Wednesday, August 10, 2016

PAS Dan Wang 90 Juta




Sejak dua tiga hari lalu, parti PAS telah digemparkan dengan dakwaan bahawa wang sebanyak 90 juta telah diagihkan kepada parti berkenaan. Dakwaan tersebut terkandung dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Sarawak Report pada hujung minggu lalu. Berita tersebut sedikit sebanyak telah menggemparkan politik negara. Mana tidaknya, sebuah parti politik yang berteraskan Islam telah dikaitkan dengan wang 90 juta pemberian daripada pemimpin besar UMNO.

Apabila berita berkenaan tersebar, timbalan presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim, secepat kilat telah menafikannya. Bahkan beliau turut bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluarkan berita tersebut. Bagi beliau, berita berkenaan palsu dan tidak benar sama sekali. Penafian yang sama kemudiannya telah dibuat oleh salah seorang naib presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang apabila ditanya tentang hal berkenaan, beliau sekadar menjawab, beliau belum lagi membaca berita berkenaan. Selanjutnya beliau menyerahkan kepada PAS Pusat untuk menangani persoalan tersebut.

Sepatutnya, kalau dalam pengetahuan presiden PAS hal seumpama itu tidak berlaku, beliau boleh terus menjawab dengan menafikan berita berkenaan sebagaimana yang telah dilakukan oleh timbalan dan salah seorang naib presidennya. Apabila presiden PAS memberi jawapan yang berbentuk dolak-dalih, ia sebenarnya membuka pintu spekulasi dengan lebih luas lagi. Beliau tidak boleh membuat alasan baru pulang dari luar negara kerana sekarang zaman canggih dengan alat dan teknologi maklumat. Walau berada di mana sekalipun, berita berkenaan dapat diakses dengan mudah dan cepat. Jadi apa masalahnya presiden PAS gagal untuk menafi atau mengiyakan berita berkenaan?

Setakat ini, pimpinan PAS di beberapa negeri turut sama sehaluan dengan Datuk Tuan Ibrahim. Mereka menafikan berita yang dikeluarkan oleh Sarawak Report. Nampaknya pihak yang begitu bersungguh-sungguh menafikan berita berkenaan ialah beberapa kerat pimpinan tertinggi PAS dan juga pimpinan PAS di beberapa buah negeri. Manakala pemimpin paling tinggi dalam PAS pula buat-buat tak tahu dengan beralasan itu dan ini.

Benarkah PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Sarawak Report? Jika benar, bila tindakan sedemikian akan mula diambil? Keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Sarawak Report tidak boleh diputuskan oleh Datuk Tuan Ibrahim atau Ustaz Idris Ahmad secara bersendirian. Ia mestilah melalui keputusan bersama oleh pimpinan tertinggi PAS. Bagaimana kalau presiden PAS sendiri keberatan untuk mengambil tindakan sedemikian?

Sebelum ini pun, pernah ada pihak lain turut bertekad akan mengambil tindakan undang-undang atas laporan tertentu yang dikeluarkan oleh portal berita berkenaan. Namun demikian, apa yang sering terjadi ialah ia sekadar tinggal tekad semata-mata. Sebab itulah sesetengah orang percaya bahawa sebelum Sarawak Report mengeluarkan satu-satu laporan, ia sudah pun mempunyai bukti tertentu. Maka itulah jarang tindakan undang-undang diambil ke atas portal berita berkenaan.

Dari satu sudut, PAS harus membersihkan namanya daripada wang 90 juta berkenaan dengan apa cara sekali pun. Jika tidak, tentulah reputasinya akan jatuh merudum dan mungkin juga akan terperosok di bawah bumi. Sebaliknya jika PAS benar-benar ada menerima jumlah wang tersebut, lebih baik mengaku sahajalah. Itulah jalan terbaik. Kemudian pulangkan semula wang berkenaan kepada sipemberi tadi. Selepas itu bertaubatlah kepada Allah. Bukankah Allah itu penerima taubat? Hal sebegini semua orang PAS tahu.

Selagi PAS gagal membersihkan namanya daripada wang 90 juta berkenaan, maka selama itulah pula PAS sentiasa bergelumang dengan benda kotor dan tidak setara dengan namanya. Bagi mereka yang berada atas pagar, hubungan lunak PAS - UMNO selama ini akan membenarkan berita yang dikeluarkan oleh Sarawak Report baru-baru ini. Sesetengah orang ramai mungkin akan bertanggapan, padanlah PAS lebih mesra dengan UMNO, mungkin ada kaitan dengan wang 90 juta. Demikian antara tanggapan yang boleh timbul sekiranya PAS gagal membersihkan namanya dengan kadar segera.

Memang sangat benarlah, 3 perkara yang akan melemahkan iman dan pendirian seseorang ialah hargta, kuasa dan wanita.


No comments: