Sunday, February 21, 2016

Aktiviti Sekolah: Merentas Desa




Pada 20 Februari (Sabtu), sekolah tempat saya bertugas telah melaksanakan aktiviti merentas desa. Ia merupakan satu daripada aktiviti kokurikulum penting di sekolah. Seawal 7.30 pagi, semua murid. Guru dan kakitangan sekolah telah mula berkumpul di gelanggang serba guna sekolah. Seperti biasa, murid-murid sememangnya amat teruja untuk menyertai aktiviti seperti ini.



Selain daripada warga sekolah, perjalanan aktiviti ini turut dibantu oleh beberapa pihak luar. Mereka termasuklah para sukarelawan daripada beberapa buah sekolah berhampiran, anggota polis trafik dan sebagainya. Penyertaan mereka amat penting kerana selain daripada dapat memudahkan pelaksanaan aktiviti, apa yang lebih penting ialah dengan cara ini usaha untuk memasyarakatkan sekolah juga dapat dilaksanakan.



Aktiviti dimulakan dengan taklimat oleh Cikgu Fathil Khair. Pelbagai perkara harus disampaikan kepada semua murid secara berterusan dan berulang. Taklimat seperti ini amat penting bagi memastikan kelancaran perjalanan aktiviti.



Setelah selesai taklimat, semua murid berkumpul pula di tapak permulaan. Di sini, aktiviti senam aerobik pula dilaksanakan di bawah kendalian Cikgu Yhogitha. Ia juga sebagai pemanas badan sebelum bermulanya aktiviti utama, iaitu rentas desa.



Setelah selesai senam aerobik, maka para peserta pun mula dilepaskan mengikut kategori masing-masing. Jurulepasnya ialah Tuan Haji Jalaluddin sendiri, iaitu pengetua sekolah.

Untuk maklumat semua, secara umumnya murid-murid di sekolah ini terbahagi kepada dua kategori utama iaitu murid B1 yang terdiri daripada mereka yang tiada penglihatan langsung (totally blind). Manakala murid kategori B2 pula merupakan mereka yang berpenglihatan terhad/rabun. Untuk aktiviti merentas desa kali ini, murid-murid kategori B1 dibantu oleh para sukarelawan daripada sekolah-sekolah berhampiran. Setiap murid kategori B1 dipasangkan dengan seorang sukarelawan. Mereka berlari/berjalan secara berpasangan. Setiap sukarelawan sentiasa memastikan agar pasangan mereka dapat berlari/berjalan dengan selesa, selamat dan yang lebih penting sekali murid-murid kategori B1 tidak terpinggir daripada aktiviti seperti ini. Sekiranya kaedah yang diguna pakai sesuai dan betul, tiada seorang murid pun yang akan terkecuali dan terpinggir daripada aktiviti seperti ini.



Selain daripada aktiviti merentas desa, beberapa aktiviti lain juga turut dijalankan. Antaranya termasuklah pertunjukan permainan ping-pong untuk murid-murid B1, permainan goal-ball, catur dan sebagainya. Ia turut memberi peluang kepada para sukarelawan melihat sendiri dengan lebih dekat lagi bagaimana sukan tertentu untuk mereka yang tidak berpenglihatan dilaksanakan. Walaupun caranya mungkin berbeza, tetapi matlamatnya tetap sama.



Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan aktiviti rentas desa kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga ditujukan kepada seluruh sukarelawan yang telah sama-sama menjayakan aktiviti semalam. Semoga kita akan bertemu lagi dalam aktiviti selanjutnya nanti.

(Untuk menonton aktiviti senam aerobik, sila klik
Di sini )


No comments: