Tuesday, January 20, 2009

Menungan Malam

Mereka Adalah Anak-anak Kita

 

            Petang semalam, tatkala duduk sambil berehat seorang diri di hadapan rumah, tiba-tiba lalu segerombolan bebudak sambil  berbasikal agaknya.  Pada masa yang sama, gerombolan bebudak berkenaan mungkin sedang berkelahi sesama mereka.  Bukan sekadar hingar dan bingit, tetapi yang tak sedap didengar ialah kalimah yang keluar dalam perkelahian tersebut.  Antara yang sempat saya ingat dan catat kemudiannya ialah:

 

            " ... Bodoh, ... emak kau, ... babi, ... p.....k, ... sial, ... "

 

            Walaupun gerombolan bebudak tersebut terus berlalu, tetapi mereka berlalu sambil menghingarkan kalimah-kalimah tersebut, seolah-olah sedang menjajanya di seluruh taman perumahan ini.  Saya dapati fenomena sebegini semakin kerap berlaku dan di merata tempat pula.  Bila ia terjadi, tak ada seorang pun khususnya orang dewasa yang berani menegur gelagat bebudak tadi.  Saya sendiri tak tahan hati mendengarnya, tapi ... mereka cepat sangat berlalu.

 

            Mengapa fenomena sebegini semakin kerap berlaku?  Mengapa orang dewasa zaman ini sudah tak berani lagi menegur kelakuan seperti gerombolan bebudak tadi?  Siapakah yang bersalah sehingga gerombolan bebudak tadi berkelakuan sedemikian?  Mengapa gerombolan bebudak tadi seolah-olah telah hilang perasaan malu kepada masyarakat sekeliling?

 

            Bila berhadapan dengan gelagat seperti ini, terus terlintas dalam minda saya kata-kata Imam Ghazali yang antara lain berbunyi: "Kalau kita ingin tahu apa yang akan terjadi kepada negara pada masa depan, lihatlah pemudanya pada hari ini".  Demikianlah.

 

            Adakah pewaris dan pemimpin negara kita di masa depan akan terdiri daripada golongan seperti gerombolan bebudak tadi?  Apakah peranan kita dan masyarakat untuk membendung fenomena seperti di atas?  Apa sudah jadi dengan sistem kekeluargaan dan pendidikan kita?

 

            Bagi saya, semua pihak mesti memainkan peranan dengan cara yang betul supaya keadaan yang ada dapat diperbetulkan.  Para ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai budi bahasa dan agama sepanjang masa.  Di sekolah pula, para pendidik harus menunjukkan teladan yang baik setiap ketika.

 

            Selain itu, jika anak-anak kita atau murid-murid kita mengeluarkan kalimah-kalimah yang tidak sopan, teguran serta-merta harus dibuat supaya mereka tahu kalimah yang digunakan tidak sesuai dan kurang sopan.  Teguran serta-merta itu sangat perlu agar ia memberi kesan mendalam kepada si pelakunya.  Kalau perlu dihukum, maka hukumlah mereka dengan hukuman yang sesuai dan dengan niat untuk mendidik.

 

            Di samping itu, para ibu bapa khasnya, harus memberi peluang kepada masyarakat untuk menegur anak-anak mereka jika anak-anak tadi mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan di khalayak ramai.  Masyarakat mungkin tidak berani menegur perbuatan sumbang seperti gerombolan bebudak tadi kerana tak mahu "cari fasal" dengan ibu bapa bebudak tadi.  Jika semua pihak faham peranan yang harus dimainkan dalam mengatasi gejala di atas, maka saya yakin masalah dan fenomena ini akan dapat di atasi sedikit demi sedikit.

 

            Marilah kita sama-sama membentuk anak-anak kita dengan acuan yang betul kerana mereka adalah pewaris negara pada masa hadapan.  Budak-budak tadi bukannya orang lain, mereka adalah anak-anak kita juga .... Renung-renungkanlah!!!

 

2 comments:

Tai said...

masalahnya cikgu, kalau ditegur, nanti makpak depa marah. masa kita dahulu, tak dengaq semua benda pelik-pelik ni. Di tempat saya, sama saja. kecik-kecik lagi, dah pandai mencarut dan maki-hamun orang. Payah la ni.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Syabas! Terima kasih di atas kisah benar ini. Teringat saya, sewaktu bersekolah dahulu, tak usah nak maki hamun, nak guna bahasa kasar seperti "aku", "engkau" ... pun, tak boleh. Sesiapa yang didapati menggunakan walau sepatah pun kalimah seperti itu, pasti ditampar! Tapi, ... Tak tahulah, apa nak jadi dengan anak-anak kita sekarang.

Ya, semua pihak mesti memainkan peranan sewajarnya mengembalikan semula budi pekerti dan akhlak anak-anak kita sekarang. Saya percaya, di samping peranan pihak-pihak yang saudara sebutkan, pemerintah turut berperanan besar dalam hal ini. Umpamanya, kurangkan secara beransur-ansur rancangan/siaran radio dan TV yang melalaikan, yang adakalanya begitu jijik didengar. Perbanyakkan siaran pendidikan walaupun berhibur, dengan menyiarkan drama, filem serta lagu yang merangsang fikiran, bukan asyik dengan romantis sahaja. Di samping itu, kita sebagai penjaga mereka juga boleh bertindak proaktif seperti mengawal aktiviti mereka di dalam dan luar rumah dengan mengenalpasti siapa mereka berkawan dan mengatur aktiviti dalam rumah dengan jadual tak langsung yang lengkap. Akses ICT, terutamanya kandungan di Internet juga mesti diawasi agar mereka tidak cenderung membuang masa menonton yang tidak sewajarnya atau bermain permainan yang mengkhayalkan. Akhirnya, sebagaimana pesan saudara, kita sebagai ibu bapa mereka mesti menjadi contoh terbaik kepada mereka. Bersamalah kita memperbetulkan keadaan demi faedah dan kesejahteraan kita bersama.

Terima kasih.