Tuesday, May 16, 2017

Selamat Hari Guru 2017




Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari guru kepada semua warga pendidik serta kepada semua yang berperanan sebagai guru. Pada kesempatan ini juga, saya turut tidak lupa untuk mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru yang pernah mengajar saya dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat tinggi. Tanpa kalian saya tidak mungkin pada tempat di mana saya berada sekarang. Kini saya menyambung tugas cikgu semua.

Saya juga tidak lupa mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang telah mengirimkan ucapan selamat hari guru kepada saya. Ingatan kalian pembakar semangat saya untuk terus berbakti kepada anak bangsa.


(Cikgu Salmah tahun 2014)


Salah seorang bekas guru saya yang masih bersama kita hari ini ialah Cikgu Salmah. Beliau adalah guru yang mengajar saya mata pelajaran Agama Islam semasa saya di sekolah rendah di Johor Baru. Usianya sudah menjangkau 76 tahun. Ini bermakna, Cikgu Salmah sudah pun bersara daripada perkhidmatan awam sekitar 21 tahun lamanya.

Cikgu Salmah bukan seorang guru yang berlatarbelakangkan pendidikan khas. Namun atas minat dan rasa tanggungjawabnya terhadap murid-murid cacat penglihatan yang diajarnya, beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk mempelajari Braille dan akhirnya mahir dengan sistem tulisan tersebut. Selain daripada huruf Braille rumi, Cikgu Salmah juga mahir dengan Braille jawi dan Alquran. Kemahiran Cikgu Salmah dalam Braille jawi dan Alquran terserlah bilamana beliau berjaya menyalin secara manual kitab Yasin, tahlil serta pelbagai doa ke dalam Braille untuk dimanfaatkan oleh murid-muridnya seperti saya. Selain itu, Cikgu Salmah juga berjaya menyiapkan kitab berzanji yang lengkap dengan 19 rawi dan doanya sekali. Rasanya tidak mungkin ia dapat dilaksanakan tanpa kemahiran tulisan Braille yang tinggi yang dikuasainya.

Maka itulah, setiap kali saya ke JB dan bbila ada kesempatan, saya akan menziarahi beliau. Setiap kali saya menziarahi Cikgu Salmah, saya pasti akan terharu. Layanan mesranya kepada saya masih sama seperti semasa saya di sekolah rendah dahulu. Setiap kali saya beritahunya yang saya akan datang untuk menziarahi beliau, pasti Cikgu Salmah akan membuat persediaan makan minum walaupun saya sudah berpesan supaya tidak perlu membuat sebarang persediaan. Sebelum pulang, pasti ada sahaja ole-ole yang dibekalkannya kepada saya.

Bila saya beritahu Cikgu Salmah untuk menziarahinya, beliau akan menunggu sampai saya tiba. Oleh itu, kepada mana-mana bekas anak muridnya yang sudah memberitahu Cikgu Salmah untuk datang menziarahinya, Biar pun hujan, ribut atau halir lintar membelah bumi, usahakanlah juga untuk datang kerana memang sudah menjadi sifat Cikgu Salmah yang akan terus menunggu hingga tetamunya tiba. Demikianlah.

Bersempena dengan hari guru hari ini, saya telah mengirimkan SMS ucapan hari guru antaranya kepada Cikgu Salmah. Berikut adalah SMS jawapan daripada Cikgu Salmah:

”Saya juga terima kasih kpd awak yg selalu ingat saya sekarang saya dah tk kuat jalan guna kerusi ruda ada masa datanglah”

Kepada semua bekas muried Cikgu Salmah, marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan beliau. Jika ada antara kita yang ke JB, ziarahilah beliau. Cikgu Salmah memang menanti kedatangan kita dan merindui kita.


No comments: