Tuesday, February 16, 2016

Pekerja Asing





Hari ini, isu pekerja asing hangat diperkatakan. Ia dihangatkan lagi apabila kerajaan mengumumkan akan membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dalam tempoh beberapa tahun mendatang. Kalau ditanya kepada jabatan imigresen berapa ramaikah orang asing yang ada di negara kita sekarang, kemungkinan besar mereka tidak dapat menjawab dengan tepat. Ini kerana statistik pekerja asing tanpa izin tidak ada dalam maklumat pihak yang berkenaan. Maklumlah pekerja asing tanpa izin berkenaan masuk ke negara kita bukan menerusi pintu halal.

Ada yang mengatakan keseluruhan pekerja asing sama ada yang halal dan juga yang tidak halal berjulah sekitar 3 juta orang. Ada pula yang mengatakan jumlah mereka sekitar 5 juta orang. Ada pula yang menganggarkan jumlahnya sekitar 7 juta orang. Semua angkanya berlingkar pada kalimah “sekitar” sahaja. Tiada angka rasmi dan tepat. Ini bermakna kita sendiri tidak tahu dengan pasti dan rasmi jumlah sebenar keseluruhan pekerja asing yang sedang membanjiri negara kita. Apa yang hampir pasti ialah jumlahnya sudah pun mencecah jutaan orang dan sebahagian besarnya adalah pekerja asing tanpa izin (PATI).

Antara sebab kebangkitan orang Melayu menentang pelaksanaan Malayan Union 70 tahun yang lalu ialah kerana dasar kerakyatan terbuka yang ingin diperkenalkan oleh pihak British menerusi Malayan Union. Secara umumnya, mengikut dasar berkenaan, sesiapa sahaja yang berminat dan berkeinginan untuk menjadi warganegara Tanah Melayu ketika itu memangnya mudah dan boleh sahaja. Bagi orang Melayu ketika itu, sekiranya dasar sedemikian dilaksanakan, maka apa sahaja yang bernama Melayu di bumi bertuah ini akan terhapus sama sekali. Maka itulah orang Melayu 70 tahun yang lalu telah bersatu padu untuk menentang pelaksanaan Malayan Union secara habis-habisan. Kesatuan bangsa yang berlaku ketika itu secara spontan dan serentak cukup memeranjatkan pihak British. Ia telah memaksa pihak British untuk berunding semula dengan orang Melayu dan akhirnya gagasan Malayan Union dibubarkan. Tanah Melayu terselamat daripada kebanjiran orang Asing selaku warganegara. Kebangkitan orang Melayu waktu itu telah berjaya mengelakkan tanah tumpah darah kita dilanda malapetaka yang cukup hebat. Justeru, atas perjuangan nenek moyang kita, kita dapat mengekalkan identiti kita hingga ke hari ini.

Rakyat negara ini, khususnya orang Melayu seharusnya bersyukur sebanyak-banyaknya ke hadhrat Ilahi atas kegagalan pelaksanaan Malayan Union khasnya yang berkaitan dengan dasar kerakyatan terbuka. Sekiranya dasar berkenaan dilaksanakan, maka hari ini kita mungkin tidak dapat mengecapi apa yang sedang kita kecapi sekarang. Orang Melayu pasti sudah menjadi golongan minoriti dan merempat di tanah air sendiri. Apa yang dikenali sebagai Hak Istimewa Orang Melayu sudah lama jauh panggang dari api untuk direalisasikan. Orang Melayu yang pada ketika itu semamangnya jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan akan terus jauh tertinggal bilamana dasar kerakyatan terbuka dilaksanakan. Bilamana orang Melayu sudah tergolong sebagai kaum minoriti, maka tiada mana-mana pihak lagi yang mampu bangkit untuk membela nasib bangsa sendiri. Sedikit demi sedikit apa yang bernama Melayu akan tersingkir dan terhapus mungkin buat selama-lamanya. Kalau ada pun nanti ia hanya akan terperosok dalam muzium, arkib dan galeri sejarah sahaja sekadar untuk ditonton dan bukan untuk dilaksanakan.

Kini 70 tahun sudah berlalu. Kegusaran rakyat tempatan khususnya orang Melayu terhadap kemasukan orang asing ke tanah air tercinta rupa-rupanya masih belum berakhir lagi. 70 tahun lalu, dasar rakyat terbuka untuk Tanah Melayu dirangka oleh pihak British menerusi Malayan Union. Manakala pada hari ini pula, dasar kemasukan pekerja asing ke negara ini dirangka oleh bukan pihak berkuasa British lagi. Dasar dan pelaksanannya seratus peratus di bawah tangan anak watan yang sudah lama terlepas daripada belenggu penjajahan. Walaupun apa yang sedang berlaku hari ini tidak sama dengan apa yang pernah berlaku 70 tahun yang lalu, tetapi keserupaannya tetap ada. Jika 70 tahun yang lalu kebangkitan orang Melayu berjaya mengelakkan negara ini daripada dihuni oleh orang asing secara beramai-ramai menerusi dasar kerakyatan terbuka, hari ini pula jika kita tidak berhati-hati, alpa dan bersikap sambil lewa, malapetaka yang tertangguh itu pasti akan kembali semula melanda. Jika kita masih bersikap acuh tak acuh lagi, apa yang dikhuatiri akan berlaku oleh orang Melayu 70 tahun lalu pasti akan menimpa anak cucu mereka hari ini.

Marilah kita sama-sama beringat, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Jangan sudah tehantuk baru hendak tengadah. Jangan sampai nanti anak cucu kita di kemudian hari merasa malu dan menyesal tak sudah kerana nenek moyang mereka adalah kita hari ini.

Daripada kita mencari hujah untuk menafikannya, adalah lebih baik kita sama-sama mencari jalan untuk menyelesaikannya.

No comments: