Sunday, September 29, 2013

Sesi Promosi Pen Pembaca Alquran Untuk Golongan Cacat Penglihatan




Pada 28 September 2013 (Sabtu), satu sesi untuk mempromosikan pen yang boleh digunakan oleh mereka yang cacat penglihatan untuk mendengar bacaan Alquran telah diadakan. Sesi berkenaan telah berlangsung di Lecture Room, tingkat 2, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Sesi berkenaan telah berjalan sekitar 3 jam di sebelah petang. Sesi berkenaan telah dianjurkan oleh Syarikat Altasneem Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).



Saya telah tiba ke lokasi majlis agak lewat sedikit iaitu pada jam 3.15 petang. Ini adalah kerana sebelumnya saya berada di sekolah kerana ada sekolah ganti.



Pada pendengaran saya, bilangan pengunjung yang hadir untuk sesi berkenaan memang memuaskan. Menerusi sesi tersebut, golongan sasar telah didedahkan kegunaan pen pembaca Alquran yang dibuat khusus untuk mereka yang cacat penglihatan. Di samping itu, para pengunjung juga boleh membeli terus pen berkenaan. Menurut maklum balas yang saya perolehi, ramai juga pengunjung yang telah membeli atau menempah pen berkenaan.



Saya telah bertemu dengan sekurang-kurangnya dua pengunjung dari luar Kuala Lumpur yang datang semata-mata untuk menyaksikan dari dekat sesi promosi ini. Seorang dari Terengganu dan yang seorang lagi datang dari Kuantan. Kepada kedua-dua pengunjung berkenaan, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan.



Untuk menjayakan lagi majlis berkenaan, beberapa orang kakitangan Altasneem telah memberi penerangan serta tunjuk ajar kepada para hadirin secara individu. Maklumlah penerangan secara umum tidak mungkin memberi kesan yang sesuai khasnya kepada golongan sasar. Jika ada mana-mana pengunjung yang tidak sempat dilayan dengan sempurna, saya bagi pihak penganjur mohon berbanyak maaf.

Kepada mereka yang telah membeli pen berkenaan, kami juga amat mengharapkan maklum balas daripada anda semua mengenai penggunaan pen berkenaan. Kami juga amat mengharapkan saranan atau cadangan ke arah penambahbaikan pen berkenaan agar ia benar-benar dapat dimanfaatkan oleh golongan sasar. Semua pandangan boleh disalurkan terus kepada PERTIS atau kepada Altasneem.

Di sini juga, saya tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada individu yang telah menaja 3 set pen berkenaan untuk diagihkan kepada 3 ahli PERTIS yang difikirkan sesuai untuk menerimanya. Terima kasih juga saya tujukan kepada semua pengunjung yang telah sudi mengunjungi sesi promosi berkenaan dan menyaksikan sendiri kegunaan pen berkenaan. Mudah-mudahan ia akan menjadi salah satu saluran pilihan untuk kita mengakrabkan diri dengan Alquran.



Selepas ini, bagi mereka yang ingin mendapatkan pen berkenaan ia boleh ditempah sama ada menerusi PERTIS ataupun menerusi Altasneem Malaysia Sdn Bhd. Pada masa sama, Altasneem juga merancang untuk menganjurkan satu lagi sesi yang serupa dalam masa terdekat. Tarikh dan masa sesi berkenaan akan dimaklumkan nanti. Demikian saya dimaklumkan sendiri oleh pengarah urusan Altasneem Malaysia Sdn Bhd.



Sebenarnya, orang yang mula-mula telah memperkenalkan PERTIS kepada Altasneem Malaysia Sdn Bhd ialah Cikgu Ahmad Bustamam beberapa tahun yang lalu. Dari situlah terjalinnya kerjasama antara kedua-dua pihak hingga sekarang. Mudah-mudahan juga kerjasama seumpama ini akan berterusan selagi ada bulan dan matahari, insha-Allah.

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung

Alhamdulillah! Tahniah di atas jalinan kerjasama PERTIS-Al-Tasneem yang memang telah terbukti jelas kebaikannya buat kita semua, OKU penglihatan Muslim ... Nah, bukankah ini juga satu lagi usaha pendigitalan Al-Quran Braille yang benar-benar Berjaya? Malah, saya turut bersyukur ke hadhrat-Nya dan berterima kasih kepada saudara dan PERTIS yang telah menghebahkan promosi itu sebelum ini, lantas saya turut sempat menghadirinya, walaupun kita tidak sempat bertemu, dik suasana yang agak sibuk ketika itu. Saya juga telah menerima tunjuk ajar secara langsung daripada petugas syarikat berkenaan, dan, berdasarkan pemerhatian saya, memang mengkagumkan!

Justeru, di sini, saya ingin berkongsi cadangan, jika ianya boleh dipertimbangkan untuk dipertingkatkan yakni dimasukkan pada keluaran-keluaran akan dating, iaitu:
1. Tambahkan beberapa bahasa terjemahan lain, khususnya bahasa-bahasa kebangsaan kaum dan etnik kita, seperti bahasa Mandarin dan Tamil.
2. Sekiranya kedapatan sebarang kemaskini (update) khasnya kandungan kitab/judul keagamaan lain, serta penambahan qari daripada yang sedia ada, maklumkanlah kepada kami, para pelanggan pen digital ini, serta bantulah mana-mana di antara kami yang memerlukan khidmat kemaskini tersebut, atau, kiranya boleh dilakukan menerusi laman sesawang syarikat atau PERTIS, berikanlah capaian (link) ke laman tersebut agar kami dapat melakukannya sendiri.

Akhirnya, sekali lagi, tahniah dan teruskanlah jalinan kerjasama bermanfaat sebegini; sekaligus, di bawah kepimpinan saudara, PERTIS telah mengharumkan nama Negara di persada dunia. Semoga usaha kalian ini menjadi sedekah jariah yang berkekalan abadi di bawah lembayung berkat, rahmat, redha dan maghfirah-Nya, insha Allah.

Terima kasih dan salam jihad.