Sunday, January 4, 2015

Kenangan Bersama Allahyarham Samsudin Wahab





Sebagaimana yang kita telah sama-sama maklum, Allahyarham Samsudin Wahab telah kembali ke Rahmatullah pada awal pagi 18 Disember yang lalu. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu. Beliau meninggal dunia dalam usia 50 tahun. Allahyarham telah meninggalkan seorang balu dengan 3 orang anak yang berusia antara 10 dan 3 tahun.

(Allahyarham bersama salah seorang anaknya)


Selaku rakan, tentulah kita sama-sama merasai akan kehilangan beliau. Namun demikian, Allah lebih menyayanginya. Antara orang yang paling dukacita apabila mendengar berita pemergian beliau ialah Cikgu Salmah, bekas guru beliau. Selain itu, kebanyakan rakan-rakan yang sebaya beliau juga turut merasai kehilangan dengan pemergian Allahyarham.

Sebelumnya, pada 15 Disember lalu, saya sempat menziarahi Allahyarham di hospital. Saya berada di sisi beliau sekitar 25 minit lamanya. Sebagaimana yang sudah saya catatkan sebelum ini, beliau dapat mengenali saya tatkala saya menziarahinya. Beliau juga cuba bercakap dengan saya semahunya, tetapi saya sekadar mendiamkan diri dan bercakap bila perlu dan sekadar untuk menjawab pertanyaannya yang penting. Saya berbuat demikian kerana tidak sanggup mendengar beliau terus bercakap dalam keadaan yang amat sukar. Acap kali juga saya tidak memahami butir perkataannya dan terpaksa “diterjemahkan” semula oleh adik perempuannya yang juga turut bersama di sisi beliau ketika itu.

Saya mula mengenali Allahyarham Samsudin pada tahun 1975 lagi. Tahun 1975 merupakan tahun pertama saya mula bersekolah di Princess Elizabeth School (PES) di Johor Baru. Sedangkan Samsudin sudah pun bersekolah di sekolah yang sama lebih awal lagi. Maklumlah dari segi usia, beliau lebih senior daripada saya.

Dalam kalangan rakan-rakan yang pernah sama sekolah rendah dengan beliau, Allahyarham juga dikenali dengan panggilan “Jepun”. Kalau saya tidak silap, panggilan tersebut mula dipopularkan oleh Kak rohana, salah seorang kakitangan di PES ketika itu. Ia berpunca daripada Allahyarham yang dikatakan mengetuai sekumpulan murid yang bangun tengah malam dan membuat bising. Akhirnya mereka didenda di satu kawasan iaitu padang bawah. Mulai saat itulah beliau mula dipanggil dengan nama tersebut.

Apabila kami memasuki alam sekolah menengah, saya dan beliau tinggal di asrama yang sama iaitu di SMPK Setapak. Tatkala itu saya bersekolah di St. John’s Institution, KL, sedangkan beliau bersekolah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), Setapak. Setelah tamat SPM, Allahyarham Samsudin telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke tingkatan 6 di sekolah yang sama dengan sekolah tempat saya belajar (SJI).

Setelah tamat persekolahan, Allahyarham Samsudin telah memulakan penghidupan barunya di KL. Maklumlah sebagai seorang yang sudah biasa merantau dari kecil lagi, maka tidak menghairankan bilamana tempat seperti KL menjadi pilihan utama untuk memulakan kehidupan yang baru iaitu setelah berakhirnya zaman persekolahan. Perkara ini merupakan suatu kelaziman kepada kebanyakan lepasan sekolah dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Mereka akan memilih kawasan bandar terutama KL untuk mencuba nasib atau memulakan penghidupan baru.

Hubungan akrab antara Allahyarham Samsudin dengan rakan-rakannya termasuk saya sedari kecil memudahkan kami untuk saling mehami antara satu sama lain ketika mengharungi alam dewasa. Justeru, amat mudah untuk kami tinggal serumah terutama selepas tamatnya persekolahan. Saya sendiri pernah tinggal serumah sewa dengan beliau pada tahun 1992 di Batu 6 Jalan Gombak bersama 4 orang rakan yang lain. Bila serumah dengan Allahyarham, satu kelebihan ialah beliau gemar masak. Manakala saya pula gemar makan. Jadi memang kena sangat buku dengan ruas. Bila beliau habis masak, saya akan jadi testernya.

Salah satu kemahiran yang ada kepada beliau ialah dari aspek teknikal. Beliau gemar mencuba itu dan ini yang berkaitan dengan bidang tersebut. Saya masih ingat lagi, ketika kami sama-sama tinggal di asrama SMPK Setapak pada dekad 80-an lalu, Allahyarham Samsudin telah mempamirkan kreativitinya yang agak unik. Dengan menggunakan jam, bateri, pita kaset yang telah dirakam, suis, radio kaset serta wayar tertentu, beliau telah berjaya menghasilkan penggera untuk mengejutkan rakan-rakan lain daripada tidur. Jam akan ditetapkan pada waktu yang ditentukan. Bila tiba pada waktu yang telah ditetapkan, contohnya jam 5.30 pagi, suara yang telah terlebih dahulu dirakam pada pita kaset yang dipasang pada radio kaset akan berbunyi “Bangun! Bangun! Bangun! ....”. Lazimnya suara yang dirakam ialah suara beliau sendiri.

Di samping itu, semasa beliau dan rakan-rakan lain sama-sama menyewa di Klang Gate, beliau ada menghasilkan alat penggera untuk memaklumkan bahawa air kolam yang ditadah sudah penuh. Beliau menggunakan buzzer, bateri, wayar dan suis. Alat penggera berkenaan akan dipasang pada kolam tadahan. Bila air kolam mencecah ke tahap tertentu, buzzer akan berbunyi dengan kuat. Maka penghuni rumah akan bergegas ke bilik air untuk menutup paip air. Demikianlah.

Satu lagi kelebihan yang ada pada Allahyarham Samsudin ialah beliau pandai mengambil hati rakan dan taulannya. Kelebihan ini memang dimilikinya sejak zaman persekolahan lagi. Kerana itu, beliau tidak mudah ambil hati dengan apa yang orang lain kata terhadapnya. Beliau biarkan ia berlalu begitu sahaja. Mungkin kerana faktor itu jugalah ramai rakan dan kenalan mudah akrab dengan beliau.

Selain itu, beliau juga akrab dengan bekas guru-gurunya. Selain Cikgu Salmah seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Allahyarham juga memang akrab dengan ramai bekas gurunya yang lain. Antaranya, Allahyarham akrab dengan Cikgu Sitinah (Datin Sitinah), salah seorang bekas gurunya yang pernah mengajar beliau tatkala Allahyarham belajar di St. John’s Institution, KL. Untuk maklumat bersama, Datin Sitinah ialah isteri kepada Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, seorang ilmuwan ternama di negara kita. Datin Sitinah juga merupakan salah seorang bekas guru saya semasa saya menuntut di tingkatan 6. Inilah antara kelebihan kalau pernah belajar di sekolah yang mempunyai program integrasi seperti SJI kerana kita akan diajar oleh guru daripada pelbagai latar belakang. Kalau saya tidak silap, Datin Sitinah pernah menziarahi Allahyarham di rumahnya di Terengganu beberapa ketika dahulu. Demikian saya dimaklumkan.

Atas sebab tertentu, Allahyarham tidak lagi betah tinggal di KL. Dengan itu, beliau telah membuat keputusan untuk berpindah terus ke negeri kelahirannya, Terengganu. Maka sekitar 10 tahun yang lalu, bermulalah kehidupan barunya bersama keluarga di negeri kelahiran beliau sendiri.

(Allahyarham bersama Cikgu Zaki dalam sesi promosi e-braille Quran di Terengganu pada Mac 2011)


Di Terengganu, beliau amat aktif dengan kegiatan dalam badan bukan kerajaan (NGO), terutamanya Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu. Dengan kebolehan yang ada padanya, beliau telah dilantik selaku salah seorang guru untuk mengajar di kelas Alquran Braille anjuran PERTIS Terengganu yang ditaja oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu. Allahyarham terus menabur bakti di PERTIS Terengganu sehinggalah beliau tidak lagi mampu untuk melaksanakan tugasnya.

Di samping itu, Allahyarham juga pernah membuka pusat urut bagi menyara keluarganya. Namun demikian, ia tidak dapat bertahan lama lantaran kesihatannya yang tidak mengizinkan. Apa yang beliau lakukan menunjukkan usaha gigih yang pernah dilakukannya untuk hidup secara lebih berdikari tanpa terlalu bergantung kepada ihsan orang lain.

Walaupun kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi beliau terus menggagahkan dirinya untuk menyertai apa sahaja aktiviti anjuran PERTIS selagi berupaya. Selain daripada terus menjadi tenaga pengajar di kelas Alquran PERTIS Terengganu, beliau juga pernah mengikuti kursus profesionalisme anjuran PERTIS dan JAKIM yang telah diadakan pada bulan Jun 2013 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Besut, Terengganu.

(Allahyarham bersama rakannya ketika menghadiri satu kursus di ILIM Besut pada Jun 2013)


Sebelumnya, pada tahun 2011 iaitu ketika pasukan penyelidik E-Braille Quran Teaching Aid dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkunjung ke PERTIS Terengganu dan mengadakan promosinya di sebuah hotel, Allahyarham juga turut bersama. Khabarnya ketika itu pun kesihatannya bukanlah stabil sangat. Oleh kerana semangat yang tinggi, beliau turut sama hadir bagi memperolehi info yang dirasakan bermanfaat.

(Allahyarham mengajar salah satu kelas Alquran Braille di PERTIS Terengganu)


Apa yang saya catatkan ini bukanlah bersifat menyeluruh mengenai diri dan latar belakang Allahyarham. Ia sekadar coretan ringkas mengenai kenangan bersama Allahyarham. Oleh itu, jika ada mana-mana bahagian riwayat yang tertinggal atau yang tidak saya sertakan di sini, saya mohon banyak maaf terutamanya kepada rakan-rakan yang sebaya dengan beliau.

Sesungguhnya yang pergi seperti beliau pasti tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Apa yang tinggal hanya kenangan buat ingatan kepada kita sementara kita yang masih ada belum pergi lagi.

Untuk ke sekian kalinya, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allahyarham sentiasa berada dalam perlindungan Allah hendaknya sepanjang masa dan ditempatkan bersama-sama dengan para hamba-Nya yang beroleh rahmat dan keampunan.




No comments: