Tuesday, January 6, 2009

Takziah

Takziah Kepada Keluarga Mohd Ghazali Tocheh

 

            Lebih kurang jam 3.00 petang tadi, iaitu sebaik sahaja saya selesai mengahdiri satu mesyuarat di sekolah, seorang rakan menghantar sms dengan memberitahu bahawa Saudara Mohd Ghazali Tocheh telah meninggal dunia awal pagi tadi.  Saya terkejut mendapat berita tersebut,  Untuk pengesahan lanjut, saya menelefon sendiri rakan saya itu dan beliau mengesahkan berita yang dihantarnya dan memberitahu dari mana sumber berita tersebut beliau perolehi.  Saya berpuas hati dengan kesahihan maklumat yang disampaikannya.

 

            Dalam beberapa tulisan saya melalui blog ini, memang saya ada menyentuh mengenai kematian.  Nah, sekarang berita yang ditakuti ramai itu menimpa salah seorang rakan saya dan mungkin rakan kita juga.

 

            Bagi saya, pemergian Saudara Mohd Ghazali Tocheh bukan sahaja kehilangan buat warga OKU penglihatan, bahkan ia turut merupakan kehilangan juga buat dunia sastera negara.  Beliau merupakan seorang novelis yang dikenali ramai.  Salah sebuah novel tulisan beliau menjadi salah sebuah teks bacaan untuk Komponen Kesusasteraan Melayu Bahasa Melayu peringkat menengah rendah.  Saya sendiri tidak pasti sudah berapa buah novel yang telah beliau hasilkan, tetapi yang pastinya memang agak banyak juga.

 

            Beliau juga merupakan pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan KL/Selangor.  Bakat kepimpinan beliau memang begitu terserlah dan menyerlah sekali.

 

            Sesungguhnya tempoh yang telah ditetapkan untuk Saudara Mohd Ghazali Tocheh di alam maya ini telah pun berakhir.  Hanya kita sahaja yang tetap tidak akan tahu bila pula tempoh untuk kita pula akan berakhir.  Marilah sama-sama kita banyakkan bekalan untuk menghadapi saat dan ketika yang penuh rahsia itu.  Hentikan segala dosa, fitnah, umpat, keji, busuk hati dan yang seumpamanya kerana semuanya itu hanya akan menjejaskan persediaan kita untuk menghadapi saat yang ramai tidak ingini.

 

            Kepada keluarga Saudara Mohd Ghazali Tocheh, saya ucapkan takziah dan rasa simpati yang mendalam.  Bersabarlah menghadapi ujian ini. Sesungguhnya kita ini dari Allah, dan kepada-Nyalah kita akan kembali.

 

Takziah daripada saya dan keluarga.

 

2 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, teman-teman sekalian.

Maha Suci Allah! Inilah yang dikatakan "time expire" ... Ya, tak akan ada siapa pun, walau kekasih-Nya sekalipun, tahu akan saat itu. Pada kesempatan ini juga, ingin saya ungkapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergiannya itu. Semoga Allahyarham Ghazali diterima Allah sebagai hamba-Nya yang berbakti, diampuni salah silapnya serta dijauhkan daripada segala macam duka di alam kubur dan alam akhirat nanti.

Terima kasih, saudara. Teruskan kirim maklumat bermanfaat sebegini tanpa jemu. Akhirnya, marilah kita bersama menginsafi, bahawa kita ni Dia yang punya; bila-bila masa sahaja boleh dijemput. Justeru, saya berpesan kepada diri sendiri dan teman-teman sekalian, khasnya yang mengaku beriman, jauhilah mungkar dan maksiat, dan dekati serta bermallah akan yang ma'ruf dan amal soleh untuk kebaikan. Termasuk juga, berusahalah agar hukum-Nya dapat ditegakkan di Malaysia, negara tercinta ini tanpa halangan daripada munafiqin, fasiqin dan kafirin yang kepala batu.

Terima kasih.

Tai said...

Semoga roh beliau dicucuri rahmat.