Tuesday, May 30, 2017

Makam Tun Teja




Tun Teja merupakan seorang lagi tokoh wanita yang dikatakan pernah wujud di zaman kesultanan Melayu Melaka. Asal beliau dari negeri Pahang. Dibawa ke Melaka bagi dipersembahkan kepada sultan Melaka ketika itu atas sebab tertentu.


(Makam Tun Teja)


Terdapat dua versi yang berbeza tentang siapa yang telah membawa Tun Teja ke Melaka dari Pahang. Satu versi mengatakan Hang Tuah adalah tokoh yang telah membawa Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Sultan Mansur Shah. Manakala satu lagi bersi mengatakan Hang Nadim yang telah membawa Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Shah dengan tujuan agar kesalahannya kepada sultan dapat diampunkan.






Tun Teja dikatakan seorang wanita yang sungguh cantik. Kecantikannya telah menyebabkan sultan Melaka naik berahi dibuatnya. Mana-mana orang yang berjaya mempersembahkan Tun Teja kepada sultan Melaka, beliau telah dianugerahi dengan anugerah yang besar. Sebagai contoh, Hang Nadim telah diampunkan dosanya oleh Sultan Mahmud Shah kerana berjaya membawa Tun Teja ke Melaka.


(Klik di sini untuk mendengar lagu tentang Tun Teja)


Tun Teja dikatakan telah mangkat tatkala Sultan Mahmud Shah dan para pengikutnya sedang berundur setelah tewas di tangan Portugis. Maka di kawasan inilah Tun Teja telah dimakamkan dengan penuh istiadat di raja.

Alfatihah ....

Di bawah ini dikongsikan beberapa foto di makam almarhumah.





Monday, May 29, 2017

Khairy Mungkin Kurang Faham





Pagi ini, tatkala membelek-belek akhbar di ruang internet, saya terbaca satu berita mengenai saranan Ketua Pemuda UMNO berkaitan peranan jabatan agama Islam. Menurut Khairy, beliau mencadangkan supaya jabatan agama Islam agar lebih memberi tumpuan kepada membantu golongan asnaf daripada menangkap orang yang tidak berpuasa.

(Klik di sini untuk sumber berita).

Kita harus sama-sama faham, dua prinsip asas dalam pelaksanaan Islam ialah melaksanakan yang baik (amar maaruf) dan mencegah kemungkaran (nahi munkar). Memberi tumpuan kepada membantu golongan yang memerlukan memang sudah dan sedang dilaksanakan oleh jabatan agama di setiap negeri. Jika pihak yang berkuasa tidak menjalankan tugasnya untuk mencegah orang Islam daripada makan di khalayak ramai semasa Ramadan, maka bagaimanakah pihak yang berkenaan dapat melaksanakan prinsip mencegah kemungkaran?

Rasanya apa yang dilakukan oleh jabatan-jabatan agama Islam di setiap negeri melalui penguatkuasaan sedemikian sudah cukup baik bagi menjaga kesucian Islam dan kemurnian Ramadhan. Janganlah kerana ada individu yang kurang faham, maka ia mengakibatkan apa yang baik yang sedang dilaksanakan terganggu. Sepatutnya Khairy harus mendapatkan pandangan bapa mertuanya lebih dahulu dalam hal ini sebelum membincangkannya secara umum. Kelak tidaklah orang mengatakan, bapa mertua alim tapi menantu jahil.

Kepada pihak yang berkuasa, teruskan tugas anda bagi menjaga kesucian Islam dan kemurnian Ramadhan. Jangan sekali-kali kalian lemah semangat dek kenyataan-kenyataan negatif sebegini. Kadangkala orang politik lebih mengganggu daripada membantu.

Ramadhan Karim.


Sunday, May 28, 2017

Hari Pertama Ramadhan 1438H





Hari ini, umat Islam telah memasuki hari kedua untuk bulan Ramadhan bagi tahun ini. Dalam bulan ini, nikmat dan rahmat Allah amat melimpah-ruah. Manakala setiap muslim pula amat dituntut agar memanfaatkan bulan ini dengan melaksanakan amalan-amalan yang diredhai Allah pada setiap ketika tanpa mengira siang atau malam. Semua orang Islam amat berharap semoga setiap amalan yang telah dilakukan akan diterima Allah. Demikianlah.

Namun demikian, berdasarkan sumber berita, hari pertama bulan Ramadhan tahun ini secara umumnya bukanlah satu permulaan yang menggembirakan bagi umat Islam sedunia. Pelbagai peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku telah terjadi di merata tempat. Di Iraq, pertempuran telah berlaku di barat Mousul yang mengakibatkan kehilangan nyawa sesama umat Islam. Di timur Afghanistan, serangan puak tertentu juga telah mengakibatkan kematian dalam kalangan umat Islam. Di Marawi, Filipina, operasi pihak tentera di sana telah mengakibatkan puluhan ribu umat Islam di bandar berkenaan menghadapi kesukaran pada hari pertama Ramadhan.

Kesemua peristiwa malang di atas serta banyak lagi peristiwa yang serupa dengannya menunjukkan pertelagahan dan perkelahian terutamanya dalam kalangan umat Islam sendiri sudah tidak kenal batasan lagi. Mereka sudah tidak lagi kenal dengan bendera putih walaupun bersempena dengan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Pergaduhan dan bunuh-membunuh dalam kalangan umat Islam kini berlaku tanpa mengira waktu dan tempat. Bulan Ramadhan sudah tidak lagi dihormati. Orang Islam sudah tidak malu lagi untuk bertelagah sesama sendiri walaupun dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Kepentingan mazhab, puak atau kumpulan tertentu lebih diutamakan daripada kemaslahatan agama Islam itu sendiri.

Bersama-samalah kita berdoa semoga hal yang serupa tidak menimpa kita di tanah air tercinta ini. Kita harus bersyukur sebanyaknya kerana secara umumnya kita masih mengecapi keamanan, satu nikmat yang tidak ternilai harganya. Dengan kemanan yang kita sama-sama kecapi ini, kita dapat memasuki gerbang Ramadhan tahun ini dengan aman, dapat melaksanakan ibadah puasa dengan tenteram dan dapat melaksanakan setiap ibadah lain dengan baik dan sempurna, insha-Allah.

Marilah bersama-sama kita berdoa semoga pertemuan kita dengan Ramadhan kali ini bukanlah satu pertemuan yang sia-sia. Amat rugilah seseorang hamba Allah bila dia bertemu dengan Ramadhan, dia tidak mendapat keampunan daripada Allah. Barang dijauhkan Allah kita semua daripadanya.

Ramadhan Karim.


Saturday, May 27, 2017

Seminar Alquran Braille PERTIS








Pada 20 Mei (Sabtu) yang lalu, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah menganjurkan Seminar Alquran Braille PERTIS 2017. Seminar berkenaan telah berlangsung di Hotel City Vila, Kuala Lumpur. Bagi saya, seminar berkenaan telah berlangsung dengan jayanya.

Sekitar 84 orang peserta telah menghadiri seminar berkenaan. Ia termasuk 8 orang peserta daripada Negara Brunei Darul-Salam. Selain itu, seminar tersebut turut dihadiri oleh beberapa orang guru program pendidikan khas dari Johor. Perak, Sabah dan Kuala Lumpur. Selain itu, seminar berkenaan juga turut dihadiri oleh beberapa orang daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta orang perseorangan.





Seminar tersebut telah diisi dengan 2 pembentangan kertas kerja di sebelah pagi dan sesi forum di sebelah petang. Saya sendiri telah terlibat dalam pembentangan kertas kerja pertama. Dalam pembentangan tersebut, saya telah cuba meninjau beberapa cabaran dalam kaedah penulisan Alquran Braille itu sendiri. Selain itu, saya juga telah mengenengahkan beberapa perbezaan kaedah penulisan Alquran Braille dalam kalangan beberapa buah negara yang sudah lama menghasilkan naskah Alquran Braille.






Pembentangan kertas kerja kedua pula telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Nur Azam, seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian quran Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau merupakan seorang yang berpenglihatan dan mahir dengan penulisan Alquran Braille. Dalam pembentangannya, Ustaz Azam telah membuat perbandingan antara Alquran mushaf Madinah dengan Alquran Braille terbitan PERTIS. Cukup menarik perbandingan yang telah dihasilkan oleh beliau. Selain itu, Ustaz Azam juga turut memberi info lanjut perbezaan antara dabtul quran dengan rasam dalam kertas kerjanya. Bagi saya, pencerahan yang telah dibuat oleh beliau amat menarik dan jika ia diikuti dengan teliti, kita akan lebih faham dengan lebih jelas lagi perbezaan antara kedua-duanya.

(Klik di sini untuk menonton pembentangan oleh Ustaz Azam daripada FPQS USIM)

Di sebelah petang pula, sesi forum telah diadakan. Forum tersebut bertemakan “Memperkasakan Alquran Braille Dalam Bidang Pendidikan”. Saya sendiri telah diberi tanggungjawab untuk mempengerusikan forum berkenaan. Manakala 3 orang ahli panel forum berkenaan pula terdiri daripada En. Mohamad Faizal Che Yusuf (Yang Di-Pertua, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia), Ustaz Ismail bin Hashim (Ketua Unit Pendidikan Islam Dan Moral, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia) dan Dr. Noor Najihan Jaafar, seorang lagi pensyarah daripada Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Klik di sini untuk menonton forum berkenaan).

Melalui forum berkenaan, kita dapat mengetahui peranan yang jelas antara ketiga-tiga pihak berkenaan khususnya ke arah memperkasakan Alquran Braille, iaitu PERTIS selaku badan bukan kerajaan, Bahagian Pendidikan Khas selaku salah satu agensi dalam Kementerian Pendidikan Malaysia serta USIM selaku pihak yang banyak membuat penyelidikan yang berkaitan dengan Alquran Braille di peringkat institusi pengajian tinggi. Peranan dan sumbangan USIM dalam memartabatkan Alquran Braille memang tidak dapat dinafikan. Sehingga kini pun, USIM merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi yang ada menawarkan kursus berkaitan aplikasi Braille dalam Alquran di negara ini.





Seminar sehari tersebut telah diakhiri dengan meluluskan resolusi seminar. Ia telah diusulkan oleh En. Faizal sendiri selaku Yang Di-Pertua PERTIS. Manakala majlis Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Yaakub Abdul Rahim, Timbalan Pengarah (mewakili tuan pengarah), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

(Klik di sini untuk pembentangan Resolusi Seminar oleh YDP PERTIS)

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, seminar tersebut telah berjalan dengan baik dan jaya. Objektif penganjuran seminar juga sudah tercapai. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan seminar berkenaan. Mudah-mudahan dengan redha daripada Allah, usaha kita untuk sama-sama memartabatkan Alquran Braille akan tercapai juga akhirnya.

Di bawah ini saya kongsikan sebilangan foto dalam seminar berkenaan untuk tatapan bersama.