Sudah lebih dari seminggu mesyuarat dwitahunan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) peringkat kebangsaan berlalu. Kali akhir saya menghadiri mesyuarat SBM peringkat kebangsaan ialah pada tahun 2012. Pada tahun ini dan dua tahun lepas saya tidak dapat menghadirinya atas sebab tertentu. Tahniah juga diucapkan kepada semua yang telah terpilih sebagai peneraju SBM untuk sesi kali ini.
Seperti biasa, bila ada mesyuarat besar seperti ini, pasti ada asam garamnya. Kecewa, seronok, berdebar, lega, dan macam-macam lagi merupakan antara asam garam bila komuniti orang buta berkumpul untuk apa jua majlis.
Mesyuarat kali ini juga tidak sunyi daripada pelbagai perkara dan asam garamnya. Antaranya termasuklah penyertaan yang kurang memberangsangkan daripada ahli KL/Selangor, ada bas rosak ketika dalam perjalanan pulang, hotel lokasi mesyuarat yang jauh daripada pantai, sukar untuk mencari tempat makan terutamanya selepas waktu malam, yuran penyertaan yang dikatakan tinggi, dan sebagainya. Sekali imbas, hal seumpama ini memang tidak dapat dielakkan. Memang sukar untuk memenuhi cita rasa semua orang. Namun demikian, usaha berterusan harus dilakukan bagi mengurangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli mesyuarat pada masa akan datang. Kesilapan yang sama tidak sepatutnya berulang lebih dari sekali.
Setelah seminggu mesyuarat dwitahunan berlalu, semua pihak, terutamanya barisan ahli Majlis Presiden yang telah terpilih seharusnya sudah mengorak langkah untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan membangunkan SBM dan sekalian para ahlinya. Mana-mana program yang telah dirancang sebelum ini haruslah dilaksanakan segera supaya para ahli akan dapat beroleh manfaatnya. Program dan aktiviti baru yang bermanfaat untuk ahli dan komuniti golongan cacat penglihatan harus segera dirangka supaya kesan baik dan manfaatnya akan dapat dinikmati oleh golongan sasar secara berterusan dan berpanjangan.
Di samping itu, setiap pemimpin SBM di semua peringkat juga harus sentiasa berminda kreatif, futuristik dan proaktif bagi mendepani sebarang cabaran masa depan yang semakin kompleks dan kompetitif. Inilah antara prasyarat yang perlu ada pada setiap individu yang berstatus pemimpin tanpa mengira di tahap mana kepimpinan masing-masing. Dengan itu, barulah SBM akan sentiasa relevan dengan persekitaran yang adakalanya menjelma di luar jangka.
Seperkara yang saya ingin menarik perhatian kita semua ialah kemenangan tanpa bertanding oleh 3 daripada 4 penjawat utama dalam pemilihan baru-baru ini. Dari satu segi, kemenangan tanpa bertanding oleh penyandang jawatan presiden, setiausaha agung dan bendahari merupakan sesuatu yang positif. Ia menunjukkan para ahli mungkin cukup berpuas hati dengan hasil kerja dan tugasan yang telah berjaya dilaksanakan oleh ketiga-tiga individu berkenaan. Maka itu, bagi ahli yang hadir dalam mesyuarat, tiada keperluan untuk mencabar apatah lagi untuk menukar individu berkenaan dengan orang lain. Bagi ahli mesyuarat yang hadir, kemenangan tanpa bertanding ketiga-tiga penyandang berkenaan juga turut mempermudahkan perjalanan mesyuarat. Masa tidak banyak dibazirkan untuk proses mengundi dan mengira undi bagi ketiga-tiga jawatan tersebut.
Manakala bagi yang beroleh kemenangan sedemikian pula, ia mungkin merupakan sesuatu yang cukup membanggakan. Ia juga bolehlah dianggap sebagai indeks petunjuk pencapaian (KPI) yang memberangsangkan. Selain itu, kemenangan sedemikian seharusnya dijadikan pembakar semangat peribadi untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi kepada organisasi dan ahli.
Sementara itu, seorang rakan baik saya ada mengemukakan teori iaitu kemenangan tanpa bertanding 3 penjawat utama menunjukkan semakin berkurangnya minat para ahli untuk menjadi pemimpin tertinggi SBM. Katanya lagi, ini disebabkan SBM hari ini tidaklah semewah seperti SBM beberapa tahun yang lalu. Kalau jadi pemimpin tertinggi SBM hari ini, mereka terpaksa memerah otak untuk mencari jalan bagi menambah dana pertubuhan. Sedangkan usaha sedemikian dalam keadaan ekonomi sekarang bukanlah sesuatu yang mudah. Dari aspek penurunan pendapatan tahunan SBM, pandangan rakan saya tersebut mungkin ada benarnya.
Manakala bagi saya pula, sepertimana yang pernah saya utarakan sebelum ini, oleh kerana tiada isu besar dan serius yang melanda SBM pada masa ini, maka para ahli yang lain mungkin merasakan tiada keperluan untuk menukar atau mencabar kedudukan para pemimpin yang ada. Bagi sebilangan ahli, selagi SBM mampu untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kesukaan mereka, masih mampu memberi bantuan untuk keperluan tertentu serta sekali-sekala boleh bersuara bagi pihak mereka, golongan berkenaan sudah cukup berpuas hati.
Namun demikian, bagi saya, kemenangan tanpa bertanding untuk 3 daripada 4 jawatan utama harus diteliti dan diperhalusi secara lebih jauh lagi. Untuk jangka pendek, ia mungkin sesuatu yang menggembirakan khasnya bagi individu yang menang. Walau bagaimanapun, sekiranya ia berlaku secara berterusan, maka hal berkenaan harus dikaji secara mendalam akan sebab-musababnya. Bagi saya, sekiranya ketiadaan orang lain untuk mencabar atau mengambil alih kepimpinan yang ada kerana sudah selesa dengan apa yang ada, ia boleh menjurus kepada kesan yang kurang baik terhadap organisasi untuk jangka panjang. Malahan keadaan akan menjadi lebih buruk lagi sekiranya keadaan sedemikian disebabkan oleh semakin berkurangnya minat dalam kalangan ahli untuk menjadi pemimpin tertinggi dalam organisasi seperti SBM. Golongan pemimpin boleh datang dan pergi pada bila-bila masa sahaja, tetapi organisasi yang dipimpin harus berupaya untuk terus hidup dan berfungsi dalam keadaan apa sekali pun. Adalah sesuatu yang kurang baik sekiranya sesebuah organisasi itu terlalu bergantung hanya kepada seorang dua pemimpin sahaja. Apa yang akan berlaku sekiranya sesuatu yang di luar jangka tertakdir kepada para pemimpin yang berkenaan?
Saya tidak nafikan bahawa dalam kalangan 8 orang ahli Majlis Presiden, terdapat pemimpin dalam kalangan orang muda yang berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai 4 pemimpin utama suatu masa nanti. Untuk itu, pendedahan yang secukupnya harus dilaksanakan pada setiap ketika agar SBM tidak dilanda ketandusan pemimpin yang berkaliber. Langkah-langkah yang sesuai harus diambil secara berkala untuk mengasah dan menggilap bakat kepimpinan yang ada dalam kalangan para pemimpin muda ini. Selain itu, tanggungjawab yang lebih besar dan lebih mencabar harus diberikan kepada para pemimpin muda bagi memberi pendedahan dan pengalaman yang secukupnya sebelum bakal pemimpin berkenaan benar-benar diperlukan untuk menduduki mana-mana 4 kerusi utama suatu hari nanti.
Seperkara yang kita harus faham ialah mencabar secara sihat kedudukan pemimpin yang lebih atas khususnya dalam organisasi sperti SBM bukanlah satu kesalahan. Ini bermakna, mana-mana ahli pun boleh mencabar kedudukan hatta presiden sekalipun dengan masuk bertanding dalam mesyuarat agung dwitahunan berdasarkan lunas-lunas yang ditetapkan oleh perlembagaan SBM. Kalah menang sepatutnya tidak menjadi soal. Setidak-tidaknya si pencabar tadi ada pengalaman untuk bertanding dalam mesyuarat yang besar. Sebenarnya kalah dalam pertandingan yang sihat merupakan satu pengalaman yang cukup manis. Hal seumpama ini bukan tidak pernah berlaku dalam SBM. Tanyalah pada presiden sekarang, Tuan Haji, kedudukan siapa yang dia tidak pernah cabar pada dekad 90-an lalu? Seingat saya, dia tidak pernah cabar kedudukan bendahari sahaja. Pada masa itu dia kalah juga dalam peertandingan dan dia pun tahu dia tidak akan menang ketika itu. Agaknya pengalaman sedemikian kini menjadi azimat berkesan baginya sehingga mampu menang tanpa bertanding dua kali berturut-turut.
Walau bagaimanapun, apabila kita bersedia untuk mencabar kedudukan mana-mana pemimpin, kita seharusnya juga sudah bersedia untuk menjadi pemimpin. Jika kita tidak bersedia untuk mencabar kedudukan mana-mana pemimpin kerana kita tidak bersedia untuk menjadi pemimpin, itu tandanya organisasi berkenaan akan dilanda masalah ketandusan pemimpin dalam masa yang tidak berapa lama lagi. Selain itu, para pemimpin badan bukan kerajaan seperti SBM juga harus berlapang dada terutamanya dalam soal pemilihan pemimpin. Bila ada ahli lain mencabar kedudukan kalian selaku pemimpin tanpa mengira peringkat mana sekali pun, ia mungkin bermakna dalam SBM masih ada ahli yang sudah bersedia untuk menjadi pemimpin. Maka terpulanglah kepada ahli dalam mesyuarat agung untuk membuat pilihan pemimpin yang mereka sukai.
Apa yang amat dikhuatiri ialah dengan tidak semena-mena SBM dilanda krisis ketandusan pemimpin yang benar-benar berbakat dan berkebolehan. Kita tidak mahu SBM sekadar berbangga dengan ahlinya yang ramai tetapi dalam kalangan mereka tiada siapa yang mahu jadi pemimpin sama ada kerana tidak berbakat, tidak berani atau tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri. Oleh yang demikian, usaha untuk menghasilkan bakal pemimpin masa depan yang berkualiti, berketerampilan, berbakat dan berkeyakinan tinggi pada diri sendiri dalam SBM harus dilaksanakan secara berterusan.
Saya tidak nafikan SBM ada melaksanakan program tertentu untuk mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan ahlinya. Sebagai contoh, seminar yang berkaitan dengan kepimpinan di semua peringkat. Namun begitu, apabila berlaku 4 penjawat meletakkan jawatan secara serentak, ia menunjukkan dalam kalangan pemimpin SBM sendiri masih belum ada kesedaran yang mencukupi mengenai konsep “Pemimpin Yang Berkesan”. Sikap pemimpin sepatutnya maju ke hadapan dan bukannya undur ke belakang. Kalau seorang yang berbuat demikian, ia mungkin boleh diterima sebagai kelemahan peribadi individu yang berkenaan. Apabila ia melibatkan jumlah yang ramai, rasanya sudah tentulah ada yang tidak kena kepada kualiti kepimpinan dan organisasi itu sendiri. Ia juga menunjukkan dalam kalangan pemimpin sendiri, mereka jarang memikirkan kesan apa yang mereka lakukan ke atas organisasi seperti SBM.
Ahli biasa juga turut berperanan penting dalam organisasi seperti SBM. Bahkan perlembagaan SBM sendiri meletakkan kepentingan ahli sebagai kuasaa tertinggi untuk memutuskan apa-apa jua keputusan tentang SBM tanpa boleh diketepikan keputusan berkenaan oleh mana-mana pihak lain dalam SBM. Dalam konteks kesinambungan kepimpinan SBM, sebenarnya peranan ahli biasa cukup penting. Hanya ahli biasa secara majoriti sahaja yang berkuasa menentukan siapa yang bakal memimpin mereka untuk tempoh tertentu selanjutnya. Justeru, sekiranya pemimpin yang dipilih merupakan golongan yang berkualiti, kreatif, kritis, inovatif dan berjiwa ahli, ia merupakan kebijaksanaan ahli dalam memilih pemimpin. Sebaliknya, sekiranya pemimpin yang dipilih itu tidak berkualiti, tidak pandai buat kerja, emosi dalam membuat pertimbangan, kurang bijak menggunakan pertimbangan dan kuasa budi bicara, berat sebelah ketika membuat keputusan, ia sebenarnya merupakan ketidakcerdikan ahli ketika memilih pemimpin. Oleh itu, dalam mesyuarat agung yang hanya diadakan dua tahun sekali sahaja, setiap ahli yang hadir dalam mesyuarat harus bijak ketika mengundi individu yang akan memimpin mereka dan organisasi ini untuk tempoh selanjutnya. Peluang yang Cuma sekali untuk tempoh dua tahun itu tidak sepatutnya dipersiakan begitu sahaja. Kita sama-sama harus faham, memilih pemimpin walaupun dalam organisasi seperti SBM bukannya sesi untuk suka-suka.
Satu keunikan SBM ialah, ia merupakan satu-satunya organisasi yang diurus dan ditadbirkan oleh golongan cacat penglihatan sepenuhnya dari bawah hingga ke peringkat paling tinggi. Selain itu, SBM merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan yang paling ramai disertai oleh ahli yang terdiri daripada mereka yang cacat penglihatan daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan kepercayaan. Justeru, jatuh bangun SBM sebenarnya merupakan jatuh bangun masyarakat cacat penglihatan di negara kita. Jika pemimpinnya umpama pokok, para ahlinya pula adalah akarnya. Pokok tidak mungkin mampu untuk berdiri teguh dan kukuh tanpa sokongan padu daripada akar yang terperosok di bawah.
Senarai Ahli Majlis Presiden SBM 2016-2018
1. Presiden SBM: Tuan Haji Mohammed Nazari Bin Haji Othman (Menang tanpa bertanding).
2. Timbalan Presiden SBM: Encik Mohd Fekkeri Bin Mat Jusoh.
3. Setiausaha Agung SBM: Encik Rosham Bin Sidek (Menang tanpa bertanding).
4. Bendahari Kehormat SBM: Madam Jasmine Khoo (Menang tanpa bertanding).
8 orang Ahli Majlis Presiden yang telah dipileh ialah:--
1. Encik Mohd Mustaza Bin Mohammad Zain.
2. Dr. Wong Huey Siew.
3. Encik Maznan Bin Mohd Zain.
4. Encik Ahmad Shamsuri Bin Muhammad.
5. Cik Siti Huraizah Binti Ruslan.
6. Puan Fadzilah Binti Aziz.
7. Cik Hanisah Binti Ismail.
8. Encik Mohd Moktar Bin Soon.