Saturday, January 31, 2009

Bicara Antarabangsa

Syabas Erdogan

 

            Hari ini, akhbar-akhbar perdana melaporkan peristiwa pertikaman lidah antara Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan presiden Israel, Shimon Peras.  Pertikaman lidah tersebut berlaku di persidangan ekonomi dunia (WEF) yang sedang berlangsung di Davos, Switzerland.  Tindakan Erdogan tidak terhenti setakat itu sahaja.  Apabila pengerusi persidangan tidak memberi beliau peruntukan masa yang sama sebagaimana yang telah diberikan kepada presiden Israel dari segi masa berucap (masa yang diberi kepada Erdogan dikatakan 50% kurang daripada masa yang telah diberikan kepada presiden Israel), Erdogan telah bertindak meninggalkan persidangan dan terus pulang ke Istanbol.  Perbuatan Erdogan disaksikan oleh Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu dan Setiausaha Agung Liga Arab.  Persidangan berkenaan juga turut dihadiri oleh ramai tokoh politik, ahli perniagaan serta ahli-ahli akademik.

 

            Dalam ucapannya,Erdogan telah menyelar tindakan Israel yang menyerang dan membunuh ribuan umat Islam dan rakyat Palestin di Gaza.  Beliau juga turut menyelar Peres yang cuba menegakkan benang basah dalam peristiwa serangan Israel ke Gaza.  Erdogan juga menyelar sikap peserta persidangan yang memberi tepukan gemuruh kepada ucapan Peres, seolah-olah merestui apa yang telah dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin dan Gaza.  Sudah tentulah tindakan Erdogan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan perwakilan dari negara-negara Barat dan Israel.  Kebetulan, pengerusi persidangan ketika itu seorang rakyat Amerika Syarikat.  Justeru, tidak hairanlah jika Erdogan tidak dilayan secara adil dalam persidangan tersebut.  Seperkara yang perlu kita ingat ialah, Turki merupakan antara segelintir negara Islam yang masih mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. 

 

            Bagi saya, tindakan Erdogan merupakan satu tindakan yang berani.  Keberanian beliau semakin terserlah kerana Erdogan ialah seorang bangsa Turki dan bukannya Arab.  Walhal Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Musa (rakyat Mesir) turut hadir dan langsung tidak berbuat apa-apa untuk menyuarakan sesuatu bagi pihak bangsa Arab secara keseluruhannya atau bagi rakyat Palestin secara khususnya.  Inilah realiti kerapuhan bangsa Arab dan umat Islam masa kini.  Saya pun kurang faham, entah apa yang ditakutkan oleh amr Musa.  Sepatutnya, apabila Erdogan meninggalkan majlis, Amr Musa dan seluruh perwakilan dan peserta beragama Islam harus melakukan perkara yang sama, setidak-tidaknya sebagai sokongan moral kepada Erdogan.  Nampaknya Erdogan keseorangan!

 

            Setibanya di Istanbol, Erdogan telah diberi sambutan selaku wira negara.  Bendera Turki dan Palestin dikibarkan secara sebelah-menyebelah tanda kukuhnya kesatuan persaudaraan antara bangsa Turki dengan rakyat Palestin yang berbangsa Arab.  Keutuhan rasa persaudaraan antara mereka adalah berkat siraman perasaan ukhwah islamiyah yang mendalam.  Demikianlah.

 

            Dalam realiti kelemahan umat Islam dan negara Islam, keberanian Erdogan seharusnya dipuji dan patut juga dicontohi.  Tindakan Erdogan meninggalkan persidangan sebelum waktunya bukanlah suatu tindakan yang biadab.  Beliau mungkin telah melanggar protokol, tetapi bukan melanggar dan memusnahkan negeri orang.  Walaupun beliau telah meninggalkan persidangan, itu tidak bermakna beliau telah meninggalkan perjuangan.  Keberanian yang telah ditunjukkan oleh Erdogan mungkin telah membuatkan dunia Barat tersentak.  Ini kerana Turki merupakan antara negara Islam yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Amerika Syarikat dan Barat.  Untuk pengetahuan bersama, Turki juga merupakan negara anggota Perjanjian Atlantik Utara (NATO).  Justeru, tidak hairanlah jika pangkalan tentera Amerika Syarikat masih ada di bumi Turki.

 

Syabas Erdogan!

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat-sahabat sekalian.

Syabas, Erdogan! Inilah namanya jihad! Walaupun mungkin ini sahaja yang mampu dilakukan ketika ini, namun senjata selembut ini (berdebat dan seterusnya meninggalkan persidangan) juga antara bom atom yang merbahaya terhadap barat dan Israel!

Lain pula halnya dengan Malaysia, bekas pengerusi OIC. Setakat mengeluarkan pernyataan bantahan, tentu semua orang pun boleh buat, kan? Marilah kita bersama mendoakan agar kita juga bersatu dan bersemangat jitu seperti Erdogan dan para mujahidin terhadap Yahudi dan barat. Semoga dengan kepimpinan para ulama dan cendekiawan yang benar-benar telus nanti, insya Allah, kita turut mampu bersama adik-beradik seagama kita sesegera mungkin. Soal kalah menang, itu cerita kemudian. Yang penting, seluruh dunia, terutamanya dunia Islam, jangan sekali-kali membiarkan manusia-manusia durjana ini berterusan dengan kedurjanaan mereka.

Terima kasih.