Di Sekitar Pulau Bintan Kunjungan saya sekeluarga di Kepulauan Riau diteruskan lagi pada hari berikutnya. Pada kali ini saya telah merancang untuk menziarahi beberapa tempat yang mana pada perkiraan saya mempunyai nilai sejarah yang tinggi di sekitar Pulau Bintan. Sebagaimana yang telah dirancang, pada jam 10.15 WIB, Anton tiba di hotel penginapan kami. Sebagaimana biasa juga, sebelum kami memulakan perjalanan, saya dan Anton akan terlebih dahulu meneliti jadual lawatan untuk hari berkenaan.
Untuk memudahkan pergerakan kami nanti, Anton telah pun menyediakan sebuah kenderaan yang dipandu oleh Pak John. Pak John berasal dari Menado tetapi sudah lama menetap di Tanjung Pinang. Beliau beragama Kristian. Orangnya bagus dan peramah.
Sebenarnya pihak hotel juga turut menyediakan kenderaan jika kita hendak ke luar dari kota Tanjung Pinang. Jika kita menyewa kenderaan tanpa pemandu, bayarannya ialah 350 ribu rupiah untuk sehari. Jika kita ingin menyewa kenderaan dan pemandunya sekali, kadar bayarannya ialah 500 ribu rupiah untuk sehari. Dengan Pak John pula, saya hanya dikenakan bayaran sebanyak 250 ribu rupiah sehari termasuk kepada pemandunya. Sudah tentulah saya memilih untuk menyewa kenderaan Pak John.
Sekitar jam 10.30 WIB, kami pun memulakan ekspedisi untuk hari berkenaan. Destinasi kami yang pertama ialah menziarahi makam Daeng Celak. Makamnya terletak tidak jauh dari Jalan Sungai Timun. Untuk sampai ke makam Daeng Celak, kami harus melalui jalan tidak berturap (semacam jalan tanah merah) sejauh beberapa kilometer.
Makam Daeng Celak terletak di satu kawasan yang agak terpencil. Kawasan sekitar makam ini sedang dibaik pulih. Saya sendiri dapat merasakan betapa sunyinya di sekitar kawasan makam ini.
Daeng Celak ialah salah seorang daripada 5 Bugis bersaudara yang telah tiba di Kepulauan Riau pada awal abad ke-18. Beliau telah menjadi Yang Dipertuan Muda Riau ke-2 (1728-1745).
Di sebelah makam Daeng Celak ialah Makam Tengku Mandak iaitu isterinya. Tengku Mandak pula ialah puteri kepada Sultan Abdul Jalil IV yang telah menjadi sultan Johor-Riau setelah kemangkatan Sultan Mahmud II (1699). Perkahwinan Daeng Celak dengan Tengku Mandak telah dikurniakan beberapa orang anak. Antaranya ialah Raja Haji Syahid Fi Sabilillah dan Raja Utih (bonda Sultan Mahmud III).
Untuk pengetahuan bersama, Sultan Mahmud II juga dikenali sebagai Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Makamnya masih ada di Kota Tinggi, Johor. Manakala makam Sultan Abdul Jalil IV (ayahanda Tengku Mandak) pula ada di kawasan permakaman diraja Kampung Marhum, Pekan, Pahang.
Antara saudara-saudara Tengku Mandak yang lain termasuklah Sultan Sulaiman Badrul Alam Suyah (1722-1760), Tengku Tengah yang diperisterikan oleh Daeng Parani dan juga Tengku Kamariah yang diperisterikan oleh Raja Kecil dari Siak.
Perkahwinan Daeng Parani dengan Tengku Tengah pula mempunyai seorang anak perempuan yang diberi nama Raja Maimunah. Raja Maimunah ini kemudiannya telah berkahwin pula dengan Tun Abdul Jamal (temenggung Johor). Perkahwinan Tun Abdul Jamal dengan Raja Maimunah telah dikurniakan 3 orang anak. Salah seorang daripada mereka ialah Tun Abdul Hamid yang juga dikenali sebagai Daeng Ibrahim atau Daeng Ronggek. Anak cucu Tun Abdul Hamid inilah yang menguasai takhta kerajaan Johor hingga hari ini. Demikianlah sejarahnya. Wallahu aalam.
Sebellum kami meninggalkan kawasan permakaman tersebut, barulah penjaga makam serta beberapa orang kampung keluar dan bertemu saya. Itu pun kerana tayar sebelah kiri kenderaan Pak John termasuk longkang dan memerlukan bantuan orang kampung. Penjaga makam Daeng Celak baik orangnya. Beliau sangat gembira dengan kehadiran serta tujuan saya sekeluarga datang menziarahi makam berkenaan.
Dari kawasan makam Daeng Celak, kami bergerak pula ke makam Daeng Mariwah. Makamnya terletak tidak jauh dari makam Daeng Celak. Sewaktu kami tiba, kawasan permakamannya sedang dibaik pulih. Walaupun kawasan sekitar makamnya masih penuh dengan batu, kayu dan paku, namun demikian Anton serta beberapa orang pekerja tetap membantu saya untuk rapat ke makam Daeng Mariwah. Alhamdulillah kerana tiada seorang pun antara mereka yang berkata, .... orang buta, .... susah, .... nanti terpijak paku, ..... terjatuh, .... dam macam-macam lagi. Dengan penuh sabar dan tanpa merungut mereka terus membantu saya supaya hajat dann hasrat saya tercapai. Kepada mereka, jutaan terima kasih saya ucapkan. Mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan mereka pula. Saya akan merasa amat bersyukur dan puas bila tangan saya sendiri dapat menyentuh setiap makam yang saya ziarahi.
Saya sekeluarga juga turut menziarahi makam Tun Abbas yang letaknya begitu hampir dengan makam Daeng Mariwah. Tun Abbas merupakan anak kepada Sultan Abdul Jalil IV. Beliau pernah menjadi bendahara kerajaan Melayu Johor-Riau pada awal abad ke-18. Salah seorang anak beliau ialah Tun Abdul Jamal yang kemudiannya telah beristerikan Raja Maimunah anak kepada Daeng Parani dengan isterinya Tengku Tengah.
Mungkin satu soalan timbul, mengapa anak-anak Sultan Abdul Jalil IV ada namanya bermula dengan “Tengku” seperti Tengku Mandak, dan ada pula yang pangkal nama anak-anaknya yang menggunakan perkataan “Tun” seperti Tun Abbas. Sultan Abdul Jalil IV pernah menjadi bendahara Johor sebelum kemangkatan Sultan Mahmud II yang memerintah Johor antara tahun 1685-1699. Setelah kemangkatan baginda dan oleh kerana baginda sultan tidak meninggalkan pewaris takhta, maka Bendahara Tun Abdul Jalil telah menaiki takhta dengan gelaran Sultan Abdul Jalil IV. Menurut seorang ahli akademik sejarah, anak-anak yang lahir ketika Tun Abdul Jalil sebelum ditabalkan sebagai sultan, menggunakan “Tun” pada pangkal nama mereka. Manakala anak-anak yang lahir semasa Tun Abdul Jalil sebagai sultan (Sultan Abdul Jalil Syah IV), menggunakan “Tengku” pada pangkal nama masing-masing. Demikianlah. Wallahu aalam.
Setelah menghabiskan masa yang agak panjang di ketiga-tiga makam berkenaan, akhirnya saya sekeluarga pun bergeraklah untuk mencari makam Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Pada mulanya sukar juga untuk kami menjejaki lokasi makam baginda. Akhirnya Anton berjaya mendapatkan maklumat lengkap mengenai lokasi sebenar makam Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Makamnya terletak di satu kawasan yang bernama Kampung Melayu. Letaknya tidak jauh dari tepi laut.
Makam Sultan Sulaiman juga dalam proses baik pulih. Oleh itu banyak bahan binaan di sekeliling makam baginda. Walau bagaimanapun, ia sama sekali tidak menghalang saya untuk rapat dan menyentuh makam Sultan Sulaiman. Makam ini dikelilingi kawasan penempatan Melayu yang agak padat dan sibuk.
Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pernah memerintah kerajaan Johor-Riau antara tahun 1722-1760. Baginda merupakan putera kepada Sultan Abdul Jalil Syah IV. Bagindalah orangnya yang telah menjalinkan kerjasama dengan 5 Bugis bersaudara untuk mengambil kembali takhta Johor-Riau daripada tangan Raja Kecil. Usaha baginda kemudiannya menghasilkan kejayaan.
Setelah berjaya mendapatkan takhta, Sultan Sulaiman telah mewujudkan dan memberikan jawatan Yang Dipertuan Muda kepada orang-orang Bugis sebagai membalas budi. Dengan wujudnya jawatan demikian, maka kuasa tradisi pembesar Melayu seperti bendahara, temenggung dan lainnya telah menjadi lemah dan akhirnya hilang begitu sahaja. Dari satu segi, jawatan yang dipertuan muda saling tak tumpah dengan jawatan residen yang pernah diwujudkan semasa penjajahan British di negeri-negeri Melayu pada pertengahan kurun ke-19. Buku Salsilah Melayu Dan Bugis pula menggambarkan kedudukan sultan tak ubah umpama orang perempuan, manakala kedudukan jawatan yang dipertuan muda pula disamakan dengan peranan orang lelaki. Walau bagaimanapun, bagi golongan yang sudah terlalu ghairah dengan kuasa, hal dan persepsi sebegitu tidak lagi menjadi ukuran. Biarlah maruah bangsa sendiri tergadai asalkan puak berkenaan dapat terus menggenggam kuasa. Selagi bangsa kita sekadar menganggap sejarah tidak lebih daripada novel dan cerita dongeng yang tidak perlu diambil iktibar daripadanya, maka selagi itulah kita akan terus-terusan dihukum, dihukum dan dihukum.
Dari kawasan makam Sultan Sulaiman, kami bergerak pula untuk mencari tapak tinggalan bekas istana di satu kawasan yang dahulu dikenali sebagai Kota Piring. Pencarian ini akhirnya membawa kami tiba di satu kawasan penempatan yang agak padat. Ia terletak agak jauh dari jalan utama. Jalan untuk menuju ke kawasan ini juga sempit. Anton mulanya bertanya kepada seorang dua penduduk setempat mengenai lokasi tepat istana kota piring. Mereka sekadar memberitahu “mungkin di situ”. Akhirnya seorang lelaki separuh umur memberitahu kami ada seorang penduduk kawasan berkenaan yang dikatakan berpengetahuan luas mengenai hal yang ingin kami ketahui. Dengan pertolongan seorang budak kecil berusia sekitar 5 tahun, kami dibawa ke sebuah rumah batu yang agak besar. Sayangnya tuan rumah tiada di rumah. Kemudian budak kecil berkenaan membawa kami pula ke surau yang berhampiran. Di surau tersebutlah baru kami bertemu dengan seorang penduduk yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wan. Nama sebenarnya Wan Samsudin bin Wan Omar. Setelah saya menerangkan hajat dan tujuan kedatangan kami, Pak Wan mempersilakan kami ke rumahnya.
Daripada tutur bicaranya, saya dapat merasakan Pak Wan seorang yang berdarah Melayu dan kuat semangat kemelayuannya. Pak Wan juga merupakan seorang pentadbir agama Islam di kawasannya. Awal bicara Pak Wan lebih banyak menerangkan masalah keagamaan yang sedang dihadapi oleh penduduk sekitarnya. Setelah itu, barulah perbualan menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan sejarah orang Melayu di sekitar tempatnya.
Apa yang menariknya ialah di ruang tamu rumahnya ada dibuat semacam para-para dan di atasnya terdapat banyak bahan lama seperti pinggan, cawan, sudu, bahan tembikar dan sebagainya. Memang banyak. Menurut Pak Wan, semua bahan-bahan berkenaan beliau perolehi setelah menggali di sekitar istana Kota Piring. Saya sendiri, dengan izin daripada Pak Wan, telah meluangkan masa yang agak panjang dengan menyentuh barang-barang lama berkenaan satu persatu.
Walaupun barang-barang lama berkenaan sudah pecah-pecah, tetapi pada umumnya ia masih berkeadaan baik. Kata Pak Wan, kalau digali di sekitar kawasan bekas tapak istana lama, maka akan bertemulah dengan barang-barang tersebut. Katanya lagi, orang sekarang malas hendak mencari. Semua barang-barang lama yang ada di rumahnya dicari dan digali atas inisiatifnya sendiri.
Setelah menyentuh hampir semua barang-barang lama berkenaan, saya bertekad dalam hati untuk membawa pulang walau pun Cuma satu barang. Akhirnya dengan memberanikan diri, saya berkata kepada Pak Wan: “Pak Wan, kalau saya beli barang lama ni, (sambil menunjukkan satu sudu lama) boleh tak?” Pak Wan menjawab: “Tak payah beli, ambillah, saya beri sahaja lillahe taala.” Saya terus mengambil barang yang saya ingini sambil mendekatkan ke muka dan mengucapkan terima kasih beberapa kali kepadanya.
Saya kemudiannya bertanya pula mengenai istana Kota Piring. Pak Wan terus mengajak kami keluar di hadapan rumahnya. Betul-betul di hadapan pintu masuk rumahnya ada tembok batu yang sudah dinaiki tumbuh-tumbuhan menjalar. Pak Wan memberitahu, tembok itu merupakan sebahagian daripada tembok istana lama yang masih tinggal. Pak Wan kemudiannya menunjukkan kepada kami kawasan tapak bekas istana berkenaan. Memang kawasannya agak luas, tetapi oleh kerana ia tidak dijaga maka kawasannya kini telah dipenuhi dengan semak-samun.
Jika 2 kurun dahulu ia merupakan sebuah istana yang indah dan megah, kini ia sekadar kawasan semak-samun yang terbiar dan tidak dipedulikan lagi. Kata Pak Wan, nama istana ini ialah Istana Kaca Puri. Sultan Sulaiman Badrul Alam Suyah (1722-1760) dikatakan pernah bersemayam di istana ini. Sultan Mahmud III (1760-1812) juga dikatakan pernah bersemayam di istana ini iaitu sewaktu di awal pemerintahannya.
Pak Wan juga turut menunjukkan kepada kami sebuah kolam yang tersembunyi di sebalik semak-samun. Katanya, masa dulu kolam berkenaan merupakan tempat persiraman keluarga diraja. Kini kolam berkenaan bukan sahaja tersembunyi di balik semak-samun bahkan kawasannya pula kotor. Subhanallah.
Sesungguhnya kebesaran, kerajaan, kekuasaan, kemegahan, kemewahan dan segala kenikmatan duniawi tidak akan kekal lama adanya. Hari ini ia mungkin kelihatan gah, besar, megah, mewah dan dibangga-banggakan. Tetapi hari esok ia mungkin akan terbiar, tidak dipedulikan lagi, kotor dan dipandang sepi. Demikianlah apa yang dapat kita sama-sama teladani daripada sejarah. Sesungguhnya yang dikatakan sejarah itu bukannya novel atau cerita dongeng semata-mata. Ada sesuatu yang boleh sama-sama kita teladani daripadanya. Akan sia-sialah kalau sejarah diajar sekadar untuk lulus periksa semata-mata. Akan berbahagialah jika kita dapat mengambil iktibar daripada sejarah yang telah berlaku itu.
Sesungguhnya amat besar maknanya dan nilainya bila kita mengunjungi sesuatu tempat itu turut disertai dengan sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan tempat yang kita kunjungi itu.
(Bersambung di bahagian seterusnya).