Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu: Satu Tinjauan Awal Dari Jauh
Pilihanraya Kecil Parlimen P036 Kuala Terengganu telah pun berakhir semalam. Kemuncak kepada amalan demokrasi tersebut ialah apabila pada jam 9.30 malam pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan kemenangan kepada calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) YB Mohd Abdul Wahid Endut yang telah menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN) Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Menurut pengumuman tersebut, YB Mohd Abdul Wahid Endut memperoleh 32,883 undi. Manakala Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh pula mendapat 30,252 undi. Ini membolehkan YB Mohd Abdul Wahid menang dengan majoriti 2,631 undi. Calon bebas, Azaharuddin Mamat pula hanya memperoleh 193 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan. Jumlah undi rosak pula adalah sebanyak 665 undi. Jumlah peratusan pengundi yang mengundi pula adalah sebanyak 79.09%, iaitu rendah sedikit jika dibandingkan dengan peratusan pengundi pada PRU Ke-12 yang lalu. Pada masa yang sama, YB Mohd Abdul Wahid juga merupakan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, salah sebuah kawasan yang terletak di bawah kerusi parlimen Kuala Terengganu.
Dalam pilihanraya ke-10 pada tahun 1999, kerusi parlimen Kuala Terengganu telah dimenangi oleh Dr. Syed Nor Azman Syed Ahmad Nawawi dari PAS. Dalam pilihanraya ke-11 pada tahun 2004 pula, kerusi tersebut telah dimenangi oleh Dato' Razali Ismail (Allahyarham) dengan menewaskan penyandang sebelumnya. Manakala dalam pilihanraya ke-12 tahun 2008 lalu, Dato' Razali Ismail sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi tersebut setelah menwaskan Haji Muhammad Sabu dari PAS dengan majoriti 628 undi.
Jika ditinjau daripada majoriti yang diperoleh oleh calon PAS dalam pilihanraya kecil semalam, ia seakan menunjukkan PAS bukan sahaja berjaya merampas kerusi berkenaan, bahkan jumlah undi majoriti yang diperolehinya juga besar. Menurut tinjauan awal beberapa pemerhati politik, golongan muda sekali lagi telah berperanan besar dalam menentukan kemenangan calon PAS tersebut.
Keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu semalam tetap akan memberi kesan kepada perkembangan politik negara khususnya pada masa yang terdekat ini. Sama ada BN mahupun PAS tetap melihat kemenangan masing-masing dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu mempunyai significant yang tersendiri. Bagi saya, BN berada dalam keadaan lebih tertekan kerana penyandang sebelumnya bagi kerusi berkenaan adalah dari parti tersebut. Jika BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut di bawah penguasaannya, maka sekurang-kurangnya untuk setakat ini ia tidak mengubah komposisi kerusi yang ada di dewan rakyat. Sebaliknya, bila calon PAS yang menang, sudah tentulah ia akan mengubah jumlah kerusi yang dikuasai oleh BN dan Pakatan Rakyat di parlimen. Di peringkat dewan undangan negeri, ia tidak mengubah kedudukan kerusi sebagaimana yang ada sekarang.
Di peringkat parlimen pula, ia telah mengurangkan jumlah kerusi yang masih dikuasai oleh BN. Dalam pilihanraya ke-12 lalu, BN telah memperolehi 140 kerusi. Manakala Pakatan Rakyat pula telah memperoleh 82 kerusi. Selepas pilihanraya kecil semalam, BN hanya menguasai 137 kerusi sahaja lagi. Manakala Pakatan Rakyat pula telah menguasai 85 kerusi. Jumlah kerusi yang dikuasai BN berkurangan bukan sahaja disebabkan kekalahannya di Kuala Terengganu semalam, tetapi ia juga disebabkan sebelumnya Parti Maju Sabah (SAPP) telah pun keluar dari BN dan ini melibatkan 2 kerusi parlimen iaitu Tawau dan Sepanggar. Persoalannya kini, adakah keputusan ini akan memudahkan lagi usaha Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya?
Bagi saya, terdapat beberapa sebab yang membawa kepada kemenangan kepada calon PAS. Salah satu sebab ialah faktor calon. YB Mohd Abdul Wahid Endut merupakan seorang calon yang sudah pun dikenali ramai di kawasan itu. Rekod beliau yang berjaya mempertahankan kerusi bagi DUN Wakaf Mempelam selama 5 penggal berturut-turut harus diambil kira. Wakaf Mempelam pula merupakan salah satu kerusi DUN yang terletak dalam parlimen Kuala Terengganu.
Dato' Wan Ahmad Farid pula banyak digambarkan seorang yang tidak mesra rakyat.
Secara peribadi, saya berpendapat salah satu faktor penting Dato' Razali Ismail berjaya merampas kerusi tersebut dari tangan PAS dalam pilihanraya umum pada tahun 2004 dan berjaya mempertahankannya pula dalam pilihanraya ke-12 lalu ialah kerana keperibadian beliau yang tinggi. Beliau seorang yang mesra rakyat, mudah didekati dan cepat mesra. Hal ini saya sandarkan kepada pengalaman sendiri serta pengalaman beberapa rakan se-OKU yang turut sependapat. Menurut pengalaman rakan yang lain pula, dalam pergaulan seolah-olahnya tiada "hijab" antara beliau (Allahyarham) dengan semua pihak. Cara beliau yang sebegini bukan bermusim dan dibuat-buat, bahkan ia serupa sepanjang masa. Justeru tidak menghairankan jika ada penyokong parti lawan turut memberi undi kepada beliau dalam 2 pilihanraya yang lepas.
Satu lagi faktor kekalahan calon BN yang perlu diberi perhatian ialah peranan media prokerajaan nampaknya tidak lagi berkesan seperti masa lalu. Hal ini mungkin disebabkan peranan media itu sendiri pada masa lalu yang mula memberi kesan pada masa kini. Hari ini, tidak dapat dinafikan lagi, sebahagian rakyat merasakan media tertentu yang prokerajaan lebih dikenali sebagai media pemutar belit, memberi liputan berat sebelah, suka menggembar-gemburkan isu-isu yang kurang relevan dan sebagainya. Hari ini, golongan berkenaan mungkin akan membaca, mendengar dan menonton media tertentu yang dianggap prokerajaan, tetapi tidak semestinya mereka akan menelan bulat-bulat berita dan maklumat yang disampaikan oleh media berkenaan. Dengan erti kata lain, peranan dan keberkesanan media prokerajaan semakin tumpul. Sekiranya anjakan paradigma dalam aspek ini tidak berlaku, ia pasti akan memberi kesan yang lebih parah lagi pada masa yang akan datang.
Ketidakberkesanan media prokerajaan diburukkan lagi dengan peranan internet dan blog. Apabila rakyat sudah mula hilang kepercayaan kepada media kerajaan dan prokerajaan, mereka sudah pasti akan beralih kepada alternatif lain untuk mendapatkan maklumat. Jalan yang paling mudah dan cepat ialah menerusi internet dengan melungsuri banyak blog yang dirasakan lebih nutral atau propembangkang. Justeru, tidak menghairankan jika isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka yang propembangkang lebih mendapat perhatian.
Beberapa isu yang ditimbulkan dalam pilihanraya kecil itu juga turut menjadi penyebab kepada kekalahan calon BN. Antaranya ialah isu yang berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud. PAS sudah lama menyatakan rancangannya untuk melaksanakan hukum hudud jika mereka berkuasa. Usaha BN untuk menjadikan isu tersebut bagi memecahkan pakatan parti-parti pembangkan khususnya antara PAS dan DAP ternyata sia-sia. Komposisi pengundi di Kuala Terengganu yang meletakkan pengundi Melayu (Islam) sebagai pengundi terbesar tidak memungkinkan isu pelaksanaan hukum hudud dapat dimanipulasikan dengan berkesan. Bahkan ada antara pengundi yang berpendapat seolah-olah UMNO dan BN adalah penghalang kepada pelaksanaan hukum hudud. Demikianlah pendapat mereka.
Sebagaimana dalam pilihanraya yang lepas-lepas, politik wang banyak dikaitkan dengan BN dan UMNO. Hal yang serupa juga berlaku dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Kononnnya ada yang kecewa kerana dapat tak cukup wang.
Sogokan pembangunan juga dirasakan kurang sesuai untuk kawasan seperti Kuala Terengganu. Rata-rata Kuala Terengganu adalah kawasan bandar dan di situ juga terletaknya ibu negeri. Oleh itu, semakin ramai penduduk dan pengundi yang percaya walau siapa pun yang menjadi wakil mereka, pembangunan pasti akan berlaku. Bahkan ada yang percaya mereka memilih wakil bukan sekadar untuk membawa pembangunan tetapi untuk bercakap dengan lebih berkesan bagi pihak mereka (pengundi).
Sesungguhnya kekalahan calon BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu merupakansatu tamparan hebat khasnya kepada UMNO. Apatah lagi ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut kepada UMNO dalam pilihanraya kecil selepas PRU ke-12 lalu. Pada Ogos lalu, BN juga tewas dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Kekalahan BN kali ini lebih mendukacitakan kerana ia turut mengubah komposisi kerusi antara BN dengan Pakatan Rakyat di dewan rakyat.
Sekiranya BN ingin bangkit semula, sesuatu perlu dilakukan dari sekarang. BN perlu mendekati dan memahami golongan bawahan dan marhaen dalam erti kata yang sebenar. Jangan turun
Akhir sekali, saya amat tertarik dengan seruan oleh Murshidul Amr PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nikmat yang meminta supaya PAS dan komponen Pakatan Rakyat agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh melukakan hati pihak yang kalah. Inilah antara methodologi dakwah yang perlu diamalkan oleh semua pihak.
2 comments:
Actualy, masa tok najib bagi tau calon hari tu, kami semua, dah tau dah BN akan tewas. Sebab utamanya, mungkin encik dapat agak. Faktor calon memang ya. Saya tak maulah cakap sebab paling utama kami dah tau BN akan kalah selepas nama calon BN diumumkan oleh tok najib.
Keduanya, orang kata, ketegak. Tak mau dengaq cakap. kami dah bagi tau, wujudkan blog. Sebabnya, blog sekarang menjadi medum berinteraksi dengan rakyat jelata. ha, ketegak. Tak mau dengar cakap. Itulah antara puncanya.
Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan sahabat pengunjung sekalian.
Sememangnya, segala analisa saudara benar lagi tepat. Mana tidaknya, keprihatinan bermusim, laporan berat sebelah, ditambah isu tempatan seperti projek-projek membazir yang hanya menguntungkan yang kaya, dimangkinkan lagi dengan isu royalty petroleum ... Semuanya ini jelas bukti UMNO, khasnya dan BN, amnya, bolehlah kita katakan sudah terkeluar daripada landasan perjuangan yang mereka laung-laungkan selama ini. Juga, isu seperti ISA, PPSMI, keperibadian peneraju kempen dan kesepakatan jalinan kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR), gedung-gedung keemasan terhadap kejayaan ini, yang ditambah unsur-unsur spiritual diterajui tuan-tuan guru dan para ulama, terutamanya PAS. Malah, kesepakatan pemimpin PR menghargai Allahyarham Dato' Razali pada setiap sesi pertemuan bersama media dan pada sesi ceramah mereka juga bukti konkrit dasar perjuangan mereka yang dilihat pengundi lebih telus.
Memang sahih, media arus perdana juga berperanan mengampu dan membodek dengan memutar-belitkan kenyataan sebenar dan sikap berat sebelah akibat tekanan hebat pemerintah sekarang adalah racun berbisa. Bercerita berkenaan ketidakadilan liputan, suatu ketika dahulu, Radio24 banyak memberi ruang liputan berita serta temuramah dengan kepimpinan PR, terutamanya Y.B. Hj. Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena. Namun, sejak Ogos 2008 yang lalu, mereka turut menyiarkan berita berat sebelah, dan menurut sumber yang boleh dipercayai, ia disebabkan surat tunjuk sebab/amaran oleh mereka yang berkenaan. Sebab itu juga, jika kita masih ingat, Tun Mahathir pernah mengharamkan HarakahDaily daripada pasaran dua dekad lebih yang lalu ketika beliau menerajui kepimpinan. Dan, di sinilah hikmah dan rahmat adanya teknologi Internet yang digunakan PR sepenuhnya, sekaligus memperbanyak sokongan generasi muda. Faktor sampingan lain seperti kelemahan Malaysia sebagai pengerusi OIC dalam menangani isu Palestin turut disepakati PR, umpamanya, dengan pendedahan Dato' Seri Anwar Ibrahim berkenaan layanan kerajaan terhadap Hamas, turut beroleh simpati mendalam pengundi, terutamanya golongan pejuang dan pencinta agama. Kepercayaan pengundi terhadap kerajaan lebih diparahkan lagi apabila terdapat kawalan keselamatan yang mereka sifatkan "TERAMAT LUAR BIASA" dan beberapa taktik kotor seperti menjanjikan pembangunan di saat akhir, amaran/ugutan terhadap kakitangan kerajaan dan agensi tertentu untuk mengundi mereka, kegagalan calon BN (Dato' Wan Farid) menangani isu royalty yang kononnya telah dilunaskan, dan akhirnya, taktik kurang/tidak bermoral BN hingga ke saat akhir (hari membuang undi) untuk memancing undi.
Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan setinggi penghargaan kepada pemenang, dan mengucapkan takziah kepada yang kalah. Bagi saya, pengajaran yang terpenting di sini ialah walau sehebat mana sekalipun kita, kita tetap hamba dan abdi kepada-Nya. Janganlah kita angkuh terhadap milikan kita yang fana ini, kerana setiap makhluq yang dicipta pasti, insya Allah, terdapat keistimewaan yang tiada pada kita. Contohilah mereka yang diredhai Allah semampu boleh, dan jika tak sanggup, berundurlah kita sebagai wakil rakyat agar dosa kita dapat diminimumkan. Sebagai seorang yang beriman, yaqinlah, undang-undang-Nya tidak perlu dipertikai, apatah lagi dipersenda, yang mengakibatkan buta hati. Bertanyalah kepada yang mengerti jika tak tahu. Syabas, juga kepada rakan-rakan pengundi di Kuala Terengganu; kalian telah cukup dewasa. Akhirnya, kita berharap kedua pihak akan saling bermaafan dan melupakan segala yang telah berlalu, sekaligus memantapkan lagi perpaduan dan saling bekerjasama agar Malaysia benar-benar disegani dunia lantaran kemajmukan budaya namun kuat jalinan persefahaman. Ibarat kata, "bersatu teguh, bercerai roboh."
Terima kasih, dan teruskan berkarya.
Post a Comment