Monday, January 12, 2009

Bicara Antarabangsa

Gaza Bermandi Darah Lagi

 

            Sejak hujung tahun 2008, setiap hari Semenanjung Gaza bermandi darah rakyat Palastin.  Tentera rejim Yahudi tidak henti-henti menggunakan hampir setiap jenis senjata yang dimilikinya untukmemastikan supaya bumi Gaza sentiasa disirami dengan darah rakyat Palastin.  Tidak cukup dengan itu, mereka juga turut melaksanakan resolusi sendiri di bumi Palastin.  Ini termasuklah menyekat pelbagai bantuan untuk rakyat palastin, menutup sempadan utara dan selatan Gaza agar terputus daripada masyarakat antarabangsa, membunuh tanpa mengira siapa asalkan Palastin, memusnahkan harta benda awam dan sebagainya.

 

            Antara mangsa utama keganasan Yahudi kali ini ialah golongan wanita dan kanak-kanak.  Pada hemat saya, golongan wanita dijadikan mangsa supaya tiada lagi perempuan Palastin yang akan melahirkan generasi Palastin yang akan datang bagi meneruskan perjuangan bangsa tersebut.  Golongan kanak-kanak pula menjadi mangsa agar pelapis pejuang Palastin yang ada juga akan terhapus.  Demikianlah licik dan halusnya perancangan puak Yahudi.  Mereka lupa jika mereka ada rancangan, Allah juga ada rancangan, dan apa yang telah dirancangan oleh Allah adalah yang terbaik.

 

            Apa yang kita saksikan hari ini, seolah-olahnya golongan Hamas berjuang bersendirian tanpa bantuan dari mana-mana pihak, khususnya daripada saudara yang seakidah dengan mereka.  Hal ini amat menyedihkan.  Namun bagi pejuang Hamas perkara tersebut sama sekali tidak melemahkan semangat perjuangan mereka.  Justeru, walaupun mereka digesa supaya ke meja rundingan, tetapi sejak awal-awal lagi semua syarat yang bakal merugikan mereka ditolak mentah-mentah.  Nampaknya mereka lebih suka untuk berjuang walaupun tanpa senjata canggih sebagaimana yang dimiliki oleh musuh yang sedang menyerang mereka.

 

            Dalam hal ini, saya merasa begitu tertarik, terpesona dan terharu  dengan semangat perjuangan serta keberanian yang dimiliki oleh puak Hamas dalam mempertahankan hak mereka.  Mereka seolah-olah benar-benar menghayati peribahasa Melayu yang antara lain berbunyi biar putih tulang, jangan putih mata.  Saya yakin yang menjadi pembakar semangat juang mereka adalah ayat Alquran yang antara lain mafhumnya "Dan barang siapa yang terbunuh pada jalan Allah, mereka itu (golongan syahid) sebenarnya hidup dan mendapat rezki pula di sisi Allah".  Demikianlah maha benarnya akan janji Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.  Seorang pemimpin Hamas antara lain pernah berkata iaitu mereka (rakyat Palastin) memang dilahirkan untuk memikul amanah mempertahankan Baitul Maqdith dan syahid di bumi Palastin.

 

            Saya merasa amat kecewa dengan reaksi dan respon yang ditunjukkan setakat ini khasnya oleh negara-negara Arab terhadap konflik di Gaza.  Setakat ini, tiada satu pun negara Arab yang berani menunjukkan sokongan terbuka kepada Hamas dalam mempertahankan haknya.  Bahkan negara-negara berkenaan seakan bersekongkol pula dengan Yahudi dengan turut sama mengenakan sekatan terhadap Hamas.  Tindakan Mesir yang tidak membuka sempadannya di Rafah adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

 

            Dari sudut material, kekayaan melimpah-ruah yang dimiliki oleh negara-negara Arab dan islam tidak perlu dipertikaikan lagi.  Ada yang mampu membeli kelab bola sepak Liga Inggeris, membina istana-istana yang mengkagumkan pandangan, dan berbagai lagi.  Negara-negara Arab juga merupakan pengeluar minyak utama dunia, tetapi setakat hari ini mereka masih tidak mampu untuk menguruskan sepenuhnya hasil keluaran bumi mereka yang sangat berharga itu dan ia terpaksa diurus pula oleh Amerika Syarikat dan Barat. Bagi mereka, setiap hari, mereka hanya mengira jumlah wang yang masuk hasil minyak bumi sendiri.  Sebab itulah mereka gagal menjadikan minyak sebagai senjata ekonomi yang berkesan, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

 

            Jika Amerika Syarikat dan sesetengah negara Eropah secara berterusan telah memberikan sokongan kewangan dan ketenteraan kepada Yahudi, mengapa semangat dan kerjasama yang serupa gagal ditonjolkan oleh negara-negara Arab dan Islam?  Kita seakan rela dan sampai hati melihat para pejuang Hamas berjuang secara bersendirian dan tanpa senjata yang cukup untuk mempertahankan hak dan bumi mereka.  Setiap hari kita hanya mampu membaca, mengira dan mengumpul statistik puak Hamas yang cedera dan terkorban.  Adakah itu sahaja kemampuan kita?  Pada masa yang sama, Amerika Syarikat dan Barat sedang bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan missi dan visi rejim Tel Aviv.  Rejim tersebut dibekalkan dengan senjata yang canggih serta bantuan lain.  Hal ini bukan rahsia lagi.  Di sini, saya teringat satu hadith Nabi yang antara lain mafhumnya, umat Islam di akhir zaman nanti banyak tetapi mereka tak ubah seperti buih di laut.  Adakah kita sebahagian daripada buih di laut seperti yang dimaksudkan oleh hadith Nabi itu?

 

            Baru-baru ini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan satu resolusi yang menggesa gencatan senjata segera antara kedua belah pihak.  Bagi saya, resolusi ini sebenarnya telah gagal.  Amerika Syarikat telah bersikap berkecuali yang sekaligus merupakan sokongan terbuka kepada Israel.  Amerika Syarikat sengaja mengambil sikap berkecuali sebagai satu strategi untuk mengambil hati sekutu kuatnya dalam kalangan negara Arab dan islam.  Pada masa yang sama, resolusi tersebut juga tidak langsung mengecam Israel sebagai pihak yang telah memulakan konflik bersenjata di Gaza.

 

            Di satu pihak pula, Israel sebagaimana biasa dan dengan penuh sombong, bongkak dan angkuhnya tidak mempedulikan resolusi PBB tersebut.  Tindakan sebegini memang telah dijangkakan.  Bahkan ini bukan pertama kali tindakan seperti ini dilakukan oleh Israel.  Justeru, saya menyokong penuh kenyataan yang dibuat oleh sebuah NGO yang mengatakan bahawa tindakan kita melobi sokongan Barat merupakan satu tindakan basi dan sia-sia sahaja.  Kebiasaannya Israel akan bertindak mengikut pertimbangannya sendiri dan amat jarang sekali ia tunduk kepada tekanan antarabangsa.  Sebab itulah juga sehingga hari ini pun Israel tidak pernah patuh dan tunduk kepada Resolusi 338 dan 442 yang telah diluluskan oleh PBB sejak sekian lama.  kegagalan israel mematuhi resolusi ini juga tidak memberi sebarang kesan kepada rejim berkenaan.  Ini berbeza dengan Iraq satu ketika dahulu.  Iraq telah dikenakan pelbagai sekatan apabila gagal mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan 660 – 676 PBB ketika Perang Teluk lalu.

 

            Keakraban Israel dan Amerika Syarikat bukan satu rahsia lagi.  Seluruh dunia tahu bahawa sebarang tindakan Yahudi khususnya di Asia Barat sentiasa didalangi oleh negara Uncle Sam tersebut.  Setiap tahun, Amerika Syarikat akan meluluskan bantuan kewangan untuk rejim Tel Aviv yang jumlahnya mencecah berbilion dollar.  Amat mendukacitakan apabila sehingga hari ini negara-negara Islam pula masih gagal melepaskan diri daripada kongkongan dan cengkaman Amerika Syarikat dalam pelbagai aspek.  Inilah masalah utama yang dihadapi oleh negara Arab dan Islam hari ini ketika berhadapan provokasi daripada negara Yahudi.

 

            Oleh itu, tidak keterlaluan jika saya berpendapat bahawa dalam menghadapi konflik di antara negara-negara Arab dan islam dengan israel, adalah amat sia-sia sekali jika kita masih mengharapkan sokongan, dokongan atau simpati daripada Amerika Syarikat dan Eropah.  Sejarah secara jelas dan terang telah membuktikan bahawa Amerika Syarikat dan Eropah sama sekali tidak pernah menyebelahi pihak Arab dan Islam walaupun ternyata Israel berada di pihak yang salah.  Mereka sentiasa mencipta pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan mereka menyokong rejim Zionis.  Dalam hal ini, teringat saya kepada sepotong ayat Alquran yang antara lain mafhumnya: "Orang-orang Yahudi dan Nasara tidak akan sekali-kali bersetuju dengan kamu sehinggalah kamu (umat Islam) mengikut mereka (Yahudi dan Nasara) .... ".  (Albaqarah, ayat 120).

 

            Saya rasa, semua bersetuju iaitu apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza hari ini merupakan jenayah kemanusiaan yang tidak terampun lagi.  Ini bukan kali pertama jenayah seumpama ini dilakukan oleh Israel.  Tentu kita masih ingat tragedi Sabra Dan Chatila yang telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat palastin.  Israel telah memberi sokongan terbuka terhadap puak yang telah melakukan pembunuhan kejam tersebut.  Banyak lagi jenayah kemanusiaan seperti ini yang telah dilakukan oleh Israel.  Namun begitu, setakat pengetahuan saya, sehingga hari ini tiada seorang pemimpin Israel pun yang telah didakwa di mahkamah jenayah Antarabangsa sebagaimana yang telah dilakukan kepada para penjenayah perang lain seperti Slobodan Milosavic dan lain-lain lagi.

 

            Sesungguhnya hanya berbekalkan semangat jihad dan keredhaan untuk syahid membolehkan para pejuang Hamas terus berjuang mempertahankan agama dan tanah air mereka.  Ingatlah firman Allah yang antara lain mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela agama Allah, nescaya Allah akan membela kamu dan akan menetapkan kamu".  (Surah Muhammad, ayat 7).

 

1 comment:

Unknown said...

Assalmu'alaikum teman-teman semua.

Saban masa, Palestin bermandi darah. Acap kali itu juga umat Islam akan menunjukkan rasa marah dan benci. Begitulah keadaan dunia Islam kini. Namun begitu, setidak-tidaknya, kita terus dikejutkan dan dikejutkan daripada lena dalam istana indah yang fana.

Rasanya, terdapat beberapa persoalan untuk direnungkan. Antara lain, ke manakah perginya persaudaraan Islam sejati, terutamanya di kalangan golongan berada? Mengapa hari ini kita berbangga dan mengutamakan nasionalisme dalam segala wadah perjuangan? Sejauh manakah penghayatan terhadap perlembagaan Allah berbanding perlembagaan ciptaan manusia? Adakah faktor "hubungan antarabangsa", penghalal jalinan kemesraan dengan pemimpin-pemimpin kafir?

Di atas semua segala persoalan inilah, pada pendapat saya, Malaysia juga tidak terkecuali menanggung dosa membiarkan penderitaan saudara seagama ini. Bukan hendak mengutuk atau mengkritik dengan melampau, namun inilah hakikat. Ada bukti sahih menyatakan lawatan kepimpinan Hamas meraih sokongan kita tidak dilayan sewajarnya oleh mereka yang berkenaan. Inikah sikap kita yang mendakwa kita "negara Islam", sekaligus pengerusi OIC? Apa peranan pertubuhan ini dalam memerangi Yahudi yang sebenarnya pengecut lagi penakut? Menghantar misi kemanusiaan membantu yang menderita, suatu langkah terpuji. Namun, adakah sekadar ini sahaja yang kita patut lakukan, sedang mereka yang menderita turut bersedih kehilangan yang tersayang dan tempat bergantung harapan?

Harus diingat, walaupun kita tidak akan jadi sebegitu, insya Allah, namun langkah pembersihan proaktif mesti diambil dari sekarang dengan kelebihan sistem yang sedia ada. Untuk sekian masa, perlembagaan Allah diremeh dan dipersenda dan pada ketika lain, laungan slogan bersama Islam enak terpacul daripada bibir mereka. Bersesuaian dengan kenyataan seorang pemimpin Britain pada kurun ke-19, jangan tinggalkan negara yang dijajah (terutamanya negara umat Islam) sehingga mereka mewarisi sekurang-kurangnya ideologi dan fahaman negara penjajah, ia tepat sekali dengan sepotong ayat daripada Surah Al-Baqarah yang saudara sebutkan. Malah, hadith Rasul SAW yang menggambarkan umat Islam akan terjerumus dalam perangkap Yahudi dan Kristian ini sedikit demi sedikit memperkuatkan lagi kenyataan yang kita hadapi kini. Bukan tidak berbangga di atas kemajuan yang dicapai, cuma trend kemajuan yang lebih berqiblatkan barat dan Yahudi inilah yang amat mendukacitakan. Marilah kita, setidak-tidaknya memperkukuhkan lagi kefahaman terhadap perlembagaan Allah dan cuba menghayatinya dalam kehidupan, bukan tertindak sebagai orang munafiq dan kafir yang ingin merosak dan meruntuhkan alam ini. Maaf sekali lagi kiranya ulasan ini menyinggung mana-mana pihak.

Terima kasih dan salam jihad.