Sunday, February 1, 2009

Menungan Malam

Cerita Seorang Doktor

 

            Petang semalam, oleh kerana badan tak berapa sihat, saya dengan ditemani isteri telah ke sebuah klinik di Tangkak.  Kalau saya menghadapi masalah kesihatan ketika di kampung, memang di klinik inilah saya akan kunjungi.  Sudah beberapa tahun begitu.  Saya memang biasa dengan doktor di klinik berkenaan.  Begitu dengan doktor berkenaan, kebiasaannya kami akan berbual sekitar 5 hingga 10 minit setiap kali saya berjumpa dengannya iaitu setelah beliau memeriksa kesihatan saya.  Begitulah kelazimannya.

 

            Beliau merupakan seorang doktor yang baik, peramah dan berpengetahuan luas mengenai hal-hal semasa.  Beliau memperoleh ijazah kedoktorannya dari Qahirah, Mesir.  Isterinya merupakan seorang doktor pergigian dan juga lulusan dari universiti yang sama.  Oleh kerana beliau pernah hidup dan menuntut di Mesir, beliau memang terdedah dengan budaya dan cara hidup bangsa Arab, khususnya orang Mesir.

 

            Setelah selesai memeriksa kesihatan saya, doktor tersebut pun memulakanbual bicara kami.  Beliau terus mengatakan, kalau hendak diambil kira cara dan perangai orang Arab masa kini, maka hampir mustahil mereka boleh mengalahkan orang Yahudi.  Saya tertarik dengan kenyataan beliau.  Lalu terus bertanya, apa kaitannya cara dan perangai orang Arab sekarang dengan usaha untuk mengalahkan bangsa Yahudi?

 

            Beliau meneruskan, orang Mesir menggelar negara mereka sebagai ummud dunia yang bermaksud negara yang merupakan ibu dunia.  Kalimah tersebut membawa erti, negara Mesir merupakan negara terbaik, paling agung, paling mulia dan paling segala-galanya.  Katanya, dengan adanya tanggapan tersebut membuatkan orang Mesir merasakan mereka adalah yang paling mulia dan agung.  Bila tanggapan sedemikian sudah menjadi semacam satu kepercayaan, maka ia sama sekali akan menutup jalan-jalan untuk memperbaiki bangsa sendiri.

 

            Katanya lagi, realitinya, budaya dan cara hidup orang Mesir ada yang bertentangan sekali daripada ajaran Islam.  Ada di antara mereka yang kuat rasuah.  Suka meminta upah walaupun perkhidmatan yang diberi sangat kecil.  Manakala para pemimpinnya pula suka hidup berfoya-foya walaupun negara berada dalam keadaan perang.  Beliau menyimpulkan, sebilangan orang Mesir masih hidup dalam keadaan leka di semua peringkat, dari peringkat marhaen hinggalah ke peringkat aristokrat.

 

            Saya pula menyimpulkan secara fantasinya, orang Mesir menganggap mereka paling agung, mulia dan segala-galanya, tetapi realitinya mereka antara masyarakat yang paling terkebelakang sekali.  Agaknya, inilah yang dikatakan sombong tak bertempat.

 

            Doktor itu meneruskan ceritanya, katanya, baru-baru ini beliau telah ke Syria dan melihat gaya dan perangai yang sama menghiasi masyarakat negara tersebut.  Katanya lagi, beliau hampir ditipu oleh seorang pemandu teksi.  Mereka suka mengenakan tambang yang jauh lebih mahal dari yang sepatutnya.  Mereka leka dengan pelbagai hiburan.  Ada yang suka membazir hanya kerana mereka ada banyak wang.  Katanya lagi, di kebanyakan negara Arab yang dikunjungi, perangai yang sama dapat disaksikan.

 

            Beliau meneruskan, masih ada dalam kalangan bangsa Arab yang baik, mempunyai semangat jihad, mempunyai semangat ukhwah islamiyah yang tinggi dan sebagainya.  Namun begitu, bilangan mereka masih sangat kecil.  Golongan ini pula sering menjadi kumpulan yang dicurigai.

 

            Doktor itu meneruskan, berbeza pula dengan bangsa Yahudi.  Mereka sentiasa mencari peluang untuk mengalahkan umat Arab dan Islam.  Mereka sentiasa mencari jalan dan helah supaya bangsa Arab dan umat Islam tidak punya kekuatan untuk menewaskan bangsa Yahudi.  Untuk itu, bangsa Yahudi sentiasa tampil dengan pelbagai perancangan, strategi dan taktik demi memastikan agar bangsa Arab dan umat Islam sentiasa tersungkur dan tidak akan mampu untuk bangun lagi.

 

            Justeru, katanya lagi, jika kita benar-benar memahami cara dan gaya hidup bangsa Arab hari ini, maka tidak menghairankan bila mana dalam isu Gaza hari ini bangsa Arab dan Umat Islam tidak mampu untuk berbuat apa-apa pun.  Kita hanya mampu melihat saudara seagama diperlakukan sesuka hati oleh orang Yahudi.

 

            Demikianlah cerita doktor tersebut.

 

            Bila diingat kembali cerita doktor tadi, maka saya pula teringat sebuah buku yang bertajuk The Ambasador's Journey yang ditulis oleh seorang diplomat Singapura.  Antaranya, diplomat itu mengisahkan bagaimana sewaktu beliau hendak menghadiri majlis penyerahan watikah sebagai duta di Qahirah, beliau dipaksa untuk memberi upah kepada sekumpulan "penonton" yang akan menghadiri upacara tersebut.  Tugas "penonton" tersebut hanya untuk bertepuk tangan dalam majlis berkenaan.  Diplomat itu turut menggambarkan kehidupan di Mesir sebagai, yang kaya sangat kaya, yang miskin sangat miskin.  Justeru, tidak pelik jika rasuah/upah sudah menjadi amalan biasa di negara tersebut.

 

            Berdasarkan kisah-kisah ringkas tadi, maka tidak hairanlah jika bangsa Arab hari ini dengan mudah diperkotak-katikkan oleh Yahudi.  Antara sesama mereka pun tiada kesatuan dan persefahaman.  Mereka beli senjata dari Amerika Syarikat untuk melawan Yahudi.  Kekayaan yang mereka ada telah melalaikan mereka.  Sifat kesukuan, semangat nasionalisme Arab, sikap bangga yang melampau, memandang rendah kepada bukan Arab dan sebagainya telah melemahkan lagi bangsa Arab itu sendiri.

 

Saturday, January 31, 2009

Sekadar Celoteh

Kasihan YB Murugiah!

 

            Tiba-tiba sahaja saya merasa kasihan dan simpati kepada YB Senator T. Murugiah setelah membaca berita yang bertajuk Murugiah Sedih Disalah Erti yang tersiar melalui Utusan Online hari ini.  Berita tersebut adalah mengenai rasa kecewa senator berkenaan kerana tindakannya hadir di rumah mayat di Serdang tempoh hari untuk urusan yang berkaitan dengan mendiang A. Kugan telahdisalahertikan oleh para pemimpin BN yang lain.

 

            Menurut Senator Murugiah, kehadiran beliau di sana atas kapasiti seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal masyarakat India gagal difahami oleh para pemimpin BN yang lain.  Bagi saya, sepatutnya Senator Murugiah kena bawa sekali surat pelantikan sebagai TimbalanMenteri di Jabatan Perdana Menteri.  Saya rasa tentu dalam surat tersebut ada diterangkan tugas dan tanggungjawab YB selaku seorang timbalan menteri, barulah pemimpin lain akan faham.  Tak kan YB tak tahu, zaman sekarang semua kena bersurat dan didokumenkan!  Kalau sekadar guna lidah dan gigi saha, siapa pun tak akan percaya.

 

            Memang benar kata senator itu, selepas peristiwa di rumah mayat tersebut, beliau telah menerima pelbagai kritikan.  Ada menteri yang mengatakan beliau boleh diambil tindakan undang-undang kerana sesiapa pun tidak boleh mengatasi undang-undang.  Dalam hal ini, terdetik juga pertanyaan dalam hati ini, apakah seorang yang bertaraf timbalan menteri tak ada sedikit keistimewaan pun?  Apatah lagi kehadiran beliau katanya untuk memastikan agar para pengunjung lain di rumah mayat itu tidak emosional.  Nampaknya hasrat Murugiah untuk menjadi wira bukan sahaja tidak kesampaian, bahkan dikutuk pula oleh rakan-rakan se-BN.  Kasihan!  Kasihan!

 

            Dalam hal ini, saya suka mengingatkan kepada YB Senator Murugiah supaya banyak-banyak bersabar.  Kalau nak jadi wira, itulah antara dugaan dan cabaran yang mesti ditempuh.  Saya rasa, lain kali, kalau nak bertindak seperti itu, kena pandang kanan dan pandang kiri dahulu, kena ambil restu dahulu, baru buka langkah.  Lagipun, YB Senator kena faham, mereka yang mengkritik YB tu sekarang sedang pening kepala dengan pelbagai keserabutan yang sedang melanda UMNO sekarang!

 

Bicara Antarabangsa

Syabas Erdogan

 

            Hari ini, akhbar-akhbar perdana melaporkan peristiwa pertikaman lidah antara Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan presiden Israel, Shimon Peras.  Pertikaman lidah tersebut berlaku di persidangan ekonomi dunia (WEF) yang sedang berlangsung di Davos, Switzerland.  Tindakan Erdogan tidak terhenti setakat itu sahaja.  Apabila pengerusi persidangan tidak memberi beliau peruntukan masa yang sama sebagaimana yang telah diberikan kepada presiden Israel dari segi masa berucap (masa yang diberi kepada Erdogan dikatakan 50% kurang daripada masa yang telah diberikan kepada presiden Israel), Erdogan telah bertindak meninggalkan persidangan dan terus pulang ke Istanbol.  Perbuatan Erdogan disaksikan oleh Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu dan Setiausaha Agung Liga Arab.  Persidangan berkenaan juga turut dihadiri oleh ramai tokoh politik, ahli perniagaan serta ahli-ahli akademik.

 

            Dalam ucapannya,Erdogan telah menyelar tindakan Israel yang menyerang dan membunuh ribuan umat Islam dan rakyat Palestin di Gaza.  Beliau juga turut menyelar Peres yang cuba menegakkan benang basah dalam peristiwa serangan Israel ke Gaza.  Erdogan juga menyelar sikap peserta persidangan yang memberi tepukan gemuruh kepada ucapan Peres, seolah-olah merestui apa yang telah dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin dan Gaza.  Sudah tentulah tindakan Erdogan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan perwakilan dari negara-negara Barat dan Israel.  Kebetulan, pengerusi persidangan ketika itu seorang rakyat Amerika Syarikat.  Justeru, tidak hairanlah jika Erdogan tidak dilayan secara adil dalam persidangan tersebut.  Seperkara yang perlu kita ingat ialah, Turki merupakan antara segelintir negara Islam yang masih mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. 

 

            Bagi saya, tindakan Erdogan merupakan satu tindakan yang berani.  Keberanian beliau semakin terserlah kerana Erdogan ialah seorang bangsa Turki dan bukannya Arab.  Walhal Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Musa (rakyat Mesir) turut hadir dan langsung tidak berbuat apa-apa untuk menyuarakan sesuatu bagi pihak bangsa Arab secara keseluruhannya atau bagi rakyat Palestin secara khususnya.  Inilah realiti kerapuhan bangsa Arab dan umat Islam masa kini.  Saya pun kurang faham, entah apa yang ditakutkan oleh amr Musa.  Sepatutnya, apabila Erdogan meninggalkan majlis, Amr Musa dan seluruh perwakilan dan peserta beragama Islam harus melakukan perkara yang sama, setidak-tidaknya sebagai sokongan moral kepada Erdogan.  Nampaknya Erdogan keseorangan!

 

            Setibanya di Istanbol, Erdogan telah diberi sambutan selaku wira negara.  Bendera Turki dan Palestin dikibarkan secara sebelah-menyebelah tanda kukuhnya kesatuan persaudaraan antara bangsa Turki dengan rakyat Palestin yang berbangsa Arab.  Keutuhan rasa persaudaraan antara mereka adalah berkat siraman perasaan ukhwah islamiyah yang mendalam.  Demikianlah.

 

            Dalam realiti kelemahan umat Islam dan negara Islam, keberanian Erdogan seharusnya dipuji dan patut juga dicontohi.  Tindakan Erdogan meninggalkan persidangan sebelum waktunya bukanlah suatu tindakan yang biadab.  Beliau mungkin telah melanggar protokol, tetapi bukan melanggar dan memusnahkan negeri orang.  Walaupun beliau telah meninggalkan persidangan, itu tidak bermakna beliau telah meninggalkan perjuangan.  Keberanian yang telah ditunjukkan oleh Erdogan mungkin telah membuatkan dunia Barat tersentak.  Ini kerana Turki merupakan antara negara Islam yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Amerika Syarikat dan Barat.  Untuk pengetahuan bersama, Turki juga merupakan negara anggota Perjanjian Atlantik Utara (NATO).  Justeru, tidak hairanlah jika pangkalan tentera Amerika Syarikat masih ada di bumi Turki.

 

Syabas Erdogan!

 

Bicara Politik

Isu Lompat Parti: Sekadar Satu Singkapan Semalam

 

            Awal minggu ini, politik negara sedikit tersentak apabila ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dato' Nasaruddin Hashim, mengumumkan keluar dari UMNO/BN dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).  Dari sudut perundangan, perbuatan Dato' Nasaruddin tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedia ada.  Dari sudut etika politik pula, ia amat subjektif sekali.  Bagi pihak yang mendapat habuan keuntungan politik dari tindakan tersebut, ia sudah tentu dikatakan tidak melanggar etika.  Manakala bagi pihak yang menerima kerugian politik, sudah tentulah apa yang dilakukan oleh ADUN Bota itu digambarkansebagai tidak beretika, tidak bermoral dan macam-macam lagi!

 

            Dalam politik negara kita, isu lompat parti bukanlah suatu perkara baru.  Sekitar tahun 1961, kerajaan PAS Terengganu tumbang akibat daripada perbuatan lompat parti.  Pada dekad 70-an, Chan Teik Chan, ahli parlimen Kota Melaka telah melompat dari DAP ke MCA/BN.  Pada tahun 1994, kerajaan PBS Sabah juga telah ditumbangkan menerusi peristiwa lompat parti oleh beberapa orang ADUNnya ke BN.  Pada awal dekad 90-an juga, Wan Najib Wan Muhamad dan Haji Nordin Salleh, iaitu 2 ADUN Kelantan telah melompat dari parti Angkatan Perpaduan Ummah ke UMNO/BN.  Beberapa tahun lalu, 2 ADUN Negeri Sembilan dari DAP juga telah melompat ke BN.  Bahkan, pada awal dekad 70-an juga, Gerakan dan PAS secara berjemaah (the whole party) telah melompat daripada pembangkang kepada BN.  Masih segar dalam ingatan saya beberapa bulan lepas, puak BN amat mengharapkan agar PAS melompat dari Pakatan Rakyat kepada BN.

 

            Seingat saya, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan PAS di Kelantan pernah cuba meluluskan undang-undang antilompat parti di peringkat negeri masing-masing, tetapi pelaksanannya terhalang kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.  Siapakah yang menjadi penghalang pada ketika itu?  Sudah tentulah kerajaan yang diterajui oleh BN di peringkat Persekutuan.  Mengapa BN menghalang usaha untuk mewujudkan undang-undang antilompat parti ketika itu?  Kerana hampir kesemua peristiwa lompat parti ketika itu menguntungkan BN.  Justeru, mereka yang melompat dari lain-lain parti ke BN, tidak dipersoalkan etika dan moral politik mereka, bahkan mereka dianggap wira pula.

 

            Apa yang berlaku hari ini tak ubah umpama senjata makan tuan.  Hari ini, BN mula mempersoalkan tindakan lompat parti.  Bagi sesetengah pemimpin BN, mereka yang melompat parti dianggap tidak beretika, tidak mempunyai moral politik dan golongan pelompat itu diminta mengosongkan pula kerusi berkenaan bagi membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan.  Selagi lompat parti masih halal di sisi perlembagaan, maka semua perkara di atas tidak perlu dan tidak relevan!

 

            Mengapa sekarang BN baru mempersoalkan kredibiliti, etika dan moral golongan pelompat parti?  Agaknya, inilah yang dikatakan politik berkepentingan.  Saya amat bersetuju dengan kenyataan Datuk V. K. Liew, presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang juga merupakan TimbalanMenteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, pada 29 Januari lalu yang antara lain mengatakan pada masa ini sukar bagi kerajaan BN untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkenalkan satu undang-undang untuk menghalang lompat parti.  Ini adalah kerana kerajaan BN di peringkat Persekutuan hari ini tidak lagi menguasai dua pertiga dalam Dewan Rakyat, satu jumlah yang diperlukan untuk meminda mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan dengan mudah.  Mungkin, inilah yang dikatakan nasi sudah menjadi bubur.  Para pemimpin BN khususnya UMNO yang mula menyuarakan betapa perlunya satu undang-undang antilompat parti diperkenalkan, sepatutnya membuka helaian lembaran sejarah semalam agar mereka benar-benar mengetahui dan menyedari hakikat sebenar apa yang disuarakan mengenai lompat parti.

 

            Cara serta gaya UMNO dan BN dalam menangani isu lompat parti menampakkan betapa mereka gagal untuk melihat kesan sesuatu tindakan secara jangka panjang.  Pada bulan Mac 2008 yang lalu, iaitu sekitar seminggu selepas PRU 12, YAB Perdana Menteri yang juga presiden UMNO merasa yakin tidak ada ahli BN yang akan melompat parti.  Pada bulan Septermber lalu, Dr. Maximus Ongkili juga melahirkan keyakinan yang sama.  Nah, sekarang apa sudah jadi!  Sekiranya pada masa lalu mereka tidak terlalu bersifat politik berkepentingan dan menerima undang-undang antilompat parti yang pernah dicadangkan oleh PAS dan PBS, maka saya kira ketidakstabilan yang melanda UMNO hari ini mungkin dapat dielakkan.

 

            Sama ada suka atau tidak, UMNO harus menerima hakikat iaitu parti tersebut semakin tidak stabil.  Walau bagaimanapun, saya masih optimis keadaan yang sedia ada masih boleh diperbaiki dan dipulihkan dengan syarat usaha tersebut hendaklah dilakukan secara ikhlas, bersungguh-sungguh dan jangan memilih bulu.  UMNO juga hendaklah belajar untuk memahami dan mendengar rintihan golongan marhaen secara terus, tulus dan tidak bermusim.  UMNO juga hendaklah menghapuskan golongan pengampu kerana mereka merupakan duri dalam daging.  Sekiranya ketidakstabilan dalam UMNO gagal dipulihkan, saya khuatir dalam masa yang terdekat UMNO hanya mampu berbangga dengan sejarahnya sahaja.

 

Salam dari Melaka.

 

Thursday, January 29, 2009

Kisah Dan Teladan

Masjid Oh Masjid

 

            Isnin lalu, ketika saya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan, saya singgah di sebuah masjid.  Selain dari ingin menunaikan kewajipan sebagai umat Islam, tujuan saya dan keluarga singgah juga adalah untuk memenuhi tuntutan hajat semula jadi.  Alangkah mendukacitakan apabila keperluan tuntutan hajat itu gagal saya penuhi.  Kegagalan itu adalah kerana persekitaran tempat saya sepatutnya menyempurnakan hajat itu amat tidak mesra pengguna.  Secara tiba-tiba dan tanpa dipaksa terbantut semuanya!  Rupa-rupanya ahli keluarga saya yang lain juga turut mengalami situasi yang sama walaupun di ruang yang berbeza.  Rumusanya, memang di masjid berkenaan tempat untuk menyempernakan hajat semula jadi sedemikian sememangnya tidak mesra pengguna.

 

            Di ruang yang saya singgahi, memang ia menimbulkan bau yang sungguh kurang menyenangkan.  Saya yang "begini" pun tersangat mampu untuk mengesannya!  Manakala ahli keluarga saya yang lain pula memberitahu, di ruang tempat mereka singgah, airnya bertakung.  Baunya menyesakkan hidung.  Beberapa ketulan kelihatan terapung-apung.  Akhirnya, hasrat untuk menyempurnakan hajat dan bersolat di situ terpaksa dibatalkan.  Kami terpaksa mencari tempat yang lain nampaknya.

 

            Di sebuah masjid lain pula, sebuah lagi kenderaan yang membawa ahli keluarga saya juga telah singgah dan ingin melakukan hal dan tujuan yang sama.  Harap-harapnya di sini semuanya akan sempurna.  Lagipun masjid berkenaan merupakan antara masjid terkenal dan menjadi tumpuan pelancong pula.  Malangnya perkara yang hampir serupa juga terjadi.  Sungguh mengecewakan!

 

            Kisah ini saya paparkan kerana ini bukan kali pertama saya sekeluarga mengalami perkara yang sama.  Saya masih ingat lagi hampir setahun yang lalu, kami turut melalui pengalaman yang hampir serupa di negeri yang sama.  Ini bermakna, walaupun sudah hampir setahun berlalu, situasi seperti ini masih lagi tidak berubah.  Hampir-hampir saya membuat satu generalisasi!

 

            Dalam hal ini, bagi saya, dua pihak harus sama-sama bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan. Pihak yang saya maksudkan ialah pengguna dan pengurusan masjid.

 

            Golongan pengunjung dan pengguna merupakan golongan yang paling utama yang harus memikul tanggungjawab menjaga kebersihan di tempat seperti masjid.  Jika kita selaku pengguna mengharapkan keselesaan, maka kita seharusnya turut memberikan keselesaan kepada pengguna lain.  Jumlah pengguna yang ramai sepatutnya tidak menjadi alasan jika semua pengguna sama-sama bertanggungjawab dan peka kepada keselesaan pengguna lain.  Apabila ada seorang dua pengguna yang kurang bertanggungjawab dan kurang pandai untuk menjadi pengguna yang baik, yang akan tercemar bukan pengguna yang berkenaan, tetapi akan melibatkan imej agama dan bangsa sendiri juga.  Bak kata peribahasa, kerana seekor kerbau yang membawa lumpur, habis semua terpalit. 

 

            Sikap sedemikian amat bertentangan sekali dengan apa yang telah diajarkan oleh agama Islam.  Dalam Islam, kebersihan merupakan elemen yang sangat penting.  Ia selaras dengan Firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: ".... sesungguhnya Allah amat mengasihi golongan yang bertaubat dan golongan yang suci bersih" (Albaqarah, ayat 222, juzuk 2).  Oleh itu, selaku pengunjung dan pengguna, marilah sama-sama kita menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan peka kepada keselesaan orang lain.

 

            Pihak pengurusan masjid pula tidak seharusnya membiarkan keadaan sedemikian berlarutan dan berpanjangan.  Apabila hal ini terus dibiarkan, yang akan mendapat nama yang tidak baik ialah masjid dan qariah yang berkaitan juga.  Apabila masjid di qariah kita menjadi tempat tumpuan awam atas apa jua sebab sekalipun, maka suatu perancangan yang praktikal harus difikirkan dan dilaksanakan agar kebersihan di kawasan masjid termasuklah tandasnya sentiasa terpelihara sepanjang masa.  Jika difikirkan perlu untuk meletakkan papan peringatan mengenai penjagaan kebersihan penggunaan tandas, maka tiada salahnya untuk ia dilakukan asalkan papan peringatan sedemikian diletakkan di tempat yang benar-benar sesuai dan ia tidak mengganggu pandangan dan pemandangan.  Bahkan, pihak pengurusan masjid sepatutnya melipatgandakan usaha menjaga kebersihan kawasanmasjid bilamana kita ketahui di sesuatu musim masjid di kawasan kita akan menjadi tempat tumpuan awam.

 

            Oleh itu, jika kedua-dua pihak, pengunjung/pengguna dan pengurusan masjid sama-sama memahami tanggungjawab masing-masing, saya yakin keadaan seperti di atas akan dapat diperbaiki.  Dengan itu, barulah imej Islam sebenar akan terserlah.  Jika ini dapat dicapai, maka tujuan kita ke masjid untuk beribadat akan lebih sempurna lagi.  Ini kerana darjah kekhusyukan akan bertambah baik kerana mungkin tiada lagi rungutan sepi tatkala kita sedang mengadap-Nya.

 

            Saya yakin masalah yang serupa juga berlaku di tandas-tandas awam yang lain.  Apabila ia berlaku di tandas awam dan tidak melibatkan masjid, ia hanya melibatkan masyarakatnya sahaja.  Bila ia turut melibatkan tandas di masjid, maka ia akan turut memberi inej yang tidak baik kepada masyarakat dan agama Islam itu sendiri.  Marilah sama-sama kita pelihara kebersihan seluruh persekitaran masjid sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.

 

Monday, January 26, 2009

Catatan Dari KB

Celoteh Orang Letih

 

            Sesak!  Sesak!  Sesak!  Ikut jalan sana melekat!  Ikut jalan sini tersekat!  Ikut jalan situ tak bergerak!  Ikut jalan yang lain tersangkut pula!

 

            Begitulah yang saya sekeluarga hadapi seharian semalam di sekitar Bandaraya Kota Bharu.  Sebelum ini memang saya pernah dengar mengenai kesesakan di Kota Bharu, tetapi kali ini saya dan keluarga mengalaminya sendiri.  Keadaan bertambah kritikal apabila isteri saya memang tidak biasa langsung memandu di sekitar bandar raya ini.  Ketabahan dan kesabaran beliau yang terus memandu tanpa rungutan panjang membuatkan saya begitu bersyukur kerana dia telah ditakdirkan sebagai suri hidup saya.

 

            Akhirnya, kesesakan yang begitu menyesakkan mengakibatkan kami sekeluarga terpaksa membuat sedikit perubahan terhadap rancangan asal.  Kami sepatutnya mengunjungi 5 buah rumah di sepanjang hari semalam, tetapi hanya 3 buah rumah sahaja yang sempat kami kunjungi.  Hasrat untuk ke Pasar Siti Khadijah terpaksa ditangguhkan.  Rancangan untuk ke kawasan pantai di sebelah petangnya juga terpaksa diketepikan buat sementara.  Bahkan rancangan asal untuk ke satu majlis akad nikah di Pasir Puteh pada sebelah malamnya terpaksa juga dibatalkan.

 

            Seorang penduduk setempat memberitahu saya, kesesakan sebegini kebiasaannya berlaku pada musim perayaan dan juga pada musim cuti persekolahan.  Katanya lagi, kesesakan berkenaan semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Ada yang mengatakan kesesakan ini disebabkan ramai orang Kelantan yang merantau pulang untuk bercuti.  Ada juga yang mengatakan kesesakan ini kerana semakin ramai pelancong luar Kelantan yang mengunjungi Kelantan terutamanya sewaktu musim cuti persekolahan dan musim perayaan.

 

            Bagi saya, pendapat yang mengatakan kesesakan ini disebabkan ramai orang Kelantan di perantauan pulang bercuti boleh dipersoalkan.  Kesesakan berlaku di sekitar Bandaraya Kota Bharu dan jalan-jalan yang menuju ke bandar raya tersebut.  Sedangkan pada masa yang sama, saya tidak mendapat maklumat bahawa di kawasan-kawasan lain di Kelantan turut dilanda kesesakan sebagaimana di sekitar Bandaraya Kota Bharu.  Kalau pun mungkin ada, ia pastinya tidak seteruk Kota Bharu.  Adakah hanya orang sekitar Bandaraya Kota Bharu sahaja yang tinggal dan mencari rezki di perantauan?  Setakat yang saya ketahui, tiada fakta ilmiah yang dapat mengesahkannya.  Lagipun, pada musim perayaan dan musim cuti persekolahan, kebanyakan hotel di sekitar Kota Bharu kebiasaannya akan penuh.  Sudah tentulah hotel-hotel berkenaan dipenuhi oleh para pelancong dari luar Kelantan dan bukannya penduduk setempat.  Setakat yang saya ketahui juga, kebiasaannya para perantau dari Kelantan bila pulang, mereka tidak menginap di hotel-hotel.  Sebaliknya mereka akan terus pulang ke kampung dan rumah keluarga masing-masing.  Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan mungkin ada segelintir perantau Kelantan yang pulang dan menginap di hotel sahaja.  Namun bagi saya mungkin jumlahnya kecil sahaja dan tidak mempengaruhi kesesakan di sekitar Bandaraya Kota Bharu.

 

            Oleh itu, bagi saya, kesesakan ini kemungkinan besar disebabkan pertambahan jumlah pelancong luar yang datang ke Kelantan.  Ia juga bermakna industri pelancongan di negeri ini sedang berkembang pesat.  Kepelbagaian keunikan serta daya tarikan lain yang ada di Kelantan tidak menghairankan bagi fenomena sebegini terus pesat berkembang.  Oleh kerana mereka ini bukannya pelancong politik, maka mereka tidak pernah mengambil kisah siapa dan parti politik mana yang sedang memerintah Kelantan.  Justeru, dari awal lagi saya telah menjangkakan apa jua usaha untuk melakukan sebarang bentuk pemulauan politik pasti akan berakhir dengan kegagalan.  Sudah terbukti, bukan!

 

            Seperkara yang boleh dijadikan perbandingan, jika kesesakan seperti semalam berlaku di Kuala Lumpur, orang ramai mempunyai alternatif lain untuk lari dari kesesakan tersebut.  Kemudahan pengangkutan lain seperti LRT, KTM komuter serta sistem monorel akan menjadi pilihan lain kepada orang ramai untuk ke destinasi masing-masing.  Pilihan seperti ini masih belum ada lagi di bandar-bandar lain, termasuklah di Bandaraya Kota Bharu.  Dengan itu, bila dilanda kesesakan yang melampau seperti semalam, maka orang ramai tidak mempunyai pilihan lain.  Bersabar sahajalah nampaknya!

 

            Bagi saya, pihak berkuasa di Bandaraya Kota Bharu tidak boleh membiarkan keadaan sebegini berlarutan dan berpanjangan.  Sesuatu harus dilakukan.  Kepesatan industri pelancongan harus diseimbangkan dengan kepesatan penyediaan prasarana yang bersesuaian.  Saya khuatir kesan jangka panjangnya nanti, sedikit demi sedikit orang luar akan mula berpandangan kalau musim perayaan atau cuti persekolahan jangan ke Kota Bharu.  Jem!  Jem!  Jem!

 

            Namun demikian, saya yakin pihak yang berkenaan sudah pun mempunyai rancangan jangka panjang untuk memperbaiki fenomena kesesakan yang sering berlaku.  Hanya pelaksanaannya sahaja yang sedang atau akan diusahakan.

 

            Kalau sudah letih, macam-macamlah celotehnya!!!

 

Sunday, January 25, 2009

Catatan Dari KB

Sekilas Pandangan Mengenai Kelantan

 

            Syukur kepada Allah Yang Maha Besar kerana lebih kurang jam 6.00 petang semalam saya sekeluarga telah selamat tiba di Bandaraya Islam Kota Bharu.  Kawasan bandarnya memang sesak macam KL juga.  Saya pun tak berapa pasti ini kunjungan kali ke berapa ke negeri ini.  Kalau bukan kali kelima, mungkin kali ketujuhlah agaknya.  Lebih kurang jam 7.00 petang baru urusan check in kami selesai.  Hasrat untuk membuat catatan dan menulis yang begitu membuak terpaksa saya ketepikan kerana selepas solat maghrib kami terpaksa bergegas untuk memenuhi satu undangan.

 

            Sebaik sahaja saya menjejakkan kaki di bumi Cik Siti Wan Kembang, bermula dari Gua Musang lagi, berbagai perkara mengenai Kelantan melintas minda saya.  Perkara-perkara tersebut saya kutip dari pembacaan, pengajian di bilik kuliah, pengalaman, kunjungan serta persahabatan saya dengan rakan-rakan dari Kelantan sejak 34 tahun yang lalu.  Bagi saya, Kelantan mempunyai keunikannya yang tersendiri.  Keunikan itu merangkumi pelbagai aspek pula.

 

            Dari sudut keagamaan (Islam), peranan negeri Kelantan selaku peneraju tradisi keislaman di negara ini memang sudah tersohor.  Memang sejak dahulu lagi Kelantan terkenal dengan jolokan "Serambi Makkah".  Nilai-nilai hidup, budaya, politik, norma masyarakat dan sebagainya yang berteraskan Islam sememangnya telah lama berkembang, subur dan mekar di negeri ini.  Justeru tidak menghairankan jika negeri ini telah melahirkan ramai tokoh ulamak yang terkenal.  Antara mereka termasuklah Tok Kenali, Tuan Guru Haji Abdul Majid, Ahmad Maasum Pergau, Tuan Guru Haji Abdul Kadir, dan tidak ketinggalan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nikmat.  Di negeri ini juga terdapat banyak pondok pengajian Islam yang terkenal seperti di Pasir Tumbuh, Dusun Raja, Wakaf Zain dan sebagainya.  Hari ini pun, kita dapat lihat betapa agama Islam dijadikan teras dan asas kepada pelbagai nilai kehidupan masyarakatnya.

 

            Dari sudut politik pula, Kelantan adalah negeri yang paling lama berada bukan di bawah pemerintahan parti Barisan Nasional (BN).  Dari tahun 1959 hingga tahun 1978 Kelantan diperintah oleh Parti Islam Semalaysia (PAS).  Pada tahun 1990 sekali lagi PAS berjaya menjadi parti pemerintah di Kelantan hinggalah ke hari ini.  Hanya pada tahun 1978 hingga tahun 1990 Kelantan telah diperintah oleh Barisan Nasional (BN).  Mungkin disebabkan kuatnya tautan antara Islam dan politik di negeri ini, maka boleh dikatakan setiap penceramah politik harus memetik satu atau dua ayat Alquran dalam ceramah mereka.

 

            Antara ahli politik Kelantan yang ternama termasuklah Dato' Haji Ishak Lutfi dan bapa saudaranya Dato' Haji Muhammad Asri Muda, Tan Sri Nik Ahmad Kamil, Dato' Haji Muhammad Nasir, Tengku Razaleigh Hamzah (seorang ahli politik yang belum dimamah zaman) dan sekali lagi tidak ketinggalan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nikmat.  Antara ahli politik Kelantan yang sedang meningkat naik termasuklah Dato' Usam Musa dan Dato' Alwi Che Ahmad.  Kelantan juga turut melahirkan seorang ahli politik yang tak tahu apa pendirian sebenarnya!

 

            Kelantan juga merupakan negeri yang kaya denga seni dan budaya.  Hasil seni pertukangannya memang tidak perlu diperkatakan lagi.  Ia merangkumi hasil pertukangan kayu, perak, seni ukiran, tenunan batik dan sebagainya.

 

            Acap kali juga saya mendengar orang berkata, Kelantan mempunyai keindahan alam semula jadi yang cukup menarik. Agaknya kata orang itu ada benarnya.  Sebab itulah kelantan menerima ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.  Bandaraya Kota Bharu sering sesak dengan pengunjung luar.

 

            Perjuangan Tok Janggut di Kelantan merupakan antara gerakan nasionalisme yang masyhur di negara kita.  Dalam perjuangan tersebut, Tok Janggut telah terkorban.  Mayatnya telah dibawa ke Kota Bharu dan digantung seperti orang tidak bertamadun oleh bangsa yang mengaku kononya mempunyai tamadun yang tinggi.

 

            Kelantan juga menjadi tempat pendaratan terawal tentera Jepun di Tanah Melayu dalam perang dunia kedua.  Tentera Jepun telah mendarat di Kampung Padang Pak Amat berhampiran Kota Bharu.  Peristiwa berkenaan telah berlaku pada awal Disember 1941.

 

            Kelantan Turut melahirkan golongan OKU yang ternama dan berwibawa.  YB Senator Prof. Dato' Dr. Haji Ismail Md Salleh adalah contoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi.  Beliau merupakan OKU yang pertama dalam banyak perkara di negara ini.  Beliau merupakan orang pertama yang memperolehi ijazah doktor falsafah (phD), OKU pertama yang menjawat jawatan pensyarah, oku pertama yang dilantik sebagai ahli Dewan Negara, OKU pertama yang menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah ISIS, dan mungkin juga OKU pertama yang bakal dilantik untuk menganggotai kabinet satu hari nanti.  Mungkin!

 

            Selain itu, Kelantan telah melahirkan ramai golongan hafiz dalam kalangan golongan cacat penglihatan.  Antara mereka termasuklah Rosli Md Dahan, Nazri Salleh, Zainuddin Mustafa, Mohd Zulkifli Mamat, Mohd Salleh Yaacob, Ahmad Hafizu Hassan dan lain-lain lagi.

 

            Sekali-sekala, kedengaran juga pandangan sebilangan orang dari tempat lain yang mengatakan orang Kelantan mendokong semangat kenegerian yang sangat kuat.  Bagi saya, bila dilihat dari aspek sejarah dan pengalaman sendiri, saya tidak dapat menemui sebarang fakta untuk menyokong pendapat sebegini.  Prof. Zulkifli Muhammad dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy bukan anak Kelantan tetapi telah mendapat tempat yang baik dan sanjungan yang tinggi di negeri ini.  Hari ini pun, sekurang-kurangnya 4 kawasan parlimen negeri ini diwakili oleh mereka yang bukan anak Kelantan.  Bersandarkan pengalaman sendiri yang telah bergaul selama 34 tahun dengan rakan-rakan dari Kelantan, saya tidak temui semangat sedemikian dipraktikkan di sepanjang pergaulan kami.  Bagi saya, tidak semestinya mereka mempunyai semangat kenegerian yang tebal hanya kerana mereka sering kecek Klate.

 

            Sebuah negeri lain pernah memulaukan negeri ini selama bertahun-tahun.  Akhirnya baru-baru ini pemulauan tersebut telah ditarik balik secara rasmi.  Penarikan balik pemulauan tersebut dilakukan mungkin kerana negeri tersebut terasa terpulau akibat pemulauan yang dilakukan!

 

            Demikianlah antara keunikan negeri Kelantan pada pandangan, pemerhatian dan pengalaman saya.

 

            Salam dari Kota Bharu.