Isu Lompat Parti: Sekadar Satu Singkapan Semalam
Awal minggu ini, politik negara sedikit tersentak apabila ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dato' Nasaruddin Hashim, mengumumkan keluar dari UMNO/BN dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dari sudut perundangan, perbuatan Dato' Nasaruddin tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedia ada. Dari sudut etika politik pula, ia amat subjektif sekali. Bagi pihak yang mendapat habuan keuntungan politik dari tindakan tersebut, ia sudah tentu dikatakan tidak melanggar etika. Manakala bagi pihak yang menerima kerugian politik, sudah tentulah apa yang dilakukan oleh ADUN Bota itu digambarkansebagai tidak beretika, tidak bermoral dan macam-macam lagi!
Dalam politik negara kita, isu lompat parti bukanlah suatu perkara baru. Sekitar tahun 1961, kerajaan PAS Terengganu tumbang akibat daripada perbuatan lompat parti. Pada dekad 70-an, Chan Teik Chan, ahli parlimen Kota Melaka telah melompat dari DAP ke MCA/BN. Pada tahun 1994, kerajaan PBS
Seingat saya, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan PAS di Kelantan pernah cuba meluluskan undang-undang antilompat parti di peringkat negeri masing-masing, tetapi pelaksanannya terhalang kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Siapakah yang menjadi penghalang pada ketika itu? Sudah tentulah kerajaan yang diterajui oleh BN di peringkat Persekutuan. Mengapa BN menghalang usaha untuk mewujudkan undang-undang antilompat parti ketika itu? Kerana hampir kesemua peristiwa lompat parti ketika itu menguntungkan BN. Justeru, mereka yang melompat dari lain-lain parti ke BN, tidak dipersoalkan etika dan moral politik mereka, bahkan mereka dianggap wira pula.
Apa yang berlaku hari ini tak ubah umpama senjata makan tuan. Hari ini, BN mula mempersoalkan tindakan lompat parti. Bagi sesetengah pemimpin BN, mereka yang melompat parti dianggap tidak beretika, tidak mempunyai moral politik dan golongan pelompat itu diminta mengosongkan pula kerusi berkenaan bagi membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan. Selagi lompat parti masih halal di sisi perlembagaan, maka semua perkara di atas tidak perlu dan tidak relevan!
Mengapa sekarang BN baru mempersoalkan kredibiliti, etika dan moral golongan pelompat parti? Agaknya, inilah yang dikatakan politik berkepentingan. Saya amat bersetuju dengan kenyataan Datuk V. K. Liew, presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang juga merupakan TimbalanMenteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, pada 29 Januari lalu yang antara lain mengatakan pada masa ini sukar bagi kerajaan BN untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkenalkan satu undang-undang untuk menghalang lompat parti. Ini adalah kerana kerajaan BN di peringkat Persekutuan hari ini tidak lagi menguasai dua pertiga dalam Dewan Rakyat, satu jumlah yang diperlukan untuk meminda mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan dengan mudah. Mungkin, inilah yang dikatakan nasi sudah menjadi bubur.
Cara serta gaya UMNO dan BN dalam menangani isu lompat parti menampakkan betapa mereka gagal untuk melihat kesan sesuatu tindakan secara jangka panjang. Pada bulan Mac 2008 yang lalu, iaitu sekitar seminggu selepas PRU 12, YAB Perdana Menteri yang juga presiden UMNO merasa yakin tidak ada ahli BN yang akan melompat parti. Pada bulan Septermber lalu, Dr. Maximus Ongkili juga melahirkan keyakinan yang sama. Nah, sekarang apa sudah jadi! Sekiranya pada masa lalu mereka tidak terlalu bersifat politik berkepentingan dan menerima undang-undang antilompat parti yang pernah dicadangkan oleh PAS dan PBS, maka saya kira ketidakstabilan yang melanda UMNO hari ini mungkin dapat dielakkan.
Sama ada suka atau tidak, UMNO harus menerima hakikat iaitu parti tersebut semakin tidak stabil. Walau bagaimanapun, saya masih optimis keadaan yang sedia ada masih boleh diperbaiki dan dipulihkan dengan syarat usaha tersebut hendaklah dilakukan secara ikhlas, bersungguh-sungguh dan jangan memilih bulu. UMNO juga hendaklah belajar untuk memahami dan mendengar rintihan golongan marhaen secara terus, tulus dan tidak bermusim. UMNO juga hendaklah menghapuskan golongan pengampu kerana mereka merupakan duri dalam daging. Sekiranya ketidakstabilan dalam UMNO gagal dipulihkan, saya khuatir dalam masa yang terdekat UMNO hanya mampu berbangga dengan sejarahnya sahaja.
Salam dari Melaka.
1 comment:
Assalamu'alaikum, saudara dan sahabat-sahabat yang dikasihi.
Terima kasih dan syabas, saudara. Fakta benar tiada terkata. Nampak benar kini, UMNO, terutamanya, sedang dilanda nazak. Ya, jika dari dahulu, mereka meluluskan undang-undang halang lompat parti, perkara semacam ini tentu boleh dielak. Namun, inilah yang dikatakan "sombong tak bertempat". Situasi sebegini tentu mengundang persoalan kerelevanan mereka berdepan cabaran semasa. Walaupun begitu, percayalah, sahabat sekalian, jika mereka yang masih berkuasa, tak mungkin mereka akan mengaku kalah dan salah; jauh sekali mendengar pandangan ilmuan!
Dalam kes ini, saya berpendapat, adalah tidak keterlaluan jika kita katakan mereka alpa terhadap sejarah peradaban dan tamadun. Tak usah cakap banyak: tumbangnya kerajaan Marcos dan Suharto, kejatuhan Soviet Union, bercelarunya Empayar Othmaniah ... Berdozen lagi untuk disebutkan di sini. Sudah tentu, kejatuhan kerajaan-kerajaan tersebut adalah akibat kepentingan diri menguasai kepentingan massa, kan? Saya juga bersetuju dengan pernyataan saudara agar mereka patut menyelak serta meneliti lembaran sejarah silam mereka dan tidak hanya sombong terhadap kejayaan yang telah dan sedang dikecapi. Ibarat kalau dah sakit, tak mahu berubat, bukankah susah lagi menyusahkan orang lain? Bersamalah kita ambil iktibar ini: segala kebaikan yang kita telah dan sedang kecapi ini adalah kurnia-Nya yang mesti kita syukuri dengan cara dan peradaban sewajarnya. Mujur Dia masih beri peluang kita bertaubat dan tidak membalas kedurjanaan kita spontan dan tunai; kalau tidak, entahlah, ya? Renungkanlah.
Terima kasih.
Post a Comment