Showing posts sorted by relevance for query Panel E-Braille Quran. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query Panel E-Braille Quran. Sort by date Show all posts

Sunday, July 24, 2011

Booth PERTIS - FKM UTM Di Pameran Oasis Tilawah Peringkat Antarabangsa

Baru-baru ini, sebagaimana biasa saban tahun, tilawah Alquran peringkat antarabangsa telah diadakan. Bersempena dengan tilawah tersebut, satu pameran turut juga diadakan. Pameran berkenaan di bawah anjuran Oasis Tilawah. Ia telah diadakan di Legar Putra, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Pameran tersebut telah berlangsung selama 4 hari, iaitu bermula pada 20 Julai (Rabu) dan telah berakhir pada 23 Julai (Sabtu) 2011.



Pameran berkenaan telah dirasmikan oleh YB Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Upacara perasmian pameran telah berlangsung pada 21 Julai 2011 (Khamis). Saya sendiri tidak dapat menghadiri upacara perasmian berkenaan kerana pada masa yang sama saya ke Putrajaya bagi menghadiri satu mesyuarat di Parcel C. Berdasarkan khabar yang saya terima, upacara perasmian telah berjalan lancar, bahkan YB Timbalan Menteri turut mengunjungi booth kendalian PERTIS – FKM UTM.



Dalam pameran kali ini, Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan bantuan serta kerjasama erat daripada pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah turut sama menyertainya. Boleh dikatakan kebanyakan badan atau organisasi yang menyertai pameran ini bertujuan untuk memperkenal serta sekaligus menjual produk masing-masing. Ia merupakan kesempatan yang baik bagi badan-badan dan organisasi berkenaan untuk menjual produk yang telah dihasilkan. Hal ini ditambah lagi apabila bilangan pengunjung yang telah datang sememangnya ramai. Namun begitu, bagi PERTIS dan juga pasukan penyelidik daripada FKM UTM, tujuan kami menyertai pameran ini adalah sekadar untuk memperkenalkan panel E-Braille Quran serta aplikasi terkini yang sedang dibangunkan. Oleh itu, kepada para pengunjung yang mengunjungi booth kendalian PERTIS – FKM UTM, mereka akan diberi informasi mengenai Alquran Braille serta teknologi terkini yang berkaitan dengan Alquran Braille. Selain itu, beberapa maklumat mengenai PERTIS serta aktiviti yang sedang dilaksanakannya juga turut dipamerkan di booth PERTIS – FKM UTM.



Oleh kerana pada waktu biasa saya akan ke sekolah untuk bertugas seperti biasa, maka saya akan berada di booth pada sebelah petang atau malam. Sudah tentulah selaku YDP PERTIS sokongan serta kehadiran saya di booth kendalian PERTIS dan FKM UTM merupakan suatu kemestian.

Saya dimaklumkan sambutan daripada para pengunjung memang memberansangkan. Rata-rata mereka masih lagi tidak terdedah dengan Alquran Braille, apatah lagi untuk memahami teknologi E-Braille Quran.





Beberapa orang daripada kumpulan Rabani turut mengunjungi booth PERTIS – FKM UTM. Saya sendiri yang turut sama memberi penerangan kepada mereka mengenai Alquran Braille serta teknologi terkini yang berkaitan dengan Alquran Braille.





Pada 23 Julai (Sabtu) juga, PERTIS – FKM UTM telah diberikan satu slot oleh pihak penganjur pameran untuk memberi penerangan mengenai Alquran Braille kepada pengunjung yang hadir ketika itu. Untuk itu, saya sendiri telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan slot berkenaan. Untuk itu, saya telah membahagikan slot kepada dua segmen, iaitu segmen penerangan mengenai Alquran Braille serta projek E-Braille Quran dan juga segmen mengalunkan bacaan ayat-ayat Alquran secara tarannum. Bagi memantapkan slot berkenaan, saya telah menyediakan lebih kurang 39 slide yang kemudiannya telah ditayangkan kepada hadirin di sekitar Legar Putra. Setelah segmen penerangan mengenai Alquran Braille selesai, ia terus disusuli dengan alunan bacaan ayat-ayat Alquran oleh Saudara Ahmad Qusairi bin Md Zizi yang telah menggunakan panel E-Braille Quran yang telah dibangunkan. Serentak dengan bacaan ayat Alquran yang dialunkan oleh Saudara Ahmad Qusairi yang dibaca menerusi panel E-Braille Quran, saya pula berperanan memancarkan menerusi LCD ayat-ayat yang sedang dibaca. Apa yang saya pancarkan ialah ayat-ayat Alquran bertulisan biasa. Tujuannya ialah supaya para hadirin dapat menyemak sama bacaan Alquran yang sedang dialunkan oleh Saudara Ahmad qusairi. Alhamdulillah, segalanya telah berjalan dengan lancar. Saya turut bersyukur kerana jari-jemari saya tidak tersalah tekan pada papan kekunci komputer, maklumlah keadaan yang agak bising sedikit sebanyak telah mengganggu penumpuan saya pada aplikasi JAWS. Di sini, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pasukan penyelidik daripada FKM UTM, terutamanya kepada Prof. Madya Dr. Mohamed Hussein dan Tuan Haji Mohd Yunus yang telah memberi sokongan moral sebelum saya ke pentas utama untuk mengisi slot yang telah diberikan.



Ini merupakan kali kedua panel E-Braille ini digunakan dikhalayak ramai. Kali pertama ialah sewaktu mesyuarat agung tahunan PERTIS kali ke-16 pada bulan Jun yang lalu. Alhamdulillah, pada kedua-dua kemunculannnya di khalayak awam, panel E-Braille Quran tidak mendatangkan sebarang masalah. Bahkan ia dapat digunakan dengan lancar. Menurut Saudara Ahmad Qusairi pula, panel ini amat mudah untuk dipelajari cara penggunaannya.

Saya amat yakin, sekiranya pihak-pihak yang berkaitan terus memberikan sokongan, terutamanya dari segi penyediaan dana, pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mampu untuk pergi lebih jauh lagi khususnya dalam penyelidikan yang berkaitan E-Braille. Apatah lagi, pada masa ini, pasukan ini telah pun memiliki kepakaran tersendiri dalam menghasilkan alat canggih berteknologi tinggi untuk manfaat golongan cacat penglihatan. Semoga usaha mereka akan sentiasa diberkati dan dirahmati Allah setiap masa.

Friday, January 21, 2011

Demonstrasi Penggunaan Panel E-Braille Quran

Sepertimana yang telah saya maklumkan menerusi blog ini beberapa kali, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) sedang bekerjasama dalam satu penyelidikan untuk menghasilkan panel E-Braille Quran For Teaching Aid. Untuk pengetahuan semua, penyempurnaan penyelidikan ini telah pun melebihi 50%. Selama ini pun, sedikit sebanyak maklumat mengenai perkembangan penyelidikan tersebut hanya dapat diikuti menerusi blog ini sahaja. Setelah mendapat persetujuan daripada pihak yang berkenaan di UTM, maka sudah tiba masanya hasil penyelidikan berkenaan (walaupun belum mencapai tahap 100%) dipertontonkan kepada umum.



Dengan itu, satu demonstrasi penggunaan panel E-Braille Quran For Teaching Aid akan diadakan pada awal Februari ini. Demonstrasi tersebut akan diadakan di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Mengikut perancangan setakat ini, Demonstrasi berkenaan akan diadakan pada 1 dan 2 Februari 2011.



Dengan ini, pihak penganjur ingin mempersilakan kepada para ahli PERTIS, bukan ahli PERTIS serta mereka yang berpenglihatan yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat lagi mengenai penggunaan panel E-Braille Quran berkenaan ke lokasi sebagaimana yang ditetapkan pada masa dan tarikh yang akan ditentukan.

Bagi tujuan memberi peluang yang seluas-luasnya kepada mereka yang berminat untuk menyaksikan demonstrasi berkenaan, maka ia akan dibahagikan kepada beberapa sesi. Perincian serta jadual penuh demonstrasi penggunaan panel E-Braille Quran For Teaching Aid akan dimaklumkan kemudian. Untuk itu, sila ikuti perkembangan mutakhir mengenainya sama ada menerusi blog ini ataupun menerusi teleinfo PERTIS di 03-40223950.

Saya hampir pasti, jika tiada aral, En. Ahmad Bustamam dan Cikgu Noorazlan pasti akan hadir.

Salam dari Kuantan.

Tuesday, February 1, 2011

Sesi Demo Penggunaan Panel E-Braille quran Di Hotel Legend

Sebagaimana yang telah dirancang, hari ini (daripada dua hari) merupakan hari pertama berlangsungnya demonstrasi penggunaan panel E-Braille Quran For Teaching Aid. Sebenarnya saya sekeluarga telah pun berada di lokasi di mana berlangsungnya sesi demo sejak malam tadi lagi. Kehadiran saya adalah untuk memberikan sedikit sebanyak maklumat serta input yang dirasakan perlu untuk memastikan segala yang telah dirancang berjalan lancar. Maklumlah golongan yang akan menjadi pengunjung penting kepada sesi ini ialah mereka yang senasib dengan saya.





Kalau hendak dikirakan jumlah yang hadir siang tadi, rasanya ia tidaklah seramai mana. Namun demikian, mereka yang hadir telah memberikan respon serta maklum balas yang cukup berharga terutama kepada kumpulan penyelidik. Ini adalah kerana mereka yang hadir merupakan pengguna yang mahir dengan selok-belok sistem tulisan Braille. Selain itu, mereka yang hadir juga telah didedahkan dengan lebih dekat lagi mengenai penggunaan panel E-Braille Quran menerusi slot demonstrasi. Di samping itu, para hadirin juga turut mendapat maklumat mengenai cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh kumpulan penyelidik dalam usaha mereka untuk menyempurnakan hasil penyelidikan mereka. Justeru, dengan pendedahan sebegini barulah kita lebih maklum mengapa panel yang ada begini atau begitu jadinya (setakat ini).

Saya turut merasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kumpulan penyelidik tatkala sesi demo berlangsung. Walaupun kehadiran salah satu sesi tak sampai pun bilangan jari sebelah tangan, namun pelaksanaan perjalanan sesi demo tetap diteruskan seperti biasa. Tiada apa yang dikurangi walaupun yang hadir jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan bilangan ahli kumpulan penyelidik yang ada.





Di sini, saya ingin mengucapkan jazakumullah khairan kathiran kepada semua yang telah meluangkan masa untuk hadir ke sesi demo E-Braille Quran kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Pn. Rokiah Nawi (sahabat sepermainan terutamanya di sekolah rendah) yang telah hadir dan antara yang paling banyak memberi komen membina. Terima kasih juga saya tujukan kepada En. Abu Bakar dan Pn. Romie yang turut hadir pada sesi sebelah petang. Perbincangan dan perbualan bersama anda berdua banyak mencetuskan idea baru untuk penambahbaikan. Saya juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada AJK Pusat serta kakitangan PERTIS yang turut hadir pada sesi yang telah ditetapkan.





Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang setingginya kepada Cikgu Zinaida Ariffin, kerana pada siang tadi beliau merupakan satu-satunya rakan setugas yang telah hadir ke sesi demo berkenaan. Kehadiran beliau bukan kerana arahan dari sesiapa, tetapi kerana minat sejati dan mendalam yang telah tertanam dalam sanubari beliau terhadap pendidikan khas murid cacat penglihatan.



Setelah berakhirnya sesi demo pada hari pertama, saya serta pasukan penyelidik daripada UTM amat berpuas hati dengan maklum balas yang telah diberikan oleh mereka yang telah sudi hadir untuk menyaksikan dengan lebih dekat lagi mengenai panel yang telah diwar-warkan selama ini. Maklum balas ini sangat-sangat penting ke arah penambahbaikan panel E-Braille Quran supaya ia benar-benar dapat mencapai objektif penyelidikan dan penghasilannya kelak. Di samping itu, pasukan penyelidik serta saya dapat mendengar sendiri daripada bakal pengguna mengenai kekurangan, kelemahan serta ciri-ciri lain yang harus dilakukan penambahbaikan agar akhirnya nanti kegunaannya akan benar-benar menepati apa yang diimpikan selama ini.

Tuesday, March 1, 2011

Satu Lagi Sesi Demo Penggunaan Panel E-Braille Quran

Selepas sesi demo penggunaan panel E-Braille Quran Teaching Aid diadakan di Hotel Legend pada awal bulan lalu, maka satu lagi sesi yang sama bakal dianjurkan. Kali ini, sesi berkenaan akan diadakan pula di Hotel Premula, Kuala Terengganu. Menurut rancangan, sesi tersebut akan diadakan pada pertengahan bulan Mac 2011. Seperti biasa, penganjur sesi ini ialah pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama erat daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Pusat.



Terdapat beberapa sebab mengapa Kuala Terengganu dipilih untuk penganjuran sesi demo kali ini. Antaranya ialah, PERTIS Terengganu merupakan PERTIS peringkat negeri yang paling aktif dalam penganjuran kelas pengajian Alquran Braille. Setakat ini, hampir 40 orang peserta sedang menyertai kelas pengajian Alquran berkenaan. Kelas pengajian berkenaan pula terbahagi kepada 5 tahap berdasarkan kepada kemahiran para pesertanya. Kelas pengajian ini pula diadakan 3 kali seminggu dan 2 jam pada setiap sesi. Selain itu, kelas pengajian Alquran Braille anjurannya pula mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri Terengganu menerusi Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.



Bagi saya, peluang melihat sendiri perjalanan kelas pengajian Alquran Braille di Kuala Terengganu nanti merupakan kesempatan yang amat berharga kepada pasukan penyelidik. Inilah masanya di mana pasukan penyelidik akan didedahkan dengan situasi sebenar bagaimana sesebuah kelas pengajian Alquran Braille dijalankan. Mudah-mudahan, dengan menyaksikan dengan mata kepala sendiri, ia akan dapat mencerna idea tambahan ke arah penambahbaikan ciri-ciri yang ada pada panel itu kelak.

Saya turut dimaklumkan, terdapat beberapa ciri baru yang akan diketengahkan dalam sesi demo di Kuala Terengganu kelak. Ciri-ciri berkenaan sebenarnya merupakan hasil dapatan daripada cadangan-cadangan yang telah dikemukakan semasa sesi demo di Hotel Legend pada awal bulan Februari lalu. Antaranya ialah, dalam sesi demo kali ini bilangan panel akan ditambah. Selain itu, satu ciri menarik yang bakal diketengahkan nanti ialah di mana huruf-huruf Braille yang muncul di atas panel akan bergerak secara silih berganti secara automatik. Ini bermakna, pengguna tidak perlu lagi menukar baris-barisnya secara manual. Saya juga dimaklumkan, terdapat 3 tahap kelajuan pergerakan huruf-huruf Braille pada panel berkenaan, iaitu laju, sederhana dan perlahan. Buat masa ini, saya masih belum berkesempatan untuk merasai sendiri ciri terkini yang terdapat pada panel berkenaan. Insha-Allah, jika tiada aral melintang, saya akan berpeluang untuk merasainya pada hujung minggu ini.

Saya akan memaklumkan jadual terperinci menerusi blog ini mengenai sesi demo yang akan berlangsung di Hotel Premula kelak.

Jika diimbas kembali, secara jujur saya akui, kewujudan panel E-Braille Quran hari ini tidak pernah terfikir oleh saya sebelum ini. Hari ini, dengan kehendak Yang Maha Kuasa, apa yang tak pernah dimimpikan sebelum ini sudah ada di depan mata. Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah akan permudahkan urusan selanjutnya mengenai panel E-Braille Quran ini. Mungkin kejayaan yang akan kita kecapi tidak lama lagi adalah berkat doa kita semua.

Wednesday, March 16, 2011

Sesi Demo Penggunaan Panel E-Braille Quran Di Kuala Terengganu





Sebagaimana yang telah saya maklumkan sebelum ini, bermula 13 Mac lalu, saya sekeluarga, sebilangan ahli pasukan penyelidik serta Setiausaha Agong PERTIS Pusat telah berkumpul di Hotel Premula Beach Resort, Kuala Terengganu. Secara peribadi, ini merupakan kali kedua saya menginap di hotel ini. Kali pertama saya menginap di hotel yang sama ialah di antara 14 – 18 Januari 2002 yang lalu. Tatkala itu, saya menghadiri satu mesyuarat dan bengkel di bawah anjuran sebuah jabatan kerajaan. Saya masih ingat nama jabatan dan nama pegawai yang mengendalikannya dan apakah kesan daripada mesyuarat dan bengkel berkenaan khususnya kepada pendidikan untuk murid yang cacat penglihatan. Saya selitkan juga ulasan sebegini kerana pada hari ini kita lakukan juga hal yang sama. Jadi jangan hairanlah jika pada masa depan kita juga akan memperoleh impak yang serupa.



Bagi saya, pemilihan hotel ini sebagai lokasi sesi demo bagi zon pantai timur adalah keputusan yang betul. Selain daripada lokasi hotel yang terletak di kawasan bandar, kemudahan yang disediakan juga memuaskan. Di samping itu, kakitangannya juga baik dan mesra OKU (orang kelainan upaya). Walaupun pada waktusibuk, kakitangan yang bertugas di tempat makan tetap memberikan layanan yang patut kepada saya dan rakan-rakan senasib.



Berbalik kepada sesi demo di Kuala Terengganu, pada 14 Mac sebelah pagi, saya sekeluarga, En. Abu Hassan (Setiausaha Agung PERTIS Pusat) serta sebilangan ahli kumpulan penyelidik telah melawat ke pejabat PERTIS Terengganu. Hal ini telah pun saya kongsikan menerusi blog ini.







Sesi demo penggunaan panel E-Braille Quran Teaching Aid telah bermula pada 14 Mac di sebelah petang. Sesi ini telah dihadiri oleh para jemputan khas yang terdiri daripada wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan, insitusi pengajian tinggi di sekitar Kuala Terengganu, badan-badan bukan kerajaan, pihak media, AJK PERTIS Terengganu dan lain-lain lagi. Sambutan yang diterima tidak mengecewakan.











Selain daripada siri ucapan alu-aluan, majlis sesi ini dipenuhi dengan sesi taklimat dan sesi amali mengenai penggunaan panel E-Braiille Quran. Semua tetamu diberikan peluang yang seluas-luasnya untuk mencuba panel yang telah disediakan. Pihak media juga tidak ketinggalan dalam memperoleh info mengenai panel E-Braille Quran berkenaan.









Sesi kedua dan ketiga demo telah diteruskan pada 15 Mac di sebelah pagi dan sebelah petang. Kedua-dua sesi ini dibuka kepada ahli PERTIS, bukan ahli serta kepada mereka yang berpenglihatan. Sambutan yang diterima memang menggalakkan.






Antara yang turut hadir pada sesi di sebelah petang (15 Mac) termasuklah Cikgu Mohamed Ismail (mantan YDP), Cikgu Zaki dan Cikgu Azhar yang datang daripada Triang. Kata Cikgu Azhar, beliau memperoleh maklumat mengenai sesi demo ini menerusi blog ini.



Di samping itu, secara kebetulan, salah seorang bekas pelajar universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga turut berkesempatan hadir dan menyaksikan sendiri panel E-Braille berkenaan. Kehadiran beliau amat bermakna kerana sewaktu menuntut di USIM dahulu, pelajar berkenaan pernah mengambil kursus yang berkaitan dengan kaedah penulisan Alquran Braille.

Sebagaimana biasa juga, setiap sesi akan diselitkan segmen soal jawab. Nampaknya kali ini soalan yang dikemukakan tidaklah sebanyak sewaktu di KL. Ini petanda baik. Mungkin penggunaan panel ini hampir menuju tahap matang mengikut kaca mata pengguna .... mungkin!





Dalam sesi kali ini juga, terdapat 3 ciri baru yang telah diketengahkan. Ciri pertama ialah bagaimana panel ini juga boleh digunakan untuk mempelajari huruf “a b c” Braille. Ciri kedua pula ialah memperkenalkan sistem bookmark. Ini bermakna, pengguna boleh menyambung bacaan Alquran pada tempat terakhir bacaan diberhentikan walaupun panel telah di-switch off. Ciri ketiga pula ialah di mana sistem pergerakan titik-titik Braille secara automatik. Ini sangat membantu bagi sistem panel yang menggunakan satu baris titik-titik Braille.





Bagi pihak pasukan penyelidik, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik di sepanjang sesi demo berlangsung di Kuala Terengganu. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada para tetamu dan pengunjung ke sesi demo berkenaan. Terima kasih juga diucapkan kepada En. Mohd Fauzi Mansor dan seluruh barisan AJK PERTIS Terengganu yang telah mengaturkan perjalanan kunjungan dengan begitu teratur sekali.





Saya juga, secara peribadi, ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh barisan ahli penyelidik yang telah sudi memilih Kuala Terengganu sebagai lokasi untuk sesi demo kali ini. Di samping itu, keikhlasan para penyelidik juga terserlah bilamana mereka tanpa segan silu sudi bergaul mesra dengan setiap pengunjung, khususnya yang cacat penglihatan, di sepanjang sesi demo berlangsung.

Siang tadi, dalam hujan lebat, saya sekeluarga meninggalkan Kuala Terengganu dan telah selamat tiba di Kuantan.

Salam dari Kuantan.

Friday, June 5, 2015

Penerima Anugerah Khas PERTIS 2015




Sejak tahun 2010 lagi, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah mula memberikan anugerah yang lebih dikenali sebagai Anugerah Khas PERTIS. Ia dianugerahkan kepada golongan yang berpenglihatan yang banyak menabur jasa, bakti serta menyumbang kepada kesejahteraan hidup mereka yang tidak berpenglihatan. Lazimnya anugerah berkenaan akan disampaikan bersempena dengan majlis perasmian mesyuarat agung tahunan PERTIS. Manakala penerimanya pula boleh terdiri sama ada institusi ataupun individu. Dalam majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke-20 pada 31 Mei lalu, dua penerima Anugerah Khas PERTIS telah dipilih dan seterusnya telah menerima anugerah berkenaan.

Penerima Anugerah Khas PERTIS 2015 yang pertama ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Hubungan akrab antara PERTIS dan JAWI sememangnya sudah lama terjalin iaitu sejak seawal penubuhan PERTIS itu sendiri. Bantuan dan sumbangan JAWI terhadap PERTIS dan golongan cacat penglihatan beragama Islam sememangnya sudah pun bermula Sejak bermulanya hubungan antara kedua-dua pihak hampir dua dekad yang lalu.

Jawi merupakan badan yang paling banyak menaja penganjuran pelbagai majlis di bawah kendalian PERTIS. Bantuan sedemikian tidak terhad pada masa tertentu sahaja. Bahkan ia terus berjalan sepanjang masa. Antara majlis anjuran PERTIS yang sering mendapat bantuan daripada pihak Jawi termasuklah penganjuran majlis pelbagai ceramah, majlis sambutan hari raya, majlis berbuka puasa dan sebagainya.

Di samping itu, pihak Jawi juga terlibat secara aktif dalam penganjuran kelas Alquran (Alquran Braille) di bawah kendalian PERTIS. Antara bantuan yang dihulurkan ialah pembiayaan elaun tenaga pengajar untuk kelas Alquran berkenaan. Manakala tenaga pengajarnya pula merupakan ahli-ahli PERTIS sendiri yang berkelayakan untuk menggalas tanggungjawab selaku pengajar.

Selain itu, pihak Jawi juga tidak jemu-jemu memberikan khidmat nasihat dan pandangan bila diperlukan oleh PERTIS dalam pelbagai perkara yang mempunyai kepentingan bersama. Ada ketikanya kakitangan Jawi tidak keberatan untuk menyertai program anjuran PERTIS dan sanggup bermalam bersama-sama dengan para peserta yang terlibat.

Memandangkan hubungan yang terjalin sudah lama serta sumbangan yang berterusan, maka amat wajarlah kali ini Jawi diberi anugerah dengan Anugerah Khas PERTIS 2015.

Penerima Anugerah Khas PERTIS 2015 yang kedua pula ialah Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy bin Md Zain.

Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy bin Md Zain dilahirkan di Kangar, Perlis, pada 8 Ogos 1977. Beliau telah menerima pendidikan rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sahabat 16, LahadDatu, Sabah. Beliau telah melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Pada tahun 1999, Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy telah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Mekanikal, dari Universiti Teknologi Malasia (UTM), Johor. Pada tahun 2003 pula, beliau telah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Sistem Kawalan, dari University of Sheffield, United Kingdom. Pada tahun 2006 pula, ketika berusia 29 tahun, beliau telah berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Sistem Kawalan, juga dari University of Sheffield, United Kingdom. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Hubungan antara Prof. Madya Dr. Zarhamdy dengan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) mula terjalin sejak tahun 2009. Sejak itu, beliau telah memberi sumbangan yang besar dan cukup bermakna kepada PERTIS khususnya dan kepada masyarakat cacat penglihatan amnya.

Prof. Madya Dr. Zarhamdy banyak menghasilkan kertas kerja khususnya berkaitan hasil penyelidikannya tentang teknologi yang boleh membantu golongan cacat penglihatan yang telah dibentangkan dalam pelbagai seminar, bengkel dan sebagainya. Antaranya termasuklah:
a. User Friendly System for the Visually Impaired in Learning Al-Quran yang telah dibentangkan dalam seminar WSEAS TRANSACTIONS on SYSTEMS;
b. Development of Piezoelectric Braille Cell Control System using Microcontroller Unit (MCU) yang juga telah dibentangkan dalam seminar WSEAS TRANSACTIONS on CIRCUITSAND SYSTEMS;
c. Dedicated Graphical User Interface System for the Visually Impaired User in Learning Al-Quran yang telah dibentangkan dalam 9th WSEAS International Conference on Applications of Computer Engineering, Penang, Malaysia;
d. A Novel Development Of Electronic Braille Al-Quran Teaching Aid yang telah dibentangkan dalam The 2010 Conference on Scientific and Sosial Science Research Kuala Lumpur, Malaysia;
e. KaedahPembelajaran Braille Digital: Ebraille Al-Quran (Digital Braille Educational Solution: Ebraille Al-Quran) yang telah dibentangkan dalam 4th International Conference And Exhibition On Islamic Education;
f. Augmentation Of Qibla Indicator For The Blind yang dibentangkan dalam An International Invention, Innovation & Design 2014 (Icon14);
g. Reliability of Compass Direction for Qibla yang telah dibentangkan dalam International Conference of innovation in science and technology.

Selain menghasilkan kertas kerja seperti di atas, Prof. Madya Dr. Zarhamdy bersama-sama dengan kumpulan penyelidiknya turut menghasilkan beberapa peralatan berteknologi tinggi khas untuk manfaat golongan cacat penglihatan. Antaranya termasuklah:
(1) Panel E-Braille Quran. Selama ini golongan cacat penglihatan menggunakan Alquran cetakan Braille yang terdiri daripada 6 jilid dengan beratnya hampir 10 kg untuk senaskah lengkap. Dengan Panel e-Braille Quran ini, seluruh Alquran Braille dimuatkan dalam sebuah panel yang bersaiz laptop dengan beratnya hanya sekitar 1.5 kg sahaja. Panel ini boleh dikendalikan dengan mudah. Selain berupaya menimbulkan ayat-ayat Alquran dalam bentuk tulisan Braille, ia turut dilengkapi dengan sistem audio yang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Alquran Alkarim.
(2) Kompas penunjuk arah kiblat yang membolehkan golongan cacat penglihatan mencari arah kiblat secara bersendirian. Buat masa ini kegunaan alat tersebut hanya terhad di sekitar Asia Tenggara sahaja.
(3) Beliau serta beberapa ahli kumpulan penyelidiknya sedang membangunkan kompas kiblat generasi kedua juga khusus untuk golongan cacat penglihatan. Antara ciri-ciri kompas generasi kedua ini ialah ia lebih peka dengan arah kiblat, boleh digunakan di negara mana sahaja, bersaiz lebih kecil dan mudah dibawa dan mudah untuk dikendalikan.

Setakat yang diketahui, Panel e-Braille Quran dan kompas penunjuk arah kiblat merupakan alat pertama seumpamanya di dunia. Apa yang lebih membanggakan ialah ia merupakan kreativiti dan inovasi anak tempatan.

Sesungguhnya seluruh warga cacat penglihatan di negara ini merasa amat bersyukur dan sangat bertuah kerana dipertemukan dengan pihak seperti Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan juga insan seperti Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy. Keikhlasan mereka dalam membantu kehidupan golongan cacat penglihatan amat dihargai dan akan dikenang buat selama-lamanya. Seluruh warga PERTIS khasnya dan golongan cacat penglihatan umumnya sentiasa berdoa semoga kedua-dua pihak akan menerima balasan yang sebaiknya daripada Allah dan akan beroleh kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Penerima Anugerah Khas PERTIS 2015

Sunday, May 22, 2011

Panel E-Braille Quran Di Kuala Lumpur Convention Centre



Semalam (21 Mei) merupakan hari kedua pameran Itex yang berlangsung di Kl Convention Centre. Manakala untuk kunjungan awam pula, semalam merupakan hari pertama. Kehadiran saya di sini adalah merupakan sebahagian daripada kumpulan E-Braille Quran For Teaching Aid. Upacara perasmian telah pun disempurnakan oleh YB Datuk Mohd Fadilah Yusuf selaku timbalan menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Upacara perasmian telah berlangsung pada hari Jumaat.



Bagi kumpulan E-Braille, sudah tentulah kesemua ahli kumpulan penyelidiknya (kecuali saya) adalah daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Sebagaimana biasa, bahan yang dipamerkan ialah panel E-Braille. Terdapat beberapa lagi ciri menarik yang telah ditambah oleh ahli kumpulan penyelidik ini.



Antaranya ialah, tahap pergerakan titik-titik Braille secara automitik telah ditambah daripada 3 sebelum ini kepada 5 tahap. Selain itu, bagi saya, sistem audionya juga sudah semakin baik. Bahkan yang lebih menarik lagi, kumpulan ini juga telah mula memperkenalkan modul pengajaran matematik mudah yang sangat menarik. Buat masa ini, kumpulan ini telah memperkenalkan sistem pelajaran sifir. Walaupun ia masih di tahap permulaan, tetapi kreativiti dan inovasi kumpulan penyelidik ini amat membanggakan.



Antara kreativiti yang terdapat pada pelajaran sifir yang saya maksudkan ialah titik-titik Braille tertentu yang membawa maksud sifir tertentu akan timbul di atas panel berkenaan. Pada masa yang sama, suara (audio) turut berfungsi dengan memaklumkan maksud setiap titik Braille yang timbul. Sebagai contoh, bila titik-titik Braille yang membawa maksud 1 darab 2 timbul di atas panel berkenaan, serentak dengan itu juga sistem audionya akan berfungsi dengan memperdengarkan “1 darab 2”. Demikianlah.



Sama-samalah kita doakan semoga kumpulan penyelidik ini akan terus maju demi manfaat orang seperti kita juga. Marilah kita terus berdoa semoga kumpulan penyelidik ini akan mendapat sokongan dan bantuan yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang berkenaan supaya usaha mereka tidak terhenti di pertengahan jalan. Saya rasa, kalaulah kumpulan penyelidik ini berada di Amerika Syarikat atau di Eropah, sudah lama mereka akan mendapat perhatian dan sokongan daripada pihak-pihak yang sepatutnya. Apakan daya, kumpulan penyelidik ini berada di sini, jadi merekalah yang harus pening kepala sendiri untuk memikirkan ke manakah hasil penyelidikan mereka harus dihalakan selepas ini.



Walaupun pameran Itex ini saya maklumkan menerusi blog ini kurang daripada 12 jam daripada masa untuk kunjungan awam, ia tetap dikunjungi oleh seorang dua ahli PERTIS. Terima kasih saya ucapkan kepada Saudara Rosmadi dan Saudara Amat yang telah datang berkunjung ke booth yang menempatkan panel E-Braille.



Selain daripada panel E-Braille, terdapat banyak lagi booth yang menempatkan pelbagai hasil inovasi teknologi daripada pelbagai agensi, dan jabatan kerajaan, pihak swasta, pusat-pusat pengajian tinggi dan sebagainya. Kesempatan yang ada turut saya gunakan dengan mengunjungi beberapa gerai pameran lain.

Saya dan PERTIS memang tidak ada kabel politik. Sebab itulah kami tidak berpeluang untuk menyalurkan maklumat kepada timbalan-timbalan menteri tertentu apa yang selama ini menjadi hak dan kepunyaan kami yang telah pun dicuri. Kami pun masih belum tergamak untuk memukul canang siapakah si pencuri itu.