Monday, May 7, 2012

Sembang Malam

Fatwa

Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa yang antara lain memfatwakan bahawa demonstrasi yang boleh mencetuskan huru-hara adalah haram. Sekali imbas, fatwa ini baik. Tujuannya tentulah untuk menjaga keselamatan orang ramai dan juga ketenteraman negara. Sementelahan pula, ahli jawatankuasa yang berkaitan bukan calang-calang ilmuwan. Quran dan hadith boleh dikeluarkan pada bila-bila masa macam air terjun sahaja. Justeru, kalau kita tanya kepada mana-mana ahli jawatankuasa yang berkaitan, ayat Quran yang mana atau hadith sahih yang mana yang menjadi asas kepada fatwa semalam, saya yakin mereka boleh memberitahu dengan serta-merta akan jawapannya .... hebat! Hebat! ....

Walau bagaimanapun, bila direnung-renugkan, semacam ada yang tidak kena dengan fatwa semalam. Banyak juga persoalan yang bermain di benak saya bila terbaca sahaja mengenai fatwa semalam. Kalau tanya orang UMNO, memanglah mereka setuju entah berapa peratus dengan fatwa berkenaan. Manakala kalau tanya orang PAS pula, memanglah mereka akan tidak bersetuju entah berapa peratus pula. Kalau tanya pada Datuk S. Ambiga pula, mungkin dia tidak berani menjawab kerana takut jawapannya akan dijadikan modal untuk menghemtam beliau kembali.

Bagaimana pula dengan tunjuk perasaan di sekitar Kuala Terengganu pada tahun 2008 yang lalu yang menentang titah tanku sultan yang melantik seorang menteri besar yang lain? Dalam tunjuk perasaan berkenaan, beberapa sepanduk yang menghina raja turut terpampang. Kalau demonstrasi sebegitu apa pula hukumnya? Halal ke, haram ke atau halam ke?

Fatwa sebegini, adakah ia hanya sahlakunya dalam negeri sahaja? Bagaimana pula dengan tunjuk perasaan di Tnesia, Mesir dan yang sedang bergolak di Syria sekarang? Tunjuk perasaan yang berlaku bukan sahaja mencetuskan huru-hara, bahkan ia turut menumpahkan darah. Jumlahnya pula bukan seorang dua, bahkan sudah mencecah ribuan nyawa umat Islam. Adakah fatwa semalam turut merangkumi apa yang berlaku di negara-negara berkenaan?

Bagaimana kalau tunjuk perasaan itu dilakukan untuk menentang pihak berkuasa yang dianggap zalim oleh para penunjuk perasaan? Bagaimana pula jika pencetus huru-hara dalam satu-satu tunjuk perasaan itu merupakan kumpulan yang pro kepada pihak yang berkuasa? Halal ke, haram ke atau halam?

Saya pernah mendengar menerusi internet, ada seorang mantan pemimpin besar negara yang mengatakan hukum hudud sebenarnya tiada dalam Alquran. Katanya lagi, ia semata-mata dikeluarkan oleh ahli feqah. Apa pula pendapat pihak-pihak ilmuwan yang berauthoroti untuk menjatuhkan hukum halal atau haram di negara ini mengenai hal tersebut? Halal ke, haram ke atau halam ke?

Bagaimana pula jika ada mana-mana pihak yang berkuasa telah mendapatkan kuasanya dengan cara memasukkan mereka yang tidak layak untuk memilih ke dalam senarai daftar pemilih agar pemilih yang tidak sah dan tidak layak itu akan memilih pihak yang berkuasa yang berkaitan? Apa hukum kuasa yang mereka perolehi itu? Apa hukum mereka yang menjalankan kuasa itu? Apa pula hukum mereka yang bersekongkol dengan penyalahgunaan kuasa sedemikian? Halal ke, haram ke atau halam ke?

Rakyat juga tahu tokoh-tokoh tertentu suka berbohong bila bercakap. Contoh mudah, kalau jumlah orang yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan mencecah ratusan ribu, tetapi ada tokoh lain yang dengan sengaja cuba merendahkan angkanya dengan mengatakan hanya sekitar 25 ribu orang sahaja, tidakkah tokoh seperti ini telah berbohong? Apa hukumnya kalau tokoh besar sebegini berbohong? Halal ke, haram ke atau halam ke?

Bagi saya, Rakyat di negara ini pada masa ini bukanlah bodoh sangat untuk menilai sesuatu. Mereka sudah berkemampuan untuk menilai sesuatu itu dengan lebih matang. Saya lihat, apa yang mereka suarakan tidak boleh lagi dibendung hanya dengan kekuatan penguatkuasaan semata-mata. Hakikat ini perlu diinsafi oleh pihak yang berkuasa.

Walaupun malam semakin larut, tetapi saya masih rasional dan tidak mengarut!

2 comments:

alisetan said...

Saya bertuhankan Tuhan bukan Majlis Fatwa Kebangsaan. Di petik dari post Pn. Ainun dlm wall FB beliau.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Maaf, agak terlewat mengikuti isu ini. Alhamdulillah, juga terima kasih di atas ulasan kritis saudara. Justeru, sekadar pandangan, bukan memihak mana-mana, beginikah imej Islam yang ingin dipaparkan pihak berkuasa kini? Juga, seperkara yang sedang bermain di benak saya sejak saya mula mengkaji Islam ketika sekolah menengah, acapkali bila berlaku sesuatu bala atau musibah, umpamanya gejala jenayah dan sosial yang semakin meningkat, balik-balik ibubapa dan guru-guru yang salah atau patut dipersalahkan. Malah, kalau tak elampau saya katakan, alim ulama yang berkhidmat di bawah pihak berkuasa bagaikan digam bibir dan lidah mereka daripada menegur segala macam kemungkaran itu.

Justeru, dengan situasi sedemikian, tak hairanlah kalau imej Islam begitu tercalar. OK, tak payah banyak, satu aja pun rasanya dah cukup: semakin kita maju dengan kebendaan ini, semakin banyak dan berleluasa pula gejala fitnah dan mengaibkan sesama saudara, khasnya yang disiarkan di media arus perdana. Setakat ini, saya belum dengar lagi mana-mana mufti menegur perbuatan sebegitu ... Maka, tidakkah gejala sebegitu akan turut ditonton anak-anak kita yang masih kecil dan belum tahu banyak lagi tu? Kemudian, bila mereka buat macam tu, tahu pula kita marah, kan, sekaligus saling salah-menyalah? Oleh itu, pemimpin dan kerajaannya juga patut sangat dipertanggungjawabkan akan gejala sedemikian, bukan hanya padai tuding jari kat orang aja, kerana logiknya, mereka juga ibu dan bapa kepada anak masing-masing. Lalu, bersamalah kita memohon kepada-Nya agar dijauhi daripada segala macam keburukan, khasnya yang terbit daripada nafsu serakah, seterusnya dinaungi dalam inayah dan hidayah-Nya nan abadi agar menjadi hamba yang benar-benar beriman, bertaqwa lagi beramal soleh, insha Allah.

Perkenankanlah, duhai Tuhan Semesta Alam.

Terima kasih.