Saturday, January 31, 2015

Merotan Anak




Khabarnya satu rang undang-undang akan dibentangkan di parlimen selewat-lewatnya Julai ini. Rang undang-undang ini berkaitan dengan melarang para ibu bapa untuk merotan anak. Dengan erti kata lain, perbuatan para ibu bapa yang merotan anak boleh dianggap suatu perbuatan jenayah. Menurut maklumat daripada satu sumber pula, oleh kerana kita telah pun menandatangani konvensyen yang berkaitan dengan hak kanak-kanak (CRC), maka kita haruslah akur kepada ketetapan konvensyen berkenaan. Rasanya selain konvensyen berkaitan CRC, ada lagi beberapa konvensyen lain yang mana negara kita turut sama telah menandatanganinya. Adakah semua kehendak dan keperluan konvensyen berkenaan telah kita penuhi seluruhnya?

Kita mempunyai budaya kita yang tersendiri. Salah satu ciri budaya kita ialah “sayangkan anak tangan-tangankan”. Penggunaan rotan sebagai salah satu cara untuk mendidik bukanlah satu perkara baru. Ia telah pun dipraktikkan dalam masyarakat kita sejak sekian lama. Tanyalah mana-mana golongan tua yang masih ada, pasti mereka dapat merasakan perbezaan sahsiah dan tingkah laku kanak-kanak generasi dahulu dengan kanak-kanak generasi sekarang iaitu selepas penggunaan rotan sebagai salah satu kaedah untuk mendidik dalam masyarakat kita mula berkurangan dipraktikkan. Maka itulah, generasi yang dahulu berjaya melahirkan insan dan bukannya haiwan.

Pada masa dahulu, apabila para ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengaji, antara “buah tangan” yang akan dibawa kepada guru ialah rotan. Setelah menyerahkan anak dan rotan kepada guru, ibu bapa akan berpesan kepada guru, jika anak mereka enggan mengaji pukullah mereka asal jangan patah dan cacat cukuplah. Ini menunjukkan bahawa sejak dari dahulu lagi para ibu bapa amat menyedari bahawa rotan merupakan satu elemen yang penting dalam pendidikan. Apabila para ibu bapa berpesan agar anak-anak mereka boleh dirotan tetapi jangan sampai patah riuk atau cacat, ia bermakna para ibu bapa telah memberi keizinan kepada guru untuk merotan anak-anak mereka (jika perlu) dan bukannya mendera. Ini sekaligus membawa erti iaitu para ibu bapa sejak dahulu lagi sudah dapat membezakan antara merotan untuk tujuan mendidik dengan membelasah sehingga membawa kepada penderaan.

Berbeza dengan apa yang sedang berlaku hari ini. Kaedah merotan bukan setakat sudah diketepikan daripada elemen dalam pendidikan, bahkan jika merotan tidak ikut prosedur, pihak yang berkaitan akan berhadapan dengan kemungkinan disaman pula.

Orang tua-tua dahulu kala juga ada berpesan, “kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Salah satu kaedah untuk melentur rebung ialah dengan penggunaan rotan secara wajar. Jika penggunaan rotan secara betul tatkala kita melentur rebung, saya penuh yakin buluh yang bakal dihasilkan merupakan buluh yang cukup tinggi kualitinya, insya-Allah.

Dalam aspek agama Islam juga, kaedah penggunaan rotan secara betul juga diizinkan ke atas kanak-kanak. Antara mafhum satu hadith ada menyebutkan, iaitu, suruhlah anak-anak kamu bersolat selepas mereka berusia 7 tahun dan pukul (rotan) mereka sekiranya mereka enggan bersolat selepas berusia 10 tahun.

Mengapa Rasulullah S.A.W. berpesan agar merotan anak-anak yang enggan solat setelah mereka berusia 10 tahun? Tentulah tujuannya supaya anak-anak itu kelak menjadi generasi yang solih setelah mereka dewasa. Mengapa hari ini kita sedang berhadapan dengan sebilangan golongan remaja yang bermasalah terutamanya dari aspek akhlak? Kerana kita telah mengabaikan apa yang telah dipesankan oleh Rasulullah dalam mendidik anak terutamanya ketika mereka sudah menjangkau usia 10 tahun.

Dalam hal ini, kita tidak seharusnya terikut-ikut dengan budaya negara orang. Bagi sesetengah negara Barat, prinsip kebebasan yang mereka laungkan akan dilaksanakan sejak generasi mereka di alam kanak-kanak lagi. Sebab itulah perbuatan merotan kanak-kanak tidak lagi dianggap sebagai salah satu daripada kaedah untuk mendidik. Sebaliknya perbuatan merotan kanak-kanak sudah dikategorikan sebagai suatu perlakuan jenayah pula. Justeru tidak menghairankan bilamana kebanyakan megara yang kononnya mengamalkan prinsip kebebasan tanpa batas seperti ini nsudah pun mula melahirkan generasi yang lebih bersifat kehaiwanan daripada sifat keinsanan. Ingatlah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baiklah kita berbangga dan meneruskan budaya negeri sendiri.

Sekiranya merotan itu tidak baik dan tidak berkesan, maka mustahil Rasulullah ada berpesan agar para ibu bapa merotan anak-anak mereka yang enggan menunaikan solat setelah mereka berusia 10 tahun. Sekiranya kaedah merotan itu bersifat jenayah, maka sudah lama masyarakat kita melakukannya kerana pesan orang tua-tua suruh kita menangan anak-anak kita jika kita sayang kepada mereka.

Apa yang perlu kita bezakan di sini ialah merotan untuk mendidik dengan membelasah untuk mendera merupakan dua perkara yang amat jauh bezanya. Kaedah merotan untuk tujuan pendidikan akan dilaksanakan jika kaedah lain sudah tidak berkesan lagi. Walaupun merotan untuk tujuan mendidik adakalanya akan meninggal kesan (birat) tetapi ia tidak sampai kepada mencederakan sehingga kanak-kanak tersebut menjadi cacat. Ia sekadar peringatan kepada kanak-kanak tersebut agar tidak mengulangi lagi perbuatan salahnya itu.

Manakala membelasah untuk tujuan penderaan pula dilakukan oleh mereka yang tidak langsung menggunakan akal fikiran yang waras untuk suatu tindakan yang wajar.Ia lebih menjurus kepada sifat untuk melepaskan geram. Acap kali juga kanak-kanak yang dibelasah dan didera itu tiada melakukan kesalahan pun. Perbuatan seperti inilah yang perlu dibendung oleh semua pihak.

Oleh itu, kita harus benar-benar berkemampuan untuk membezakan antara merotan untuk tujuan pendidikan dengan membelasah untuk tujuan penderaan. Istilah “merotan” dengan “membelasah” pun sudah jauh perbezaannya. Hasrat untuk membendung perbuatan membelasah dengan tujuan mendera memang baik. Walau bagaimanapun janganlah pelaksanannya dilakukan dengan cara kerana marahkan nyamuk habis kelambu dibakar. Hanya kerana untuk membendung perbuatan penderaan ke atas kanak-kanak, maka nilai-nilai positif yang ada pada kaedah merotan juga dinegatifkan dan dikategorikan pula sebagai perlakuan jenayah.

Kita semua harus faham, tugas dan tanggungjawab para ibu bapa bukan sahaja untuk melahirkan anak semata-mata atau sekadar untuk memberi makan dan minum kepada mereka. Selain itu, tugas para ibu bapa juga bukan sekadar untuk memenuhi segala keperluan material setiap anak yang dilahirkan. Setelah pasangan ibu bapa memperoleh cahaya mata, tugas berat sedia menanti mereka. Tugas berat yang dimaksudkan ialah agar cahaya mata yang dilahirkan itu menjadi insan dan bukannya haiwan.

Ingatlah, salah satu daripada amalan anak Adam yang tidak akan putus walaupun setelah kematiannya ialah doa daripada anak yang solih. Bagaimanakah kita akan dapat manfaat daripada doa seseorang anak setelah kematian kita kelak jika sifat solih yang dimaksudkan itu tidak ada lagi pada anak yang kita lahirkan? Singkaplah semula kisah sejarah mereka yang alim dan bijak pandai yang terdahulu di mana salah satu kaedah pendidikan yang diguna pakai oleh guru-guru mereka ialah dengan kaedah rotan (bila perlu). Apabila seseorang murid itu dirotan (bila wajar), ia merupakan suatu perkara yang cukup menyakitkan. Walau bagaimanapun setelah kanak-kanak itu dewasa, peristiwa kena rotan yang pernah dilaluinya pasti merupakan suatu peristiwa yang manis dan cukup memberi kesan positif dalam hidupnya.

Justeru, mengklasifikasikan merotan kanak-kanak sebagai suatu perlakuan jenayah secara tidak berhati-hati boleh mendatangkan pelbagai implikasi negatif dalam pelbagai aspek.Ia tidak selari dengan budaya masyarakat kita yang telah pun diamalkan sejak berkurun lamanya. Ia juga tidak sehaluan dengan petikan mafhum hatith sebagaimana di atas. Jika kita ingin tahu apa yang akan berlaku pada negara pada masa depan, maka lihatlah apa yang sedang berlaku kepada generasi mudanya pada hari ini. Jika kita dapat lihat apa yang sedang berlaku kepada generasi muda hari ini, maka renungkanlah kembali bagaimana kita telah mendidik mereka ketika mereka masih kanak-kanak dahulu.

Dengar cakap enggang
Nanti Makan buah belolok
Ikut budaya orang
Nanti terjun masuk lubuk.


Saturday, January 24, 2015

Makam Diraja Di Jugra




Pada 6 januari (Selasa) yang lalu, saya sekeluarga telah berkesempatan untuk menziarahi makam diraja yang terletak di Jugra. Ini merupakan kunjungan saya kali kedua ke kawasan permakaman ini. Saya pernah ke sini beberapa tahun lalu.



(jalan ke kawasan makam)


Kawasan permakaman ini terletak di satu kawasan bukit di Jugra. Ia menempatkan makam almarhum Sultan Abdul Samad serta kerabat baginda. Maka itulah berdasarkan kepada nama yang tertera pada setiap makam di sini, kebanyakan daripada penghuninya merupakan sama ada putera dan puteri ataupun cucunda baginda.




Makam almarhum Sultan Abdul Samad terletak dalam sebuah bangunan kecil di tengah-tengah kawasan permakaman berkenaan. Makamnya sentiasa berkunci. Oleh itu, para penziarah hanya dapat sampai ke pintu makamnya sahaja yang dikunci erat. Khabarnya ada hari tertentu pintu makamnya akan dibuka.











(antara makam-makam yang diziarahi)



Almarhum Sultan Abdul Samad telah diputerakan di Bukit Malawati, Kuala Selangor pada sekitar tahun 1811. Baginda menaiki takhta Selangor pada tahun 1857 selaku sultan Selangor yang ke-4 iaitu setelah kemangkatan ayahanda saudaranya, Sultan Muhammad yang juga merupakan sultan Selangor yang ketiga. Dari sudut salasilah pula, almarhum Sultan Abdul Samad merupakan cicit kepada Raja Lumu (Sultan Salehuddin), iaitu sultan Selangor yang pertama. Manakala Raja Lumu pula merupakan salah seorang putera kepada almarhum Daeng Celak, salah seorang daripada lima Bugis bersaudara yang amat termasyhur kisahnya itu.

Sepertimana yang sudah dimaklumi, jugra pernah muncul sebagai pusat pentadbiran Selangor pada masa pemerintahan marhum Sultan Abdul Samad. Pada awal pemerintahan baginda, pusat pentadbiran Selangor ialah di Kuala Selangor. Beberapa tahun selepas menaiki takhta, Sultan Abdul Samad telah memindahkan pusat pentadbiran baginda di Jugra.

Pada masa itu, Jugra merupakan kawasan yang strategik sebagai pusat pentadbiran. Kedudukannya yang hampir dengan Selat Melaka memudahkan baginda untuk mengawal pergerakan di laut. Untuk maklumat bersama, Raja Laut merupakan gelaran kepada salah seorang daripada putera baginda.









Semasa era pemerintahan baginda juga, British mula campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Selangor juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa dasar British tersebut. Selepas berjaya menandatangani Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, pihak British telah berjaya pula menandatangani perjanjian yang serupa dengan Selangor. Ini bermakna selepas Perak, Selangor merupakan negeri Melayu yang kedua yang berjaya dikuasi oleh British menerusi perjanjian.

Satu lagi peristiwa penting yang berlaku pada masa pemerintahan almarhum Sultan Abdul Samad ialah perang Kelang. Perang Kelang berlaku ekorang perebutan kawasan dalam kalangan kerabat diraja Selangor. Peristiwa perang Kelang ini merupakan salah satu faktor yang telah membuka pintu kepada British untuk campur tangan secara langsung dalam pentadbiran Selangor.

Salah seorang residen British yang amat disayangi oleh Sultan Abdul Samad ialah Frank Swettenham. Frank Swettenham yang lahir pada tahun 1850 di Britain telah datang ke Tanah Melayu pada sekitar tahun 1870. Beliau sangat fasih berbahasa Melayu. Beliau juga dikatakan berkebolehan untuk menulis dan membaca tulisan jawi. Maka itulah tidak hairan jika Frank Swettenham amat dipercayai oleh Sultan Abdul Samad.

Frank Swettenham telah bersara pada tahun 1905. Semasa Malayan Union diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1946, Frank Swettenham merupakan antara bekas pegawai British yang menentang gagasan tersebut. Beliau telah meninggal dunia beberapa bulan selepas perisytiharan Malayan Union.

Almarhum Sultan Abdul Samad juga dikhabarkan amat menyukai Jugra sebagai pusat pentadbiran dan juga sebagai tempat persemayaman. Walaupun pihak British dikatakan sudah menyiapkan sebuah istana yang indah untuk baginda di Kuala Lumpur, Sultan Abdul Samad tetap tidak mahu meninggalkan Jugra.



(Beberapa catatan)


Almarhum Sultan Abdul Samad telah mangkat pada tahun 1898. Baginda telah digantikan oleh salah seorang cucunda baginda, iaitu Tengku Sulaiman Shah dengan gelaran Sultan Alaiddin Sulaiman Shah (1898-1938) selaku sultan Selangor yang kelima.

Apabila kita menziarahi makam golongan bangsawan atau mengunjungi istana tinggalan mereka, semoleknya pastikan kita sudah pun mempunyai sedikit sebanyak maklumat mengenai tokoh berkenaan. Ziarah dan kunjungan yang sudah ada bekalan maklumat seperti ini amat bermakna serta cukup memberi kesan kepada kita selaku pengunjung.


Thursday, January 22, 2015

Restoran Alfredo's




Petang tadi, tatkala saya dan isteri tercari-cari tempat untuk menjamu selera, sekonyong-konyong kami teringat sebuah restoran yang agak kerap kami kunjungi suatu ketika dahulu iaitu Thai House. Letaknya di Melati utama iaitu hampir di hujung deretan kedai yang ada. Bagi saya, restoran berkenaan adalah antara yang sedap dalam kalangan kategori sederhana sedap. Walau bagaimanapun, restoran berkenaan sudah agak lama tutup. Dengan hasrat untuk melihat apa kemungkinan yang ada pada bekas premisnya, kami berdua pun pergilah ke lokasi bekas restoran Thai House.



Setibanya kami, isteri saya terpandang tertera tulisan “Restoran Alfredo’s”. Ini bermakna sudah ada pengurusan baru di premis berkenaan. Dengan niat untuk mencuba, saya dan isteri pun masuklah ke restoran berkenaan.

Seperti biasa, setelah duduk, salah seorang kakitangannya menghulurkan menu. Setelah dibelek, menunya terdiri daripada masakan ala Thai dan masakan ala Mediterranean. Ini satu penambahan baru jika dibandingkan dengan pengurusan yang lama. Setelah isteri saya membacakan sepintas lalu menu yang tertera, saya dan isteri pun membuat pesanan makanan kegemaran masing-masing. Isteri saya sekadar memesan Italian meat ball. Manakala saya pula sekadar memesan dua nasi putih, telur bungkus, udang butter dan semamgkuk sup daging. Sudah berusia sebegini kena kawal makan. Tak boleh makan ikut nafsu.

Sewaktu menanti pesanan tiba, saya bertanya kepada isteri berapa ramai pelanggan yang ada kerana saya tidak mendengar apa-apa selain bunyi muzik yang sederhana rancak. Isteri saya memberitahu, hanya kami berdua sahaja pelanggan yang ada ketika itu. Wah! Rasa begitu eksklusif pula. Maklumlah dalam restoran yang berhawa dingin dengan selingan bunyi muzik yang sederhana rancak didampingi pula oleh beberapa orang kakitangan, hanya kami berdua sahaja yang menjamu selera!

Tatkala kami berdua sedang asyik menjamu selera, tiba-tiba muncul seorang wanita menyapa saya. Dia memang mengenali saya dan saya juga memang mengenali beliau. Wanita tersebut ialah Pn. Maznah Jahaya, isteri kepada En. Mamduah, pengurus Al-Tasneem Malaysia Sdn Bhd. Untuk maklumat bersama, Al-Tasneem merupakan pengeluar read pen untuk bacaan Alquran Braille. Kami terus mengajak beliau duduk semeja dengan kami. Kini Pn. Maznah juga merupakan pengurus kepada Restoran Alfredo’s. Pada masa yang sama, tugas beliau di Al-Tasneem Sdn Bhd berjalan seperti biasa. Selepas waktu pejabat, beliau akan menguruskan restoran ini pula. Kebetulan pula, lokasi pejabat Al-Tasneem dan restoran Alfredo’s letaknya tidak jauh antara satu sama lain. Jadi semakin mudahlah tugas Pn. Maznah untuk menyelia kedua-dua perniagaannya. Demikianlah.

Menurut Pn. Maznah, restoran ini baru sebulan beliau usahakan. Sebelum ini premis ini sudah kosong untuk beberapa bulan lamanya. Sekitar setengah tahun kami tidak berhubungan antara satu sama lain iaitu setelah saya meletakkan jawatan selaku yang di-pertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Saya turut bertanya kepada beliau, adakah masih wujud hubungan antara PERTIS dan Al-Tasneem. Katanya, selepas mesyuarat agung pertengahan tahun lepas hingga kini masih belum ada apa-apa hubungan lagi.

Selain itu, saya juga turut bertanya tentang pasaran pen pembaca Alquran Braille yang dikeluarkan oleh Al-Tasneem. Pn. Maznah memberitahu saya, ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada pengguna di Indonesia. Majlis pelancarannya juga sudah pun diadakan di Jakarta tidak lama dahulu. Kata Pn. Maznah lagi, di Indonesia terdapat ramai hafiz dalam kalangan golongan cacat penglihatan. Mereka amat memerlukan pen pembaca Alquran Braille untuk memantapkan bacaan dan hafalan masing-masing. Apatah lagi bilamana pen berkenaan amat ringan, tidak tebal dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Menurut Pn. Maznah lagi, setakat ini, Al-Tasneem sudah mengedarkan sekitar 4 ribu unit pen berkenaan di Indonesia.



Selain itu, kata Pn. Maznah lagi, pen bacaan Alquran Braille beserta beberapa bahan bacaan lain turut mendapat pasaran yang baik di beberapa buah negara Arab. Kesemua tempahan yang berkaitan dengan Braille akan dihasilkan di pejabat Al-Tasneem di Melati Utama. Kemudian ia akan dihantar ke pengguna sasarnya di negara-negara yang berkenaan. Berdasarkan keterangan daripada Pn. Maznah, saya dapat merasakan tidak sia-sia syarikat berkenaan membeli seunit embosser (Braille printer) beberapa tahun lalu. Saya juga turut bertanya, bagaimana pula dengan sambutan daripada pengguna sasar di Malaysia, kami sama-sama ketawa kerana jawapannya masing-masing sudah pun mengerti.

Pada hemat saya, pihak PERTIS harus terus menjalinkan hubungan dengan pihak seperti Al-Tasneem dalam apa bentuk sekali pun. Menerusi hubungan yang sentiasa terjalin, lazimnya akan terhasil idea-idea baru bagi memantapkan hubungan yang sudah sedia terjalin. Jika hubungan yang ada dilesukan, maka akhirnya nanti PERTIS juga yang akan kerugian. Apatah lagi pihak seperti Al-Tasneem boleh menjalinkan hubungan dengan sesiapa sahaja sama ada untuk keperluan pasaran ataupun untuk tujuan inovasi yang berkaitan dengan Braille.

Kepada Pn. Maznah, kami doakan semoga usaha anda dan En. Mamduah akan sentiasa diberkati Allah. Kepada pihak PERTIS pula, saya berharap agar hubungan yang sudah sedia terjalin dengan mana-mana pihak sebelum ini jangan dikendurkan. Maklumlah jika berlaku kekenduran hubungan walaupun sedikit, sudah ada pihak yang siap sedia menanti untuk memulakan hubungan yang baru.


Saturday, January 17, 2015

Seorang Lagi Rakan Senasib Terpaksa Dipotong Kakinya



Beberapa hari yang lalu, saya mendapat maklumat daripada seorang rakan yang memberitahu seorang lagi rakan senasib (cacat penglihatan) terpaksa dipotong kakinya. Ia adalah gara-gara penyakit kencing manis yang dihidapinya. Rakan senasib yang dimaksudkan ialah Saudara Muhammad din Kassim. Kalau saya tidak silap, beliau juga turut dikenali sebagai Mad Sitiawan. Beliau telah pun menjalani operasi pemotongan kakinya sekitar seminggu yang lalu. Setakat yang saya maklum juga, pada masa ini beliau masih lagi terlantar di hospital Temerloh, Pahang.

Saya juga turut dimaklumkan bahagian kaki yang dipotong ialah kaki kiri beliau iaitu sehingga sebelum paras lutut. Manakala kaki kanannya pula turut terkena jangkitan tetapi masih belum ke tahap perlu dipotong.

Saudara Muhammad Kassim merupakan salah seorang AJK Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) negeri Pahang. Selain itu, beliau juga tiada pekerjaan tetap.

Semoga Saudara Muhammad Kassim tabah untuk menjalani hidup pada hari-hari mendatang. Sama-samalah kita mendoakan semoga beliau tetap tabah untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala. Jika dahulu beliau hanya cacat penglihatan, kini kecatatan beliau sudah bertambah satu lagi.

Semoga kita sama-sama mengambil iktibar daripada apa yang sudah ditakdirkan berlaku ke atas Saudara Muhammad bin Kassim.


Wednesday, January 7, 2015

Pantai Morib




Pada 6 Januari (Selasa), saya sekeluarga telah menziarahi makam Almarhum Sultan Abdul Samad serta para kerabatnya di Bukit Jugra. Kami juga berkesempatan untuk melawat Istana Bandar yang terletak beberapa km dari kawasan permakaman tersebut. Hal ini akan saya kongsikan dalam catatan yang akan datang jika berkesempatan, insha-Allah.



Setelah selesai lawatan ke Istana Bandar, saya sekeluarga pun bergeraklah menghala ke pantai Morib yang letaknya tidak begitu jauh dari kedua-dua kawasan yang telah kami lawati sebelumnya. Tujuan utama lebih kepada untuk mengalas perut yang telah agak lama berkeroncong.



Sekitar jam 4.30 kami tiba di pantai berkenaan. Tempat yang mula-mula kami tuju ialah gerai makan. Dalam banyak-banyak gerai yang ada, kami memilih untuk mampir di sebuah gerai ikan bakar. Walaupun kelihatannya ia baru sahaja dibuka, tetapi kedengarannya beberapa pelanggan sudah mula menempah makanan laut dan masakan yang diingini.

Kami sekadar menempah ikan bakar biasa dan sotong bakar portugis. Bezanya, kalau bakar portugis ada tambahan sedikit sayuran dan lebihan sambal. Rasa makanannya agak sedap juga dengan harga yang boleh tahan juga.



Seusai makan, saya sekeluarga berjalan-jalan di sekitar pantainya. Tatkala itulah telinga saya menangkap seseorang sedang bermain gitar. Kami pun mehghala ke tempat tersebut.




Rupa-rupanya seorang pemuda sedang memetik gitar. Saya pun tak pasti sama ada dia memang benar-benar pandai main gitar atau sebaliknya kerana setakat yang saya dengar beliau hanya memetik tali-talinya sahaja. Namun begitu, agaknya apabila dia terpandang sahaja saya, dia terus menyanyikan lagu “Namun kupunya hati” dengan iringan gitarnya. Saya bukan terharu, tapi hampir tergelak dibuatnya. Apatah lagi bila saya dengari nyanyiannya tidak sempurna. Sekadar rangkap tertentu sahaja yang diulang beberapa kali. Dengan tujuan untuk memberhentikan nyanyian beliau, bila salah satu rangkap habis, saya pun tepuk tangan dengan agak kuat. Dia betul-betul berhenti menyanyi. Objektif saya tepuk tangan tercapai!

Apabila dia berhenti menyanyi, dia ajak saya duduk disebelahnya. Mulanya saya agak keberatan. Mendengarkan dia begitu bersungguh, akhirnya saya tidak menolaknya. Setelah saya duduk disebelahnya, dia pun main satu lagi lagu khas untuk saya.




Sebelum saya dan keluarga meninggalkannya, dia bertanya sama ada saya ada dapat bantuan daripada JKM atau tidak. Saya jawab, saya tidak dapat bantuan berkenaan. Bila dia tanya mengapa, saya jawab kerana saya tidak layak. Mendengar jawapan saya, pemuda berkenaan begitu beriya minta saya agar memohon bantuan daripada JKM. Saya hanya diam dan dengar sahaja gesaannya. Sepatutnya dia tanya mengapa saya tidak layak!



Di pantai ini juga kedapatan banyak monyet. Gelagatnya pula berbagai. Kalau ia perasan aksinya sedang diperhatikan, maka semakin galaklah tingkahnya.

Di pantai Morib, saya dapat menghirup udara yang segar untuk menyegarkan lagi minda.


Monday, January 5, 2015

Pemandangan Kesan Banjir Sekitar Temerloh

Pemandangan Kesan Banjir Di Sekitar Temerloh

Siang tadi, saya sekeluarga telah ke Jengka. Sekitar jam 10.00 pagi kami telah memulakan perjalanan. Tujuannya ialah menziarahi seorang ahli keluarga yang kurang sihat. Dalam perjalanan melalui Lebuhraya Pantai Timur, kami sempat merakam pemandangan beberapa kesan banjir tempoh hari.









(Pemandangan ketika melalui LPT)


Kami turut singgah di kawasan R n R Temerloh. Sekitar dua pertiga daripada gerai di situ tidak beroperasi. Daripada salah seorang pengusaha gerai, saya dimaklumkan hentian berkenaan tidak dinaiki air tetapi rumah kebanyakan pengusaha gerai di situ yang telah dinaiki air. Jadi mereka sedang sibuk mengemaskan rumah masing-masing akibat banjir tempoh hari.


(Kawasan R n R Temerloh)


Selain itu, saya sekeluarga juga turut ke salah sebuah kampung dalam daerah Temerloh. Kampung berkenaan tidak dinaiki air tetapi ia telah terputus dengan lain-lain kawasan gara-gara kawasan sekelilingnya dinaiki air. Sekitar 13 keluarga turut menjadikan dewan orang ramai di kampung berkenaan sebagai pusat pemindahan banjir.





(Pemandangan di sekitar salah sebuah kampung di Temerloh)


Walaupun kampung berkenaan tidak dinaiki air, tetapi hampir seminggu lamanya kampung berkenaan terputus bekalan air dan elektrik. Sengsara juga dibuatnya.

Sesungguhnya bencana banjir kali ini telah menimbulkan bermacam perkara dan cerita. Yang mana patut dijadikan teladan, sama-samalah kita meneladaninya. Yang mana patut kita jadikan sempadan, sama-samalah kita menyempadaninya.

Acap kali golongan makhluk yang bernama manusia ini bersikap sombong terhadap Penciptanya. Ini kerana mereka enggan mengambil iktibar daripada pelbagai peringatan yang telah diturunkan.


Sunday, January 4, 2015

Kenangan Bersama Allahyarham Samsudin Wahab





Sebagaimana yang kita telah sama-sama maklum, Allahyarham Samsudin Wahab telah kembali ke Rahmatullah pada awal pagi 18 Disember yang lalu. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu. Beliau meninggal dunia dalam usia 50 tahun. Allahyarham telah meninggalkan seorang balu dengan 3 orang anak yang berusia antara 10 dan 3 tahun.

(Allahyarham bersama salah seorang anaknya)


Selaku rakan, tentulah kita sama-sama merasai akan kehilangan beliau. Namun demikian, Allah lebih menyayanginya. Antara orang yang paling dukacita apabila mendengar berita pemergian beliau ialah Cikgu Salmah, bekas guru beliau. Selain itu, kebanyakan rakan-rakan yang sebaya beliau juga turut merasai kehilangan dengan pemergian Allahyarham.

Sebelumnya, pada 15 Disember lalu, saya sempat menziarahi Allahyarham di hospital. Saya berada di sisi beliau sekitar 25 minit lamanya. Sebagaimana yang sudah saya catatkan sebelum ini, beliau dapat mengenali saya tatkala saya menziarahinya. Beliau juga cuba bercakap dengan saya semahunya, tetapi saya sekadar mendiamkan diri dan bercakap bila perlu dan sekadar untuk menjawab pertanyaannya yang penting. Saya berbuat demikian kerana tidak sanggup mendengar beliau terus bercakap dalam keadaan yang amat sukar. Acap kali juga saya tidak memahami butir perkataannya dan terpaksa “diterjemahkan” semula oleh adik perempuannya yang juga turut bersama di sisi beliau ketika itu.

Saya mula mengenali Allahyarham Samsudin pada tahun 1975 lagi. Tahun 1975 merupakan tahun pertama saya mula bersekolah di Princess Elizabeth School (PES) di Johor Baru. Sedangkan Samsudin sudah pun bersekolah di sekolah yang sama lebih awal lagi. Maklumlah dari segi usia, beliau lebih senior daripada saya.

Dalam kalangan rakan-rakan yang pernah sama sekolah rendah dengan beliau, Allahyarham juga dikenali dengan panggilan “Jepun”. Kalau saya tidak silap, panggilan tersebut mula dipopularkan oleh Kak rohana, salah seorang kakitangan di PES ketika itu. Ia berpunca daripada Allahyarham yang dikatakan mengetuai sekumpulan murid yang bangun tengah malam dan membuat bising. Akhirnya mereka didenda di satu kawasan iaitu padang bawah. Mulai saat itulah beliau mula dipanggil dengan nama tersebut.

Apabila kami memasuki alam sekolah menengah, saya dan beliau tinggal di asrama yang sama iaitu di SMPK Setapak. Tatkala itu saya bersekolah di St. John’s Institution, KL, sedangkan beliau bersekolah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), Setapak. Setelah tamat SPM, Allahyarham Samsudin telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke tingkatan 6 di sekolah yang sama dengan sekolah tempat saya belajar (SJI).

Setelah tamat persekolahan, Allahyarham Samsudin telah memulakan penghidupan barunya di KL. Maklumlah sebagai seorang yang sudah biasa merantau dari kecil lagi, maka tidak menghairankan bilamana tempat seperti KL menjadi pilihan utama untuk memulakan kehidupan yang baru iaitu setelah berakhirnya zaman persekolahan. Perkara ini merupakan suatu kelaziman kepada kebanyakan lepasan sekolah dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Mereka akan memilih kawasan bandar terutama KL untuk mencuba nasib atau memulakan penghidupan baru.

Hubungan akrab antara Allahyarham Samsudin dengan rakan-rakannya termasuk saya sedari kecil memudahkan kami untuk saling mehami antara satu sama lain ketika mengharungi alam dewasa. Justeru, amat mudah untuk kami tinggal serumah terutama selepas tamatnya persekolahan. Saya sendiri pernah tinggal serumah sewa dengan beliau pada tahun 1992 di Batu 6 Jalan Gombak bersama 4 orang rakan yang lain. Bila serumah dengan Allahyarham, satu kelebihan ialah beliau gemar masak. Manakala saya pula gemar makan. Jadi memang kena sangat buku dengan ruas. Bila beliau habis masak, saya akan jadi testernya.

Salah satu kemahiran yang ada kepada beliau ialah dari aspek teknikal. Beliau gemar mencuba itu dan ini yang berkaitan dengan bidang tersebut. Saya masih ingat lagi, ketika kami sama-sama tinggal di asrama SMPK Setapak pada dekad 80-an lalu, Allahyarham Samsudin telah mempamirkan kreativitinya yang agak unik. Dengan menggunakan jam, bateri, pita kaset yang telah dirakam, suis, radio kaset serta wayar tertentu, beliau telah berjaya menghasilkan penggera untuk mengejutkan rakan-rakan lain daripada tidur. Jam akan ditetapkan pada waktu yang ditentukan. Bila tiba pada waktu yang telah ditetapkan, contohnya jam 5.30 pagi, suara yang telah terlebih dahulu dirakam pada pita kaset yang dipasang pada radio kaset akan berbunyi “Bangun! Bangun! Bangun! ....”. Lazimnya suara yang dirakam ialah suara beliau sendiri.

Di samping itu, semasa beliau dan rakan-rakan lain sama-sama menyewa di Klang Gate, beliau ada menghasilkan alat penggera untuk memaklumkan bahawa air kolam yang ditadah sudah penuh. Beliau menggunakan buzzer, bateri, wayar dan suis. Alat penggera berkenaan akan dipasang pada kolam tadahan. Bila air kolam mencecah ke tahap tertentu, buzzer akan berbunyi dengan kuat. Maka penghuni rumah akan bergegas ke bilik air untuk menutup paip air. Demikianlah.

Satu lagi kelebihan yang ada pada Allahyarham Samsudin ialah beliau pandai mengambil hati rakan dan taulannya. Kelebihan ini memang dimilikinya sejak zaman persekolahan lagi. Kerana itu, beliau tidak mudah ambil hati dengan apa yang orang lain kata terhadapnya. Beliau biarkan ia berlalu begitu sahaja. Mungkin kerana faktor itu jugalah ramai rakan dan kenalan mudah akrab dengan beliau.

Selain itu, beliau juga akrab dengan bekas guru-gurunya. Selain Cikgu Salmah seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Allahyarham juga memang akrab dengan ramai bekas gurunya yang lain. Antaranya, Allahyarham akrab dengan Cikgu Sitinah (Datin Sitinah), salah seorang bekas gurunya yang pernah mengajar beliau tatkala Allahyarham belajar di St. John’s Institution, KL. Untuk maklumat bersama, Datin Sitinah ialah isteri kepada Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, seorang ilmuwan ternama di negara kita. Datin Sitinah juga merupakan salah seorang bekas guru saya semasa saya menuntut di tingkatan 6. Inilah antara kelebihan kalau pernah belajar di sekolah yang mempunyai program integrasi seperti SJI kerana kita akan diajar oleh guru daripada pelbagai latar belakang. Kalau saya tidak silap, Datin Sitinah pernah menziarahi Allahyarham di rumahnya di Terengganu beberapa ketika dahulu. Demikian saya dimaklumkan.

Atas sebab tertentu, Allahyarham tidak lagi betah tinggal di KL. Dengan itu, beliau telah membuat keputusan untuk berpindah terus ke negeri kelahirannya, Terengganu. Maka sekitar 10 tahun yang lalu, bermulalah kehidupan barunya bersama keluarga di negeri kelahiran beliau sendiri.

(Allahyarham bersama Cikgu Zaki dalam sesi promosi e-braille Quran di Terengganu pada Mac 2011)


Di Terengganu, beliau amat aktif dengan kegiatan dalam badan bukan kerajaan (NGO), terutamanya Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu. Dengan kebolehan yang ada padanya, beliau telah dilantik selaku salah seorang guru untuk mengajar di kelas Alquran Braille anjuran PERTIS Terengganu yang ditaja oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu. Allahyarham terus menabur bakti di PERTIS Terengganu sehinggalah beliau tidak lagi mampu untuk melaksanakan tugasnya.

Di samping itu, Allahyarham juga pernah membuka pusat urut bagi menyara keluarganya. Namun demikian, ia tidak dapat bertahan lama lantaran kesihatannya yang tidak mengizinkan. Apa yang beliau lakukan menunjukkan usaha gigih yang pernah dilakukannya untuk hidup secara lebih berdikari tanpa terlalu bergantung kepada ihsan orang lain.

Walaupun kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi beliau terus menggagahkan dirinya untuk menyertai apa sahaja aktiviti anjuran PERTIS selagi berupaya. Selain daripada terus menjadi tenaga pengajar di kelas Alquran PERTIS Terengganu, beliau juga pernah mengikuti kursus profesionalisme anjuran PERTIS dan JAKIM yang telah diadakan pada bulan Jun 2013 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Besut, Terengganu.

(Allahyarham bersama rakannya ketika menghadiri satu kursus di ILIM Besut pada Jun 2013)


Sebelumnya, pada tahun 2011 iaitu ketika pasukan penyelidik E-Braille Quran Teaching Aid dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkunjung ke PERTIS Terengganu dan mengadakan promosinya di sebuah hotel, Allahyarham juga turut bersama. Khabarnya ketika itu pun kesihatannya bukanlah stabil sangat. Oleh kerana semangat yang tinggi, beliau turut sama hadir bagi memperolehi info yang dirasakan bermanfaat.

(Allahyarham mengajar salah satu kelas Alquran Braille di PERTIS Terengganu)


Apa yang saya catatkan ini bukanlah bersifat menyeluruh mengenai diri dan latar belakang Allahyarham. Ia sekadar coretan ringkas mengenai kenangan bersama Allahyarham. Oleh itu, jika ada mana-mana bahagian riwayat yang tertinggal atau yang tidak saya sertakan di sini, saya mohon banyak maaf terutamanya kepada rakan-rakan yang sebaya dengan beliau.

Sesungguhnya yang pergi seperti beliau pasti tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Apa yang tinggal hanya kenangan buat ingatan kepada kita sementara kita yang masih ada belum pergi lagi.

Untuk ke sekian kalinya, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allahyarham sentiasa berada dalam perlindungan Allah hendaknya sepanjang masa dan ditempatkan bersama-sama dengan para hamba-Nya yang beroleh rahmat dan keampunan.