Monday, January 26, 2009

Catatan Dari KB

Celoteh Orang Letih

 

            Sesak!  Sesak!  Sesak!  Ikut jalan sana melekat!  Ikut jalan sini tersekat!  Ikut jalan situ tak bergerak!  Ikut jalan yang lain tersangkut pula!

 

            Begitulah yang saya sekeluarga hadapi seharian semalam di sekitar Bandaraya Kota Bharu.  Sebelum ini memang saya pernah dengar mengenai kesesakan di Kota Bharu, tetapi kali ini saya dan keluarga mengalaminya sendiri.  Keadaan bertambah kritikal apabila isteri saya memang tidak biasa langsung memandu di sekitar bandar raya ini.  Ketabahan dan kesabaran beliau yang terus memandu tanpa rungutan panjang membuatkan saya begitu bersyukur kerana dia telah ditakdirkan sebagai suri hidup saya.

 

            Akhirnya, kesesakan yang begitu menyesakkan mengakibatkan kami sekeluarga terpaksa membuat sedikit perubahan terhadap rancangan asal.  Kami sepatutnya mengunjungi 5 buah rumah di sepanjang hari semalam, tetapi hanya 3 buah rumah sahaja yang sempat kami kunjungi.  Hasrat untuk ke Pasar Siti Khadijah terpaksa ditangguhkan.  Rancangan untuk ke kawasan pantai di sebelah petangnya juga terpaksa diketepikan buat sementara.  Bahkan rancangan asal untuk ke satu majlis akad nikah di Pasir Puteh pada sebelah malamnya terpaksa juga dibatalkan.

 

            Seorang penduduk setempat memberitahu saya, kesesakan sebegini kebiasaannya berlaku pada musim perayaan dan juga pada musim cuti persekolahan.  Katanya lagi, kesesakan berkenaan semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Ada yang mengatakan kesesakan ini disebabkan ramai orang Kelantan yang merantau pulang untuk bercuti.  Ada juga yang mengatakan kesesakan ini kerana semakin ramai pelancong luar Kelantan yang mengunjungi Kelantan terutamanya sewaktu musim cuti persekolahan dan musim perayaan.

 

            Bagi saya, pendapat yang mengatakan kesesakan ini disebabkan ramai orang Kelantan di perantauan pulang bercuti boleh dipersoalkan.  Kesesakan berlaku di sekitar Bandaraya Kota Bharu dan jalan-jalan yang menuju ke bandar raya tersebut.  Sedangkan pada masa yang sama, saya tidak mendapat maklumat bahawa di kawasan-kawasan lain di Kelantan turut dilanda kesesakan sebagaimana di sekitar Bandaraya Kota Bharu.  Kalau pun mungkin ada, ia pastinya tidak seteruk Kota Bharu.  Adakah hanya orang sekitar Bandaraya Kota Bharu sahaja yang tinggal dan mencari rezki di perantauan?  Setakat yang saya ketahui, tiada fakta ilmiah yang dapat mengesahkannya.  Lagipun, pada musim perayaan dan musim cuti persekolahan, kebanyakan hotel di sekitar Kota Bharu kebiasaannya akan penuh.  Sudah tentulah hotel-hotel berkenaan dipenuhi oleh para pelancong dari luar Kelantan dan bukannya penduduk setempat.  Setakat yang saya ketahui juga, kebiasaannya para perantau dari Kelantan bila pulang, mereka tidak menginap di hotel-hotel.  Sebaliknya mereka akan terus pulang ke kampung dan rumah keluarga masing-masing.  Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan mungkin ada segelintir perantau Kelantan yang pulang dan menginap di hotel sahaja.  Namun bagi saya mungkin jumlahnya kecil sahaja dan tidak mempengaruhi kesesakan di sekitar Bandaraya Kota Bharu.

 

            Oleh itu, bagi saya, kesesakan ini kemungkinan besar disebabkan pertambahan jumlah pelancong luar yang datang ke Kelantan.  Ia juga bermakna industri pelancongan di negeri ini sedang berkembang pesat.  Kepelbagaian keunikan serta daya tarikan lain yang ada di Kelantan tidak menghairankan bagi fenomena sebegini terus pesat berkembang.  Oleh kerana mereka ini bukannya pelancong politik, maka mereka tidak pernah mengambil kisah siapa dan parti politik mana yang sedang memerintah Kelantan.  Justeru, dari awal lagi saya telah menjangkakan apa jua usaha untuk melakukan sebarang bentuk pemulauan politik pasti akan berakhir dengan kegagalan.  Sudah terbukti, bukan!

 

            Seperkara yang boleh dijadikan perbandingan, jika kesesakan seperti semalam berlaku di Kuala Lumpur, orang ramai mempunyai alternatif lain untuk lari dari kesesakan tersebut.  Kemudahan pengangkutan lain seperti LRT, KTM komuter serta sistem monorel akan menjadi pilihan lain kepada orang ramai untuk ke destinasi masing-masing.  Pilihan seperti ini masih belum ada lagi di bandar-bandar lain, termasuklah di Bandaraya Kota Bharu.  Dengan itu, bila dilanda kesesakan yang melampau seperti semalam, maka orang ramai tidak mempunyai pilihan lain.  Bersabar sahajalah nampaknya!

 

            Bagi saya, pihak berkuasa di Bandaraya Kota Bharu tidak boleh membiarkan keadaan sebegini berlarutan dan berpanjangan.  Sesuatu harus dilakukan.  Kepesatan industri pelancongan harus diseimbangkan dengan kepesatan penyediaan prasarana yang bersesuaian.  Saya khuatir kesan jangka panjangnya nanti, sedikit demi sedikit orang luar akan mula berpandangan kalau musim perayaan atau cuti persekolahan jangan ke Kota Bharu.  Jem!  Jem!  Jem!

 

            Namun demikian, saya yakin pihak yang berkenaan sudah pun mempunyai rancangan jangka panjang untuk memperbaiki fenomena kesesakan yang sering berlaku.  Hanya pelaksanaannya sahaja yang sedang atau akan diusahakan.

 

            Kalau sudah letih, macam-macamlah celotehnya!!!

 

3 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara dan rakan-rakan sekalian.

Alhamdulillah! Menarik! Betul-betul letih nampaknya, ya? Syabas kerana saudara punya teman hidup sejati. Semoga Allah mengganjarinya setimpal, malah berganda dik kesabaran bersama saudara ketika semacam itu, dan insya Allah, juga pada kesukaran lain.

Ya. Saya bersetuju dan tertarik dengan bayangan saudara terhadap ketibaan pelancong yang menyebabkan kesesakan sebegitu. Rasanya, cerita pemulauan mereka yang berkepentingan ini permainan basi manusia yang berpenyakit lagi kotor hati. Di sini juga, kita dapat saksikan betapa kemajuan masih belum mampu diagih sama rata sejak merdeka. Bukanlah bermakna semua mesti sama, tetapi setidak-tidaknya kemudahan prasarana yang lebih baik selari perkembangan kemajuan semasa juga patut disalurkan tanpa pilih kasih. Sebab itu, saya secara peribadi tidak menyalahkan PBT/pemerintah KB, tapi lebih mempersoalkan peranan pusat yang kononnya kaya itu dan ini, tapi masih banyak "membazir" duit rakyat dan gemar sangat bermain politik. Namun begitu, inilah dunia politik, namanya, kan? Bersamalah kita doakan keadaan akan lebih baik dan tersusun selaras perkembangan kemajuan sektor pelancongan itu nanti, insya Allah.

Anonymous said...

sejak bila pulak KB jadi bandaraya ni cikgu?

Cikgu Zakaria said...

Untuk pengetahuan Annonymous serta kita bersama, di Malaysia hari ini terdapat 12 buah bandar raya. Georgetown di Pulau Pinang merupakan tempat yang pertama diisytiharkan sebagai bandar raya sebelum Kuala Lumpur. 10 lagi bandar raya ialah Alor Setar, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Johor Baru, Melaka Bandaraya Bersejarah, Kota Bharu Bandaraya Islam, Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Terengganu yang merupakan bandar terkini yang telah diisytiharkan sebagai bandar raya.