Semalam (14 Januari), selepas selesai sesi dialog bersama beberapa agensi kerajaan dan CUEPACS mengenai SBPA di dewan utama, Kompleks MAB, Brickfields anjuran Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), saya telah bergegas ke Temerloh untuk menghadiri mesyuarat AJK Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) peringkat negeri Pahang pula. Mesyuarat telah berlangsung di pejabat PERTIS Pahang dengan baik dan lancar. Di sini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan PERTIS Pahang yang telah membuat sedikit ubah suai jadual mesyuarat bagi membolehkan saya menghadirinya.
Untuk maklumat bersama, barisan AJK PERTIS Pahang dibarisi oleh mereka yang sudah berusia melebihi 55 tahun. Bahkan ada juga di antara mereka yang telah pun berusia hampir 70 tahun. Bukan tujuan untuk merendahkan mereka, tetapi faktanya ialah rata-rata mereka bukanlah terdiri daripada golongan yang berpelajaran tinggi. Ada juga di antara mereka yang langsung tidak pernah masuk alam persekolahan seperti generasi golongan cacat penglihatan hari ini. Ada juga dalam kalangan barisan AJK berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Jadi, dengan barisan AJK sedemikian, tidak payahlah kita hendak menunjuk-nunjuk mengenai ICT, internet atau pelbagai maklumat lain di luar sana kerena mereka tidak pun hairan dengan semuanya itu. Sebabnya ialah mereka tidak terdedah dengan perkara-perkara sedemikian.
Sudah lama saya perhatikan satu keistimewaan yang ada pada barisan AJK PERTIS Pahang. Walaupun berhadapan dengan pelbagai kekurangan sama ada dari aspek ekonomi, mobiliti, pengetahuan, pergaulan dan sebagainya, seperkara yang sering menjadi perhatian saya dalam diam ialah semangat mereka untuk memajukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PERTIS. Sepatutnya dalam umur yang sudah mula memasuki gerbang usia emas, mereka seharusnya lebih menumpukan kepada rehat, bermain dengan cucu, menanti anak menantu pulang dari bandar pada hujung minggu, atau setidak-tidaknya lebihkan ke masjid atau ke surau.
Ternyata semuanya itu belum lagi menjadi tumpuan penuh mereka. Nampaknya mereka masih gigih untuk memajukan badan bukan kerajaan seperti PERTIS. Barisan AJK ini bukan setakat menghadiri mesyuarat semata-mata, bahkan kerajinan usaha serta kekuatan semangat mereka mengkagumkan saya. Setiap kali ada aktiviti anjuran PERTIS Pahang, mereka inilah yang akan ke hadapan selaku penganjurnya. Adakalanya mereka juga sanggup untuk ke sana dan ke mari sama ada secara bersendirian mahupun dengan ditemani seorang dua rakan untuk menguruskan pelbagai urusan mengenai PERTIS. Pendek kata, tanpa menghiraukan pelbagai kekurangan yang mereka hadapi, mereka terus meredah cabaran dengan penuh yakin tanpa jemu dan tanpa mengenal erti mengalah serta tidak mudah menyerah.
Ada di antara mereka yang sudah pun menceburkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan seperti PERTIS bukan setakat setahun dua, bahkan sudah berbelas tahun lamanya. Ada di antara mereka bukan setakat sebagai ahli biasa, bahkan sudah pun berperanan selaku AJK selama itu juga. Sayugia saya maklumkan, kerja-kerja sukarela yang mereka lakukan tanpa beroleh imbuhan sama ada dalam bentuk elaun atau gaji secara bulanan atau secara tetap. Tanpa keyakinan dan semangat yang benar-benar jitu, saya rasa tidak mungkin barisan AJK tersebut berkesanggupan untuk terus menyumbang kepada badan bukan kerajaan seperti PERTIS dalam keadaan usia yang semakin mengemas serta berseli pula dengan pelbagai kekurangan. Justeru, saya merasakan, jika saya gagal hadir dalam mesyuarat di pejabat PERTIS Pahang petang semalam, sayalah yang patut merasa aib pada diri sendiri. Sebab itulah juga, saya pernah berkata kepada rakan-rakan AJK PERTIS Pusat, jika orang Pahang (AJK PERTIS Pahang) buat silap, kita kena banyak-banyak maaf kepada mereka.
Di samping itu, sepanjang pengalaman saya bergaul dengan barisan AJK PERTIS Pahang, antara sikap dan sifat mereka yang menyerlah ialah mudah untuk ditegur bila buat silap, senang untuk minta maaf bila tersalah serta mudah untuk diajak berbincang. Mereka juga punya sifat keikhlasanserta kerendahan hati yang tinggi. Mungkin kerana sikap dan sifat sebeginilah mereka tidak ego, satu sifat yang boleh menjuruskan seseorang itu ke lembah takabur.
Pernah juga sesekali saya menduga dengan bertanya, tidak teringinkah mereka berehat sahaja dalam usia yang sebegini? Mereka menjawab: ”Kalau cikgu boleh carikan pelapis untuk kami, kami boleh berehat”. Demikianlah.
Sesungguhnya semangat serta kegigihan yang mereka punyai amat jauh bezanya daripada sesetengah daripada generasi muda hari ini. Ada di antara yang masih muda baru suku jalan sebagai pemimpin sudah berundur dengan alasan yang kurang munasabah. Usia sahaja muda, tetapi semangat lebih ganyut daripada umur golongan AJK PERTIS Pahang. Ada di antara generasi muda hari ini lebih suka menerima daripada menyumbang. Ada juga dalam kalangan generasi muda yang tewas sebelum berjuang, mengalah sebelum berperang dan menyerah sebelum menempuh cabaran.
Saya tidak bermaksud semua generasi muda cacat penglihatan sedemikian sifatnya, tetapi memang tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan yang berkenaan hanya sekadar cakapnya sahaja yang berkobar dan berdegar, tapi bila diserahkan tugas dan tanggungjawab, semangat mereka mudah luntur dek pelbagai alasan. Kita harus faham, kalau kita sekadar berteori tanpa disusuli dengan amali, orang lain tidak akan hormat lagi teori kita. Kalau mereka dengar pun sekadar masuk telinga kanan dan terus hilang sebelum sempat keluar di telinga kiri. Dalam diam orang akan berkata: ”Dia tu cakap saja pandai, bila buat kerja tak sama apa yang dia cakap”. Saya pernah mendengar rungutan sedemikian sebab itu saya boleh memperkatakannya.
Kepada generasi muda cacat penglihatan, kalau pun anda lebih berpelajaran, lebih berpengetahuan, lebih pendedahan, punya akses dengan dunia siber, tidak salah rasanya sekali-sekala anda meninjau serta meneladani semangat, kegigihan, kekentalan serta kegetiran perjuangan mereka yang berusia emas yang senasib dengan anda dalam memperkasakan golongan seperti kita. Apalah gunanya kalau berpelajaran, berpengetahuan, petah berpidato, pandai itu dan pandai ini, tapi kelebihan yang ada hanya digunakan untuk berbohong dan mencuri semata-mata!
Kepada barisan AJK PERTIS Pahang, setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kerana tidak jemu untuk terus menerajui PERTIS Pahang. Semoga usaha anda dan kita semua akan sentiasa diberkati Allah hendaknya sepanjang masa.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment