Masjid Oh Masjid
Isnin lalu, ketika saya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan, saya singgah di sebuah masjid. Selain dari ingin menunaikan kewajipan sebagai umat Islam, tujuan saya dan keluarga singgah juga adalah untuk memenuhi tuntutan hajat semula jadi. Alangkah mendukacitakan apabila keperluan tuntutan hajat itu gagal saya penuhi. Kegagalan itu adalah kerana persekitaran tempat saya sepatutnya menyempurnakan hajat itu amat tidak mesra pengguna. Secara tiba-tiba dan tanpa dipaksa terbantut semuanya! Rupa-rupanya ahli keluarga saya yang lain juga turut mengalami situasi yang sama walaupun di ruang yang berbeza. Rumusanya, memang di masjid berkenaan tempat untuk menyempernakan hajat semula jadi sedemikian sememangnya tidak mesra pengguna.
Di ruang yang saya singgahi, memang ia menimbulkan bau yang sungguh kurang menyenangkan. Saya yang "begini" pun tersangat mampu untuk mengesannya! Manakala ahli keluarga saya yang lain pula memberitahu, di ruang tempat mereka singgah, airnya bertakung. Baunya menyesakkan hidung. Beberapa ketulan kelihatan terapung-apung. Akhirnya, hasrat untuk menyempurnakan hajat dan bersolat di situ terpaksa dibatalkan. Kami terpaksa mencari tempat yang lain nampaknya.
Di sebuah masjid lain pula, sebuah lagi kenderaan yang membawa ahli keluarga saya juga telah singgah dan ingin melakukan hal dan tujuan yang sama. Harap-harapnya di sini semuanya akan sempurna. Lagipun masjid berkenaan merupakan antara masjid terkenal dan menjadi tumpuan pelancong pula. Malangnya perkara yang hampir serupa juga terjadi. Sungguh mengecewakan!
Kisah ini saya paparkan kerana ini bukan kali pertama saya sekeluarga mengalami perkara yang sama. Saya masih ingat lagi hampir setahun yang lalu, kami turut melalui pengalaman yang hampir serupa di negeri yang sama. Ini bermakna, walaupun sudah hampir setahun berlalu, situasi seperti ini masih lagi tidak berubah. Hampir-hampir saya membuat satu generalisasi!
Dalam hal ini, bagi saya, dua pihak harus sama-sama bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan. Pihak yang saya maksudkan ialah pengguna dan pengurusan masjid.
Golongan pengunjung dan pengguna merupakan golongan yang paling utama yang harus memikul tanggungjawab menjaga kebersihan di tempat seperti masjid. Jika kita selaku pengguna mengharapkan keselesaan, maka kita seharusnya turut memberikan keselesaan kepada pengguna lain. Jumlah pengguna yang ramai sepatutnya tidak menjadi alasan jika semua pengguna sama-sama bertanggungjawab dan peka kepada keselesaan pengguna lain. Apabila ada seorang dua pengguna yang kurang bertanggungjawab dan kurang pandai untuk menjadi pengguna yang baik, yang akan tercemar bukan pengguna yang berkenaan, tetapi akan melibatkan imej agama dan bangsa sendiri juga. Bak kata peribahasa, kerana seekor kerbau yang membawa lumpur, habis semua terpalit.
Sikap sedemikian amat bertentangan sekali dengan apa yang telah diajarkan oleh agama Islam. Dalam Islam, kebersihan merupakan elemen yang sangat penting. Ia selaras dengan Firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: ".... sesungguhnya Allah amat mengasihi golongan yang bertaubat dan golongan yang suci bersih" (Albaqarah, ayat 222, juzuk 2). Oleh itu, selaku pengunjung dan pengguna, marilah sama-sama kita menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan peka kepada keselesaan orang lain.
Pihak pengurusan masjid pula tidak seharusnya membiarkan keadaan sedemikian berlarutan dan berpanjangan. Apabila hal ini terus dibiarkan, yang akan mendapat nama yang tidak baik ialah masjid dan qariah yang berkaitan juga. Apabila masjid di qariah kita menjadi tempat tumpuan awam atas apa jua sebab sekalipun, maka suatu perancangan yang praktikal harus difikirkan dan dilaksanakan agar kebersihan di kawasan masjid termasuklah tandasnya sentiasa terpelihara sepanjang masa. Jika difikirkan perlu untuk meletakkan papan peringatan mengenai penjagaan kebersihan penggunaan tandas, maka tiada salahnya untuk ia dilakukan asalkan papan peringatan sedemikian diletakkan di tempat yang benar-benar sesuai dan ia tidak mengganggu pandangan dan pemandangan. Bahkan, pihak pengurusan masjid sepatutnya melipatgandakan usaha menjaga kebersihan kawasanmasjid bilamana kita ketahui di sesuatu musim masjid di kawasan kita akan menjadi tempat tumpuan awam.
Oleh itu, jika kedua-dua pihak, pengunjung/pengguna dan pengurusan masjid sama-sama memahami tanggungjawab masing-masing, saya yakin keadaan seperti di atas akan dapat diperbaiki. Dengan itu, barulah imej Islam sebenar akan terserlah. Jika ini dapat dicapai, maka tujuan kita ke masjid untuk beribadat akan lebih sempurna lagi. Ini kerana darjah kekhusyukan akan bertambah baik kerana mungkin tiada lagi rungutan sepi tatkala kita sedang mengadap-Nya.
Saya yakin masalah yang serupa juga berlaku di tandas-tandas awam yang lain. Apabila ia berlaku di tandas awam dan tidak melibatkan masjid, ia hanya melibatkan masyarakatnya sahaja. Bila ia turut melibatkan tandas di masjid, maka ia akan turut memberi inej yang tidak baik kepada masyarakat dan agama Islam itu sendiri. Marilah sama-sama kita pelihara kebersihan seluruh persekitaran masjid sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.
3 comments:
Salam perkenalan cikgu...
Awat masjid bleh jadi lagu tu? sepatutnya masjid sentiasa terpelihara... x faham la... geram pun ada!
Assalamu'alaikum, saudara dan sahabat pengunjung sekalian.
Terima kasih! Sekali lagi, saudara memaparkan fakta sebenar! Alamak, kalau begini gayanya, memang teruk! Memang, kalau nak cerita fasal kebersihan, boleh dikatakan rata-rata masyarakat kita ini cukup terkenal sebagai masyarakat "pembersih" (terbalik)! Sering juga saya dengar dan rasai sendiri akan suasana persekitaran tandas/bilik air awam, dan sesekali, di masjid. Cuma, yang lebih menarik, saudara kali ini, dan acap kali singgah ke tempat seperti itu, saudara rasai suasana sebenar (real-time), bukan sekadar omongan orang ramai!
Dalam hal ini, saya berpendapat, penguatkuasaan undang-undang/peraturan ketat lagi bersifat mendidik juga perlu, meskipun ia seolah-olah mengurangi keikhlasan golongan sasaran. Bayangkan, jika tidak memakai tali pinggang keledar di belakang dihukum, apatah lagi kes-kes semacam ini? Justeru, kerjasama erat diperlukan di antara AJK dan pentadbiran masjid untuk menguatkuasakan peraturan seperti itu, hatta jika ia disebabkan oleh AJK itu sendiri. Mungkin tak menasabah, tetapi, kalau hendak seribu daya, kan? Serentak itu juga, kempen sedia ada juga mesti diteruskan, malah ditekankan lagi dengan nas-nas sahih akan tuntutan kebersihan tersebut. Ini akan menjadikan pentadbiran masjid aktif, bukan hanya pada nama sebagai tempat suci, tetapi sebaliknya. Semoga langkah sebegini akan mampu juga mendidik masyarakat, terutamanya kita, agar memahami tuntutan kebersihan dan kesucian, sekaligus, insya Allah, akan melahirkan generasi pembersih lagi suci pada masa hadapan. Barulah, Malaysia "SERBA BOLEH!!!"
Terima kasih.
Banyak susahlah kan encik?
Post a Comment