Sunday, March 13, 2011

Maklumat Lanjut Sesi Demo Panel E-Braille Quran Di Terengganu

Sebagaimana yang telah saya maklumkan menerusi blog ini pada 1 Mac lalu, satu lagi sesi demo penggunaan Panel E-Braille quran Teaching Aid akan diadakan di Terengganu. Sebagaimana biasa juga, sesi kali ini akan dianjurkan oleh pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Persatuan Orang-orang
Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Sesi kali ini akan berlangsung di bilik Gamelan 4, Hotel Premula, Kuala Terengganu. Ia akan berlangsung pada 14 dan 15 Mac (Isnin dan Selasa) 2011.



Pada 14 Mac 2011 (Isnin), di sebelah paginya, pasukan penyelidik akan dibawa melawat ke pejabat PERTIS Terengganu. Dalam lawatan itu nanti, pasukan penyelidik akan didedahkan dengan perjalanan kelas pengajian Alquran Braille khususnya di Terengganu. Bagi saya, pendedahan ini penting terutamanya kepada pasukan penyelidik. Manakala di sebelah petangnya pula, sesi demo akan diadakan khusus buat para jemputan khas.

Pada 15 Mac (Selasa) 2011 pula, sesi demo akan diteruskan lagi di Hotel Premula. Terdapat dua sesi yang akan dijalankan pada tarikh berkenaan. Sesi pertama akan bermula pada jam 9.00 pagi hingga jam 11.00 pagi. Manakala sesi kedua pula akan bermula pada jam 2.30 petang dan akan berakhir pada jam 4.30 petang. Kedua-dua sesi ini dibuka untuk tontonan awam.

Dengan ini, kepada seluruh ahli PERTIS Terengganu, bukan ahli PERTIS, mereka yang berpenglihatan dan mereka yang berminat dipersilakan untuk melihat sendiri panel E-Braille Quran Teaching Aid yang telah dihasilkan oleh pasukan penyelidik tempatan. Saya turut dimaklumkan, lebih banyak panel akan diketengahkan dan beberapa ciri terkini (penambahbaikan) juga akan dapat dilihat.

Kita jumpa di sana nanti!

Salam dari Kuantan.

Mengunjungi Bekas Anak Murid Di UM



Pada 11 Mac (Jumaat) lalu, saya sekeluarga telah ke Universiti Malaya (UM). Sudah lama juga saya tidak masuk ke UM. Tujuan saya ke UM kali ini ialah untuk bertemu dengan Noraishah Aziz, salah seorang bekas anak murid saya. Beliau baru di tahun pertama. Lebih kurang sebulan lalu, Noraishah ada menghubungi saya menerusi telefon untuk mendapatkan bahan bagi tujuan menyiapkan tugasannya. Kebetulan bahan yang beliau perlukan memang ada dalam simpanan saya. Apakan daya, oleh kerana masa yang seringkali padat, maka setelah sebulan baru saya dapat menemuinya di UM.



Setelah saya sekeluarga tiba di UM, kami terus membawa Noraishah dan rakannya (Siti Atikah) ke kafetaria kepunyaan Abang Sahor di Asrama Ketiga. Kepada rakan-rakan dan pengunjung blog ini yang pernah menuntut di UM tentu masih ingat dengan kafetaria berkenaan. Saya rasa, Abang Sahor telah pun bertapak dan mengendalikan kafetaria ini semenjak sebelum saya menjejakkan kaki ke UM lagi. Sehingga hari ini beliau masih mampu bertahan.



Kepada pengunjung kafetaria yang cacat penglihatan pula, sudah tentu kafetaria Abang Sahor tak mungkin luput daripada ingatan. Ini kerana layanan yang diberikan oleh Abang Sahor sangat memuaskan dan sungguh mesra, dulu kini dan insha-Allah akan selama-lamanya. Sewaktu saya tiba di kafetarianya, kebetulan Abang Sahor juga ada. Wah! Bukan main lagi mesra Abang Sahor menyambut kami. Noraishah juga turut mengakui bahawa layanan yang diberikan setiap kali beliau dan rakan-rakannya mengunjungi kafetaria Abang Sahor memang amat memuaskan. Ini bermakna tahap kemesraan Abang Sahor dengan golongan seperti kami tidak pernah berubah dari dulu lagi. Terima kasih banyak-banyak kepada Abang Sahor. Insha-Allah bertambah-tambah barakah kehidupan Abang Sahor.



Setiap kali saya berkunjung ke kafetarianya, Abang Sahor akan bertanyakan khabar beberapa orang bekas penuntut UM yang cacat penglihatan yang masih beliau ingati. Antaranya termasuklah Pett (Cikgu Shafiee), Mohd Nor Don, Kalam (Ustaz Kalam), Jais (Cikgu Jais), Zamzuri serta beberapa nama lain lagi. Nama-nama yang beliau ingati merupakan mereka yang cacat penglihatan dan pernah menuntut di UM sejak lebih 20 tahun lalu.



Setelah selesai menjamu selera, kami bergerak pula ke Asrama Ketujuh (Asrama Za’ba). Di sini barulah saya dapat menyerahkan bahan yang diperlukan kepada Noraishah. Oleh kerana bahan berkenaan dalam bentuk soft copy, maka kami terpaksa mencari tempat yang sesuai untuk dipindahkan ke komputer (netbook) Noraishah.



Sebagai salah seorang guru yang pernah mendidik Noraishah, sudah tentulah saya merasa amat bersyukur apabila melihat beliau dapat mendaki hingga ke menara gading. Memang pun Noraishah merupakan seorang murid yang pandai, rajin dan kadangkala banyak cakap. Riuhnya masih tak berubah lagi. Kepada Noraishah diucapkan selamat berjaya.

Sesungguhnya kampus UM banyak meninggalkan kenangan buat saya. Saya bukan sahaja sekadar mendapat ijazah di sini, bahkan banyak pengalaman lain yang dapat saya timba ketika menuntut di universiti ini. Kehidupan berumah tangga saya juga mula berputik ketika saya di tahun akhir di UM.

Salam dari Kuantan.

Friday, March 11, 2011

Si Bodoh Di Lapangan Terbang Kota Bharu

Semalam (10 Mac), saya telah menggunakan penerbangan Air Asia untuk kembali semula ke KL selepas menghadiri satu mesyuarat di Kota Bharu sejak Isnin lalu. Kalau tak silap, ini kali keenam saya menggunakan perkhidmatan Air Asia. Jadual penerbangan saya ialah pada jam 11.45 pagi. Dari hotel Crown Garden, Cikgu Helmi telah bermurah hati untuk menghantar saya dan Cikgu Azlan ke lapangan terbang Kota Bharu. Terima kasih daun keladi diucapkan kepada Cikgu Helmi. Setibanya kami, Cikgu Azlan terus membawa saya ke kaunter Air Asia. Setelah itu, Cikgu Azlan telah meninggalkan saya di kaunter kerana beliau harus menguruskan penerbangannya pula yang dijadualkan 15 minit lebih awal daripada jadual penerbangan saya. Terima kasih banyak-banyak kepada Cikgu Azlan.

Sewaktu saya hendak mendaftar masuk, seorang kakitangan di kaunter bertanya kepada saya, “Encik seorang sahaja ke?” Saya jawab, “Ya, seorang saja.” Lalu kakitangan berkenaan berkata pula kepada saya, “Sebenarnya kami tidak menyediakan bantuan kepada penumpang (buta) seperti encik. Encik kena ada orang lain untuk bantu encik.” Saya berkata pula, “Tapi semasa saya menempah tiket, saya diberitahu bahawa saya boleh mendapatkan bantuan dengan bayaran sebanyak RM12.00 sehala dan saya bersetuju untuk membayarnya.”

Lalu saya menunjukkan butiran tempahan yang saya telah cetak. Sebenarnya saya telah membuat tempahan menerusi telefon (premier line) dan butiran tempahan berkenaan telah diemailkan kepada saya. Saya telah mencetak butiran yang telah diemailkan kepada saya untuk sebarang keperluan. Semasa membuat tempahan, saya telah memaklumkan kepada kakitangan yang berkaitan bahawa saya cacat penglihatan dan mungkin akan memerlukan bantuan sama ada di LCCT ataupun di Kota Bharu. Pada cetakan tersebut juga tertera “Meet and asist”.

Saya menunjukkan kepada kakitangan berkenaan butiran tempahan berkenaan serta frasa sebagaimana yang tertera di atas. Lalu kakitangan berkenaan berkata, “Ini hanya untuk pengguna kerusi roda sahaja. Orang macam encik (buta) tidak ada bantuan seperti ini.” Saya memberitahu kakitangan terseut, "Masa saya buat tempahan, semua butir diri saya termasuklah kecacatan saya telah dimaklumkan kepada pihak Air Asia dan kata kakitangan berkenaan tiada masalah." Lalu saya bertanya pula, “Jadi, adakah saya harus membatalkan penerbangan saya?” Kakitangan berkenaan berkata, “Itu terpulanglah kepada encik, kami memang tak dapat menyediakan bantuan macam yang encik perlukan. Bantuan hanya kepada pengguna kerusi roda sahaja.” Untuk menyelesaikan masalah yang sepatutnya bukan masalah itu, saya pun mencadangkan kepada kakitangan berkenaan, “Macam ni lah, apa kata kalau saya dianggap pengguna kerusi roda, tak apalah, saya akan duduk atas kerusi roda dan kakitangan encik boleh tolak saya, boleh tak?” Kakitangan berkenaan menjawab, “Tak boleh kerana encik bukan pengguna kerusi roda.”

Saya mula naik angin. Bukannya apa, saya tidak mahu kerana kebodohan orang lain, saya pula yang akan terlepas penerbangan. Lalu saya berhujah dan kali ini dengan suara yang agak tinggi sedikit, “Tapi masa saya buat tempahan kelmarin, kakitangan yang menguruskan tempahan saya memberitahu tiada masalah. Lagi pun, ini bukan kali pertama saya gunakan perkhidmatan Air Asia. Masa saya di KL dan di Kota Bharu Isnin lalu, tiada masalah pun! Mengapa kali ini pula ada masalah. Ke, encik ni yang buat masalah?” Agaknya, “pertengkaran” kami turut mendapat perhatian kakitangan Air Asia yang lain. Mungkin ada di antara mereka tidak mahu melihat drama berkenaan terus berpanjangan dan di khalayak ramai pula, maka salah seorang kakitangan lain terus menghampiri kami berdua dan terus menawarkan diri untuk membantu saya. Saya lega.

Semasa kakitangan yang baik hati itu memimpin saya ke tempat duduk, beliau meminta berbanyak-banyak maaf. Katanya lagi, kakitangan tadi memang macam itu, tidak ada pertimbangan langsung.

Akhirnya, saya dapat juga naik kapal terbang yang telah dijadualkan. Semasa hendak ke kapal terbang, saya telah ditolak dengan kerusi roda. Berdasarkan SMS-nya, rupa-rupanya Cikgu Azlan ternampak saya ditolak dengan kerusi roda. Kakitangan Air Asia yang lain telah memberikan layanan dan bantuan yang cukup baik kepada saya sepanjang di lapangan terbang Kota Bharu. Mungkin sudah ditakdirkan, sekali-sekala saya dipertemukan juga dengan orang bodoh macam kakitangan yang tidak ada pertimbangan tadi. Alhamdulillah, sekitar jam 12.30 tengah hari, Kapal terbang yang saya naiki telah selamat mendarat di LCCT. Semasa di LCCT, saya tiada masalah langsung untuk mendapatkan bantuan. Walaupun saya seorang diri, saya telah selamat tiba di rumah dengan pertolongan orang yang baik hati di sekitar saya. Alhamdulillah ....

Kepada rakan-rakan senasib, Pengalaman saya yang secebis ini merupakan lumrah dalam kehidupan. Bukan semua orang akan memahami kita dan tidak semua orang akan menyisihkan kita. Oleh itu, kita mesti tabah, cekal, kental dan jangan cepat mengalah bila berhadapan dengan segelintir orang bodoh macam yang saya temui di lapangan terbang Kota Bharu semalam. Kita juga harus sentiasa bersyukur banyak-banyak kerana di sekeliling kita masih ramai lagi orang yang baik hati, berpertimbangan dan memahami keperluan asasi orang seperti kita. Adakalanya kita harus kental dalam mempertahankan hak kita. Kita jadi begini kerana takdir dan redha adalah ubat yang paling mujarab dalam mengharungi apa yang telah ditakdirkan untuk kita. Tetapi, redha bukan bermakna mengalah! Pengalaman yang tak seberapa ini saya kongsikan agar sedikit sebanyak kita beroleh manfaat daripadanya, insha-Allah.

Hoi si bodoh, saya tahu siapa nama anda!

Tuesday, March 8, 2011

Imbasan Politik

Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau sudah dua hari berlalu. Umum sudah ketahui, Barisan Nasional (BN) telah mencapai kejayaan lebih baik di kedua-dua DUN berkenaan. Manakala PAS pula telah mencatatkan rekod kekalahan kali keempat dan kelima berturut-turut. Seperti yang telah diduga, media kerajaan terutamanya siaran TV seakan belum puas merayakan kemenangan tersebut. Seolah-olahnya mereka telah beroleh kejayaan mutlak dan tidak akan kalah-kalah lagi buat selama-lamanya. Seolah-olahnya begitulah.

Dalam coretan saya pada hujung Januari lalu, saya ada menyentuh sedikit mengenai situasi di DUN Merlimau. Saya sudah katakan, kalau orang Johor darahnya cap keris, orang di Merlimau pula darahnya cap taming sari. Keputusan pilihanraya kecil di Merlimau menjelaskan bahawa apa yang saya katakan tidak bersalahan sama sekali. Lagipun, sebilangan pengundi di DUN berkenaan bukannya orang lain, waris-wara saya juga.

Situasi di DUN Kerdau bagi saya hampir serupa juga. Salah seorang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang dari PAS yang sempat saya hubungi sehari sebelum penamaan calon turut mengakui bahawa untuk menang di DUN berkenaan memang tipis. Berdasarkan keputusan pilihanraya kecil di DUN berkenaan, ternyata apa yang dinyatakan oleh ADUN berkenaan betul. Pada hemat saya, para pemimpin PAS peringkat tinggi juga sudah maklum bahawa harapan untuk menang di kedua-dua DUN berkenaan tidaklah secerah mana.

Persoalan yang paling menghairankan saya ialah mengapakah PAS masih menyertai kedua-dua pilihanraya kecil berkenaan? Di atas kertas, harapan untuk PAS menang di kedua-dua DUN berkenaan memang tipis. Bukankah salah seorang pemimpin tinggi PAS pernah mengutarakan saranan agar mana-mana kawasan pilihanraya yang kosong, maka kekosongan itu biarlah diisi oleh calon daripada parti politik yang telah mewakili kawasan pilihanraya berkenaan selepas pilihanraya umum sebelumnya? Saranan sedemikian agak kuat diperdengarkan semasa pilihanraya kecil DUN Galas hujung tahun lalu. Oleh kerana DUN Merlimau dan Kerdau telah dimenangi oleh calon BN dalam pilihanraya umum lalu, bila kedua-dua kerusi berkenaan kosong, mengapa PAS tidak mendahului saranannya sendiri dengan memberikan laluan kepada calon-calon yang mewakili BN untuk terus mewakili kedua-dua kawasan berkenaan sehingga pilihanraya umum yang akan datang? Adakah ini yang dikatakan orang, cakap tak serupa bikin?

Ada yang berpendapat, walaupun akan kalah, PAS harus memberikan tentangan kepada BN di kedua-dua kawasan DUN berkenaan agar tidak dikatakan bacol oleh pihak lawan. Benarkah persepsi sedemikian? Tentu kita masih ingat dalam pilihanraya kecil DUN Penanti (kalau saya tak silap) di Pulau Pinang, BN tidak menyertainya. Antara alasan BN ialah pilihanraya kecil berkenaan diadakan hanya sekadar untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR di Pulau pinang sahaja. BN tidak pernah merasa bacol dengan keputusannya. Janggal benar apabila sebuah parti politik terbesar dan ternama seperti BN tidak menyertai mana-mana pilihanraya kecil, tetapi itulah yang pernah berlaku hampir 2 tahun lalu. Bagi saya, biarlah orang mengatakan bacol, daripada dicap sebagai rakus!

Ada juga yang berpendapat, penyertaan PAS dalam kedua-dua pilihanraya berkenaan lebih merupakan salah satu cara untuk berdakwah. Sebenarnya tanpa pilihanraya kecil pun PAS boleh berdakwah. Selama ini pun, PAS sudah biasa menganjurkan ceramah-ceramah politik walaupun di luar musimm pilihanraya kecil. Tidakkah cara itu juga boleh dianggap “berdakwah”? Bagi saya, tidak salah jika disimpulkan bahawa penyertaan PAS dalam kedua-dua pilihanraya kecil baru-baru ini lebih kepada untuk memenangi kerusi daripada medan untuk berdakwah.

Sejak dari awal lagi, BN sudah begitu yakin akan dapat mempertahankan kedua-dua kerusi dalam pilihanraya kecil baru-baru ini. Setelah keputusan rasmi diumumkan, ternyata keyakinan BN selama ini tidak sia-sia. Kemenangan yang diraih amat bergaya. Bahkan ia merupakan modal yang cukup berharga unttuk terus mendabik dada dan dijadikan bahan jajaan politik ke seluruh pelusuk negara.

Kemenangan lebih besar yang diraih dalam kedua-dua pilihanraya kecil berkenaan memberi peluang yang cukup luas bagi BN membuktikan kepada orang ramai bahawa sokongan khasnya orang Melayuterhadapnya semakin bertambah. Selanjutnya, BN terus mewar-warkan bahawa usaha transformasi yang dilakukan selama ini berkesan dan mendapat sokongan padu daripada segenap lapisan rakyat. Dari satu sudut, BN berhak untuk membuat dakwaan sedemikian kerana telah diberikan ruang yang luas oleh pihak lawan.

Dengan kemenangan yang dicapai, maka ada kemungkinan pilihanraya umum selanjutnya akan diadakan dalam tempoh terdekat. Kalaupun tidak pada tahun ini, kemungkinan besar ia akan diadakan pada tahun hadapan. Sudah tentu BN tidak akan melepaskan kesempatan yang ada dalam situasi yang semakin berpihak kepadanya untuk mengadakan pilihanraya umum secepat mungkin bagi melepaskan diri daripada badi hilang majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum tahun 2008 lalu.

Sesungguhnya setiap yang berlaku ada sebab dan hikmahnya. Jika PAS gagal mengambil iktibar daripada lima kekalahan berturut-turut yang dialaminya, maka parti berkenaan akan dihukum dengan mengalaminya untuk ke sekian kalinya lagi.

Jika siri pilihanraya kecil dimulakan dengan kemenangan manis PAS di kerusi parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun 2009 lalu, tetapi kekalahan PAS sebanyak lima kali berturut-turut dalam lima pilihanraya kecil yang terakhir menyebabkan kenangan manis berkenaan menjadi kian pahit. Agaknya inilah yang dikatakan orang, manis dipangkal, pahit di hujung.

Saya sekadar memerhati politik dari jauh sahaja.

Salam dari Kota Bharu.

Monday, March 7, 2011

Coretan Petang

Tengah hari tadi, sewaktu saya sedang menanti penerbangan ke Kota Bharu, telinga saya dapat menangkap luahan atau munngkin juga keluhan daripada seorang wanita. Kebetulan pula, saya Cuma seorang. Mungkin oleh kerana tiada rakan untuk berbual, maka telinga saya terus fokus kepada keluhan wanita berkenaan. Saya rasa, wanita berkenaan meluahkan keluhannya menerusi telefon bimbitnya.

Secara ringkasnya, wanita berkenaan bercerita (kepada rakannya menerusi telefon) cermin matanya pecah kerana kecuaian seseorang yang ingin membantu beliau. Katanya lagi, beliau telah meletakkan cermin matanya di atas beg pakaiannya. Tiba-tiba ada seseorang yang ingin membantu beliau tetapi tidak perasan akan cermin matanya. Wanita berkenaan pula tidak menyangka orang berkenaan ingin mengangkat beg pakaiannya. Manakala orang berkenaan pula tidak ternampak cermin mata berkenaan kerana katanya cermin mata dan beg pakaian wanita berkenaan warnanya sama. Entah macam mana, ketika orang berkenaan mengangkat beg pakaiannya, cermin matanya terjatuh. Ia pecah mungkin disebabkan terpijak. Saya sendiri tidak pasti di mana kejadian malang itu berlakku. Daripada jalan ceritanya, mungkin ia berlaku di sebuah hotel.

Apa yang meresahkan wanita berkenaan ialah harga cermin matanya melebihi seribu ringgit. Sedangkan orang berkenaan hanya mampu bayar sekitar 200 ringgit sahaja. Apa yang lebih meresahkan wanita berkenaan ialah oleh kerana cermin matanya sudah pecah maka ia sedikit sebanyak akan mengganggu kehidupan sehariannya kerana untuk memperolehi cermin mata yang sama tentunya akan memakan masa juga. Itu baru pecah cermin mata, belum lagi pecah mata.

Mungkin kerana masih kecewa, wanita berkenaan terus bercerita kepada rakannya secara berulang, hanya dialognya sahaja ada yang kurang dan ada yang tambah. Demikianlah kalau sudah kecewa.

Saya penuh yakin wanita berkenaan sama sekali tidak perasan perbualannya menjadi tumpuan saya. Apatah lagi mata saya langsung tidak menghadap beliau. Hanya telinga saya sahaja yang tetap fokus kepada celoteh beliau.

Mungkin niat orang tadi memang baik, iaitu hendak menolong wanita tadi. Apakan daya kerana malang memang tidak berbau. Menurut wanita yang kuat celoteh itu, 200 ringgit yang dibayar oleh orang berkenaan dipinjam daripada rakan-rakannya.

Di sini, saya bukanlah hendak bertindak sebagai hakim di antara wanita berkenaan dengan orang yang beliau maksudkan. Tatkala mendengar celoteh wanita berkenaan, sekonyong-konyong saya teringat kepada pesan orang tua-tua, katanya, “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”. Maknanya, kalau hendak berbuat baik, janganlah kebaikan itu sampai menyusahkan diri sendiri. Lagi satu, bila kita buat baik jangan sampai ada orang lain yang ambil peluang sampai memijak kepala kita pula. Maklumlah pada zaman ini sebilangan orang bukan lagi menghargai kebaikan orang lain, tetapi akan mengambil kesempatan untuk kepentingan dirinya pula.

Sebenarnya, bila sebut sahaja kebaikan, maka macam-macam perkara baik boleh kita lakukan. Berprasangka baik kepada orang lain adalah kebaikan; tidak menyusahkan orang lain adalah kebaikan; tidak melakukan perkara jahat kepada orang lain juga satu kebaikan; tidak mencuri soft copy kepunyaan orang lain juga satu kebaikan. Ingatlah, kalau hendak berbuat baik, biarlah berpada-pada.

Salam dari Kota Bharu.

Sunday, March 6, 2011

Selamat Menerima Menantu Kepada En. Jamil





Semalam (5 Mac), saya sekeluarga telah menghadiri majlis perkahwinan anak kepada En. Jamil. Majlis telah berlangsung di Keramat. Kebetulan pula, sebelumnya saya telah menghadiri satu lagi majlis lain (bukan majlis perkahwinan) tidak jauh dari lokasi majlis perkahwinan anak En. Jamil. Sebab itulah saya merupakan antara tetamu terawal yang tiba di majlis perkahwinan anak En. Jamil.



Kisah En. Jamil secara ringkas pernah saya paparkan menerusi blog ini pada hari persaraan beliau beberapa bulan yang lalu. Walaupun semalam saya agak sibuk dengan harus menghadiri beberapa majlis di lokasi yang berbeza, tetapi undangan oleh En. Jamil tidak harus saya ketepikan. Seingat saya, ini kali kedua saya menghadiri perkahwinan anaknya.

Sekitar jam 11.45 pagi saya sekeluarga tiba di lokasi majlis perkahwinan berkenaan. En. Jamil dan isterinya, Kak Yati telah menyambut kami dengan begitu mesra sekali. Macam adik-beradik lakunya. Tak cukup dengan berjabat salam, kami berpelukan. Demikianlah akrabnya kami dua keluarga.



Selepas saya makan, para tetamu yang terdiri daripada kakitangan dan bekas kakitangan perpustakaan Universiti Malaya (UM) mula tiba. Antara mereka termasuklah En. Tahir, En. Habib, En. Razak dan beberapa orang lagi. Maka riuhlah suasana dibuatnya. Alhamdulillah kerana saya masih mengenali dan tidak lupa pada suara mereka walaupun ada di antara mereka sudah hampir 20 tahun tidak berjumpa. Suara mereka tidak berubah. Dalam kesempatan yang singkat, sempat juga kami berbual dengan menyingkap memori lama. Berderai gelak tawa antara kami.

Walaupun pertemuan begitu singkat, namun ia tetap memberi seribu makna kepada saya. Kemesraan di antara kami masih seperti dahulu juga. Hanya masa sahaja yang tidak mengizinkan untuk kami berbual lebih lama. Sekitar jam 12.30 tengah hari, saya sekeluarga harus meminta diri kerana kami harus bergegas pula ke Nilai untuk urusan yang lain pula.



Sebelum saya meninggalkan majlis, saya telah bertemu pula dengan En. Mansur. Beliau juga merupakan kakitangan perpustakaan di UM. En. Mansur juga merupakan seorang yang sangat baik dengan saya.



Kepada En. Jamil dan Kak Yati, saya ucapkan selamat menerima menantu. Bertambah besarlah keluarga En. Jamil.

Tuesday, March 1, 2011

Satu Lagi Sesi Demo Penggunaan Panel E-Braille Quran

Selepas sesi demo penggunaan panel E-Braille Quran Teaching Aid diadakan di Hotel Legend pada awal bulan lalu, maka satu lagi sesi yang sama bakal dianjurkan. Kali ini, sesi berkenaan akan diadakan pula di Hotel Premula, Kuala Terengganu. Menurut rancangan, sesi tersebut akan diadakan pada pertengahan bulan Mac 2011. Seperti biasa, penganjur sesi ini ialah pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama erat daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Pusat.



Terdapat beberapa sebab mengapa Kuala Terengganu dipilih untuk penganjuran sesi demo kali ini. Antaranya ialah, PERTIS Terengganu merupakan PERTIS peringkat negeri yang paling aktif dalam penganjuran kelas pengajian Alquran Braille. Setakat ini, hampir 40 orang peserta sedang menyertai kelas pengajian Alquran berkenaan. Kelas pengajian berkenaan pula terbahagi kepada 5 tahap berdasarkan kepada kemahiran para pesertanya. Kelas pengajian ini pula diadakan 3 kali seminggu dan 2 jam pada setiap sesi. Selain itu, kelas pengajian Alquran Braille anjurannya pula mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri Terengganu menerusi Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.



Bagi saya, peluang melihat sendiri perjalanan kelas pengajian Alquran Braille di Kuala Terengganu nanti merupakan kesempatan yang amat berharga kepada pasukan penyelidik. Inilah masanya di mana pasukan penyelidik akan didedahkan dengan situasi sebenar bagaimana sesebuah kelas pengajian Alquran Braille dijalankan. Mudah-mudahan, dengan menyaksikan dengan mata kepala sendiri, ia akan dapat mencerna idea tambahan ke arah penambahbaikan ciri-ciri yang ada pada panel itu kelak.

Saya turut dimaklumkan, terdapat beberapa ciri baru yang akan diketengahkan dalam sesi demo di Kuala Terengganu kelak. Ciri-ciri berkenaan sebenarnya merupakan hasil dapatan daripada cadangan-cadangan yang telah dikemukakan semasa sesi demo di Hotel Legend pada awal bulan Februari lalu. Antaranya ialah, dalam sesi demo kali ini bilangan panel akan ditambah. Selain itu, satu ciri menarik yang bakal diketengahkan nanti ialah di mana huruf-huruf Braille yang muncul di atas panel akan bergerak secara silih berganti secara automatik. Ini bermakna, pengguna tidak perlu lagi menukar baris-barisnya secara manual. Saya juga dimaklumkan, terdapat 3 tahap kelajuan pergerakan huruf-huruf Braille pada panel berkenaan, iaitu laju, sederhana dan perlahan. Buat masa ini, saya masih belum berkesempatan untuk merasai sendiri ciri terkini yang terdapat pada panel berkenaan. Insha-Allah, jika tiada aral melintang, saya akan berpeluang untuk merasainya pada hujung minggu ini.

Saya akan memaklumkan jadual terperinci menerusi blog ini mengenai sesi demo yang akan berlangsung di Hotel Premula kelak.

Jika diimbas kembali, secara jujur saya akui, kewujudan panel E-Braille Quran hari ini tidak pernah terfikir oleh saya sebelum ini. Hari ini, dengan kehendak Yang Maha Kuasa, apa yang tak pernah dimimpikan sebelum ini sudah ada di depan mata. Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah akan permudahkan urusan selanjutnya mengenai panel E-Braille Quran ini. Mungkin kejayaan yang akan kita kecapi tidak lama lagi adalah berkat doa kita semua.