Thursday, January 22, 2009

Kisah Dan Teladan

Tomiyoki Wesugi: Satu Pengalaman

 

            Tomiyoki Wesugi adalah seorang warga Jepun.  Saya mengenali beliau kira-kira 21 tahun lalu.  Waktu itu saya baru sahaja di tahun pertama pengajian ijazah pertama di Universiti Malaya.  Tomiyoki  Wesugi, atau lebih mesra dengan panggilan Tomi merupakan penuntut ijazah doktor falsafah (phD).  Bidang kajian beliau ialah mengenai sejarah dan kebudayaan bangsa Murut di Sabah.

 

            Saya rasa, mungkin kita semua juga maklum, dari segi kemahiran bahasa Inggeris, rasanya rata-rata orang Malaysia lebih baik daripada orang Jepun khususnya dari aspek pronounciation.  Begitulah juga pemahaman dan persepsi saya ketika itu.  Memang, bila saya mendengar Tomi berbahasa Inggeris, aspek pronounciation beliau tidaklah sebaik orang Malaysia.  Pada masa yang sama, Tomi juga boleh dan agak fasih berbahasa Melayu.  Bila berinteraksi, kami lebih banyak menggunakan bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris.  Kebetulan pula kami tinggal di asrama kediaman yang sama dan duduk pula di tingkat yang sama.  Jadi, memang kami kerap berinteraksi antara satu sama lain.

 

            Sekali peristiwa, saya ke bilik Tomi yang tidak jauh dari bilik saya.  Bila Tomi membuka pintu biliknya, saya terus duduk di kerusi yang tidak jauh dari beliau.  Saya bertanya, apa yang sedang beliau lakukan.  Beliau menjawab, sedang membaca buku mengenai orang Murut.  Saya bertanya lagi, adakah buku tersebut berbahasa Melayu.  Jawab Tomi, buku tersebut adalah sebuah buku Inggeris yang ditulis oleh seorang pengkaji Eropah.

 

            Mendengar jawapannya, saya mungkin secara spontan terus ketawa.  Rupa-rupanya reaksi saya yang sedemikian telah mengundang rasa kurang senang pada Tomi.  Beliau terus meletakkan buku yang sedang dibacanya.  Kemudian dengan nada yang serius terus bertanya kepada saya: "Apa salahnya saya baca buku bahasa Inggeris?"  Bila saya sedar, saya mungkin sudah silap, saya pun berkata lagi: "Bukan saya ketawakan awak baca buku bahasa Inggeris, tapi .... " belum sempat saya menghabiskan ayat, Tomi terus memotong kata-kata saya "Memang kami orang Jepun kalau cakap Inggeris tidak sebagus orang Malaysia.  Tapi tengoklah orang Malaysia, walaupun bagus cakap Inggeris tapi dari segi teknologinya taklah sebagus orang Inggeris.  Kami orang Jepun walaupun tak bagus bila cakap Inggeris tapi teknologi yang kami ada sama taraf atau lebih baik daripada orang Inggeris."

 

            Tomi meneruskan lagi, antara lain katanya: "Saya nampak, orang Malaysia bila pandai cakap Inggeris mereka tidak ambil teknologi orang Inggeris tapi yang mereka ambil ialah budayanya sahaja.  Orang Jepun pula, kami tak ambil budayanya tapi kami ambil teknologi mereka kemudian kami sesuaikan dengan keperluan di Jepun.  Selepas saya berada di sini beberapa bulan, saya rasa tak perlu ke Eropah untuk melihat budaya Eropah, cukup di sini sudah dapat lihat budaya Eropah dipraktikkan oleh orang Malaysia.  Ini termasuklah pakaian, pertuturan, muzik, makanan dan sebagainya."

 

            Tomi menyambung lagi: "Kami orang Jepun, ketepatan pronounciation tidak penting sangat asalkan kami boleh faham dengan tepat, bila baca buku Inggeris kami betul-betul faham isinya dan boleh ambil ilmunya, itu yang penting.  Tidak ada maknanya kalau cakap bagus dan fasih tapi tak dapat ambil ilmu dan teknologi mereka."

 

            Akhir sekali, Tomi menyarankan: "Kalau orang Malaysia hendak maju seperti Jepun, kena ubah cara, gunakan bahasa untuk ambil teknologinya bukan setakat ambil budaya bangsanya semata-mata".

 

            Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja saya lari dari Tomi, tapi apa yang beliau katakan itu bagi saya adalah realiti orang kita.  Apa yang beliau perkatakan memang benar.  Sebilangan orang kita akan merasa tinggi diri, berlagak dan berbangga tak tentu sebab  hanya kerana mereka boleh berbahasa Inggeris dengan fasih.  Pada masa yang sama mereka tidak sedar kegagalan yang sedang dilalui apabila gagal memanfaatkan apatah lagi untuk memindahkan sebarang ilmu, kemahiran mahupun teknologi daripada bangsa berkenaan kepada kita melalui kefasihan kita dalam bahasa bangsa tersebut.

 

            Sehingga hari ini, dan sampai bila-bila pun kisah ini akan terpahat kukuh dalam ingatan saya.  Ia memang begitu memberi kesan kepada saya.  Bukan setakat itu, kisah ini turut menjadi pencorak kepada prinsip hidup saya untuk hari-hari seterusnya.

 

            Jika ditinjau dari sudut sejarah, apa yang diperkatakan Tomi ada benarnya.  Antara sebab penting Kerajaan Abbasiyah dan Andalusia dahulukala berjaya muncul sebagai sebuah empayar yang masyhur dan agung khususnya dalam bidang intelektual ialah kerana peranan golongan yang mahir dalam bahasa di mana golongan tersebut telah menjalankan aktiviti menterjemahkan hasil karya berbentuk akademik dari bahasa seperti Rom, Yunani dan sebagainya ke dalam bahasa Arab untuk dimanfaatkan oleh umat Islam.  Jumlah buku yang telah diterjemahkan pula bukannya sedikit.

 

            Begitu juga sebaliknya, kejayaan Eropah keluar dari Zaman Gelap (Dark Ages) ialah peranan golongan penterjemah ini yang telah menterjemahkan berbagai buku dan karya akademik daripada bahasa Arab ke dalam beberapa bahasa utama Eropah.  Usaha sebegini dilakukan secara berterusan dan berpanjangan.  Akhirnya Eropah telah muncul sebagai satu kuasa yang kemudiannya berjaya mengatasi umat Islam dalam pelbagai bidang.

 

            Hari ini, saya sendiri tidak tahu di mana Tomi berada. Namun begitu, kata-kata beliau seakan baru sekejap tadi diucapkan.  Masih terngiang-ngiang lagi di telinga ini bagaimana seriusnya nada suara beliau tatkala menghunus hujah untuk menyerlahkan pandangan bernasnya.

 

Terima kasih Tomi!

 

2 comments:

Tai said...

Sebab itu encik, sehingga sekarang, golongan buta yang mahir komputer masih tidak boleh mencipta pembaca skrin sendiri. Orang kita lebih berbangga dengan produk luar.

Unknown said...

Assalamu'alaikum dan salam bahagia, rakan-rakan sekalian.

Ya, realiti yang tak boleh dinafikan. Jika kita masih ingat, Maharaja Meiji yang berkuasa di Jepun di hampir penghujung kurun ke-19; Baginda merupakan antara pencetus perubahan dan pemodenan masyarakat Jepun ketika itu, yang juga tebal dengan adat dan tradisi, terutamanya dalam memartabatkan institusi diraja. Masih ingatkah kita akan fakta sejarah yang kita belajar di sekolah dahulu itu? Baginda juga dikenali sebagai "bapa pemodenan" Jepun ... Dan, sejak itulah, pembangunan dan kemajuan mereka begitu pesat sekali, sehingga mereka turut mampu mengalahkan tentera Rusia dalam peperangan 1905 dan antara kuasa penjajah yang digeruni sekitar Perang Dunia Kedua. Malah, hari ini, mereka juga antara pembekal produk, perkhidmatan serta "intelectual" yang setanding Amerika dan Eropah; malah ada yang lebih baik daripada itu!

Nah, mari kita renung sejenak sejauh mana kita telah benar-benar mampu menjadi sebuah negara maju. Bayangkan, kalau orang Jepun, membaca buku berbahasa lain, walau penguasaan bahasa lemah, isinya itu yang mahu diambil, bagaimana pula kita? Bukanlah bermakna kita mengenepikan sama sekali peranan bahasa antarabangsa, tetapi, sejauh manakah kita mengambil manfaat daripada penguasaan bahasa itu? Apa yang turut memilukan ialah, bahasa Arab yang merupakan bahasa Kitab, sudah semacam disisih secara beransur-ansur, dan melebihkan bahasa Inggeris, konon bahasa "antarabangsa" yang wajib dikuasai. Sudahlah begitu, sebagaimana kata sahabat saudara itu, kita memang lebih menjurus kepada mengambil budaya, bukan mengambil isi. Contoh terdekat ialah, antaranya pengistilahan yang tidak "consistant" serta trend muzik kini. Juga, sesetengah dasar yang kononnya untuk memperbaiki kelemahan, tetapi hakikatnya, antara langkah "undur ke belakang"/"kembali kepada jahiliyyah" seperti PPSMI yang sedang dibantah meluas oleh majoriti rakyat. Inikah strategi kita menjadi negara maju?

Akhirnya, marilah kita belajar mengatasi kelemahan secara praktikal menerusi kajian mendalam dan mengimplimentasi hasil yang terbaik, bukan sekadar terikut-ikut, ibarat daun ditiup angin. Juga, daripada kisah ini, akuilah kebenaran Al-Quran akan kelebihan mereka yang berilmu. Bayangkan, seandainya bangsa Jepun ini juga bangsa yang beriman (menerusi Islam), insya Allah, mereka akan lebih kelihatan mulia, dihormati lagi digeruni! Namun, apa hal sekalipun, kepentingan ilmu pasti tidak boleh dinafikan kerana Dia Yang Maha segalanya, Maha Mengetahui lagi meliputi ilmu-Nya, lantas kecekapan pentadbiran-Nya tiada mampu dipertikai. Selamat berjaya, Tomi.