Thursday, January 15, 2009

Menungan Malam

Cerita Seorang Bekas Pengarah

 

            Tatkala sunyi malam seperti ini, macam-macam kenangan silam datang melintas ingatan.  Ada yang mencuit memori.  Ada yang sekadar melambainya sahaja.  Kata orang, malam sunyi begini adalah dunia para pujangga kerana tatkala waktu beginilah berbagai ilham datang menerpa.  Sebenarnya, segala pengalaman lalu jika dijadikan sebagai iktibar, sudah pasti kita akan insaf bahawa kehidupan ini sesungguhnya tidak lebih daripada suatu mimpi atau lakonan semata-mata.  Salah satu ingatan yang sering bermain di kotak minda ini ialah berkenaan cerita seorang bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan kepada saya tidak berapa lama dahulu.

 

            Sebenarnya saya sendiri tidak kenal rapat dengan bekas pengarah tersebut.  Pertemuan saya dengan beliau berlaku secara kebetulan dalam satu majlis tidak berapa lama dahulu.  Beliau yang duduk di sebelah saya telah memulakan dahulu bual bicara dengan bertanyakan khabar dan nama saya.  Pertanyaan beliau saya jawab dengan penuh sopan.  Setelah itu, beliau bertanya lagi mengenai tempat tinggal dan kerjaya saya pula.  Sekali lagi, pertanyaan beliau saya jawab dengan penuh ikhlas dan rela.  Selanjutnya beliau bertanya pula mengenai punca kecacatan yang saya alami.  Sambil menjawab segala persoalan yang beliau timbulkan, saya membuat kesimpulan awal bahawa beliau merupakan seorang yang peramah, mudah mesra dan bersedia untuk berbual lebih panjang.  Kesempatan itu tidak saya lepaskan.

 

            Kali ini, tiba pula giliran saya untuk bertanya kepada beliau.  Mulanya saya mengulangi soalan-soalan yang telah beliau tanyakan kepada saya.  Setelah mendapat respon yang baik, saya mula bertanya tentang kerjaya beliau pula.  Menurutnya, beliau merupakan seorang pesara kakitangan awam.  Jawatan terakhir beliau ialah pengarah di salah sebuah jabatan kerajaan.  Katanya lagi, beliau sudah hampir 4 tahun bersara.  Selanjutnya, saya bertanya pula tentang aktiviti beliau selepas persaraan.  Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang aktiviti khusus.

 

            Selanjutnya, saya bertanya lagi sama ada wujud perbezaan antara masa masih menjadi kakitangan awam dengan selepas persaraan.  Beliau dengan nada berbunyi kesal antara lain berkata, adakalanya apabila kita sudah di bawah dan tidak lagi berada di atas, barulah kita tahu bagaimana sebenarnya penerimaan orang bawah terhadap kita selama ini.  Selagi kita masih berada di atas, kebanyakan orang tidak akan mempamerkan sikap dan penerimaan sebenar mereka terhadap kita.  Kebiasaannya yang sering dipamerkan hanyalah kepura-puraan.  Mereka hanya hormat kepada kita bukan kerana mereka benar-benar menghormati kita, tetapi mereka hanya menghormati pangkat kita semata-mata. 

 

            Dengan suara yang agak perlahan, beliau meneruskan bercerita mengenai kisah hidupnya.  Menurutnya lagi, sewaktu masih menjawat jawatan sebagai pengarah, beliau mempunyai ramai kenalan, kawan dan rakan.  Mereka memanggil beliau "tuan" atau "boss".  Katanya lagi, beliau sering diundang ke pelbagai majlis, sama ada majlis rasmi mahupun majlis anjuran individu seperti majlis perkahwinan, sambutan pelbagai ulang tahun, dan berbagai lagi.  Menurutnya lagi, bila beliau bercakap, kebiasaannya orang lain hanya akan mendengar sambil mengangguk tanda mengiyakan.  Jarang beliau mendengar orang secara berterus-terang menidakkan apa yang beliau perkatakan.  Oleh kerana situasi sebegitu jarang berlaku, kata nya, beliau berpendapat apa yang beliau cakapkan atau lakukan semuanya betul belaka.

 

            Kini, setelah beliau bersara, keadaan mula berubah.  Mereka yang dahulunya begitu menyanjung beliau, kini sudah menjauhkan diri daripada beliau.  Beliau tidak mendengar lagi panggilan "tuan" atau "boss" untuknya.  Kalau berselisih di jalan dengan bekas kakitangannya, mereka hanya mengangkat tangan sahaja.  Katanya lagi, selepas lebih 4 tahun bersara, tak sampai pun 5 kali beliau diundang menghadiri sebarang majlis.  Katanya lagi, beliau sedar kini, selama ini orang menghormati beliau hanya kerana pangkat, jawatan dan kedudukan semata-mata dan bukannya atas dasar kemanusiaan.

 

            Dalam hati, saya mula membuat kesimpulan sendiri.  Mungkin bekas pengarah yang ada  di hadapan saya seorang yang tegas ketika menjalankan tugas.  Mungkin beliau seorang yang sangat cerewet.  Atau, mungkin beliau seorang yang suka dibodek.  Segalanya mungkin.

 

Walau bagaimanapun, kisah beliau memang mempunyai sesuatu yang perlu kita teladani.  Selain dari cerita di atas, mungkin banyak lagi cerita yang hampir sama pernah kita dengar.  Persoalannya, sejauh manakah cerita dan pengalaman sedemikian benar-benar mampu untuk menginsafkan kita?  Kita mesti sentiasa ingat, apa yang ada pada kita seperti jawatan, pangkat, kedudukan dalam masyarakat, wang ringgit dan sebagainya, semuanya bersifat sementara dan suatu hari kelak akan terlepas dari genggaman kita.  Sebaik-baiknya kita merasa insaf semasa kedudukan, jawatan dan pangkat masih dalam genggaman kita.  Janganlah hendaknya kita hanya insaf dan sedar setelah segalanya tidak lagi kita miliki.

 

Salam dinihari.

 

2 comments:

Sedingin Salju said...

Ha, amat cantiklah tulisan ni encik.

Muhammad Adam Lee said...

Assalamu'alaikum&salam pertemuan, rakan-rakan sekalian.

Tahniah! Sekali lagi, kisah ini adalah fakta. Rasanya, antara iktibar yang boleh dipelajari ialah dunia ini fana; justeru, kita tak usah terlalu berbangga dengan segala yang kita miliki, sebaliknya lebih merendah diri terhadap-Nya dan sesama manusia. Juga, perwatakan dan sikap kita ketika berkomunikasi antara pengaruh besar tanggapan masyarakat terhadap kita. Adalah bagus kita bertegas pada soal prinsip, tetapi dari segi pendekatan, sekiranya kita boleh bertolak-ansur, apa salahnya kita berbuat demikian.

Namun begitu, dari segi lain, anggota masyarakat juga perlu realistik. Sering terjadi ramai antara kita tak mampu memaafkan dan melupakan perkara yang telah berlalu. Umpamanya, bekas banduan penjara atau penagih dadah, antara mangsa pemulauan hatta ahli keluarga sendiri, menyebabkan mereka kecewa, sekaligus memilih penyelesaian jangka pendek yang salah untuk menghapuskan kekecewaan itu. Bukan bermaksud membela mana-mana individu seperti bekas pengarah itu tadi atau menghukum sesiapa. Jika benar sekalipun beliau seorang yang "begitu" dan "begini" ketika berkhidmat, apa salahnya bekas pekerjanya, umpamanya, berterusan menjalin kemesraan dengannya dan beransur-ansur melupakan kisah silam? Lainlah sekiranya beliau pesalah atau seorang yang memang bermain kotor ketika bertugas, namun masih belum menjalani hukuman. Bayangkan, kalau Allah Yang Maha segalanya itupun masih menawarkan pintu taubat (kecuali dosa syirik) kepada para hamba-Nya sebelum mati, inikan pula kita?

Justeru, kepada individu ini, saya secara peribadi mengharapkan agar tuan bersabar, dan anggaplah segala yang berlaku kini sebagai antara bentuk kasih sayang-Nya kepada tuan. Anggaplah segala yang berlaku kini ada hikmahnya serta belajarlah rela lagi redha terhadap taqdir-Nya. Memang senang untuk disebut, tetapi payah untuk melakukannya. Namun, inilah resam dunia yang penuh pengajaran. Sedarlah kita, bahawa kita sebenarnya terus belajar dan hanya akan tamat apabila tiba waktu yang dijanjikan untuk dijemput mengadap-Nya selama-lamanya. Terima kasih, saudara, dan teruskan usaha suci mulia ini.