Sunday, September 29, 2013
Berita Malam
Hari ini Samsudin Wahab telah masuk wad untuk kali kedua pada bulan ini (kalau saya tidak silap). Beliau telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu. Ada pun sebab beliau dimasukkan ke wad ialah untuk menjalani rawatan kimo gara-gara penyakit kanser yang dihadapinya.
(Samsudin dengan salah seorang anaknya)
Kepaada Samsudin, bersabarlah banyak-banyak di atas ujian Allah ini. Sesungguhnya penyakit itu dari Dia juga datangnya ia. Jadi Allah sahaja lah sebenarnya yang maha berkuasa untuk menyembuhkannya.
Saya juga amat berharap semoga isteri dan anak-anaknya juga akan tabah dan banyak bersabar. Kita semua sentiasa mendoakan agar Samsudin akan sihat seperti sediakala kelak.
Marilah kita bersama-sama berdoa semoga sahabat senasib kita ini akan sembuh daripada penyakit yang sedang beliau hidapi.
Sesi Promosi Pen Pembaca Alquran Untuk Golongan Cacat Penglihatan
Pada 28 September 2013 (Sabtu), satu sesi untuk mempromosikan pen yang boleh digunakan oleh mereka yang cacat penglihatan untuk mendengar bacaan Alquran telah diadakan. Sesi berkenaan telah berlangsung di Lecture Room, tingkat 2, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Sesi berkenaan telah berjalan sekitar 3 jam di sebelah petang. Sesi berkenaan telah dianjurkan oleh Syarikat Altasneem Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).
Saya telah tiba ke lokasi majlis agak lewat sedikit iaitu pada jam 3.15 petang. Ini adalah kerana sebelumnya saya berada di sekolah kerana ada sekolah ganti.
Pada pendengaran saya, bilangan pengunjung yang hadir untuk sesi berkenaan memang memuaskan. Menerusi sesi tersebut, golongan sasar telah didedahkan kegunaan pen pembaca Alquran yang dibuat khusus untuk mereka yang cacat penglihatan. Di samping itu, para pengunjung juga boleh membeli terus pen berkenaan. Menurut maklum balas yang saya perolehi, ramai juga pengunjung yang telah membeli atau menempah pen berkenaan.
Saya telah bertemu dengan sekurang-kurangnya dua pengunjung dari luar Kuala Lumpur yang datang semata-mata untuk menyaksikan dari dekat sesi promosi ini. Seorang dari Terengganu dan yang seorang lagi datang dari Kuantan. Kepada kedua-dua pengunjung berkenaan, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan.
Untuk menjayakan lagi majlis berkenaan, beberapa orang kakitangan Altasneem telah memberi penerangan serta tunjuk ajar kepada para hadirin secara individu. Maklumlah penerangan secara umum tidak mungkin memberi kesan yang sesuai khasnya kepada golongan sasar. Jika ada mana-mana pengunjung yang tidak sempat dilayan dengan sempurna, saya bagi pihak penganjur mohon berbanyak maaf.
Kepada mereka yang telah membeli pen berkenaan, kami juga amat mengharapkan maklum balas daripada anda semua mengenai penggunaan pen berkenaan. Kami juga amat mengharapkan saranan atau cadangan ke arah penambahbaikan pen berkenaan agar ia benar-benar dapat dimanfaatkan oleh golongan sasar. Semua pandangan boleh disalurkan terus kepada PERTIS atau kepada Altasneem.
Di sini juga, saya tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada individu yang telah menaja 3 set pen berkenaan untuk diagihkan kepada 3 ahli PERTIS yang difikirkan sesuai untuk menerimanya. Terima kasih juga saya tujukan kepada semua pengunjung yang telah sudi mengunjungi sesi promosi berkenaan dan menyaksikan sendiri kegunaan pen berkenaan. Mudah-mudahan ia akan menjadi salah satu saluran pilihan untuk kita mengakrabkan diri dengan Alquran.
Selepas ini, bagi mereka yang ingin mendapatkan pen berkenaan ia boleh ditempah sama ada menerusi PERTIS ataupun menerusi Altasneem Malaysia Sdn Bhd. Pada masa sama, Altasneem juga merancang untuk menganjurkan satu lagi sesi yang serupa dalam masa terdekat. Tarikh dan masa sesi berkenaan akan dimaklumkan nanti. Demikian saya dimaklumkan sendiri oleh pengarah urusan Altasneem Malaysia Sdn Bhd.
Sebenarnya, orang yang mula-mula telah memperkenalkan PERTIS kepada Altasneem Malaysia Sdn Bhd ialah Cikgu Ahmad Bustamam beberapa tahun yang lalu. Dari situlah terjalinnya kerjasama antara kedua-dua pihak hingga sekarang. Mudah-mudahan juga kerjasama seumpama ini akan berterusan selagi ada bulan dan matahari, insha-Allah.
Wednesday, September 25, 2013
Sejarah Alquran Braille Sudah Dibukukan
Selama ini, maklumat mengenai perkembangan Alquran Braille di negara kita hanya tersimpan dalam pengetahuan individu-individu tertentu. Ia juga tersimpan menerusi pengalaman murid cacat penglihatan yang pernah belajar Alquran Braille di SKPK Princess Elizabeth di Johor Baru. Manakala SKPK Princess Elizabeth pula merupakan sekolah dan tempat di mana pembelajaran mengenai Alquran Braille di negara kita telah bermula di peringkat awal. Pembelajaran Alquran Braille di sekolah tersebut terus berjalan hingga ke hari ini. Maknanya sudah 65 tahun pembelajaran Alquran Braille dilaksanakan di SKPK Princess Elizabeth.
Kalau ada pun tulisan mengenai sejarah dan perkembangan Alquran Braille di Malaysia, ia hanyalah penulisan kecil-kecilan sahaja. Antara persoalan yang sukar dijawab selama ini ialah bagaimana Alquran Braille boleh sampai ke Tanah Melayu pada dekad 50-an lalu. Jawapan yang dikemukakan selama ini hanya bersandarkan kepada teori semata-mata. Dengan erti kata lain, selama ini tiada sebarang usaha dibuat untuk mengkaji mengenai sejarah Alquran Braille di negara ini secara ilmiah.
(Dr. Mustaqim bersama bekas Naib Canselor USIM dalam satu majlis pada 12 Mac 2012)
Akhirnya, dengan izin dari Allah jua, dan dengan berkat usaha yang tidak mengenal jemu, sebuah buku mengenai sejarah dan kaedah Alquran Braille di Malaysia telah berjaya dihasilkan. Orang yang telah mengambil inisiatif untuk membuat kajian ilmiah mengenai Alquran Braille di Malaysia sehingga terhasilnya buku berkenaan ialah Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif. Beliau juga merupakan salah seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Antara Keistimewaan yang ada pada Prof. Madya Dr. Mustaqim ialah, beliau seorang yang berpenglihatan. Beliau sememangnya berkemahiran dalam membaca dan menulis tulisan Arab Braille dan Alquran Braille. Oleh kerana kagum dengan kemahiran beliau dalam membaca Alquran Braille, beliau telah diberikan senaskah Alquran Braille secara percuma (mungkin sebagai hadiah) sewaktu beliau berada di Jordan. Selain itu, beliau juga sememangnya berkemahiran dalam bahasa Arab dan Inggeris. Ini telah memberi kelebihan untuk beliau meluaskan lagi sumber untuk kajian beliau mengenai Alquran Braille. Beliau adalah orang yang telah memberi maklumat kepada saya mengenai fatwa tentang Alquran Braille yang dikeluarkan oleh beberapa negara Arab. Beliau juga seorang yang amat gigih ketika mendalami tulisan Arab Braille. Oleh kerana beliau juga mahir dengan bahasa Arab, maka beliaulah yang telah dapat membaca dan seterusnya meneliti fatwa mengenai Alquran Braille yang ditulis dalam tulisan Arab Braille tanpa baris sebagaimana yang terdapat dalam Alquran Braille keluaran negara Mesir yang ada dalam simpanan Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).
Secara ringkasnya, tajuk buku ini ialah “BRAILLE ALQURAN Sejarah dan Kaedah”. Ia mengandungi 176 halaman tidak termasuk indeks dan prakata. Buku ini telah diterbitkan oleh penerbit USIM tahun 2013. Buku ini terbahagi pula kepada 6 bab seperti berikut:
Bab 1: Tulisan Berasaskan Sentuhan: Sejarah Dan Perkembangannya.
Bab 2: Sistem Braille: Struktur, Pengelasan dan Transkripsi.
Bab 3: Sejarah Braille Alquran Di Malaysia.
Bab 4: Alquran Braille PERTIS: Struktur dan Metode.
Bab 5: Kod Braille Wasilah Bacaan Alquran: Struktur dan Metode.
Bab 6: Sejarah dan Metode Penulisan Alquran Braille Di Negara Islam Lain.
Dengan membaca buku ini, banyak maklumat penting dan menarik dapat kita perolehi. Antaranya, orang yang mula-mula memperkenalkan tulisan Arab Braille bernama Lovel, seorang Kristian. Ini bermakna, dalam konteks Braille, Bible Braille telah dihasilkan lebih dahulu daripada Alquran Braille. Semua perkembangan ini telah berlaku di timur tengah.
Di negara kita pula, Major D.R. Bridges pernah mewakili Tanah Melayu dalam persidangan mengenai Alquran Braille peringkat antarabangsa. Beliaulah yang telah membawa balik ke Tanah Melayu beberapa naskah Alquran Braille yang kemudiannya telah ditempatkan di beberapa institusi yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan seperti di Princess Elizabeth School (PES).
Sebenarnya banyak lagi fakta menarik yang dapat diperolehi jika kita membaca lebih lanjut buku ini. Oleh itu, selepas ini, marilah kita sama-sama dapatkan buku ini untuk menambah lagi khazanah maklumat mengenai perkembangan dan sejarah Alquran Braille di negara kita. Dengan mengetahui sejahnya kita tidak lagi membuat keputusan silap khasnya mengenai penulisan, penggunaan, pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille.
Pada masa sama, saya juga tidak menafikan bahawa kandungan yang dipaparkan dalam buku ini bukanlah bersifat muktamad. Namun demikian, saya amat yakin buku ini berpotensi besar untuk merintis lebih banyak lagi kajian dan penyelidikan ilmiah mengenai Alquran Braille pada masa-masa yang akan datang.
Kepada Prof. Madya Dr. Mustaqim, setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih saya ucapkan. Walaupun Prof. seorang yang berpenglihatan, minat, kemahiran serta pengetahuan tinggi dan mendalam yang Prof. miliki mengenai Alquran Braille amat mengkagumkan saya. Saya dapat merasakan, apabila golongan yang cacat penglihatan membaca buku ini, mereka juga turut sama akan berterima kasih dan kagum dengan apa yang Prof. telah sumbangkan.
Semoga Allah memberkati dan merahmati penulis buku ini dari dunia sampai akhirat.
Saturday, September 21, 2013
Fountain Yang Sunyi
Antara isu yang hangat diperkatakan pada tahun lepas dalam kalangan golongan cacat penglihatan khususnya di sekitar Lembah Kelang ialah berkenaan projek pembinaan fountain di perkarangan hadapan kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Rata-rata golongan tersebut tidak bersetuju dengan pembinaan fountain tersebut. Pelbagai alasan dan sebab telah diutarakan bagi menyatakan bantahan terhadap projek pembinaan fountain berkenaan. Namun begitu, oleh kerana golongan cacat penglihatan bukannya pemilik dan pentadbir sebenar MAB, maka suara bantahan mereka tak ubah bagai anjing menyalak bukit sahaja. Salaklah sekuat mana pun, ia langsung tidak memberi bekas kepada bukit yang disalak.
(foto ini diambil pada 9 September 2012).
Hari ini, setelah sekitar setahun kisah pembinaan fountain berkenaan berlalu, keadaan sudah berubah. Ada kelainan pada fountain berkenaan. Terdapat perbezaan yang ketara pada fountain berkenaan antara tahun lepas dengan situasi terkininya sekarang.
Dalam bulan Ogos dan September tahun ini, saya telah beberapa kali ke bangunan Kompleks MAB di Brickfields, Kuala Lumpur. Satu kelainan yang saya terperasan jika dibandingkan dengan kunjungan saya sebelum ini ialah di mana air pancut yang terletak di halaman hadapan kompleks tersebut tidak lagi berbunyi. Ini bermakna ia tidak lagi berfungsi. Apa sudah jadi dengan air pancut tersebut? Nak kata musim kemarau, rasanya tidak. Lagi pun, hujan turun pada hari yang berselang. Hendak kata kompleks MAB tak ada air, tidak juga kerana di bilik airnya air akan membuak keluar bila paip dibuka. Pada hemat saya, kesunyian yang sedang melanda air pancut di perkarangan MAB bukan sahaja menimbulkan persoalan pada diri saya, sudah tentu ia turut menimbulkan persoalan yang sama kepada ramai golongan cacat penglihatan.
Mulanya saya sangka air pancut berkenaan dihentikan bila hari cuti. Ia mungkin dilaksanakan untuk tujuan penjimatan. Maklumlah minyak pun sudah naik 20 sen seliter. Menurut salah seorang kakitangan MAB sendiri, pada hari-hari bekerja pun ia tidak lagi berfungsi. Adakah air pancut berkenaan tidak lagi berfungsi untuk selama-lamanya? Sewaktu MAB menganjurkan jamuan besar pada 8 September 2013 yang lalu, air pancutnya berfungsi atau tidak? Ada ke yang tahu jawapannya? Yang Mulia Tengku Presiden tahu ke sejarah air pancut berkenaan?
Kalau diperhatikan pemandangan di sekitar air pancut berkenaan, seolah-olahnya ia tidak lagi dijaga dengan sempurna. Pemandangannya malap dan layu. Si buta tidak lagi dapat mendengar bunyi pancutan airnya. Manakala si celik pula tidak lagi dapat menikmati kecantikan pemandangan yang terhasil oleh pancutan air berkenaan. Dengan erti kata lain, tujuan asal pembinaan air pancut tersebut sudah tersasar berdarjah-darjah.
Masih segar dalam ingatan saya, tahun lepas air pancut berkenaan telah mendapat perhatian daripada ramai orang terutamanya daripada golongan cacat penglihatan sendiri. Rata-rata golongan tersebut tidak bersetuju dengan pembinaan air pancut berkenaan. Bagi golongan tersebut, pembinaannya tiada manfaat khususnya untuk mereka yang tidak berpenglihatan. Selanjutnya mereka mendakwa pembinaannya bersifat membazir sahaja. Hakikatnya bunyi air pancut berkenaan langsung tidak memberi sebarang makna dan tanda kepada golongan yang tidak berpenglihatan.
Manakala pihak yang berkaitan pula telah mengenengahkan beberapa alasan untuk memunasabahkan projek air pancut berkenaan. Kononnya bunyi air pancut berkenaan boleh dijadikan semacam mercu tanda kepada golongan yang cacat penglihatan untuk memudahkan mereka mengetahui lokasi kompleks MAB. Yang hairannya, pihak yang membuat dakwaan sedemikian ialah mereka yang berpenglihatan. Mengapa puak berkenaan suka memandai-mandai?
Pada masa yang sama, bunyi monorel dan hon kenderaan awam di sekitar kompleks MAB jauh lebih kuat daripada bunyi air pancut itu sendiri. Maknanya sejak dari awal lagi sudah dikenal pasti bahawa kehadiran serta bunyi air pancut berkenaan langsung tidak mendatangkan sebarang manfaat khususnya kepada golongan yang cacat penglihatan. Mengapa pembinaan projek yang tidak mendatangkan manfaat itu diteruskan di dalam kompleks yang menggunakan nama orang buta?
Apabila air pancut berkenaan tidak lagi berfungsi, ini bermakna pembinaannya sudah jadi projek gajah putih. Berapa banyak wang sudah dihabiskan oleh pihak yang berkenaan untuk membina air pancut berkenaan? Atas nama siapa wang itu dicari? Siapa pula yang beroleh laba daripada projek berkenaan? Benarkah projek berkenaan telah memberi manfaat kepada golongan cacat penglihatan sebagaimana tujuan asal pembinaannya? Antara persoalan lain yang timbul ialah, mengapa air pancut berkenaan tidak lagi berfungsi kini? Adakah pihak yang berkenaan tidak cukup wang untuk menampung kos pengendalian dan penyelenggaraannya?
Hendak dikatakan air pancut berkenaan sedang dinaik taraf atau sedang dibaik pulih, tiada pula sebarang tanda kerja-kerja sedemikian sedang dilakukan. Menurut saksi mata, pemandangan sekitarnya nampak kusam dan layu. Kalau saya tak silap, takungannya pun sudah tidak berair lagi.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, antara tujuan pembinaan air pancut berkenaan ialah supaya ia menjadi mercu tanda kepada si buta bagi mengesan lokasi kompleks MAB dengan lebih mudah lagi. Walau bagaimanapun, apabila pembinaannya sudah menjadi projek gajah putih, agak-agaknyalah, sudah berapa ramai orang buta yang tersasar dan tersesat barat semasa menuju ke kompleks MAB? Agak-agaknya jugalah, sudah berapa ramai pula orang yang berpenglihatan yang turut sesat gara-gara tidak lagi dapat melihat kecantikan pancutan air dari halaman MAB?
Mungkin fountain itu tidak akan berbunyi lagi.
Wednesday, September 18, 2013
Chin Peng Sudah Mati
Akhirnya saat untuk Chin Peng mati tiba juga. Beliau diberitakan telah mati pada jam 6.20 pagi di salah sebuah hospital di Bangkok. Ironiknya beliau mati pada tarikh 16 September 2013 iaitu ketika kita dan seluruh negara Malaysia menyambut Hari Malaysia yang ke-50.
Bila kita baca, kaji dan teliti sejarah, tentu kita akan lebih mengenali Chin Peng serta ideologi perjuangannya. Beliau merupakan ketua besar kepada Parti Komunis Malaya (PKM), sebuah organisasi yang berjuang untuk merampas tampuk kekuasaan di Tanah Melayu menerusi kekerasan. PKM juga berusaha untuk menegakkan ideologi komunis yang menolak kewujudan Tuhan di tanah yang dihuni oleh majoriti penduduk yang beragama Islam.
Bagi saya, apabila pihak yang berwajib menolak untuk membawa pulang walaupun abu mayat Chin Peng ke Malaysia, ia adalah wajar, tepat dan betul. Chin Peng bukannya pejuang atau wira yang perlu dibangga-banggakan. Chin Peng juga bukannya pahlawan yang telah mempertahankan tanah air daripada penjajah.
Sebaliknya Chin Peng merupakan ketua besar gerombolan pengganas kejam yang tidak pernah punya hati dan perut. Chin Peng dan gerombolannya hanya menggunakan kehadiran puak penjajah untuk melancarkan pemberontakkan bukan untuk menghalau penjajah tetapi untuk menegakkan sebuah pemerintahan komunis di Tanah Melayu.
Justeru, dalam usaha gerombolan komunis untuk mencapai cita-citanya, pelbagai kekejaman, keganasan serta perlakuan yang tidak pernah ada perikemanusiaan telah dilakukan terhadap sesiapa sahaja yang enggan menyokong dan mendokong perjuangan sia-sia mereka. Mangsa mereka bukan sahaja dibunuh, tetapi pembunuhan yang dilakukan adalah secara kejam dan ganas. Bayangkanlah gerombolan komunis yang menyerang Bukit Kepong pada tahun 1950 bukan sahaja telah membunuh anggota polis yang telah mempertahankan balai polis Bukit Kepong, bahkan mayat anggota polis yang telah terkorban itu mereka campakkan pula ke dalam api. Inilah dia antara cebisan kekejaman dan keganasan puak gerombolan komunis.
Sampai bila-bila pun saya tetap berpendirian bahawa kematian anggota polis yang telah mempertahankan Bukit Kepong adalah kerana mempertahankan tanah air bukannya mempertahankan penjajah. Ini adalah kerana anggota polis berkenaan bukannya berjuang mempertahankan negara atau mahkota British yang sedang menjajah, sebaliknya mereka berjuang mempertahankan negara sendiri yang sedang dijajah oleh British. Ada juga puak berotak sempit berhujah kononnya ketua besar kepada anggota polis berkenaan ialah British. Dalam hal ini, kita harus faham, anggota polis berkenaan bukan berjuang mempertahankan negara ketua besar mereka (British), tetapi mereka berjuang untuk mempertahankan negara mereka yang sedang dijajah oleh ketua besar mereka. Berbelit ke penerangan ini?
Sesungguhnya kalau hendak diceritakan mengenai kekejaman dan keganasan pengganas komunis, sampai sudah pun ia tidak akan tamat. Hanya mereka yang pernah mengalami sendiri pahit getir tatkala dilanda musibah kekejaman gerombolan pengganas komunis yang lebih memahami betapa kejam dan dahsyatnya sikap tidak berperikemanusiaan oleh gerombolan jahat berkenaan.
Bagi saya, keputusan pihak berwajib dengan tidak membenarkan walaupun abu mayat Chin Peng untuk dibawa pulang ke Malaysia sama sekali tidak berbau rasis. Sebelum ini, sudah berlaku kematian beberapa orang tokoh bekas pemimpin PKM dan mereka telah dikebumikan di luar Malaysia. Tidak timbul pun bahawa kononnya pihak berwajib bersikap rasis. Apa istimewanya Chin Peng jika dibandingkan dengan tokoh bekas ketua PKM yang lain?
Bahkan jika abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia ia pasti akan melukakan hati ramai orang lain, sama ada bekas mangsa kekejaman komunis ataupun bekas dan anggota keselamatan kita. Jadi eloklah bila kerajaan menjaga hati rakyatnya yang selama ini setia kepada negara daripada untuk mengambil hati segelintir puak yang masih mengagung-agungkan ketua pengganas seperti Chin Peng. Sebenarnya sesiapa pun yang kejam, ganas serta melampau seperti Chin Peng patut ditolak jasad dan rohnya sebagaimana penolakan yang berlaku ke atas Chin Peng.
Sesungguhnya dosa, kesalahan, kerosakan, keganasan serta kekejaman yang pernah dilakukan oleh chin Peng dan gerombolannya tidak akan terhapus hanya dengan kalimah “maaf”. Jangan ada mana-mana pihak pula yang akan cuba menangguk di air keruh ekoran kematian Chin Peng.
Harimau mati meninggalkan belang,
Chin Peng mati meninggalkan dosa.
Tuesday, September 17, 2013
Sesi Promosi Dan Demonstrasi Pen Pembaca Alquran Untuk Golongan Cacat Penglihatan
Sebagaimana yang pernah saya tulis menerusi blog ini beberapa hari lalu, Syarikat Altasneem Malaysia Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan pen pembaca Alquran untuk mereka yang cacat penglihatan. Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah turut sama memberikan pandangan serta nasihat kepada syarikat berkenaan dalam penghasilan pen berkenaan.
Untuk tujuan mengenengahkan pen pembaca Alquran berkenaan kepada pengguna sasarnya, maka satu sesi promosi dan demonstrasi penggunaan pen tersebut akan diadakan pada 28 September 2013 (Sabtu). Atas permintaan ramai, sesi berkenaan akan diadakan di Lecture Room, Tingkat 2, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Manakala waktu sesi pula adalah di antara jam 2.15 petang hingga jam 5.15 petang.
Di samping usaha promosi dan demonstrasi penggunaan, pen berkenaan juga boleh terus dibeli oleh sesiapa sahaja yang berminat. Seperti yang telah saya tulis sebelum ini, pen berkenaan didatangkan dalam dua bentuk pakej, iaitu yang berharga RM 150.00 dan juga RM 250.00. Para pengunjung yang datang boleh menyaksikan sendiri perbezaan antara kedua-dua pakej berkenaan. Di samping itu, pihak pengeluar juga bersedia dan berlapang dada untuk mendengar sebarang ulasan atau cadangan untuk menambah baik lagi pen berkenaan di masa-masa akan datang.
Marilah kita bersama-sama hadir ke sesi promosi dan demonstrasi pen pembaca Alquran untuk golongan yang cacat penglihatan yang akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat sebagaimana yang tertera di atas. Ia dibuka untuk semua sama ada yang tidak berpenglihatan mahupun yang berpenglihatan. Sesi ini dianjurkan oleh Syarikat Altasneem Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).
Sunday, September 15, 2013
Pak Tahir Ketua Cawangan UMNO Kampung Kuala Tengah
Pada 13 September 2013 (Jumaat) lalu, UMNO Cawangan Kampung Kuala Tengah, Marang, Terengganu, telah mengadakan mesyuarat peringkat cawangan. Dalam mesyuarat berkenaan, En. Mohd Tahir Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tahir telah terpilih sebagai ketua baru Cawangan UMNO Kampung Kuala Tengah, Marang. Beliau yang juga merupakan seorang yang cacat penglihatan telah memperoleh 73 undi. Manakala lawannya yang juga merupakan seorang yang berpenglihatan dan juga berjawatan memperolehi 68 undi.
Pemilihan Pak Tahir selaku ketua cawangan UMNO merupakan suatu pencapaian yang boleh dibanggakan khususnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan di Terengganu. Walaupun Pak Tahir bukanlah orang cacat penglihatan pertama yang telah terpilih sebagai ketua bagi sebuah cawangan dalam UMNO di Malaysia, pemilihan Pak Tahir kali ini merupakan pengiktirafan masyarakat setempat kepada kemampuan beliau untuk mengemudikan salah sebuah cawangan UMNO di Terengganu.
Di peringkat badan bukan kerajaan (NGO), Pak Tahir juga merupakan seorang ahli yang aktif. Beliau merupakan salah seorang AJK PERTIS Terengganu. Beliau juga pernah terlibat selaku tenaga pengajar dalam kelas Alquran Braille anjuran PERTIS Terengganu.
Seperkara yang sentiasa harus menjadi panduan kepada Pak Tahir ialah, bila sudah terlibat dalam politik secara lebih aktif, Pak Tahir juga harus bersedia dengan sepak terajang dalam politik itu sendiri. Dalam politik dengan luar politik jauh bezanya. Kalau di luar politik ramai yang akan menaruh belas kasihan kepada Pak Tahir, tetapi bila sudah ada dalam politik, mungkin akan ada bezanya tahap belas dan kasihan orang terhadap Pak Tahir. Namun begitu, kita tetap berdoa semoga Pak Tahir akan sentiasa cekal dalam apa jua situasi selaku ketua cawangan UMNO.
Kepada Pak Tahir, tahniah diucapkan. Hari ini Pak Tahir telah terpilih selaku ketua cawangan dalam UMNO. Manalah tahu, jika kepimpinan Pak Tahir berkualiti, suatu hari nanti akan terlonjak pula ke peringkat bahagian.
Pembetulan
Pak Tahir bukannya tenaga pengajar dalam kelas Alquran Braille, tetapi beliau ialah antara yang belajar dalam kelas Alquran Braille berkenaan. Terima kasih saya ucapkan kepada Saudara Samsudin Wahab yang telah membuat pembetulan tersebut. (Cikgu Zakaria, 16 September 2013, Ahad, 7.00 malam).
Saturday, September 14, 2013
Takziah Kepada YB Senator Syed Hussein Ali
Sejak tengah malam tadi lagi saya sudah mendapat maklumat iaitu isteri kepada YB Senator Syed Hussein Ali telah kembali ke rahmatullah. Menurut maklumat yang saya perolehi, Allahyarhamha telah terjatuh ketika hendak mengambil wudhuk untuk solat maghrib. Demikianlah ketentuan Allah terhadap hamba-hamba-Nya.
Secara peribadi, saya tidak mengenali secara dekat dengan YB Senator Dr. Syed Hussein Ali mahupun isterinya, Cikgu Sabariah. Semasa menuntut di Universiti Malaya (UM) dahulu saya juga tidak pernah mengikuti kuliah kendalian profesor ini kerana saya mengikuti jurusan yang berbeza. Namun begitu, saya pernah berguru dengan adik perempuan Syed Hussein Ali selama setahun untuk kelas Bahasa Inggeris AZ300.
Walau bagaimanapun, saya mengenali perwatakan Cikgu Sabariah melalui buku yang ditulis sendiri oleh Syed Hussein Ali berjudul Antara Dua Wajah (kalau tak silap). Buku tersebut memang tidak ada dalam bentuk tulisan Braille hingga sekarang pun. Namun begitu oleh kerana amat meminati tulisan sedemikian, maka saya pun beli senaskah walaupun buku berkenaan bertulisan biasa. Untuk membolehkan saya dapat akses kepada isi kandungan buku berkenaan, maka saya telah mendapat pertolongan daripada sebilangan rakan yang berpenglihatan dengan membacakan buku berkenaan kepada saya secara bergilir-gilir. Semua kisah ini berlaku semasa saya masih menuntut di UM lagi. Suatu hari, seorang rakan datang berjumpa saya dan menyatakan hasratnya untuk meminjam buku berkenaan. Dengan rela hati saya terus memberi pinjam buku tersebut kepada rakan berkenaan. Rupa-rupanya itulah kali akhir saya memegang buku tersebut. Hingga kini buku berkenaan tidak kembali lagi kepada saya selaku pemiliknya yang sah. Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kepada Allah kerana saya sempat membaca isi kandung buku tersebut hingga khatam sebelum “ia pergi buat selama-lamanya?”.
Menerusi tulisan dalam buku berkenaan, saya dapat merasai dan lebih memahami betapa peritnya bagi seorang isteri yang mana suaminya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Selama enam tahun Prof. Syed Hussein Ali ditahan di bawah akta tersebut. Selama itulah Cikgu Sabariah terpaksa melalui pelbagai ujian dan cabaran. Beliau juga turut sama berusaha dan berjuang bukan sahaja untuk pembebasan suaminya, tetapi agar akta berkenaan turut dihapuskan sama sekali.
Kini Allahyarhamha Cikgu Sabariah telah kembali untuk mengadap Ilahi. Tentunya pemergian Allahyarhamha akan meninggalkan seribu satu kenangan buat Prof. Syed Hussein Ali. Kini suri, isteri, rakan dan teman peribadi beliau tiada lagi di sisi. Yang tinggal hanya kenangan yang tetap abadi sampai bila-bila.
Kepada Prof. Syed Hussein Ali dan seluruh ahli keluarga, takziah saya ucapkan. Saya dan keluarga juga turut berdoa semoga Allahyarhamha sentiasa dirahmati dan ditempatkan bersama-sama golongan solihin di sana.
Alfatihah ....
Altasneem Dam Pen Pembaca Alquran Untuk Golongan Cacat Penglihatan
Saya pernah menulis menerusi blog ini mengenai usaha oleh sebuah syarikat, iaitu Altasneem Malaysia Sdn Bhd untuk menghasilkan pen pembaca Alquran untuk pengguna yang cacat penglihatan. Selama ini pun mereka sememangnya benar-benar serius untuk merealisasikan hasrat tersebut. Untuk itu, syarikat berkenaan turut membeli seunit embosser Braille (alat pencetak untuk tulisan Braille) dengan harga sekitar RM 10 ribu. Selain itu, salah seorang kakitangannya turut diberikan latihan asas mengenai penggunaan Duxbury (perisian komputer yang berkaitan dengan tulisan Braille). Di samping itu, syarikat berkenaan juga sentiasa berhubung dengan saya dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) bagi memperoleh pandangan dan pendapat mengenai usaha berkenaan dari masa ke masa. Demikianlah seriusnya mereka ke arah mencapai hasrat untuk menghasilkan pen pembaca Alquran untuk golongan yang cacat penglihatan.
Kini setelah berusaha sejak bebberapa tahun, hasrat mereka sudah tercapai. Altasneem sudah berjaya menghasilkan pen pembaca Alquran untuk golongan yang cacat penglihatan. Maknanya, pengguna yang cacat penglihatan boleh mengendalikan sendiri pen pembaca berkenaan tanpa perlu bergantung lagi kepada mereka yang berpenglihatan. Secara ringkasnya, pengguna akan dibekalkan dengan pen pembaca dan senaskah nota yang mengandungi butiran maklumat dalam tulisan Braille yang boleh digunakan untuk mengendalikan pen pembaca berkenaan.
Antara kegunaan dan kelebihan penggunaan pen pembaca ini termasuklah:
- Boleh memilih qari yang digemari.
- Boleh memilih surah yang dikehendaki.
- Boleh memilih bacaan qari yang disertakan dengan terjemahan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
- Boleh memilih untuk mendengar bacaan keseluruhan surah.
- Boleh memilih untuk mendengar ayat-ayat tertentu sahaja dalam surah yang dikehendaki.
- Boleh mengulangi mendengar bacaan mana-mana ayat dengan mudah.
- Boleh mendengar bacaan ayat sesudah atau sebelum daripada ayat yang sedang didengar dengan mudah dan cepat.
- Pengguna juga boleh pause bacaan yang sedang didengar dan boleh menyambung mendengar semula bacaan berkenaan.
- Boleh mengawal sistem bunyi dengan mudah
Pen pembaca Alquran ini turut dibekalkan bersama beg yang menarik. Ia ringan, kecil dan mudah untuk dibawa ke mana-mana. Saiz buku nota Braille yang disediakan juga lebih kecil daripada saiz buku Braille yang biasa kita temui. Jika kita ingin mendengarnya sendiri tanpa mengganggu orang lain yang ada di sekitar kita, kita boleh menggunakan earphone yang turut dibekalkan bersama. Pen pembacanya pula menggunakan batri 3A. Bagi memastikan pengguna sasarnya berpuas hati, pihak syarikat juga berlapang dada untuk mendengar apa jua pandangan, ulasan atau cadangan dan jika perlu akan melakukan penambahbaikan dari masa ke masa.
Kini pen pembaca tersebut sedia untuk ditempah oleh sesiapa sahaja terutamanya oleh mereka yang cacat penglihatan. Ia terbahagi kepada dua pakej harga. Perbezaan utama di antara kedua-dua pakej harga tersebut ialah kepada beg yang dibekalkan. Pakej pertama berharga RM 150.00. Manakala pakej harga kedua pula ialah RM 250.00. Mereka yang berminat boleh menempahnya melalui ibu pejabat Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Pihak Altasneem dan PERTIS merancang untuk mengadakan sesi demonstrasi dan promosi penggunaan pen pembaca berkenaan dalam masa terdekat.
Sesungguhnya inovasi berkenaan telah membuka satu lagi jalan khususnya untuk mereka yang cacat penglihatan untuk akrab dengan kitabullah (Alquran). Sesungguhnya juga, inovasi ini turut menambah koleksi inovasi untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan di negara kita.
Tuesday, September 10, 2013
selamat Bersara Kepada Kak Yati
Pada 23 Ogos 2013 (Jumaat) merupakan hari terakhir untuk Pn. Norhayati Syarif selaku kakitangan di SMPK Setapak. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yati selanjutnya telah menghabiskan baki cutinya yang masih ada sebelum memasuki alam persaraan pada 9 September lalu. Untuk itu, satu majlis untuk persaraan Kak Yati telah diadakan di SMPK Setapak pada 23 Ogos yang lalu.
Sesungguhnya SMPK Setapak merupakan tempat kerja yang pertama dan yang terakhir untuk Kak Yati sebelum beliau bersara. Kak Yati telah menabur bakti di SMPK Setapak selama 38 tahun. Kak Yati mula berkhidmat di SMPK Setapak pada tahun 1975. Menurut beliau, sewaktu melapor diri, pengetua ketika itu ialah Mr. Khoo Peng Kui (mendiang). Manakala usianya ketika itu baru 18 tahun.
Oleh kerana perkhidmatan yang begitu lama di SMPK Setapak, maka pelbagai pengalaman telah beliau lalui di sepanjang perkhidmatannya. Beliau amat faham dengan perangai dan kelakuan golongan cacat penglihatan peringkat belasan tahun. Sekali-sekala Kak Yati akan bercerita mengenai kelakuan bekas-bekas murid SMPK Setapak. Ada yang begitu, ada yang begini, ada yang macam itu dan ada juga yang macam ini. Demikianlah.
Secara peribadi, saya mula mengenali Kak Yati sejak tahun 1981 lagi. Tatkala itu Kak Yati masih lagi belum berumah tangga. Kini Kak Yati sudah pun mempunyai cucu. Demikianlah masa beredar begitu cepat sekali.
Kini Kak Yati sudah bersara. Saya pasti pelbagai kenangan selama 38 tahun berkhidmat di SMPK Setapak akan kukuh dalam ingatan beliau. Kepada Kak Yati, selamat bersara saya ucapkan. Kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula di SMPK Setapak.
Saya tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Mohd Fekkeri di atas sumbangan foto untuk tulisan ini.
Wednesday, September 4, 2013
johannians 1985 raya get-together 2013
Pada 1 September 2013 (Ahad) lalu, saya berkesempatan menghadiri perjumpaan bekas-bekas murid St. John’s Institution, KL untuk tahun 1985 dan 1986. Perjumpaan telah diadakan di Saloma Bistro And Theatre Restaurant, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Saya tiba di lokasi majlis agak lewat sedikit, iaitu sekitar jam 3.45 petang. Kelewatan ini disebabkan sebelumnya saya menghadiri majlis aidil fitri anjuran Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Negeri Sembilan yang telah diadakan di Seremban.
Setibanya saya sekeluarga di lokasi majlis, beberapa orang rakan terus memanggil nama saya dan kami terus bersalaman. Ada antara mereka yang sudah lama tidak bertemu. Antaranya Cavin dan Zaidi. Syarifuddin yang juga merupakan antara tonggak utama majlis ini turut mengalu-alukan kehadiran saya. Beliau juga yang telah menghubungi saya sehari sebelumnya dan meminta agar saya datang juga ke majlis ini.
Saya turut dimaklumkan, Cikgu rubiah juga turut sama hadir di majlis ini tetapi terpaksa pulang lebih awal. Maklumlah katanya ada 3 majlis yang perlu beliau hadir di sepanjang hari berkenaan. Nampaknya semakin di hujung perkhidmatan, semakin sibuk dibuatnya.
Memang benar kata orang, waktu yang paling indah dalam hidup kita ialah ketika di alam persekolahan dan juga di menara gading. Sewatu di sekolah menengah, saya bersekolah di St. John’s Institution, KL dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 6 atas. Pada masa yang sama , saya tinggal di asrama SMPK Setapak. Ini bermakna, dalam sehari saya akan bergaul dengan dua kelompok rakan. Ketika di sekolah, saya bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang berpenglihatan. Manakala ketika di asrama pula saya bergaul dengan rakan-rakan yang tidak berpenglihatan. Sesungguhnya pergaulan dengan dua kelompok rakan dalam satu masa mempunyai kelebihan yang sangat istimewa yang tidak tergambar oleh kata-kata.
Ketika di sekolah, saya akan belajar bersama-sama dengan rakan-rakan yang berpenglihatan dalam satu kelas. St. John’s Institution merupakan sebuah sekolah yang ternama di Kuala Lumpur. Murid-muridnya pula terdiri daripada pelbagai latar belakang. Sewaktu saya bersekolah iaitu di sekitar dekad 80-an, beberapa orang anak menteri ketika itu turut bersekolah di sekolah yang sama. Manakala saya pula hanyalah seorang murid yang cacat penglihatannya, berasal dari kampung dan anak orang tidak berada pula. Namun demikian, oleh kerana hubungan yang akrab antara saya dengan rakan-rakan berpenglihatan yang lain, perbezaan yang ada tidak menjadi penghalang bagi hubungan yang lebih intim antara saya dan mereka.
Sewaktu belajar, rakan-rakan saya yang berpenglihatan kebiasaannya amat mudah untuk menghulurkan pertolongan terutamanya selaku pembaca sukarela. Maklumlah bahan-bahan bacaan tambahan bukannya sudah tersedia dalam bentuk Braille. Untuk itu, rakan-rakan yang berpenglihatan inilah yang akan membacakan bahan-bahan tersebut untuk saya salin pula ke dalam tulisan Braille. Selain itu, bila guru menulis di papan hitam rakan yang duduk di sebelah yang akan membacakan apa yang ditulis oleh guru tersebut kepada saya.
Saya masih ingat ketika di tingkatan tiga, kelas kami telah buat bising. Ini menyebabkan seorang guru disiplin datang ke kelas kami. Guru tersebut bukan sahaja memarahi kami, tetapi telah mengarahkan semua murid dalam kelas berkenaan supaya keluar dan berdiri di luar kelas. Walaupun saya tidak terlibat dengan kebisingan tersebut, guru berkenaan turut mengarahkan saya supaya turut berdiri di luar kelas. Pada ketika itu saya beranggapan guru berkenaan zalim kerana telah menghukum saya yang tidak terlibat dengan kebisingan tersebut. Pada hari ini, saya memuji tindakan guru berkenaan kerana tidak membezakan antara si celik dengan si buta. Sesungguhnya pada hari ini “pengalaman manis” sedemikian amat jarang dilalui oleh murid seperti saya walaupun di sekolah tempat saya bertugas sekarang.
Antara rakan paling rapat dengan saya ketika itu ialah anak kepada salah seorang pengarah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Hubungan kami berdua memang sangat baik. Saya sering ke rumahnya di Changkat Tunku terutamanya pada hujung minggu atau semasa cuti panjang. Kini bapanya sudah bergelar Datuk Seri. Manakala anaknya pula (rakan baik saya) sudah pun kembali ke rahmatullah sekitar 12 tahun lalu akibat kemalangan jalanraya.
Bagi saya, pengalaman ketika belajar di St. John’s Institution KL banyak membentuk persepsi dan membina world view saya. Ada ketikanya, hampir setahun saya harus pergi dan balik dari sekolah dengan menaiki kenderaan awam. Sesat barat sudah menjadi lumrah. Kena marah dengan pemandu bas pun sudah jadi asam garam. Terlanggar dan terjatuh bukan lagi sesuatu yang asing. Orang beri wang semasa saya pergi dan balik dari sekolah juga sudah agak biasa. Mungkin kerana saya jarang tidak siapkan kerja sekolah, maka itulah juga saya jarang kena marah atas sebab-sebab berkenaan.
Kini saya dan rakan-rakan yang seusia semakin hampir ke umur separuh abad. Masing-masing dengan kerjaya masing-masing. Ada yang menjadi personaliti terkenal. Ada yang menjadi ahli perniagaan berjaya. Ada yang sudah menjadi pemberita dan wartawan ternama. Ada yang sudah menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam dan korporat. Ada juga yang sudah dianugerahi dengan gelaran datuk. Biar apa jua bidang yang sedang mereka ceburi, yang mengharukan saya ialah mereka masih tetap ingat kepada saya.
Sebenarnya rakan-rakan saya bekas-bekas murid SJI 1985 kerap juga membuat perjumpaan, tetapi saya agak jarang menyertai mereka kerana kesuntukan masa. Maka itulah juga, pertemuan pada 1 September lalu merupakan sesuatu yang amat berharga untuk saya.
Kepada Syarifuddin yang telah menelefon saya dan mengundang saya, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih. Kepada rakan-rakan yang lain, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Kalau tidak kerana kesudian serta keikhlasan kalian membantu dan menolong saya ketika kita sama-sama di bangku sekolah dahulu, tidak mungkin saya dapat menggapai cita-cita menjadi seorang pendidik hari ini. Akhirul kalam, saya juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tidak terkira kepada semua guru yang pernah mendidik saya khususnya semasa saya belajar di St. John’s Institution KL.
Sebagai santapan mata, di sini saya kongsikan beberapa foto yang sempat diambil sewaktu pertemuan tersebut.
Monday, September 2, 2013
Harga Minyak Naik 20 Sen
Petang tadi, kerajaan mengumumkan harga minyak ron95 naik sebanyak 20sen bagi seliter. Ini bermakna, harga terbaru bagi petrol ron95 ialah RM 2.10 seliter dan RM 2.00 seliter bagi disel. Menurut kerajaan, ia merupakan sebahagian daripada rasionalisasi subsidi kerajaan.
Kenaikan harga minyak akan mengakibatkan kenaikan harga hampir semua barangan lain. Perkara ini sememangnya tidak dapat dielakkan. Bila harga minyak naik, jangkaan yang bolehdibuat ialah kenaikan harga bagi perkhidmatan dan barangan lain. Maklumlah semuanya berpaksikan kepada kenaikan kos pengangkutan.
Sebentar tadi, kenderaan saya juga sempat beratur di sebuah stesen minyak yang letaknya tidak jauh dari kediaman kami. Memang kenderaan beratur panjang untuk mengisi minyak. Maklumlah mulai tengah malam ini harganya akan bertambah 20 sen lagi.
Pengumuman kenaikan harga minyak dibuat hampir 4 bulan selepas pilihanraya umum ke-13. Setelah pengumuman kenaikan harga minyak mula tersebar, maka pelbagai pendapat, pandangan dan tafsiran berkaitan kenaikan tersebut turut sama tersebar. Ada yang mengatakan ia adalah hadiah untuk rakyat. Ada juga yang berkata, inilah padahnya bila rakyat didahulukan kerana bila berlaku kenaikan harga rakyat biasalah yang kena dahulu.
Lontarkanlah apa juga pendapat atau pandangan, mengeluhlah sepanjang mana sekalipun, menjeritlah sekuat mana pun, menyumpahlah sepuas mana pun, harga minyak tetap akan naik juga. Bukankah ini pilihan majoriti kita semua! Jadi kita seharusnya menyokong langkah yang diambil ke arah merasionalisasikan program subsidi kerajaan!
Selepas ini, bila harga barangan dan perkhidmatan naik ekoran daripada kenaikan harga minyak, kita juga tidak perlu buat-buat terperanjat macam bayi kena agah. Sebaliknya kita harus menyokong semua kenaikan tersebut. Lagipun ini pilihan kita juga. Kebiasaannya kenaikan harga perkhidmatan dan barangan lain akan berlaku secara senyap-senyap. Ia tidak perlu diumumkan oleh pihak yang berkuasa sebagaimana pengumuman mengenai kenaikan harga minyak petang tadi.
berterima kasihlah kepada diri sendiri.
Sunday, September 1, 2013
Menghadiri Rumah Terbuka Abyan Jambot
Pada 31 Ogos 2013 (Sabtu), saya juga turut berkesempatan menghadiri rumah terbuka bersempena dengan aidil fitri oleh Saudara Abyan Jambot. Rumahnya terletak di kawasan Sungai Besi. Saudara Abyan merupakan salah seorang rakan saya juga. Rasyidah, isterinya merupakan adik kepada rakan baik saya juga.
Saya tiba di rumah Abyan sekitar jam 7.00 malam. Tatkala saya tiba, ramai tetamunya. Antara tetamu istimewa beliau yang turut sama ada ketika itu ialah Cikgu Razak (Abdul Razak Sulaiman). Saya memang kenal dengan Cikgu Razak sejak tahun 1988 lagi.
Biasalah, kalau Cikgu Razak ada, majlis yang sudah meriah akan bertambah meriahnya. Ini kerana Cikgu Razak sememangnya mempunyai ciri-ciri istimewa sebagai seorang guru. Antaranya mudah mesra, peramah, amat mengasihi murid-muridnya serta amat mengingati bekas-bekas murid-muridnya. Sebab itulah, bila ada Cikgu Razak memang tak kering gusi dibuatnya. Kebetulan juga, kebanyakan tetamu yang ada ketika itu merupakan bekas-bekas murid Cikgu Razak, termasuk juga isteri tuan rumah.
Saya dan Cikgu Razak turut bertukar-tukar maklumat mutakhir kami berdua. Kata Cikgu Razak, beliau kini tidak lagi bertugas di Bahagian Pendidikan Khas. Sudah berpindah ke pejabat salah seorang timbalan ketua pengarah. Saya pula, tiada maklumat mutakhir yang boleh dikongsikan dengan Cikgu Razak. Semuanya seperti biasa sahaja sebagaimana yang beliau ketahui.
Juadah yang dihidangkan pula memang sedap dan lazat. Sesuailah dengan suasana hari raya yang masih dirasai. Majlis rumah terbuka seperti ini juga boleh mengeratkan silatul rahim antara sesama kita. Bagi saya, soal makan minum sudah jadi nombor dua.
Kepada Saudara Abyan, berbanyak terima kasih saya ucapkan kerana sudi mengundang saya sekeluarga ke rumah terbukanya. Sewaktu hendak pulang, Rasyidah sempat memberi bekalan untuk saya sekeluarga.
Di bawah ini, saya kongsikan beberapa foto yang sempat diambil ketika di rumah Abyan.