Friday, January 2, 2009

Kisah Dan Teladan

Cerita seorang Rakan

 

            Baru-baru ini, saya berkesempatan menziarahi seorang rakan di Negeri Sembilan.  Beliau seorang yang berpenglihatan, periang, peramah, banyak cakap, mudah mesra, baik hati, penyabar dan berbagai lagi.  Tujuan saya menziarahi beliau ialah kerana beberapa hari sebelumnya, beliau ada menelefon saya dan memberitahu mungkin beliau akan jadi seperti saya.  Mulanya saya kurang faham.  Setelah beliau memberitahu lebih lanjut, barulah saya mengerti.  Rupa-rupanya ada kemungkinan beliau akan hilang penglihatannya.  Atas rasa empati yang mendalam, maka saya pun pergilah menziarahi beliau.

 

            Di rumahnya, kami berbual agak panjang.  Beliau memberitahu, sudah beberapa hari mata sebelah kanannya tidak dapat melihat lagi seperti biasa.  Katanya lagi, doktor memberitahunya ada koyakan dan pendarahan pada matanya.  Keadaan agak rumit kerana beliau juga menghidap kencing manis yang agak serius.  Seterusnya beliau bertanya, jika apa-apa terjadi, sanggupkah saya mengajarnya menulis dan membaca Braille?  Mulanya saya anggap beliau berseloroh.  Dengan selamba saya mengatakan, kalau hendak belajar Braille bukannya susah sangat pun.  Ambil sebuah buku Braille, rebus dan minumlah airnya, dengan sekelip mata sahaja dia akan mahir menulis dan membaca Braille.  Walaupun sambil ketawa, beliau meneruskan dengan katanya, jika apa-apa terjadi pada sayalah beliau akan bergantung harap untuk kekuatan semangat.  Inilah kelemahan saya kerana gagal membaca riak mukanya.  Seandainya saya tahu dia memang serius dari mula, saya tidak akan berseloroh sejauh itu.

 

            Saya segera meyakinkan beliau bahawa beliau tidak akan jadi seperti saya.  Beliau masih ada peluang dan kesempatan untuk memulihkan penglihatannya.  Berdoa dan berusahalah, insya Allah segalanya akan pulih seperti sediakala.  Lagi pun, beliau masih lagi dalam pemerhatian doktor.  Pun begitu, saya turut memberi jaminan, seandainya ditakdirkan beliau jadi seperti saya, maka saya akan membantunya semampu mungkin.  Saya dapat merasakan yang beliau begitu senang hati mendengar jaminan sedemikian daripada saya.

 

            Sebenarnya, rakan saya itu masih belum lagi sepenuhnya hilang penglihatannya.  Doktor masih berusaha merawat beliau untuk memulihkan penglihatannya.  Walaupun masih di tahap itu, saya dapat merasakan kebimbangan yang amat tinggi dari beliau.  Maklumlah, siapa pun kalau boleh tidak mahu menjadi buta.  Walaupun beliau amat senang sekali bersahabat dengan orang yang tidak berpenglihatan, tetapi itu tidak bermakna beliau telah cukup persediaan jika ditakdirkan penglihatannya hilang.  Walau bagaimanapun, kalau sudah takdir, apa boleh buat.

 

            Jauh dalam hati, jika benar-benar ditakdirkan beliau hilang penglihatannya, saya juga turut merasa bimbang atas beberapa perkara.  Usia beliau lebih tua daripada saya.  Mampukah beliau untuk menyesuaikan hidupnya dengan suasana yang baru?  Selama manakah beliau akan mengambil masa untuk menyesuaikan dirinya dengan suasana yang baru itu?  Masih sudikah lagi rakan-rakannya yang lain untuk terus bersahabat dengan beliau?  Bagaimana pula dengan pekerjaannya?  Bahkan yang terpenting sekali, jika telah ditakdirkan sedemikian, sejauh manakah beliau dapat menerima hakikat bahawa penglihatannya sudah tiada lagi?  Namun begitu, jauh di sudut hati, saya berdoa dengan bersungguh-sungguh semoga Allah tidak menarik nikmat penglihatan daripada rakan saya itu.  Saya yang sudah begini sejak kecil pun adakalanya terasa mencabar juga ujian yang datang.  Hanya rela dan redha sahaja penawar dan ubat yang amat mujarab.

 

            Sebenarnya cerita yang menimpa rakan saya itu bukanlah kisah pertama yang saya temui.  Sebelum ini pun, banyak kisah yang hampir serupa telah saya dengar dan temui sendiri.  Pernah berlaku di mana seseorang hilang pekerjaannya setelah penglihatannya hilang.  Ada juga yang musnah rumah tangganya setelah si suami menjadi buta.  Ada juga yang merasa dirinya tersisih setelah dia tidak lagi dapat melihat.  Kejadian hilang penglihatan ini boleh menimpa sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa pula.  Saya sendiri pernah temui antaranya pensyarah, guru, jurutera, kakitangan bank, buruh, ramaja, orang tua dan berbagai lagi.  Pelbagai sebab boleh dikaitkan dengan kejadian kehilangan penglihatan tersebut.

 

            Saya yang sudah jadi begini pun, bila mendengar kisah seperti cerita rakan saya itu merasa insaf juga.  Esok atau lusa, kita sendiri tidak pasti nikmat yang mana pula akan diambil kembali daripada kita.  Bagi saya, yang paling penting ialah kita bersyukur dengan nikmat yang ada.  Setiap kejadian ada hikmah di sebaliknya.  Sebagai insan, adakalanya kita terlalu sombong dan takabbur dengan sedikit nikmat yang dipinjamkan kepada kita.  Hanya setelah nikmat itu ditarik kembali barulah kita merasa sedar dan sesal yang tidak berkesudahan.

 

            Akhirnya, sebelum kami berpisah, sempat juga saya berkata kepada rakan saya itu: "Kalau jadi buta masih tak mengapa, tapi jangan kita membutakan orang buta."  Agaknya rakan saya itu mungkin sedikit terkejut dengan kenyataan saya.  Beliau lantas bertanya: "Macam mana pulak tu?"  Saya meneruskan: "Contohnya orang yang sudah bertahun-tahun mengajar murid buta tapi masih tak tahu menulis dan membaca Braille."  Agaknya rakan saya itu semakin hairan, lalu bertanya lagi: "Ada ke orang yang semacam itu???"

 

Salam Dari Kuantan.

 

2 comments:

Tai said...

Ha, harap rakan cikgu dapatlah menghadapi semua ini dengan tabah. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Unknown said...

Salam pertemuan, rakan-rakan sekalian.

Tajuk kisah ini mengingatkan saya kepada artis A Halim ... Tapi, lagu itu mengisahkan kecewa cinta. Yang ini pula, benar-benar kisah yang kita patut renung sedalam mungkin.

Marilah kita bersama doakan agar rakan saudara ini tabah menghadapi situasi sebegini. Juga, andainya dia diuji dengan diambil nikmat penglihatannya itu, dia diganjari pula kelebihan lain yang jauh lebih menguntungkan. Namun begitu, semoga usahanya mengekalkan penglihatan direstui-Nya dan diberi pahala jihad.

Ya, memang benar. Gejala "membutakan orang buta" kini nampaknya semakin berleluasa, bukan setakat mereka yang nampak sahaja. Mengapa? Maaf, kalau saya sorot sedikit fakta sejarah: sejauh manakah kemajuan OKU penglihatan Malaysia setelah 51 tahun merdeka ini? Bukan merungut, tapi, kalau dilihat, umpamanya, kisah "BAKAT TERPENDAM" dalam blog ini sahaja pun, fakta solid gejala "membutakan" ini, apatah lagi nak bincang fasal ICT, kerjaya, dan sebagainya. Teruskan saudara, menyumbangkan kisah dan fakta bernas serta penglibatan PERTIS dalam memajukan masyarakat kita dari sudut keagamaan. Semoga yang masih lena dibuai mimpi akan tersedar lagi terjegil mata melihatkan sisa-sisa kemusnahan yang mereka rencanakan sama ada secara langsung mahupun tak langsung.

Terima kasih.