serta kemuliaan akhlak yang masih menjadi pakaian segelintir manusia yang mana adakalanya Dia mempertemukan saya dengan golongan seperti ini. Mereka berjawatan tinggi tetapi tidak meninggi diri atau berpangkat besar tetapi tidak bercakap besar. Sikap redha serta sifat zuhud yang sentiasa terserlah dalam diri mereka yang bukan dibuat-buat sentiasa menjadi inspirasi kepada saya dalam diam. Bagi saya, kita harus mengambil kesempatan untuk berukhwah seakrabnya dengan golongan seperti ini bukan kerana hartanya atau pangkatnya atau pengaruh yang ada padanya, tetapi dengan doa dan harapan mudah-mudahan suatu hari kelak kita juga akan jadi mulia seperti mereka, insha-Allah.

Justeru, bagi saya amat dangkal dan sangat dungu sifatnya jika ada orang yang baru naik gaji sesen dua dan baru naik pangkat setakuk dua tapi sombongnya sudah mula melangit, cakapnya sudah mula tak melihat rumput lagi dan lagaknya pula sudah seperti Qarun atau Namrud. Golongan seumpama ini sering beranggapan mereka mampu menongkat langit sampai ke akhirat.

Sayugia saya tegaskan di sini, sifat dan sikap keji serta jijik ini boleh melekat dan berkarat daalam hati dan jiwa sesiapa sahaja yang lemah iman dan akidahnya sama ada yang berpenglihatan mahupun yang tidak berpenglihatan. Maknanya, kecacatan atau kesempurnaan penglihatan seseorang bukanlah penghalang atau pendinding untuknya daripada sebarang landaan musibah hati dan jiwa. Hanya iman yang teguh serta akidah yang kukuh sahaja yang akan dapat menahan seseorang itu daripada terjangkit dek penyakit hati yang maha merosakkan itu.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada bersifat keji sedemikian dan juga menjauhkan kita daripada orang yang bersifat keji seperti itu.

Tuesday, January 24, 2012

Melawat Bukit Kepong

Beberapa bulan yang lalu, nama Bukit Kepong meletup dan hangat diperkatakan orang. Ia gara-gara kenyataan yang dibuat oleh timbalan presiden PAS, Haji Mohammad Sabu yang mengangkat perjuangan Mat Indera sebagai pejuang sebenar dalam menuntut kemerdekaan negara. Namun demikian, kehangatan yang berlaku tak ubah bagai titisan embun di hujung rumput. Bila sinar mentari mula menjenguk maya, titisannya kian hilang. Begitulah halnya dengan Bukit Kepong. Hari ini, namanya tidak lagi meniti dari bibir ke bibir sepertimana beberapa bulan yang lalu. Walau bagaimanapun, sejarahnya tetap kukuh terpahat terutamanya dalam hati sanubari keturunan golongan pejuang yang pernah terlibat secara langsung dalam tragedi berdarah Bukit Kepong sekitar 62 tahun yang lalu.





Pagi semalam (23 Januari), saya dengan ditemani isteri, Luqman, seorang anak buah yang sebaya dengan Luqman serta ibu saya telah melawat Bukit Kepong. Dari rumah, kami mengambil jalan menghala ke Tangkak. Tiba di satu persimpangan, kami mengambil pula jalan menghala ke Segamat. Dengan berpandukan papan tanda jalan, akhirnya kami berjaya tiba di kawasan Bukit Kepong. Jalannya cantik dan baik. Tidak salah jika saya katakan, dengan hanya berpandukan papan tanda sahaja kita boleh tiba dengan mudah dan selamat di Bukit Kepong. Jarak masa dari rumah saya ke Bukit Kepong adalah sekitar sejam perjalanan dengan kenderaan. Sekitar jam 10.35 pagi, saya sekeluarga telah tiba di kawasan Bukit Kepong.





Hari ini, Bukit Kepong masih dapat mengekalkan ciri-ciri kekampungannya. Suasananya masih nyaman dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Walaupun cuacanya agak panas, namun ia tidaklah sepanas bila berada di ibu kota. Jaraknya dari bandar Segamat sekitar 37 km, manakala dari bandar muar pula ialah sekitar 58 km.



Bila saya menjejakkan sahaja kaki, saya terhidu bau minyak tar. Agaknya jalan di sini ada yang baru berturap atau dibaik pulih dengan minyak tar.





Setibanya kami, saya sekeluarga terus ke kompleks sejarah Bukit Kepong. Kalau tak silap, dahulunya ia adalah tapak kompleks rumah pasung Bukit Kepong. Bangunan asalnya diperbuat daripada kayu dan beratap genting. Dalam serangan pengganas komunis pada subuh 23 Februari 1950, seramai 25 orang telah terkorban. Mereka termasuklah 14 orang anggota polis, 5 orang sukarelawan polis, 2 orang para isteri anggota polis, 2 orang awam. Manakala rumah pasung serta seluruh rumah kelamin di sekitarnya telah hangus dibakar puak komunis. Bangunan yang ada sekarang telah didirikan selepas tragedi berdarah tersebut.



Di dalam kompleks ini terdapat gambar-gambar peristiwa serangan komunis di Bukit Kepong. Selain itu, terdapat juga beberapa catatan mengenai peristiwa tersebut. Senarai anggota keselamatan yang terkorban juga turut dipampangkan dalam kompleks ini. Bagi mereka yang cacat penglihatan yang ingin berkunjung ke sini, seeloknya ditemani oleh mereka yang berpenglihatan untuk membolehkan kita mendapat maklumat lebih terperinci daripada gambar dan catatan yang ada. Pastikan rakan berpenglihatan itu mereka yang rajin membaca, bukan sekadar membaca satu perkataan pertama dan satu perkataan terakhir sahaja. Lagipun, tak banyak benda yang boleh disentuh dan dirasa dalam kompleks ini. Kita sekadar dapat merasai suasananya sahaja.







Dari kompleks sejarah, saya bergerak pula ke jeti lama di tepi Sungai Muar. Letaknya hanya beberapa meter sahaja dari kompoleks berkenaan. Jetinya diperbuat daripada batu. Di jeti inilah tempat bot polis berlabuh untuk pelbagai urusan ketika itu. Di bawah jeti inilah juga tempat Osman Yusuf, salah seorang anggota polis yang terselamat dalam tragedi berdarah Bukit Kepong bersembunyi menyelamatkan diri. Bagi pengunjung cacat penglihatan kena berhati-hati kerana jeti ini tidak berpagar dan tidak berdinding. Terdapat juga beberapa orang sedang memancing di tepi sungai. Suasana sebegini terus mengingatkan saya kepada peristiwa sehari sebelum berlakunya serangan pengganas komunis di kawasan ini. Pada 22 Februari 1950, rumah pasung Bukit Kepong telah dilawati oleh OCPD Pagoh, J.J. Raj (kini Datuk Seri). Sebagai meraikan lawatannya, para Anggota polis yang ada serta orang-orang kampung telah bersama-sama menangkap udang dan ikan dari sungai ini untuk dijadikan juadah makan tengah hari.



Setelah kami membasahkan tekak di sebuah warung yang letaknya tidak jauh dari kompleks sejarah, kami bergerak pula ke kawasan perkuburan Islam Bukit Kepong. Letaknya di sebelah Masjid Bukit Kepong. Di dalam kawasan perkuburan ini, terdapat satu kawasan berpagar dengan tembok batu yang merupakan kawasan persemadian mereka yang telah terkorban dalam tragedi Bukit Kepong. Ada di antara kubur yang masih bertanda nama dan boleh dibaca. Saya sendiri dapat memegang kedua-dua nisan kubur Sarjan Jamil Mohd Shah, ketua balai polis Bukit Kepong. Beliau terkorban setelah sekitar dua jam bertempur dengan komunis. Mulanya saya agak hairan kerana kuburnya pendek daripada kebiasaannya. Saya membuat kesimpulan, keadaannya sedemikian rupa mungkin kerana jenazah masing-masing sudah rentung dibakar yang menyebabkan jenazah masing-masing menjadi kecil daripada biasa.











Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat-Nya ke atas roh para pejuang bangsa khususnya yang bersemadi di perkuburan ini. Mereka telah ditakdirkan tidak berkesempatan untuk mengecapi kemerdekaan tanah air. Walhal merekalah antara para pejuang yang telah berkorban nyawa untuk kemerdekaan tanah air yang tercinta ini. Manakala kita pula telah ditakdirkan berkesempatan untuk mengecapi nikmat kemerdekaan di atas pengorbanan perjuangan para pahlawan ini.
(Alfatihah .... ).















Foto menunjukkan beberapa pusara pahlawan yang masih boleh dibaca nama mereka. Mereka ini terkorban bukan untuk British, tetapi untuk keamanan yang sedang kita sama-sama kecapi kini.



Dalam asyik saya bernostalgia dengan kenangan sejarah di sekitar kompleks sejarah Bukit Kepong, tiba-tiba saya disapa oleh seorang lelaki. ”Ini Zakaria, UM, ingat ke saya”? Setelah mengamati suaranya seketika, ingatan saya terus menerpa kepada beliau. ”Alwi kan?” Dengan mesra beliau menjawab: ”Allahu akbar .... masih ingat lagi.” Saya bukan sekadar dapat mengingati akan suaranya, tetapi juga stail beliau bila menerima wang daripada orang lain. Sebagai contoh, saya ada meminjam wang daripada beliau dengan jumlah tertentu, bila saya pulangkan kembali beliau terus menerimanya tanpa mengiranya. Alasannya, kena percaya dengan orang. Saya tidak pasti sama ada stailnya itu sudah berubah atau masih sama. Setelah kami bertukar cerita dan berita seketika, akhirnya kami pun berpisah. Demikianlah pertemuan singkat selepas 21 tahun.

Sekitar jam 12.00 tengah hari, saya sekeluarga pun bergerak meninggalkan kampung Bukit Kepong. Walaupun kunjungan kami agak singkat, tetapi ia tetap bermakna dan memberi kesan terutama kepada kedua-dua anak yang masih rebung yang kami bawa bersama.

Dalam tragedi Bukit Kepong, saya tetap berpendapat pasukan polis yang mempertahankan bukit Kepong adalah wira tanah air. Mereka mempertahankan Bukit Kepong dan bukannya London. Mereka juga berjuang bukan mempertahankan kekuasaan British, tetapi mereka berkorban demi mempertahankan Tanah Melayu. Sekiranya tanah air ini jatuh ke tangan kekuasaan komunis, maka yang akan menjadi komunis ialah Tanah Melayu dan bukannya Britain. Manakala pengganas komunis yang menyerang pula bukan bertujuan untuk membebaskan tanah air, sebaliknya mereka berhasrat untuk menegakkan rejim komunis di Tanah Melayu dengan doktrin komunis sebagai teras kenagaraan. Apa yang berlaku di Bukit Kepong tidak boleh disamakan dengan perjuangan Dol Said atau Tok Janggut. Amat jauh bezanya!

Di bawah ini, saya kongsikan beberapa maklumat dalam bentuk imej yang sempat diambil daripada kompleks sejarah Bukit Kepong. Kepada pengunjung cacat penglihatan pula, saya minta berbanyak maaf kerana maklumat yang saya kongsikan ini dalam bentuk imej yang tidak dapat dibaca oleh pembaca skrin seperti JAWS. Sila gunakan kreativiti sendiri untuk akses kepada maklumat yang dikongsikan.























Saturday, January 21, 2012

Rayuan Kes Liwat Anwar: Sekadar Pandangan

Semalam (20 Januari), pejabat peguam negara telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan hakim mahkamah tinggi pada 9 Januari 2012 yang telah melepas dan membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat. Tindakan pejabat peguam negara ini memang selaras dengan peruntukan dalam undang-undang di mana pihaknya boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari daripada keputusan hakim mahkamah tinggi berkenaan.

Sebelum ini, saya ada menulis menerusi blog ini dalam tulisan yang bertajuk ”Pembebasan Anwar, Sekadar Pandangan”, bertarikh 10 Januari lalu, antara lain saya mengatakan:


.... Pun begitu, kita jangan lupa dengan bidalan orang tua-tua dahulu kala, air yang tenang jangan disangka tiada buaya!


Apa yang jelas di sini ialah, dalam ketenangan air itu rupa-rupanya memang sungguh ada ”buaya”.



Selepas mahkamah tinggi mengeluarkan keputusannya pada 9 Januari lalu, pelbagai pihak khususnya mereka yang menyokkong Anwar telah mengeluarkan kenyataan yang memuji sistem kehakiman di Malaysia. Selain itu, saya juga difahamkan majlis-majlis kenduri kesyukuran juga turut diadakan di tempat-tempat tertentu bagi meraikan keputusan mahkamah tinggi tersebut. Nampaknya ramai di antara para penyokong Anwar alpa bahawa episod masih belum berakhir.

Semalam pihak pendakwa telah memfailkan notis rayuan. Ini bermakna kemungkinan-kemungkinan mengenai masa hadapan Anwar Ibrahim masih belum muktamad. Pelbagai kemungkinan nasib yang bakal ditempuh Anwar masih menjadi teka-teki. Dengan erti kata lain, selagi kes ini masih berpanjangan, maka selagi itulah masa hadapan Anwar Ibrahim akan berada dalam kekaburan.

Saya juga turut mendapat maklumat, pihak-pihak yang menyokong Anwar Ibrahim tidak putus-putus mengadakan solat hajat dan berdoa semoga Anwar benar-benar terlepas daripada hukuman kerana mereka amat yakin Anwar tidak terlibat dengan tuduhan yang dikenakan ke atas beliau selama ini. Manakala bagi pihak yang satu lagi pula, mereka juga turut berdoa semoga keadilan pula menyebelahi mereka. Mereka juga mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa kononnya Anwar adalah orang yang telah benar-benar melakukan perbuatan keji yang telah dituduhkan ke atasnya. Maka bertembunglah dua doa yang berlainan dalam isu yang sama daripada golongan yang sama-sama mengucap dua kalimah shahadah di hadapan Allah. Sesungguhnya Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana sama sekali tidak pening dengan pertembungan doa seumpama ini. Sesungguhnya Allah juga Maha Mengetahui apa yang telah berlaku dan Dia juga Maha Mengetahui apa yang akan ditimpakan-Nya.

Sebelum ini, apabila mahkamah tinggi telah melepas dan membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan yang telah dikenakan ke atasnya, pelbagai pihak yang selama ini menyebelahi Anwar telah mengeluarkan kenyataan memuji-muja sistem kehakiman di negara kita. Sekiranya, dalam rayuan ini pula, pihak mahkamah mendapati Anwar Ibrahim bersalah, bersediakah untuk sekali lagi pihak-pihak yang berkenaan untuk memuji-muja sistem kehakiman negara kita sepertimana sebelumnya?

Apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah, episod masih belum berakhir. Oleh itu, golongan yang bersimpati dengan Anwar Ibrahim seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berlebihan seolah-olahnya kes ini sudah benar-benar muktamad dan berakhir. Bukankah orang tua-tua pernah berpesan, jangan terlalu suka, kelak ia membawa duka!

Sesungguhnya antara benar dan batil itu sudah pun ada tanda-tandanya yang jelas dan nyata. Hanya mereka yang buta hatinya sahaja yang akan menafikan apa yang benar dan mengiyakan apa yang batil. Allah tetap akan memberikan kebahagiaan kepada manusia yang berbuat amalan baik dan memberikan balasan yang seburuk-buruknya kepada manusia yang berbuat jahat. Sudah banyak balasan burut yang telah Allah timpakan ke atas manusia yang jahat dan adakalanya ia berlaku di hadapan mata kita. Hairannya, mungkin kearana kedunguan dan kebodohan sendiri, kita gagal mengambil iktibar daripadanya. Saya bukan menyebelahi mana-mana pihak atau individu. Saya tetap mendokong dan menjunjung setiap yang benar.

Yang betul kita sokong, yang salah kita sanggah.

Monday, January 16, 2012

Fadzli Abdullah Kembali Ke Rahmatullah

Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa salah seorang sahabat kita, Saudara Fadzli bin Abdullah (Abang Long) telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Saya telah mendapat berita ini menerusi SMS daripada Saudara Mohd Bukhari Zakaria sekitar jam 1.30 pagi sebentar tadi. Menurut maklumat yang diterima, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah sewaannya di Brickfields kerana sesak nafas. Menurut sumber, jenazah beliau akan dibawa pulang ke negeri asalnya di Pulau Pinang pagi esok.

Kepada seluruh keluarga Allahyarham, saya sekeluarga mengucapkan takziah. Bersabarlah menghadapi saat yang amat sedih ini.

Kepada rakan-rakan yang lain, marilah bersama-sama kita iringi pemergian Saudara Fadzli Abdullah dengan doa semoga rohnya akan sentiasa mendapat cucuran rahmat daripada Allah setiap ketika.

Sesungguhnya mati itu benar sebagaimana hidup ini adalah benar. Hari ini Janji Allah sudah tiba kepada Allahyarham Saudara Fadzli Abdullah. Akan tiba waktunya janji Allah yang demikian akan tiba kepada kita pula.

Alfatihah ....

Sunday, January 15, 2012

Saya Tabik Mereka

Semalam (14 Januari), selepas selesai sesi dialog bersama beberapa agensi kerajaan dan CUEPACS mengenai SBPA di dewan utama, Kompleks MAB, Brickfields anjuran Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), saya telah bergegas ke Temerloh untuk menghadiri mesyuarat AJK Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) peringkat negeri Pahang pula. Mesyuarat telah berlangsung di pejabat PERTIS Pahang dengan baik dan lancar. Di sini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan PERTIS Pahang yang telah membuat sedikit ubah suai jadual mesyuarat bagi membolehkan saya menghadirinya.



Untuk maklumat bersama, barisan AJK PERTIS Pahang dibarisi oleh mereka yang sudah berusia melebihi 55 tahun. Bahkan ada juga di antara mereka yang telah pun berusia hampir 70 tahun. Bukan tujuan untuk merendahkan mereka, tetapi faktanya ialah rata-rata mereka bukanlah terdiri daripada golongan yang berpelajaran tinggi. Ada juga di antara mereka yang langsung tidak pernah masuk alam persekolahan seperti generasi golongan cacat penglihatan hari ini. Ada juga dalam kalangan barisan AJK berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Jadi, dengan barisan AJK sedemikian, tidak payahlah kita hendak menunjuk-nunjuk mengenai ICT, internet atau pelbagai maklumat lain di luar sana kerena mereka tidak pun hairan dengan semuanya itu. Sebabnya ialah mereka tidak terdedah dengan perkara-perkara sedemikian.

Sudah lama saya perhatikan satu keistimewaan yang ada pada barisan AJK PERTIS Pahang. Walaupun berhadapan dengan pelbagai kekurangan sama ada dari aspek ekonomi, mobiliti, pengetahuan, pergaulan dan sebagainya, seperkara yang sering menjadi perhatian saya dalam diam ialah semangat mereka untuk memajukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PERTIS. Sepatutnya dalam umur yang sudah mula memasuki gerbang usia emas, mereka seharusnya lebih menumpukan kepada rehat, bermain dengan cucu, menanti anak menantu pulang dari bandar pada hujung minggu, atau setidak-tidaknya lebihkan ke masjid atau ke surau.



Ternyata semuanya itu belum lagi menjadi tumpuan penuh mereka. Nampaknya mereka masih gigih untuk memajukan badan bukan kerajaan seperti PERTIS. Barisan AJK ini bukan setakat menghadiri mesyuarat semata-mata, bahkan kerajinan usaha serta kekuatan semangat mereka mengkagumkan saya. Setiap kali ada aktiviti anjuran PERTIS Pahang, mereka inilah yang akan ke hadapan selaku penganjurnya. Adakalanya mereka juga sanggup untuk ke sana dan ke mari sama ada secara bersendirian mahupun dengan ditemani seorang dua rakan untuk menguruskan pelbagai urusan mengenai PERTIS. Pendek kata, tanpa menghiraukan pelbagai kekurangan yang mereka hadapi, mereka terus meredah cabaran dengan penuh yakin tanpa jemu dan tanpa mengenal erti mengalah serta tidak mudah menyerah.

Ada di antara mereka yang sudah pun menceburkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan seperti PERTIS bukan setakat setahun dua, bahkan sudah berbelas tahun lamanya. Ada di antara mereka bukan setakat sebagai ahli biasa, bahkan sudah pun berperanan selaku AJK selama itu juga. Sayugia saya maklumkan, kerja-kerja sukarela yang mereka lakukan tanpa beroleh imbuhan sama ada dalam bentuk elaun atau gaji secara bulanan atau secara tetap. Tanpa keyakinan dan semangat yang benar-benar jitu, saya rasa tidak mungkin barisan AJK tersebut berkesanggupan untuk terus menyumbang kepada badan bukan kerajaan seperti PERTIS dalam keadaan usia yang semakin mengemas serta berseli pula dengan pelbagai kekurangan. Justeru, saya merasakan, jika saya gagal hadir dalam mesyuarat di pejabat PERTIS Pahang petang semalam, sayalah yang patut merasa aib pada diri sendiri. Sebab itulah juga, saya pernah berkata kepada rakan-rakan AJK PERTIS Pusat, jika orang Pahang (AJK PERTIS Pahang) buat silap, kita kena banyak-banyak maaf kepada mereka.



Di samping itu, sepanjang pengalaman saya bergaul dengan barisan AJK PERTIS Pahang, antara sikap dan sifat mereka yang menyerlah ialah mudah untuk ditegur bila buat silap, senang untuk minta maaf bila tersalah serta mudah untuk diajak berbincang. Mereka juga punya sifat keikhlasanserta kerendahan hati yang tinggi. Mungkin kerana sikap dan sifat sebeginilah mereka tidak ego, satu sifat yang boleh menjuruskan seseorang itu ke lembah takabur.

Pernah juga sesekali saya menduga dengan bertanya, tidak teringinkah mereka berehat sahaja dalam usia yang sebegini? Mereka menjawab: ”Kalau cikgu boleh carikan pelapis untuk kami, kami boleh berehat”. Demikianlah.

Sesungguhnya semangat serta kegigihan yang mereka punyai amat jauh bezanya daripada sesetengah daripada generasi muda hari ini. Ada di antara yang masih muda baru suku jalan sebagai pemimpin sudah berundur dengan alasan yang kurang munasabah. Usia sahaja muda, tetapi semangat lebih ganyut daripada umur golongan AJK PERTIS Pahang. Ada di antara generasi muda hari ini lebih suka menerima daripada menyumbang. Ada juga dalam kalangan generasi muda yang tewas sebelum berjuang, mengalah sebelum berperang dan menyerah sebelum menempuh cabaran.

Saya tidak bermaksud semua generasi muda cacat penglihatan sedemikian sifatnya, tetapi memang tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan yang berkenaan hanya sekadar cakapnya sahaja yang berkobar dan berdegar, tapi bila diserahkan tugas dan tanggungjawab, semangat mereka mudah luntur dek pelbagai alasan. Kita harus faham, kalau kita sekadar berteori tanpa disusuli dengan amali, orang lain tidak akan hormat lagi teori kita. Kalau mereka dengar pun sekadar masuk telinga kanan dan terus hilang sebelum sempat keluar di telinga kiri. Dalam diam orang akan berkata: ”Dia tu cakap saja pandai, bila buat kerja tak sama apa yang dia cakap”. Saya pernah mendengar rungutan sedemikian sebab itu saya boleh memperkatakannya.

Kepada generasi muda cacat penglihatan, kalau pun anda lebih berpelajaran, lebih berpengetahuan, lebih pendedahan, punya akses dengan dunia siber, tidak salah rasanya sekali-sekala anda meninjau serta meneladani semangat, kegigihan, kekentalan serta kegetiran perjuangan mereka yang berusia emas yang senasib dengan anda dalam memperkasakan golongan seperti kita. Apalah gunanya kalau berpelajaran, berpengetahuan, petah berpidato, pandai itu dan pandai ini, tapi kelebihan yang ada hanya digunakan untuk berbohong dan mencuri semata-mata!



Kepada barisan AJK PERTIS Pahang, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kerana tidak jemu untuk terus menerajui PERTIS Pahang. Semoga usaha anda dan kita semua akan sentiasa diberkati Allah hendaknya sepanjang masa.