Tuesday, February 23, 2016

Mushaf Standar Indonesia



Jika kita membuat perbandingan sejarah Alquran Braille antara Indonesia dengan negara kita, Malaysia, ternyata iaitu negara jiran itu sering mendahului kita semenjak dahulu, dan mungkin untuk selama-lamanya. Setakat ini, hanya satu aspek sahaja negara kita dapat mendahului negara jiran di mana secara perbandingannya negara kita lebih dahulu sedikit dalam mengkomputerisasikan data Alquran Braille ke dalam bentuk data komputer. Aspek selebihnya sering didominasi dan didahului oleh Indonesia.

Berdasarkan maklumat sejarah, tahun ketibaan Alquran Braille ke Tanah Melayu dan ke tanah Indonesia mungkin berlaku pada masa yang hampir sama. Sumber Alquran Braille (dari mana ia datang) juga dari tempat yang sama iaitu dari negara Jordan. Namun demikian, perkembangan Alquran Braille selepas ketibaannya ke Tanah Melayu dan Indonesia menunjukkan kepesatan perkembangan yang lebih laju dan pesat di Indonesia berbanding di Malaysia sendiri.

Penerbitan Alquran Braille secara besar-besaran telah berlaku di Indonesia sejak dekad 60-an lagi. Pada masa yang sama ketika itu, kita masih merangkak lagi untuk mengajar Alquran Braille, itu pun nasib baik ada Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham) yang berusaha gigih secara bersendirian untuk mempelajari dan seterusnya menurunkan ilmunya kepada anak-anak didiknya di Sekolah Princess Elizabeth, Johor Baru.

(Untuk membaca sejarah Alquran Braille di Indonesia, sila klik
di sini)

Pada dekad 70-an, negara Indonesia sudah muncul sebagai pembekal naskah Alquran Braille bukan sahaja untuk keperluan dalam negaranya, tetapi ia juga turut membekalkan naskah Alquran Braille kepada penggunanya di Malaysia. Hari ini naskah-naskah Alquran Braille yang pernah dibekalkan oleh Indonesia kepada pengguna di Malaysia masih disimpan rapi oleh segelintir pengguna yang pernah menerima naskah tersebut dari Indonesia.

Selain sebagai pembekal naskah Alquran Braille, Indonesia juga turut pernah melatih sekurang-kurangnya dua rakyat Malaysia dalam bidang Alquran Braille. Latihan yang dimaksudkan merangkumi membaca dan menulis Alquran dalam bentuk Braille. Salah seorang yang pernah menerima latihan sedemikian ialah Ustaz Mohd Nor Awang Ngah yang kini salah seorang daripada AJK Pusat Persatuan Orang-orang Cacat penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

(Untuk meneliti sumbangan Abdullah Yatim di Indonesia, sila klik
di sini)



Antara tokoh yang banyak menyumbang kepada perkembangan Alquran Braille di Indonesia ialah Bapak Abdullah Yatim. Beliau berasal dari Acheh. Beliau seorang yang berpenglihatan. Namun begitu, beliau telah mengabdikan hampir seluruh hidupnya untuk menyumbang kepada kepesatan Alquran Braille di Indonesia. Hasil sumbangan beliau, bukan sahaja golongan cacat penglihatan di Indonesia yang mendapat manfaatnya, bahkan para pengguna Alquran Braille di Malaysia juga turut menerima tempias manfaatnya. Semoga Allah merahmati beliau dunia dan akhirat.

Manakala di Malaysia pula, Cikgu Sulaiman Shafie (Allahyarham) merupakan antara tokoh awal yang benar-benar telah mengabdikan dirinya untuk memartabatkan Alquran Braille. Walaupun beliau seorang yang berpenglihatan, tetapi beliau mempunyai sikap empati yang cukup mendalam terhadap golongan yang cacat penglihatan. Maka itulah beliau dapat bertahan selama 37 tahun untuk mengajar murid-murid yang cacat penglihatan khususnya dalam dibang agama dan Alquran. Sebagai maklumat bersama, Cikgu Sulaiman telah mengajar di Sekolah Agama Puteri Elizabeth dari tahun 1954 hingga tahun 1991. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1993. Semoga Beliau dirahmati dunia akhirat selama-lamanya.

(untuk bacaan lanjut tentang Cikgu Sulaiman Shafie, sila klik
di sini)

Hari ini, negara Indonesia telah melangkah setapak lagi ke hadapan apabila berjaya menghasilkan manual dan buku panduan yang lengkap tentang kaedah membaca dan menulis Alquran Braille. Buku panduan berkenaan disediakan dalam versi tulisan biasa dan juga dalam versi tulisan Braille. Apa yang unikya buku panduan berkenaan disediakan dalam bahasa Arab. Pada pemerhatian saya. Buku manual berkenaan amat berguna, amat menarik dan sangat rapi penyediaannya.



Dengan adanya buku panduan berkenaan, maka ia amat memudahkan bagi semua pihak untuk mempelajari membaca dan menulis Alquran dalam bentuk Braille. Ia juga amat berguna kepada mereka yang berpenglihatan seperti guru-guru, pensyarah yang berkaitan dan juga sesiapa sahaja untuk mempelajari atau mendalami tulisan Alquran Braille asalkan ada sedikit kemahiran dalam bahasa Arab. Buku panduan berkenaan juga dikenali sebagai “Mushaf Standar Indonesia”.



Di negara Malaysia sendiri, buku panduan berkenaan boleh kita temui mungkin 50 atau 100 tahun lagi. Itu pun kalau ada usaha yang benar-benar ikhlas dan serius daripada pihak yang berkuasa agama. Ini memandangkan pelbagai karenah yang bukan-bukan terpaksa diharungi oleh para pencinta Alquran Braille di sini. Pihak-pihak yang berkenaan hanya tahu bermesyuarat, bermesyuarat, bermesyuarat, tapi tiada keputusan konkrit. Sebagai contoh, satu mesyuarat ke arah pembangunan Alquran Braille Mushaf Malaysia pernah diadakan pada 28 Mei 2013, malangnya hingga kini tiada satu pun keputusan yang pernah dicapai ketika itu telah dilaksanakan. Berdasarkan mesyuarat berkenaan, sepatutnya penghujung tahun 2015 para pengguna Alquran Braille sudah pun beroleh naskah Alquran rasam Uthmani yang lengkap dalam bentuk Braille. Malangnya sehingga ke saat ini pun langkah pertama ke arah matlamat berkenaan belum pun bermula.

Berdasarkan pemerhatian saya, antara faktor penting kepesatan perkembangan Alquran Braille di Indonesia adalah kerana adanya tautan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa iaitu Kementerian Agama Indonesia (KEMENAG) dengan badan-badan bukan kerajaan yang mengusahakan Alquran Braille. Kerjasama sebegini sememangnya sudah lama terjalin. Satu lagi faktor kepesatan perkembangan Alquran Braille di Indonesia ialah di sana tiada isu pengambilan soft copy Alquran Braille tanpa keizinan. Jadi, bila perkara sedemikian tidak berlaku, lebih mudah untuk mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah. Bukankah berkat dan rahmat itu sangat penting untuk kita beroleh kejayaan dunia akhirat?

Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pencinta Alquran Braille di Indonesia kerana telah berjaya maju setapak ke hadapan lagi. Sesungguhnya usaha yang kalian laksanakan dan kejayaan yang kalian kecapi sering menjadi inspirasi kami di sini.



No comments: