Salam Ramadhan 1438 Hijrah
Terlebih dahulu marilah kita sama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah kerana masih memberi peluang kepada kita untuk bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang amat diberkati pada tahun ini. Sebilangan rakan yang mungkin kita kenali yang sama-sama menyambut Ramadhan tahun lepas, kini sudah tiada lagi. Mereka tidak berpeluang lagi menyambut Ramadhan kali ini seperti kita buat selama-lamanya. Mereka sudah mendahului kita bertemu dengan Pencipta sekalian makhluk.
Jika tiada sebarang halangan, insha-Allah umat Islam di Malaysia mungkin akan mula berpuasa hari esok. Namun demikian, pengumuman rasmi permulaan tarikh 1 Ramadhan akan dibuat oleh Penyimpan Besar Mohor Raja-raja Melayu.
(Klik di sini untuk menonton bacaan niat puasa)
Mudah-mudahan Ramadhan kali ini akan merupakan Ramadhan terbaik untuk kita dan akan lebih baik daripada Ramadhan yang lalu. Justeru, marilah kita sama-sama rebut peluang yang masih terbuka untuk kita bagi melaksanakan segala yang terbaik dalam pelbagai aspek. Tiada siapa pun yang pasti sama ada Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terakhir atau sebaliknya.
Sewaktu saya di sekolah rendah dahulu, bila tiba bulan Ramadhan, maka akan berkumandanglah sebuah lagu yang berkaitan dengan bulan Ramadhan di corong radio. Jadi tatkala sudah meniti usia sebegini, bila lagu berkenaan dikumandangkan, saya pasti akan teringat suasana bulan Ramadhan zaman semasa saya kecil dahulu.
Klik di sini untuk mendengar lagu Ramadan oleh El-Suraya
Kepada seluruh umat Islam, saya ucapkan selamat berpuasa. Semoga segala amalan kita khasnya dalam bulan Ramadhan kali ini semuanya diterima oleh Allah tanpa ditolak walau satu pun.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment